Asam Garam Kehidupan: Hikmah di sebalik peristiwa

Nuffnang

Pages

30 Aug 2013

Hikmah di sebalik peristiwa

Setiap peristiwa yang berlaku di atas muka bumi ini ada hikmah atau rahsianya tersendiri. Kebanyakan orang hanya melihat pada peristiwa lahir semata-mata, pada mereka apa yang berlaku di hadapan mata itulah hakikatnya. Tetapi bagi orang yang mahu berfikir ia akan cuba mencungkil rahsia atau hikmah di sebalik setiap kejadian yang berlaku. Kenapa, mengapa, apa yang tersirat di sebaliknya.

Mari kita sama-sama cuba fahami dengan hati kita melalui kisah di bawah. Ada seorang lelaki yang mempunyai seorang isteri yang solehah. Di rumah mereka ada seorang hamba berkulit hitam yang sangat taat. Tiba-tiba pada suatu hari si hamba memegang tangan puannya dengan penuh nafsu. Tidak lama kemudian ia melepaskannya. Maka hairanlah wanita solehah itu, tetapi oleh kerana ia seorang wanita solehah yang berfikiran panjang, maka ia cuba mencungkil rahsia di sebalik peristiwa itu. Bila suaminya pulang dan membiarkan suaminya berehat seketika, dengan penuh berhikmah dia bertanya, " Wahai suamiku, apa yang kau lakukan di luar tadi?"

Si suami juga yang merasa bersalah terus menceritakan apa yang berlaku, " Tadi di luar saya ada memegang tangan seorang wanita dengan penuh bernafsu. Tetapi saya teringat kalaulah ada orang berbuat begitu kepada isteri saya bagaimana? Maka sayapun terus melepaskannya. Maka isteri yang solehah tadi terus menceritakan perbuatan si hamba tadi kepada suaminya, yang mana selama ini dia sangat taat.

Itulah hukum Tuhan. Setiap yang jahat akan dibalas jahat, dan setiap yang baik akan dibalas baik. Oleh itu jika harta kita dicuri orang, lihatlah asal-usul harta itu, apakah dari sumber halal atau pecah amanah? Kalau kita dipulaukan orang, mungkin kita pernah memulaukan orang. Boleh jadi anak yang hisap dadah, ayahnya dulu pernah terima rasuah dari pengedar dadah yang mana wang rasuah itu menjadi darah daging kepada anak isterinya.

Orang yang berbuat baik, Allah balas kepadanya kebaikan. Umar Abdul Aziz, khalifah Bani Umaiyah yanag sangat adil dalam pemerintahannya. Tindakan pertama bila ia menjadi khalifah ialah mengembalikan semua tanah keluarga diraja kepada rakyat, dan tanah-tanah yang diambil tanpa hak kepada yang empunya. Ia mengecilkan keperluan keluarganya, supaya lebih hampir kepada sederhana dan adil. Pernah suatu malam sedang dia duduk di dalam bilik di istana atas urusan kerja, tiba-tiba anaknya masuk untuk membincangkan hal keluarga. Khalifah Umar Abdul Aziz memadamkan lampu kerana tidak mahu menggunakan apa yang bukan milik kereka.

Hasilnya Allah beri kepada mereka nikmat yang sangat berharga, iaitu dicurahkan keamanan dan kedamaian dalam negeri sehingga serigala dapat berbaik-baik dengan kambing. Inilah contoh seorang pemimpin yang adil sehingga Allah memberikan rahmat kepada pemerintahannya.

Seorang anak yang berbakti kepada orang tuanya, InsyaAllah dia tidak akan disia-siakan oleh anaknya pula di hari tuanya. Suatu waktu dahulu, heboh di akhbar seorang anak meninggalkan ayahnya yang sudah uzur di stesen bas, ada yang menghantar ayahnya ke pusat jagaan orang tua dan terus tidak menziarahinya lagi, cuba kita fikirkan..jika anak itu dididik dengan iman dan kasih-sayang, agaknya berlakukah kejadian yang menampakkan kejamnya si anak tadi?

Marilah sama-sama kita renungkan dengan mata hati kita, mudah-mudahan Allah menurunkan rahmat dan kasih-sayangnya kepada kita di pagi jumaat yang penuh barakah ini. Amin.

No comments:

Post a Comment

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign