Asam Garam Kehidupan: Syawal terakhir

Nuffnang

Pages

6 Aug 2013

Syawal terakhir

Tahun 2009 aku sambut syawal di Terengganu. Rupanya itulah syawal terakhir ku bersama Ma.

Waktu tu Ma masih sihat. Banyak terima tempahan tempeyek. Sibuk dengan tempeyek, Ma jarang buat kuih raya. Selalunya tanggungjawab kamilah sebagai anak-anak membeli serba-sedikit persiapan seperti kuih-muih, sarung kusyen, langsir....Memang tak sabar nak balik raya dengan Ma waktu tu. Dah plan nak buat sekian-sekian...pasang langsir, lampu raya, tukar sarung kusyen....

Tapi tulah, mulut ni jahat sangat... aku beritau Ma yang anak-anak ku tak seronok raya di rumah Ma, sebab tak dapat jalan-jalan. Di Rembau ( rumah mak mentua ) ramai saudara-mara dan sepupu yang sebaya anak-anak, memanglah lebih meriah. Sebelah aku, mak-mak saudara ramai yang dah meninggal dan tinggal berjauhan, tiada sepupu sebaya ( anak Lie masih kecil ), jadi taklah berapa meriah.

Rupa-rupanya disebabkan keceluparan mulutku Ma sanggup 'heret' kami anak-beranak beraya keliling kampung, ke rumah jiran-jiran yang berdekatan. Melompat sakanlah anak-anakku, seronok dapat banyak duit raya. Kebetulan pulak masa tu musim buah rambutan dan duku, Ya Allah, sampai tak termakan, siap dibekalkan bawa balik.

Agak dah hampir zohor baru kami balik. Letihnya Ma, lepas zohor terus tertidur.

Selalunya raya kedua atau ketiga Ma dah mula puasa enam syawal. Ma kata, " Sayang bunyi bede ( bedil )." 

Bunyi bedil, itu salah satu ciri istimewa bila dapat berpuasa di Terengganu. Bila masuk waktu berbuka dan waktu imsak akan ditembakkan bedil yang boleh didengar ke seluruh Kuala Terengganu. Itulah yang Ma kata sayang bunyi 'bede' tu. Yang sebenarnya Ma sayangkan suasana Ramadhan tu, dengar bunyi bedil tu rasa macam masih berada di bulan Ramadhan.

Hampirnya Syawal macam ni membuatkan hatiku sayu terkenangkan Ma. Ma akan bersusah-payah cari daun kelapa, sanggup beli, sebab dia tahu aku suka sangat ketupat daun kelapa. Kuah kacang Ma, sedapnya..paling sedap dalam dunia.. tak mungkin dapat makan lagi ketupat dan kuah ketupat Ma yang istimewa tu...

Untungnya orang yang masih ada mak, masih dapat peluk mak, masih dapat tengok senyum mak, masih dapat makan masakan mak dan yang paling untung, masih dapat berbakti kepada mak. Satu yang ingin ku kongsikan...bahagiakanlah mak sementara dia masih ada di sisi kita....

2 comments:

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign