Asam Garam Kehidupan: Catatan Sejarah Rasulullah

Nuffnang

Pages

8 Jul 2013

Catatan Sejarah Rasulullah

Sambungan Kisah Peperangan Tabuk.

Di dalam perjalanan tentera Islam melalui kawasan Hijr yang merupakan kota peninggalan kaum Nabi Soleh as. Rasulullah SAW dan tentera Islam berkhemah di luar kota Nabi Soleh as. Oleh kerana di situ tiada air, tentera Islam mengambil air dari perigi yang berada di dalam kota kaum nabi Soleh as. Mereka juga menggunakan air itu untuk membuat roti makanan mereka. Apabila Rasulullah SAW mengetahuinya, baginda memarahi mereka. Rasulullah SAW mengarahkan supaya semua air itu dibuang dan roti yang mereka buat menggunakan air itu diberi makan kepada unta-unta. Malah Rasulullah SAW memerintahkan mereka segera meninggalkan tempat itu kerana ia adalah penempatan kaum yang telah dimurkai Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

" Apabila kamu melalui tempat tinggal kaum yang zalim maka percepatkanlah langkah kamu dan palingkanlah wajah kamu dan menangislah supaya kamu tidak ditimpakan azab seperti mereka telah ditimpakan azab."

Tentera Islam telah meninggalkan tempa itu dalam keadaan mereka tiada bekalan air. Mereka mengadu kepada Rasulullah SAW , " Wahai Rasulullah, kita telah kehabisan air." Rasulullah SAW berdoa memohon air daripada Allah SWT ketika tiada lagi sumber air melainkan daripada Allah SWT. Para sahabat ra menceritakan, " Ketika itu langit kosong dari awan tetapi sebaik sahaja Rasulullah SAW berdoa, awan muncul dan berkumpul dan kemudian hujan turun." Dengan itu tentera Islam dapat mandi, minum dan menyimpan air untuk bekalan mereka. Setelah mereka meneruskan perjalanan barulah mereka sedar bahawa hujan hanya turun di kawasan mereka sahaja. Mereka mendapati kawasan lain semuanya kering. Demikianlah mukjizat Rasulullah SAW yang Allah perlihatkan kepada tentera Islam bahawa Allahlah pembela orang yang bertaqwa.





No comments:

Post a Comment

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign