Asam Garam Kehidupan: June 2013

Nuffnang

Pages

30 Jun 2013

Kalau ada manfaatnya

Saja nak kongsi, mungkin ramai yang dah tau, tapi mungkin ada yang belum pernah terfikirpun..

Hari ahad bagi saya selalunya hari bercomot-comot,berbusuk-busuk, berhangit-hangit. Kenapa?

Haaaaa... hari ni saya akan operasi semua ikan yang dah dibeli pada hari sabtu. Siang bersih-bersih, masukkan dalam bekas-bekas, selalunya untuk seminggu. Saya tak kisah kalau orang kata nanti isi ikan jadi tawar ke..

Yang penting bagi isteri dan ibu yang bekerja macam saya ni ( Walaupun saya cuma kerja 3 hari dalam seminggu ) balik kerja saya dapat masak dengan cepat dan mudah. 

Satu lagi yang saya selalu buat ialah mem'blend' siap-siap bawang, bawang putih dan cili juga untuk kegunaan seminggu. Senang nak buat sambal ke, goreng mihun ke, goreng nasi ke..

Saya gunakan cili kering sebab tak suka rasa cili boh, suamipun tak suka, lagipun rempah blend saya ni 'save' dari bahan kimia dan pengawet.

Terimakasih Ma,  Ma yang ajar ni, InsyaAllah akan diamalkan sampai bila-bila.

28 Jun 2013

Surat Dari Tahanan Syria #Pray4Syria :'(

Surat ini telah berjaya dibawa seludup keluar dari Baad Assad Syria. Ia menceritakan tentang rintihan wanita Islam yang dikurung di dalam penjara Syria.


Dengan nama Allah yang pengasih lagi penyayang. Kami telah menulis berpucuk-pucuk surat dengan air mata dan rintihan hati tetapi malangnya tidak satu pun sampai kepada umat Islam di luar pintu besi ini. Kami tidak dibenarkan menulis atau membaca. Kertas dan pen diharamkan. Penderitaan kami tidak dapat menembusi dinding-dinding hitam yang mengurung kami. Tetapi kami yakin bahawa Insya Allah surat ini akan sampai kepada umat Islam seluruh dunia.

Dalam surat ini kami menceritakan tentang penderitaan dan kezaliman yang dikenakan oleh binatang-binatang pemabuk yang digunakan oleh kerajaan Syria ke atas kami dalam penjara jahannam ini. Kalaulah setakat pukulan dan kejutan elektrik kami dapat bersabar menahannya, tetapi penderitaan kami di sini lebih daripada itu.

Dapatkah kami terus bersabar menahan hati apabila terdapat antara kami dirogol tanpa belas kasihan sehingga menghembuskan nafas terakhir. Kami berharap kami tidak diperanakkan di bumi ini. Dari hati kami yang terseksa kami memohon agar semua umat Islam berusaha untuk menyelamatkan nyawa dan maruah kami. Kalau dahulu, apabila seorang Muslimat meminta pertolongan daripada khalifah al-Mu'tasim kerana dizalimi, seluruh bala tentera Islam dikerahkan untuk menyelamatkan tetapi di dalam penjara ini, beribu-ribu Muslimat diseksa, dibunuh dan dibunuh oleh binatang yang tidak berperikemanusiaan.

Ramai antara kami yang mengandung akibat perbuatan mereka. Kami tidak meminta kami tidak dibebaskan. Kami hanya berharap agar penjara ini diletupkan dengan kami sekali di dalamnya.
Wahai umat Islam seluruh dunia, cukuplah tidurmu, takutlah di waktu kamu semua akan disoal di hadapan Allah di akhirat nanti tentang apakah yang kamu lakukan apabila mengetahui kezaliman dan jenayah yang dilakukan atas kami. Apakah-apakah kesalahan Muslimat ini sehingga mereka dirogol dengan ganas dan ditelanjangi. Mereka dipukul dan dikenakan kejutan elektrik.

Apakah-apakah kesalahan Muslimat ini sehingga terdapat Muslimat muda yang terpaksa dihantar ke hospital dalam separuh mati akibat dirogol tanpa belas kasihan oleh 26 orang tukang seksa? Apakah kesalahan mereka? Suami mereka dibunuh di hadapan mata mereka sendiri.

Wahai umat Islam seluruh dunia, sebenarnya kamu nyenyak tidur. Apakah jawapan kamu semua wahai umat Islam seluruh dunia? Apakah kami akan terus berharap supaya kamu akan dapat menyelamatkan kami dari neraka yang tidak bersempadan ini? Apakah cahaya murni akan menyinari kami untuk menerangi hati kami yang terseksa ini.

BANGUNLAH WAHAI UMAT ISLAM SELURUH DUNIA !!

daripada, 
Muslimat yang menjadi mangsa thogut nasionalis Syria. 

- Diharap kita semua tersentak, sedar dan insaf apabila membaca artikel ini. Sekiranya tidak terasa apa-apa muhasabahlah diri.

- Bacalah dengan mata hati untuk melihat kebenaran. Tidak ada bezanya Malaysia dan Syria. Di mana-mana pun, Muslimat akan berhadapan dengan persekitaran yang menakutkan selagi umat Islam terus lalai begini.

Bangunlah ! Bangkitlah!

P/s :Tuhan datangkanlah pembela dan penyelamat
bagi kami semua.."Akhirnya kami mengharap 
tolonglah menangkan Islam di syria dan Selamatkanlah hamba-hambaMU yang sedang menderita

Link asal : farok313.blogspot.com/2013/06/surat-dari-tahanan-syria.html?m=1

27 Jun 2013

Adab Bermasyarakat

Bermasyarakat perlu bekerjasama
Menegakkan kebaikan dan keperluan bersama
Berkorban tenaga,menyumbang harta
Ikhlasnya hati waktu bekerja
Kemungkaran sama-sama membasmi
dan mencegahnya
Jangan biarkan ia bertapak
di dalam kehidupan
Kerana ia perosak perpaduan
Kena tumpaskan waktu ia bermula

Bertolak ansur di dalam pergaulan
Sabarlah menerima ujian 
Lupakanlah kesalahan kawan
Maaf-bermaafan perlu ada
Kesalahan kita jangan dilupakan
Memohon maaf kenalah ada
Sikap itu sangatlah mulia
Allah Taala suka, manusia juga suka
Panjatkanlah doa kepada Tuhan
Memohon pertolongan kepadaNya
Usaha kita tiada kesan
Bantuan Tuhan perlu ada

Sajak dari buku Buah Fikiran Ustaz Ashaari Muhammad (2)






Kelahiran Yang Ditunggu

28 Novembar 1979

Hati Abidah dilanda gundah-gulana. Sejak beberapa minggu lepas hujan turun tanpa tanda untuk teduh. Air sungai juga mula melimpah. Kata orang kampung banjir besar akan melanda tahun ini. Mengingatkan itu hati Abidah tambah resah. Dia mengusap-ngusap perutnya yang sarat, cuma menunggu hari, terasa pergerakan lembut di situ. Abidah tersenyum kecil. Ya Allah, kepadaMu aku berserah.....nuraninya berbisik mengharap rahmat dari Maha Pencipta. Biar apapun ujianMu, biar derita seberat manapun, jangan Kau tinggalkan aku Tuhan, tak mengapa aku tidak mendapat kasih sayang manusia, yang penting aku dapat kasih sayangMu...hatinya berbisik lagi.

Dia menghalakan pandangannya ke arah Farish dan Firash yang leka bermain juraian hujan di tingkap. Sesekali Farish mengusik si adik dengan renjisan air hujan membuatkan Firash terkekeh-kekeh ketawa. Si adik pula membalas membuatkan suasana tambah gamat dengan gelak tawa mereka. Abidah tumpang bahagia, leka dia memerhati Farish dan Firash bermain begitu.

Pandangannya terarah pula kepada Siti sigadis sunti yang baru berusia sepuluh tahun tapi kelihatan cerdik dan matang. Nur sangat mengharapkan kelahiran seorang adik perempuan buat teman bermain. Dengan teman sekampung, dengan kawan-kawan di sekolah habis dicanangkan yang dia akan dapat seorang adik perempuan. Dek kerana inginkan sangat seorang adik perempuan selalulah si Firash jadi mangsa Siti, dibedakkan,diikat dua rambutnya, rambut Firash kerinting berombak separas bahu, wajahnya comel macam budak perempuan.

Siti walaupun baru berusia sepuluh tahun tapi sudah boleh diharap menolong kerja-kerja dapur seperti memasak, mengemas dan membasuh. Biarpun kadang-kadang nasi yang dimasak hangit, maklum sahaja masak guna kayu api. Basuh baju Abidah dan adik-adikpun dah boleh diharap. Abidah bukan tidak belas melihat Siti menapak ke sungai, tapi sudah sarat begini Abidah tak berdaya lagi menuruni bukit untuk ke sungai. Nasib baik juga bekalan air untuk memasak boleh diambil dari paip berhampiran, tapi jenuh juga menunggu giliran.

Selesai memasak nasi berlaukkan ikan sungai goreng dan pucuk paku yang juga digoreng, Siti meminta izin untuk ke rumah Nani kawan baiknya, tapi tidak diizinkan Abidah memandangkan hujan yang belum teduh dan bila mengenangkan saat melahirkan makin hampir. Kalau kebetulan Siti keluar dan dia nak melahirkan , siapa pula yang nak diharapkan memanggil bidan. Farish dan Firash baru berusia enam dan lima tahun, belum tahu apa-apa. Nak harapkan suaminya Halim... " Ah! tak payahlah, Halisah pun tengah sarat anak kedua, tapi dalam perutku ini anak abang Halim juga, Halisah lambat lagi, aku bila-bila masa saja,... ah! biarlah... Siti kan ada, lagipun aku percaya Kau takkan biarkan aku hambaMu yang kerdil ini". Air mata Abidah tumpah jua.

Petang merangkak ke senja, hujan belum juga reda. Dalam hatinya mengharap juga kepulangan suaminya menjenguk dirinya, bertanya khabar, atau menambah keperluan dapur yang makin susut. Dari maghrib ke isya, hingga menjelang tengah malam yang diharap tidak kunjung tiba. Abidah akur..biarlah... Cuma kebimbangannya bertambah juga bila dirasa sakit pinggang datangnya makin kerap dan perutnya kian mengeras.

Dalam suluhan pelta minyak tanah dia dapat melihat Siti, Farish dan Firash tidur bergelimpangan tanpa selimut. Jam di dinding menunjukkan pukul 4 pagi. Matanya tidak mampu dilelapkan, sakit di pinggang kian terasa. Rintik hujan juga sudah berhenti. Abidah cuba bangun, belas hatinya melihat anak-anak tidur mengerekot kesejukan, hendak diselimutkan, bila tiba-tiba dirasanya ada air panas mengalir deras membasahi kainnya...

Bersambung

26 Jun 2013

Pujian Tuhan pada HambaNya

Pujian Tuhan pada hambaNya

-Aku suka pada orang yang bertaubat

-Aku suka pada orang yang bertaqwa

-Aku suka pada orang yang pemurah

-Aku suka pada seorang yang buat dosa dan kemudian bertaubat atas dosanya.

-Aku lebih suka pada orang yang merintih atas dosanya daripada tasbih para aulia.

Dipetik dari buku Buah Fikiran Ustaz Ashaari Muhammad (2)

25 Jun 2013

Mimpikan Ma

22 Jun 2012

Gie terbangun pukul 2.30 pagi, dengar Danish masih main game. Gie suruh Danish tidur dan Gie pun menyambung tidur semula. Ya Allah, Gie mimpikan Ma..

Kononnya Gie nak kebumikan Ma kat tempat lain. Gie tengok jasad Ma masih utuh di dalam kafan. Bila dikebumikan, Gie rasa jasad Gie yang disemadikan. Gie dapat saksikan anak-anak Gie yang menangisi pemergian Gie, kawan-kawan Humairah yang mengucapkan takziah. 


Tiba-tiba ruang persemadian Gie menjadi bilik besar yang semuanya ditabiri langsir putih, ada bunga-bunga. Di tepi kepala katil ada jambangan meja di atas meja dan sepinggan nasi beriani lauk ayam. Gie yang berbaring tak perasan ada nasi sehingga gie terludah ke situ dan nasi tak dapat dimakan. 

Gie bangun dan keluar dari bilik itu, ada seorang lelaki berikan separuh mee gorengnya kepada gie, sedap juga. Selesai makan Gie berjalan lagi. Tempat itu amat asing, lorong yang agak rendah, ada cahaya berwarna oren lembut dan asap tipis. Ramai orang lelaki dan perempuan memakai seakan pakaian ihram, semuanya putih. Seorang pun Gie tak kenal. Jauhnya lorong itu, Gie terus berjalan dan berjalan melepasi orang-orang yang tak dikenali. Tiba-tiba...

Jauh di hadapan Gie nampak MA.. Gie menjerit memanggil-manggil Ma dan berlari ke arah Ma. Ma mendepa tangan, bila sampai Gie terus peluk Ma, erat-erat..Gie dapat rasa Gie peluk badan Ma.., Gie pandang wajah Ma puas-puas, Ma senyum manis. Gie peluk bahu Ma. Ma bawa Gie berjalan di tempat yang asing itu, sampai ke bilik Ma. Bilik Ma sangat luas, katilnya besar, semuanya bertabir putih. Tiba-tiba Ma hilang..

Gie berjalan lagi sehingga sampai ke bangunan seakan tangga stadium menghadap ke arah pokok-pokok hijau yang tinggi-tinggi, diselaputi kabus memutih. Ramainya orang berdiri di situ. Gie turut berdiri di situ, kehairanan.. tiba-tiba berdiri di sebelah Gie seorang yang Gie rasa dia ialah Ummu Jah. Gie tanya ini tempat apa, Ummu Jah jawab " Inilah alam akhirat".
Kami berdiri di situ agak lama..

Gie menyambung perjalanan sehingga sampai ke kawasan yang agak berbukit dan agak berterabur dengan entah, mungkin kotak-kotak. Di pertengan bukit Gie ternampak Faris dan Fairus. Gie ajak Faris dan Fairus cari Ma,  Faris menolak. Fairus diam sahaja, wajah Fairus pun lain, macam wajah dia yang comel masa kecilnya. Tiba-tiba Ma muncul semula dengan senyum lebar, Ma datang berkumpul dengan kami di situ. 

Gie rasa mimpi tu lama sangat, sedar-sedar Gie terbangun bila azan subuh dilaungkan. Bila terbangun Gie rasa itu macam bukan mimpi, rasa seperti Ma masih ada, dan rasa terubat kerinduan pada Ma..

Tapi sekarang dah jarang sangat mimpi Ma, kalau adapun mimpi kabur yang tak dapat Gie ingat...

Al Fatehah buat Ma.

Rindu Ma 7

29 Disembar 2011

Ma dah pergi.. Ma dah pergi.... Gie menangis semahu-mahunya, Faris, Fairus, Shukor yang tidak pernah Gie lihat menitiskan airmata juga menangisi pemergian Ma. Fadhli, Ya Allah, maafkan kak Gie sebab tak dapat bawa jenazah Ma pulang ke Terengganu.

Waktu itu Gie sangat buntu, hilang arah, fikiran Gie kosong.... Memang pada awalnya bila Shukor cakap nak bawa Ma balik ke Terengganu Gie ikut saja. Tapi ustazah yang mandikan jenazah Ma nasihatkan supaya jangan bawa Ma balik, Kasihan Ma bawa balik jauh, seksa jenazah katanya. Memang Gie rasa amat berat hati, sedih fikirkan Fadhli dan Cik yang tak sempat jumpa Ma buat kali terakhir, tapi Gie lebih kasihankan Ma, Gie tak mahu jenazah Ma terseksa.

Bila ustazah tu kata ada tanah perkuburan yang dekat iaitu Sg. Kantan, Gie terus setuju. Gie ingat sangat ustazah memuji-muji senang mandikan Ma, badan Ma lembut, bersih. Ustazah tegur jari Ma yang masih berinai, ( Humairah  yang inaikan sebab Ma yang minta bila tengok kami ramai-ramai berinai ). Tapi Ma, satu lagi yang sangat tak dapat Gie lupakan bagaimana mulut Ma yang agak senget dan terbuka ( sebab Ma pakai gigi palsu ) tiba-tiba tertutup rapat dan cantik!! Ustazah tegur " tengok mulut mak awak dah tertutup cantik ". Gie sangat bersyukur dengan kurniaan Allah pada Ma. Dapat Gie saksikan juga rambut Ma yang sudah banyak memutih menjadi hitam semula, wajah Ma menjadi tegang semula!!

Subhanallah, Subhanallah, terimakasih Ya Allah...

Wajah Ma berseri, Ma seakan tidur lena, tersungging senyuman di hujung bibir Ma. Ma selamat disembahyangkan, seterusnya dibawa ke tanah perkuburan dalam tempoh yang singkat sahaja. Alhamdulillah Fairus yang balik kerana nak ambil beg baju dia( sebab ingat nak bawa Ma balik ke 
Terengganu) sempat juga sampai dan jumpa ma buat kali terakhir. Dia pun dapat lihat wajah Ma yang berseri dan tersenyum. Ma selamat disemadikan sebelum maghrib.

Satu yang sangat buat Gie terkilan sebab lansung tak terfikir nak bawa Ma balik dulu ke rumah Gie. Kalaulah Gie bawa balik Ma tentu Fadhli dan Cik dapat jumpa Ma.. Tapi Gie dah tak boleh fikir panjang masa tu, fikiran Gie kosong, apa yang Gie ingat ialah ini tanggungjawab Gie sebagai anak sulung nak selesaikan urusan Ma secepat mungkin. 

Tapi Gie terima ketentuan Ilahi, adalah hikmahnya yang sampai harini tak mampu Gie cungkil. Cuma Gie sedih tak dapat ziarah Ma selalu sebab agak jauh, kalau.., ah! semuanya kalau..yang penting Gie dapat juga ziarah Ma, kadang-kadang 2 minggu sekali, kadang-kadang sebulan sekali. Tak lupa hadiahkan bacaan Yasin untuk Ma setiap hari, hanya itu yang mampu Gie buat.

Ma, semoga Allah makbulkan doa Gie agar kita dapat berkumpul di perkampungan yang sama di syurga nanti. Sungguh Gie rindukan Ma sampai bila-bila...

24 Jun 2013

Bila Aku Lihat Lautan

Bila aku lihat lautan
Saujana mata memandang
Luas tidak nampak tepian
Ombak melambung dan menggulung
Bergelora tidak henti-hentinya
Menghempas dan memulas

Bunyinya mengerikan dan menakutkan
Dalamnya menggerunkan
Gelap-gelita, melemaskan
    
   Hatiku membisikkan
   Kalau Neraka itu seperti ini
   Julangan apinya macam ombak
   Yang melambung, membumbung
   Bunyi apinya macam bunyi angin
   Yang memukul ombak
   Ombak yang sentiasa bergerak
   Tidak henti-hentinya

Kalau ia api Neraka membaham penghuni-penghuninya
Tanpa hentinya
Itupun sudah cukup menyeksakan
Aku tidak mampu menanggungnya
Betapalah api Neraka Tuhan
Entah berapa kali ganda dahsyatnya
Lebih lagilah aku tidak mampu menerima azabnya


Dipetik dari buku Buah Fikiran Ustaz Hj Ashaari Muhammad
    

23 Jun 2013

Nisfu Sya'ban

Menjelang malam nisfu sya'ban, yang jatuh malam ini, Ahad 23 Jun 2013, ( Malam tertutupnya buku amalan kita selama setahun )

Mengambil keberkatan sunnah Rasulullah SAW  yang sentiasa meminta maaf dan memberi maaf, saling doa mendoakan, berkasih-sayang dan sebagainya..,

Semoga setiap amalan kita Tuhan terima, buku catitan dipenuhi amalan kebajikan. Syukurlah kerana kita dilahirkan untuk menjadi hamba Tuhan, dan sebagai ummat Nabi Muhammad...

Antara amalan khusus sempena nisfu sya'ban:



-Sembahyang sunat selepas maghrib
-Membaca yasin sebanyak 3 kali
  1) Yasin pertama niatkan supaya dipanjangkan umur kerana 
       ibadah kepada Allah SWT.
  2)  Yasin kedua minta dimurahkan rezeki serta halal kerana
        bekal ibadah kepada Allah SWT.
  3) Yasin ketiga minta ditetapkan iman kepada Allah SWT.

- Membaca doa khusus sempena nisfu sya'ban.

Semoga ada manfaatnya.

22 Jun 2013

Tak tau nak bagi tajuk apa......

Aku suka memerhati, duduk-duduk sambil menunggu suami atau semasa menunggu kak Faridah ( jiran yang ku tumpang keretanya untuk ke tadikaku di Putra Jaya ), banyak sekali kerenah dan ragam manusia, berbagai rupa dan gaya, berbagai wajah dan reaksi, boleh jadi terap minda, tak percaya? Cubalah.. cuma jangan sampai ada yang perasan, he he...

Dalam pemerhatianku, selalu kutemui anak-anak yang begitu sihat dan montel badannya. Tak padan dengan usia mereka. Mungkin dalam usia belum menjangkau 13 tahun, tapi MasyaAllah.. badan!!

Ku kira faktor pemakanan sangatlah menyumbang kepada gejala kegemukan atau obesiti anak-anak ini. Kesibukan ibubapa bekerja tidak memungkinkan mereka dapat menyediakan menu sihat untuk tumbesaran anak-anak mereka, kalau ada orang gaji mungkin sedikit membantu. Tapi orang gajipun kalau dapat yang rajin..

Memanglah anak-anak sukakan makanan segera, sedap, cepat, mudah, tapi macamana dengan khasiatnya? 

Di tadika ku ada seorang pelajar yang hari-hari dibekalkan sosej, roti sosej sampai tak pandai nak makan cekodok ke, hatta cekodok pisang pun tak reti makan!!

Aku tidak mahu merisikokan kehidupan anak-anakku di masa depan. Biarlah mereka kurus macam tak makan, biar sepenat manapun aku, tapi tetap kusediakan sarapan dan makan malam buat mereka. Jarang sangat mereka makan sosej ke, nugget ke, kentang goreng ke.. Sebab dah terbiasa mereka pun tak minta.

Sedihlah kalau ada ibu yang tak bekerja tapi tetap juga bagi anak-anak makan 'fast food' sebab nak mudah kerja. Memanglah masa kecil gemuk tu nampak comel je, tapi dah besar mana ada comel dah, jadi bahan tontonan dan ejekan orang pulak, percayalah!!



20 Jun 2013

Power Kaabah

NY Times menulis: " Sekiranya orang-orang Islam berhenti melaksanakan tawaf ataupun solat di mukabumi ini, nescaya akan berhentilah putaran bumi kita ini, kerana pusingan dari super conducter  yang berpusat di Hajar Aswad tidak lagi memancarkan gelombang elektromagnetik. Menurut hasil penelitian dari 15 universiti: Menunjukkan Hajar Aswad adalah batu meteor yang mempunyai kadar logam yang sangat tinggi, iaitu 23000 kali dari baja yang ada. Beberapa astronout yang di angkasa melihat suatu sinar yang teramat terang memancar dari bumi dan setelah diteliti ternyata ia bersumber dari Bait Allah atau kaabah, Mekah. 

Super conducter itu adalah Hajar Aswad yang berfungsi bagai mikrofon yang sedang menyiarkan dan di mana jaraknya mencapai ribuan million jangkauan siarannya. Prof. Lawrence E. Yoseph -FI Whiple menulis: Sungguh kita berhutang besar  kepada orang Islam, solat, tawaf dan tepat waktu menjaga super conducter itu".

Subhanallah, Alhamdulillah, Laa ilahaillallah, Allahu Akbar. Betapa bergetar hati kita melihat dahsyatnya gerakan tawaf haji dan umrah.

Hati Mukmin

Mengalirlah air mata mukmin
Atau mengalirlah air mata hatinya
Bila mengingat Tuhannya

  Malunya hati mukmin itu bila mengenang
  Rahim dan Rahman Tuhannya
  Anugerah dan pemberianNya 
  Remuk redamlah hatinya bila teringat
  Qahhar dan JabbarNya

Kecut perutnya bils teringat hukuman dan azabNya
Resah gelisah jiwanya bila melakukan dosa 
Sedih hatinya bila lalai dengan Tuhannya

  Kemudian sedar semula
  Tidak tentu arah rasa hatinya
  Bila terbuat kesalahan dan kesilapan
   
  
Hati mukmin tidak pernah tenang dengan Tuhannya
Tapi tenang dengan dunianya
Jiwanya sentiasa sahaja bergelombang
Terhadap Tuhannya

 Jiwanya bagaikan air lautan tidak pernah tenang
 Kalaulah bukan kerana ada kewajiban masyarakat
 Yang patut dipertanggungjawabkan
 Sudah tentu mereka suka bersendirian
 Atau membawa diri berkelana bersama Tuhannya
 Atau menyisihkan diri dari masyarakatnya
 Kerana terlalu memikirkan diri terhadap Tuhannya

    Begitulah hati seorang mukmin
    Sentiasa gundah gulana
    Oleh itu mereka tidak sempat memikirkan hal orang lain
    Kerana terlalu memikirkan nasib dirinya.


Dipetik dari buku Buah Fikiran Ustaz Hj Ashaari Muhammad

19 Jun 2013

Rindu Ma 6

Malam 28hb Dis. 2011

Gie tau Ma semakin uzur, tapi Gie tak pernah terfikir uzur Ma itu tanda Ma akan tinggalkan Gie. Malam ni seperti malam sebelumnya Ma tak dapat tidur. Mulut Ma tak berhenti mengucapkan kalimah Allah. Ma tak nak tidur di dalam bilik, sempit, Ma kata.

Gie bentangkan toto diruang tamu, dan tidur sebelah Ma. Di kiri kanan Ma Gie letakkan kerusi rendah untuk Ma telangkupkan muka sebab Ma masih tak boleh berbaring juga. Gie tahu sepanjang malam Ma tak dapat tidur.

Selepas subuh Gie masukkan Ma ke bilik semula sebab bimbangkan Ma serabut dengan anak-anak Gie yang bising. Gie menyambung tidur, Ma pun nampak sedikit lega. Dalam pukul 9 Gie suapkan Ma bubur kosong, Ma makan sangat perlahan. Selesai makan dalam pukul 9.30 Ma kata nak pergi hospital sebab rasa tak larat sangat. Gie telefon Fadhli beritau Ma nak pergi hospital. Fadhli kata nak ambil Ma bawa balik duduk Hospital Dungun dekat dengan dia, senang nak uruskan. Tapi Ma tak nak. Ma kata datang rumah Gie dah jauh, nak balik pun jauh, makin sakit. 

Gie telefon ambulan, sebab Shukor dah pergi kerja. Dalam pukul 10.30 ambulan datang. Ma masih mampu berjalan untuk ke katil tolak ambulan. Dalam ambulan katil tu di rendahkan.Ma suruh tegakkan sebab Ma tak boleh bernafas. Sepanjang jalan Gia tak dapat mengawal perasaan, Gie tak nak menangis depan Ma, tapi Gie tak boleh, sampai tersedu-sedan. 

Sampai di Hospital Kajang, Ma terus dimasukkan ke ruang rawatan. Dalam hati tak putus doa agar Ma tak apa-apa. Gie telefon adik-adik beritau keadaan Ma, Faris dan Fairus kata nak datang melawat hari sabtu, Fadhli menangis tak keruan, maklumlah dia jauh dan risau kalau terjadi apa-apa. Kepada Faris Gie sempat pesan tolong belikan anggur manis yang Ma nak makan.

Lama menunggu, Gie pergi makan sebab belum menjamah apa-apa dari pagi. Jam dah pukul 11.30. Sedang makan dapat call dari Shukor beritau doktor cari (telefon Gie tinggalkan di rumah tengah caj sebab kehabisan bateri, Gie cuma bawa telefon Ma). Bila doktor keluar kali pertama beritau jantung Ma tak stabil, nadi Ma perlahan, Gie dah menangis macam orang gila minta doktor selamatkan Ma. Gie telefon adik-adik lagi beritau suruh datang cepat. Doktor keluar lagi dan beritau jantung Ma dah stabil tapi nadi Ma masih perlahan. Hati Gie agak lega. Lama lagi menunggu, Faris dan Fairus masih belum sampai. Fadhli pun dah bersiap nak datang. Doktor keluar sekali lagi, kali ni beritau Ma tak dapat diselamatkan, jantung dan nadi Ma dah perlahan sangat dan benarkan Gie masuk jumpa Ma.

Gie meluru masuk peluk dada Ma,ajar Ma mengucap, walaupun hati sangat menolak kenyataan doktor. Faris dan Shukor sampai dan kami sama-sama duduk di sisi Ma. Nurse-nurse yang ramai berkumpul tolong bacakan yasin, tolong tenangkan gie. Masa tu rasanya dunia jadi gelap, tapi dalam hati Gie tak putus harap.. bukan,bukan, Ma tak apa-apa, Ma akan sembuh, Ma bukan nak pergi!!!

Gie dapat lihat dada Ma berombak sangat perlahan.. kenapa Gie tak ingatpun yang Ma tak boleh dibaringkan, tapi doktor baringkan Ma semasa dirawat! Dan Gie rasa itulah punca kematian Ma, Ma sesak nafas! Tapi Ma tak dapat beritau sebab doktor dah bagi Ma ubat tidur!

Ma hembuskan nafas terakhir pukul 1.37 tengahari Khamis 29 hb Dis. 2011..Hospital Kajang.


Fairus sampai tapi tak sempat jumpa Ma di saat terakhir itu. Fadhli di Terengganu Gie tak dapat gambarkan hati dia, mungkin jika ada sayap dia sudah terbang dapatkan Ma. Dia lagi sangat terkilan, selama ni dia yang tiap-tiap minggu balik jumpa Ma, tapi ditakdirkan dia yang tak dapat jumpa Ma di saat terakhir Ma.


Bersambung

Aku.... Ibu



18 hb Julai 2013


Aku dan suami sibuk dengan urusan anakku Aishah Humairah masuk asrama harini. Sempatlah meninjau keadaan bilik, bilik air dan dapatlah sekilas pandang keadaan pelajarnya yang makan sambil berjalan konon tak sempat duduk kerana waktu rehat yang singkat ( cuma 20 minit ).


Note: Humairah, ni amaran keras dari ibu, jangan makan sambil berjalan, itu bukan sunnah nabi, jaga adabmu walau di mana awak berada.


Buat pertama kalinya, aku memeluk anakku itu, erat..(aku tak pernah lagi memeluknya bila dia sudah besar begitu). Air mata tak mampu ku tahan, sedihnya berpisah dengan anak. Tak pernah berpisah lama, cuma sesekali dia ke kem motivasi. Suamiku sedih juga kot.. Kami ni memang jenis tak pandai nak tunjukkan kasih-sayang, aku ni memang tak manjakan diorang. Anakku Aishah ni selalu aku leterkan, hari-hari kena marah, sebab dia ni tak berapa pandai nak urus diri, barang-barang dia, kain baju dia selalu bersepah. Tu yang buat aku bimbang, macamanalah nak hidup kat asrama tu, yang serba-serbi kena cepat, kena cekap, kena pandai urus masa..

Tapi aku kena optimis, yang penting doaku sebagai seorang ibu. Sebut pasal doa ni, aku rasa sebab doa aku juga anakku dapat asrama. Aku pernah cakap macam ni.." Ibu sumpah kau masuk asrama"

Tu sebenarnya sebab aku geram sangat tengok bilik dia bersepah, kain baju berterabur, dengan sampah, dengan buku.. Ha amik kau! Dah jadi rasa nyesal pulak.

Buat ibu-ibu di luar sana, berhati-hatilah dengan setiap perkataan kita terhadap anak-anak kita.Sebab percakapan kita terhadap mereka tu adalah doa. Doa ibu sangatlah mustajab, aku sangat yakin. Aku yakin sebab doa Ma lah aku dapat seorang suami yang baik..






Sambungan Peranan Ilmu Dalam Islam

Buat pencinta ilmu.

13. Dengan ilmu pengetahuan ada manusia mudah mendapat kejayaan di dunia dan akhirat.

14. Dengan ilmu pengetahuan manusia boleh mendapat kuasa.

Note: Ada point yang terpaksa ditinggalkan kerana isinya hampir sama.

Di antara sumber ilmu pengetahuan:

1. Melalui belajar dan membaca, membuat kajian.

2. Melalui pengalaman.

3. Bagi nabi dan rasul melalui wahyu.

4. Bagi orang yang bertaqwa melalui ilham.

Dipetik dari buku Buah Fikiran Ustaz Hj Ashaari Muhammad.

16 Jun 2013

Peranan Ilmu Dalam Islam

Dalam Islam menuntut ilmu itu adalah wajib, ada yang Fardhu ain, ada yang Fardhu kifayah. Manusia suka menuntut ilmu itu kerana memandangkan peranan ilmu itu di dalamkehidupan sangat memberi faedah-faedah dan kesan, antaranya:

1. Orang yang bodoh susah berhadapan dengan kehidupan yang bersimpang-siur dan pancarobanya, maka perlulah ilmu untuk berhadapan dengannya.

2. Dengan ilmu pengetahuan ada manusia boleh maju di dalam bidang ekonomi.

3. Dengan ilmu pengetahuan ada manusia boleh maju di dalam bidang pembangunan.

4. Dengan ilmu pengetahuan ada manusia boleh maju di dalam bidang perhubungan.

5. Dengan ilmu pengetahuan ada manusia boleh maju di dalam ketenteraan dan persenjataan.

6. Dengan ilmu pengetahuan ada manusia boleh maju di dalam berbagai bidang yang lain.

7. Dengan ilmu pengetahuan ada manusia boleh memberi makanan kepada otak dan jiwanya.

8. Dengan ilmu pengetahuan ada manusia boleh menjadi kawan di ketika apa dan suasana apa sekalipun.

9. Dengan ilmu pengetahuan ada manusia boleh membawa kehidupan yang mudah dan senang.

10. Dengan ilmu pengetahuan ada manusia boleh menguasai orang lain atau bangsa lain yang bodoh.

11. Dengan ilmu pengetahuan ada manusia dihormati dan disegani orang.

12. Dengan ilmu pengetahuan adamanusia mudah membuat kerja yang susah dan mencabar.

Bersambung
Dipetik dari buku Buah Fikiran Ustaz Hj Ashaari Muhammad.

Key Tee, aku pulang

Besok, 17 hb Jun, aku mengambil kesempatan untuk pulang menjenguk rumah Ma di Kuala Terengganu. Itupun kebetulan, sebab nak hantar anakku Aishah Humairah yang dapat masuk asrama di SESTER, itupun puas merengek dengan suami. Dia tak bagi sebenarnya sebab anak-anak dah mula sekolah balik, hai.. pontenglah dua hari..

Rindunya nak tengok rumah Ma, bilik Ma, dapur Ma, bilik air Ma, semualah yang berkait dengan Ma.

Kalau sempat nak jumpa adik jap, Fadhli..

 

Kenangan di waktu kecilku bersama Ma

Ma pandai menjahit.

Ma suka menjahit. Seingatku sebelum mahir, Ma suka jahit perca-perca kain disambung jadi macam cadar, cantik juga.


Bila abah kahwin dengan mak uda, Ma balik Terengganu selama 6 bulan. Membawa hati...dan sempat menambah ilmu jahitan, memang minat Ma. Peliknya aku ni dahlah anak perempuan tunggal  tapi lansung tak minat menjahit.


Selepas 6 bulan merawat hati Ma balik ke pangkuan abah di Pahang. Dah semakin mahir menjahit, dah semakin banyak tempahan Ma terima terutama dekat nak raya. Menjahit di waktu siang dan membuat kuih waktu malam. Aku tau Ma penat, tapi apalah sangat yang boleh kubuat untuk menolong Ma, aku baru berumur 10 tahun waktu tu..


Satu hari Ma dapat tempahan baju kemeja dari seorang guru, sedangkan Ma waktu tu belum pandai jahit kemeja. Dah orang beria minta tolong nak tak nak Ma terima juga. Aku ingat sangat macamana Ma berusaha nak buat juga, tengok majalah, gunting plan baju kat kertas minyak, try jahit, tak jadi buka balik, cantum semula. Lama juga Ma ambik masa nak siapkan, seingatku hampir 2 bulan. Terpaksa abaikan tempahan lain. Tapi akhirnya siap juga walau dah hampir berputus-asa..



13 Jun 2013

Rindu Ma 5

Ma, rindu dan kasih sayang Gie pada Ma tak kan lenyap sampai bila-bila..

Malam rabu 28 hb 11/ 2011
Ma nampak semakin uzur, lansung tak lalu makan, cuma mampu meneguk air, itupun cuma buat membasahi tekak yang kering. Tapi uzur macam mana pun Ma tetap tunaikan kewajiban terhadap Yang Maha Pencipta..
Tapi inilah yang sangat membuat Gie terkilan hingga saat ini, Gie tak pimpin Ma ke bilik air, hingga Ma jatuh...Ma, maafkan Gie, maafkan Gie, maafkan Gie..sepatutnya sebagai anak Gie peka, tolong mandikan Ma, sikatkan rambut, cuba membuatkan Ma jadi seselesa mungkin, tapi Gie tak buat semua tu,terkilannya Gie..tapi walau sedalam manapun kekesalan Gie, Ma tetap takkan kembali dan Gie takkan dapat berbakti kepada Ma lagi sampai bila-bila..

Ma tak dapat tidur dengan berbaring malam tu, bila baring Ma sesak nafas, Ma cuma bersandar atau mengiring ke kiri atau ke kanan, menelangkup ke bantal yang Gie letakkan. Ma tak dapat tidur sepanjang malam, mulut Ma tak henti-henti melafazkan kalimah Allah. Gie sapu minyak ke dada Ma, tapi Ma tetap sakit, batuk dan muntah, akhirnya menjelang hampir subuh barulah sakit dada Ma nampak berkurang. Ma minta Gie masakkan bubur nasi, Gie tau Ma lapar tapi Ma makan sikit saja (bubur nasi campur daging). Ma minta Gie masakkan bubur kosong saja, barulah Ma nampak sedikit berselera, "Sedap gok bubur gini".

Sepanjang siang Ma nampak agak tenang, tapi masih tak dapat berbaring. Ternampak-nampak lagi di mata Gie Ma tidur dengan kepala terlentok di bahu. Ma ada sebut nak makan anggur manis, nak minum air laici, Gie pesan kat Shukor, tapi dia terlupa.. Ma tanya bila Faris ( adik ) nak datang, Gie kata hari sabtu, Ma pesan minta Faris belikan, tapi kami tak sempat penuhi permintaan akhir Ma itu..hingga harini bila nampak anggur Gie sangat terkilan..

Bersambung..

12 Jun 2013

Kenangan waktu kecilku bersama Ma

Seingatku aku mula belajar mengaji sejak usiaku lima tahun. Ma ajar aku mengaji secara mengeja dan menghafal ayat-ayat lazim. Tapi biasalah mengaji dengan mak sendiri, kena marah sikit mulalah merajuk lari menyorok bawah rumah. Rumah kami rumah papan ada tiang atap zink di ruang tamu manakala bahagian dapur atap daun nipah (kot?.. dah tak ingat daun apa).


Ma ajar ramai anak-anak kampung lain mengaji, meriahnya rumah kami waktu itu, seronoknya aku bila ramai kawan datang, habis mengaji pakat main pondok-pondok. Bila dah besar sikit habis mengaji pergi mandi sungai, macam-macam lagilah.

Arwah datuk ku Cina masuk Islam, pelat cinanya sangatlah pekat. Seingatku dia sangat sayangkan aku. Dia selalu datang ke rumah kami. Masa Ma mula ajarku menghafal ayat-ayat lazim, aku suka sangat berbuai di buaian adikku sambil mulutku menghafal satu persatu ayat-ayat suci itu. Satu hari tu rupanya datukku ralit mendengar aku mengaji sambil berbuai begitu, bila aku berhenti nenekku suruh aku mengaji lagi sebab datukku nak dengar, terus aku turun dari buian dan lari menyorok....( datuk meninggal dunia sewaktu aku berusia 6 tahun ).

Kenangan waktu kecil bersama Ma

Belajar Buat Karipap

Ma pandai buat karipap. Ma buat untuk cari duit tambahan dapur ,jadi dapatlah ringankan beban abah serba sedikit (anak-anak abah dengan mak uda masih kecil ).







Malam-malam aku temankan Ma buat karipap di bawah suluhan pelita minyak tanah. Dah mengantuk sangat tak sedar masa bila aku tertidur depan Ma yang masih tekun menyiapkan karipapnya. Kadang-kadang Ma cerita kat aku bila dia dah mengantuk sangat tak sedar karipap tu sampai letak atas lantai, bila tersedar tengok karipap berterabur di lantai, ataupun habis sebiji karipap tu dikelim sekelilingnya..


Dek kerana selalu tengok Ma buat karipap aku yang baru darjah 4 masa tu dah pandai buat karipap sendiri untuk makan dengan adik-adik atau dengan kawan-kawan masa main pondok-pondok..

Rindu Ma 4

Petang 26 hb 11/ 2011
Gie ajak Shukor keluar cari klinik sebab bimbang tengok keadaan Ma yang masih tak berubah. Jenuh mencari jumpa satu klinik tapi doktor cuma ada lepas pukul 8.30 malam. Bimbang Shukor tak nak keluar lagi Gie ajak Ma tunggu sampai doktor datang. Bila doktor cakap Ma suspek gastrik, doktor bagi ubat tapi pesan kalau tak ok suruh bawa Ma jumpa pakar jantung, dalam hati Gie berharap apa yang doktor beritau tu tak benar sama sekali..

Tapi malamnya Ma ajak Gie ziarah anak saudara Ma yang meninggal setelah koma 2 minggu, kita sempat baca yasin sama-sama, itulah antara kenangan yang sangat tak dapat Gie lupakan..





Pagi 27 hb 11/ 2011

Ma masih nampak keberatan nak ikut Gie, Chik (adik Ma ) pun tak bagi Ma ikut (rupanya Chik kata dia dah nampak Ma pakai kain kafan, itu Chik bagitau selepas Ma tak ada). Tapi bila Gie kata nak bawa Ma berubat Ma akur. Chik menangis teresak-esak, Chik tak pernah macam tu walaupun sebelum ni Ma ada juga ikut Gie.

Dalam kereta Ma tak banyak cakap macam selalu, bila Ma sakit dada dalam perjalanan Humairah urut-urut dada Ma. Kita nak berhenti makan di Gambang, Kuantan tapi tak jadi sebab sesak sangat, akhirnya dari situ ikut jalan biasa dan berhenti makan di sebuah masjid. Nadhrah anak Gie tunggu Ma solat sebab Ma solat lambat dek masih sakit dada. Gie siapkan makan sebab Shukor dah betul-betul lapar, Gie tau Ma lapar sebab Ma makan agak banyak.


Dalam perjalanan kami suka pasang nasyid,kebetulan ada nasyid Bila Izrail Datang Memanggil nyanyian Akhil Hayy, Ma kata" Dok sedap orang. lain nyanyi, Al Mizan je sedap". Bila Gie kenang-kenang memang banyak tanda-tanda menunjukkan Ma nak pergi, tapi Gie tak dapat tangkap masa tu, ataupun hati Gie yang enggan fikirkan benda yang bukan-bukan. Dua minggu sebelum Ma pergi mata kiri Gie berdenyut kuat dan lama, Gie cuma fikir apalah benda  nak jadi ni sampai mata aku denyut kuat cam ni. Ma pesan kat adik-adik pergi jumpa abah minta maaf, macam mana pun dia ayah. Di masjid tu Ma tegur pokok yang selalu ditanam di tanah perkuburan 

Ma kata cantik sebab daun dia warna pink, sedangkan pokok itulah yang dipacakkan di pusara Ma semasa tanahnya masih basah..

Sampai di rumah Gie sakit dada Ma makin teruk. Perjalanan yang jauh menyebabkan Ma makin uzur. Ma, Gie minta maaf sangat-sangat..


Bersambung..

Antara Tujuan Hidup Kita

Mursyid ku hebat orangnya, mulia akhlaknya, hebat ibadahnya, gigih mengemudi bahtera perjuangannya menelusuri Jadual Allah walau hebat dan sangat berat ujian yang dihadapinya. Amat menekankan kami supaya dapat memiliki rasa hamba ( susah gila nak dapatkan rasa hamba ni, tau je diri ni hamba ). Rasa diri hamba dan tau diri hamba tak sama, rasa itu di hati, tau itu di akal.. Haa, susahkan..





Tapi susah macamana sekalipun aku kena usahakan juga untuk dapatkan rasa hamba itu untuk keselamatanku  di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Caranya bangun malam tahajud, taubat, merintih.. tapi nak bangun malam pukul 2, 3 pagi tu bukanlah senang juga, kadang-kadang boleh bangun tapi untuk tutup alarm jer, atau kadang-kadang tengah solat tak ingat baca apa, dah berapa rakaat (ngantukkk)..

" Sedara, sedara ni hamba Allah lah"

Tentu semua orang suka dan setuju kalau ada orang cakap macam ni kepadanya, sekalipun si penderhaka dan kaki maksiat.

" Sedara, sedara ni hamba duitlah,hamba binilah, hamba keretalah, hamba syaitanlah"

Agaknya lebam biji mata kita kalau cakap macam ni  kat orang sekalipun memang betul dia macam tu..

10 Jun 2013

Kenangan di waktu kecilku bersama Ma

Kuih Buah Melaka.



Gie teringat sampai ke harini cerita lucu Ma tentang kuih Buah Melaka ni. Ma buat kuih untuk jualan seperti karipap,pau bakar dan  salah satunya Buah Melaka ni.


Tapi dulu-dulu buah melaka ni besar, tak macam sekarang,comel-comel.. Nak jadi cerita seorang HA (macam doktorla) beli kuih ni terus masuk sebiji dalm mulut, ambik kau jenuh dia mengunyah kuih tu sampai nampak macam nak tercekik, Ma kata dia perati je HA tu makan sampai orang tu naik malu tak tau nak hala muka ke mana dalam keadaan terkial-kial mengunyah kuih tu.


Satu lagi Ma pernah tersilap buat kuih ni guna tepung beras. Ma pelik, " Bakpe ya dok timbo-timbo ni?"


Di Bazar Ramadhan ada sorang tu beli kuih ni dalam jumlah yang banyak. Tapi esoknya orang tu lalu di depan gerai Ma dengan muka masam....

Rindu Ma 3

Gie cemas sebenarnya melihat keadaan Ma. Lebih-lebih lagi bila Gie bersembang dengan orang sebelah, katanya mak dia pun sakit dada macam Ma. Dia kata kena check-up pakar takut terlambat, Ya Allah..

Ma tak larat nak berjalan lagi, dengan suara lemah Ma minta Gie carikan kerusi roda, tapi puas Gie pusing ke sana-sini, tanya pak guard dia kata kerusi roda dah habis. Dalam hati tak putus harap, tawassul tak berhenti moga dengan berkat Mursyid adalah kerusi roda untuk Ma. Tiba-tiba ada seorang pakcik pengsan, atendan bawakan kerusi roda terus pakciktu masuk ke bilik rawatan. Gie tengok tak ada siapa pedulikan kerusi roda tu terus Gie ambil untuk Ma, terimakasih A..


Terbayang-bayang lagi di mata Gie ma duduk di kerusi roda dalam keadaan lesu dan wajah yang layu, Gie duduk agak jauh melayan mata mengntuk dek lama menunggu Ma dapatkan rawatan. Tulah sebabnya Ma tak nak pergi. Bila terdengar nama Ma dipanggil Gie terus tolak laju kerusi roda Ma. Tapi di bilik rawatan pun lama kena tunggu, kesian Ma, rasa bersalah pulak sebab berkeras juga nak bawa Ma ke hospital mata tu. Lepas tu kena tunggu untuk ambil ubat pulak, lama juga. Gie tengok Ma macam segar sikit, Ma borak ramah dengan orang sebelah. Tapi Ma memang memang peramah orangnya, kaya dengan senyuman, suka tegur orang sampai kadang-kadang Gie ingat Ma kenal orang tu, tapi Ma kata Ma tak kenal pun. Senyum, tegur dan borak ramah. sebab tulah agaknya anak-anak murid Ma sangat sayangkan Ma ( Ma mengajar agama di surau).


Nak balik rumahpn kena tunggu lama. Shukor pergi jumpa abang dia yang kebetulan datang ziarah anak dia di Kuala Terengganu. Gie resah kesiankan Ma,solat zohor pun belum, dah hampir pukul 3 petang,tapi Gie tengok Ma sangat tenang. Sampai di rumah Ma sakit dada lagi, Ma duduk lama di kerusi gosok dada, agak lega Ma baru solat. Gie tengok dalam keadaan sakit macam mana sekali pun Ma tetap solat. Semasa Ma sihat Ma tak pernah tinggalkan tahajud dan dhuha, kecuali ada hal yang tak dapat dielakkan. Kalau terlambat buat dhuha Ma akan cemas dan kata "Eh,eh Ma dok semayang dhuha lagi".


Selesai zohor kami makan tengahari yang dah nak masuk waktu minum petang, pukul 4! Lauk beli di kantin hospital. Ma makan macam biasa, walaupun lauk tu Gie tau tak kena dengan selera Ma. Lepas makan Ma tidur keletihan..





Bersambung..

Anak-anakku permata hatiku

Anakku lima orang, 3 lelaki dan 2 perempuan. Anak sulung perempuan 16 tahun umurnya, adiknya lelaki 14 tahun, kata orang umur kritikal dalam menempuh alam remaja.




Makin terasa olehku sukarnya menghadapi kerenah anak-anak yang makin meningkat remaja ni. Seusai solat tak pernah kulupa panjatkan doa agar anak-anakku sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah.

Si kakak dan si adik ni memang selalu berkonfrantasi,kadang-kadang ribut satu rumah,berkejar-kejar, tu tak campur lagi dengan perang mulut, hmmm! tak padan dengan umur..Aku sebagai ibu ni kadang-kadang penat nak marah, lantaklah korang, adik-adik pakat tengok, ada juga tanya, "Ibu, kenapa kakak dengan abang suka bergaduh?"


Tu bab konfrantasi, belum masuk bab jeles-menjeles antara satu sama lain, aduhh! penatnya cuti sekolah ni, bila semuanya berkumpul, tapi bila mereka nak balik ke asrama masing-masing, mulalah ada jarum menyucuk-nyucuk pedih jauh di sudut hatiku, agaknya semua ibu di luar sana pun ada konflik macam aku kan..

9 Jun 2013

Rindu Ma 2

Sabtu, 14 Januari 2012

Ma pergi tinggalkan aku buat selama-lamanya pada 29hb Disember 2011 bersamaan 5 Safar 1433. Ya Allah , aku dah tak ada Ma .. Dulu jauh tapi aku tahu dia ada , tapi sekarang Ma memang dah tak ada. Aku masih enggan percaya , tapi itu kenyataan yang memang aku tak dapat tolak. Sekarang aku takkan dapat rasa tempeyek Ma , ikan masin Ma buat khusus untuk aku. Dan kalau balik Terengganu takkan ada lagi Ma tunggu kami dengan telekungnya. Ma .. Maafkan Gie sebab masa Ma sakit , Gie tak jaga Ma elok-elok (Ma meninggal dalam keadaan ditidurkan doktor). Ma , datanglah walau sekejap pun dalam mimpi Gie. Gie nak minta maaf atas semua salah Gie ke Ma. Rindu sangat. Datanglah Ma. Semalam Gie tunggu Ma, Ma tak datang pun. Ma tak nak maafkan Gie ke..? Semalam Gie datang ziarah Ma lagi. Ma dapat kawan baru. Ramai orang hantar kawan Ma semalam. Tapi masa Ma dikebumikan hari tu , tak ada orang pun sebab Ma dagang. Kalau balik Terengganu mesti ramai anak murid Ma datang ziarah Ma buat kali terakhir. Apapun , Gie yakin sangat ramai orang doakan Ma. Anak-anak murid Ma semua redha dan halalkan kalau Ma ada hutang apa-apa. Alhamdulillah. Mereka juga sangat sayangkan Ma , macam Gie sayang dan sentiasa rindukan Ma. Entah bila dapat bertemu .. Ma , kalau dikira mungkin dalam tempoh 42 tahun Gie tinggal bersama Ma , sebenarnya cuma 13 tahun Gie tinggal sebumbung dengan Ma. Anak-anak Ma yang lain pun macam tu jugak. Mungkin takdir Dia 

memisahkan kita semua supaya tak terpaut cinta kepada anak-anak , agar Ma gigih berjuang menyampaikan ilmu akhirat yang menjadi saham kekal Ma di sana. Ma , Gie akan rindu , sayang , ingat , kenang Ma sampai bila-bila. Ma je satu-satunya , tiada gantinya. Betapa kerinduan ini tak dapat Gie tuliskan dengan kata-kata. Gie rinduuu sangat ke Ma.

7hb Februari 2012, genap 40 hari Ma tinggalkan Gie. Kalau dulu Gie rasa macam dah lama sangat Ma pergi, tapi sekarang semua kenangan tu masih segar dan basah dalam ingatan Gie. Sampai saat ni 1.15 tengahari 9hb Februari, Gie masih menangis bila teringatkan Ma, Gie tak boleh lupakan Ma. Rindu sangat. Baru sekarang Gie rasa betapa Gie sayangkan Ma sangat-sangat. Kenapa baru sekarang? Kenapa setelah Ma pergi buat selama-lamanya? Ma , alangkah baiknya ini semua cuma mimpi dan bila Gie terbangun, Ma masih ada di sisi Gie. Ma masih tersenyum dan bercakap-cakap dengan Gie , Ma masih tergelak-gelak lucu bila ada sesuatu yang mencuit hati. Alangkah...


Pagi ini, Jumaat 2hb Mac 2012. Gie tertidur di kerusi panjang selepas anak pergi sekolah. Gie mimpikan Ma buat pertama kalinya. Jelas dan nyata , Ma sedang duduk bersila sambil menongkat sebelah tangan. Mula-mula Gie tak perasan Ma. Bila Gie lalu depan Ma , Ma dongak dan Gie nampak mata Ma bercahaya. Gie terus peluk bahu Ma dan minta maaf banyak-banyak. Tapi Ma tak cakap banyak. Ma kata "Takpe, Ma maaf belaka". Gie perhati muka Ma macam biasa, tapi bersih. Ma pakai serkup putih. Gie harap sangat bila Gie bangun, itu bukan mimpi. Gie nak tengok Ma ada depan Gie, tapi ...


Ma, Gie teringat hari Isnin 26hb Disember 2011. Gie bawa Ma check mata. Ma kata tak nak pergi, sebab Ma tak larat tunggu lama-lama. Tapi Gie nak bawa juga Ma pergi. Dalam kereta, Ma sakit dada lagi. Kami terus pusing-pusing cari klinik, tapi semua tutup sebab baru cuti krismas. Bila Ma kata dada dah kurang sakit, Gie terus bawa Ma ke hospital mata semula. Dari tingkat bawah ada lif, tapi nak ke ruang rawatan tu kena naik tangga sikit. Sampai atas Ma sakit dada lagi, Gie gosok dada Ma agaknya dalam 15 minit, muka Ma berkerut menahan sakit, bila agak lega barulah Ma berjalan semula.


Bersambung...


Kenangan bersama Ma di Tasik Kenyir, May 2011



















Anakku masuk asrama

Bila anakku Aishah Humairah dapat tawaran ke SBP SM Sains Kuala Terengganu (SESTER), terbayang di mataku reaksi Ma (jika dia masih ada) tentu dia akan cakap,

"E molek ah, buleh Gie balik Teganu sokmo"


Hati berbunga riang, ibarat terbang ke langit! Terbayang senyum lebar Ma, gelak tawanya, dan tentulah aku tak rasa keberatan untuk melepaskan anakku ke asrama. Tapi bila teringat Ma sudah tiada, rasanya macam berat nak lepaskan. Agaknya macam ni lah yang Ma rasa bila berpisah dengan anak-anak.



Aishah Humairah, 16 tahun















8 Jun 2013

Rindu Ma

Tak tahu macam mana nak ceritakan kerinduan ini. Air mata cepat sangat tumpah kalau teringatkan Ma. Segala kenangan bersama Ma tak mungkin dilupakan sampai bila-bila... Dulu masa Ma masih ada, rasa biasa je. Tapi sekarang barulah aku sedar sebenarnya aku sangat sayang pada Ma. Itulah manusia kan, masa ada tak dihargai. Dah tak ada, baru terasa kehilangan.



Ma, Allayarhamah Hjh Zubaidah



















Baju Muslimah

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign