Asam Garam Kehidupan: Aduih, seksanya....

Nuffnang

Pages

23 Jul 2013

Aduih, seksanya....

Sedar tak sedar dah nak masuk 15 Ramadhan. Alhamdulillah puasa tidak lagi menjadi masalah kepada anak-anak, kalau ada pun cuma merungut dahaga je, dah mandi, rehat depan tv oklah semula. Cuma masalah lain pulak timbul.

Susah nak makan sahur. Dikejut suruh bangun takde masalah, nak makan....muka masing-masing, cam cekodok sejuk!

Teringat cerita dongeng Ma tentang bulan, sebab diorang pun kecoh tengok bulan yang hampir mengambang penuh tu. Jadi nak bagi ceria sket masa sahur tadi aku ceritakan semula cerita dongeng Ma...

Pada zaman dahulu...(cewah..aku kan cikgu tadika, mesti pandai bercerita)...
" Ada seorang budak lelaki bernama Awang, Awang ni anak tunggal, dia ada bela seekor ayam jantan yang diberi nama Jalak. Jalak ni seekor ayam jantan yang besar, suara kokokan dia kuat, boleh dengar sampai ke bulan"

Sampai kat sini, mata masing-masing dah bulat, tangan pun dah makin laju menyuap nasi, aku sambung cerita...

" Satu hari Awang teringin nak makan pisang, dia pun minta kat mak dia, tapi mak dia tengah sibuk masak, suruh minta kat ayah, ayah pulak tengah sibuk menyirat jala"

" Menyirat jala tu apa bu?" Kena pulak terangkan maksud menyirat.

Sambung cerita... " Si ayah pulak suruh minta kat mak. Sekali lagi Awang minta pisang kat mak dia, mak suruh lagi minta kat ayah, macam tulah sampai beberapa kali. Awang rasa sedih sangat. Dia pun pergi ke reban si Jalak, mengadulah dia pada si Jalak akan kesedihannya tak dapat makan pisang. Tiba-tiba badan si Jalak menjadi semakin besar, Awang pun naik ke atas badan si Jalak. Si jalak pun membawa Awang terbang, makin tinggi, tinggi, tinggi dan akhirnya sampai ke bulan"

" Bila mak dia cari ajak makan malam tengok Awang dah tak ada, puaslah dicari Awang merata-rata, tak juga berjumpa. Tiba-tiba mereka terdengar suara kokokan si Jalak dan bila mereka mendongak ke bulan ternampaklah si Jalak sedang mengepak-ngepak dan si Awang di atasnya, menyesal tak sudahlah mak dan ayah si Awang"

" Tu cerita dongeng kan bu?"

" Ha'ah, saja nak bagi hilang mengantuk"

Aku dulu bila Ma cerita kisah ni aku percaya sangat, ( tak ingat masa tu umur berapa), tapi budak-budak sekarang ni cerdik, dah tahu mana satu dongeng, mana cerita betul.

                      

No comments:

Post a Comment

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign