Asam Garam Kehidupan: September 2013

Nuffnang

Pages

30 Sept 2013

Akibat perkecilkan sahabat Nabi

Nama Abu Hurairah tidak asing lagi dalam dunia Islam sebagai Sahabat yang paling banyak menghafal hadis.

Beliau amat kasih kepada kucing. Beliau akan memungut kucing-kucing yang dijumpai di jalanan kerana tidak tergamak membiarkan membiarkan binatang tersebut terbiar tanpa jagaan lebih-lebih lagi kalau binatang itu dianiayai.

Suatu hari beliau menggendong salah seekor kucingnya dalam lengan bajunya. Rasulullah ternampak lalu bertanya, " Apa itu?"
" Kucing," jawab Abu Hurairah ringkas.
" Wahai Abu Hurairah ( bapa kucing )," Kata Rasulullah SAW, memberi gelaran kepadanya. Gelaran tersebut melekat padanya hingga akhir hayatnya pada tahun 57H dalam usia 78 tahun.

Di dalam satu majlis perbincangan yang diadakan beberapa  tahun selepas kematiannya nama Abu Hurairah disebut lagi. Ramai yang hadir dalam majlis itu termasuk seorang ulama Al Khadi Abu At Taib. Seorang pemuda bangun lantas bertanya satu masalh. Pemuda itu meminta diterangkan dalilnya sekali.

Salah seorang yang hadir dalam perbincangan tersebut menjawab masalah pemuda itu berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah ra..

Mendengar nama Abu Hurairah pemuda tersebut membantah dengan suara yang keras, " Hadis Abu Hurairah tidak diterima!" Dia mahukan dalil Hadis yang diriwayatkan oleh sahabat lain.Rupa-rupanya pemuda itu tidak menyukai Abu Hurairah...

Apakah yang berlaku seterusnya? Tunggu ye.. ( kalau ada yang tahu apa kata kita share dulu )

29 Sept 2013

Seks dalam Islam- Serampang dua mata.

Abu Sulaiman Ad Darani pernah berkata, " Isteri yang solehah itu tidak termasuk perkara dunia yang dimurkai, kerana ia membantu untuk menyelesaikan urusan anda di Akhirat. Di antara penyelesaiannya ialah menguruskan rumah tangga dan bersama-sama dalam menunaikan tuntutan nafsu syahwat."

Penyelesaian masalah nafsu syahwat hanya akan selesai melalui perkahwinan, kerana ia merupakan salah satu tujuan perkahwinan diadakan. Dalam masalah persetubuhan itu sendiri terdapat dua tujuan terpokok iaitu untuk menyambung zuriat dan memberi keseronokan lahir dan batin, sekaligus menambah keinginan untuk mengejar kesenangan di Syurga kelak.

Perlu diketahui bahawa persetubuhan bukan sekadar untuk melepaskan tuntutan nafsu sahaja tetapi ia juga bertujuan untuk mendapat pahala daripada Allah. Ini adalah kerana persetubuhan yang haram ( zina ) akan mendapatkan dosa dan kemurkaan Allah.

Sabda Rasulullah SAW : " Bahawa apabila seseorang lelaki itu bersetubuh dengan isterinya, ditulis baginya dengan persetubuhan itu pahala anak lelaki yang berperang fisabilillah lalu syahid."

Nafsu yang dibekalkan kepada manusia, perlu dikawal dengan iman dan taqwa. Kegagalan bererti mendorong seseorang itu ke lembah maksiat yang keji. Nafsu yang liar tidak mahu tunduk kepada pimpinan syariat perlu 'didera' dengan kesusahan dan latihan ibadah yang tertentu. Sebab itu Rasulullah bersabda:" Barang siapa yang tidak mampu berkahwin, hendaklah ia puasa. Kerana puasa itu akan melemahkan nafsu syahwat."

Dalam peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah melihat sekumpulan manusia memakan daging yang busuk dan mentah, sedangkan daging yang elok dan masak ada di tangan yang satu lagi. Baginda bertanya kepada Jibril dan dijawab, " Mereka mempunyai isteri atau suami yang halal bersih, tetapi mereka lebih suka lelaki atau perempuan yang jahat untuk memuaskan nafsu."

Selain dari nafsu yang sentiasa mengajak ke arah kejahatan, syaitan juga sentiasa berusah menyesatkan manusia. Mata pancing syaitan yang utama untuk merosakkan manusia ialah wanita. Kerana itulah Rasulullah menyuruh orang yang terpandang wanita lain agar dapat menggauli isterinya, supaya supaya dapat dihapuskan gangguan syaitan daripada hatinya. Sabda Baginda:

" Bahawa wanita, apabila berhadapan ( dengan lelaki ), nescaya ia berhadapan dengan bentuk syaitan. Apabila kamu melihat wanita yang menakjubkan ( jelita ), hendaklah mendatangi isterinya. Kerana bersama isterimu itu terdapat yang seumpama dengan wanita itu."



Maunah Allah

Semasa pemerintahan Saidina Umar Al Khattab, telah berlaku peperangan antara umat Islam dan kafir. Suatu ketika beliau menghantar satu pasukan tentera Islam ke Syam yang dipimpin oleh seorang jeneral bernama sariyah.

Di Syam, Sariyah dan tenteranya berkemah di suatu lembah seperti mana diarahkan oleh Saidina Umar. Mengikut ukuran strategi perang, kedudukan khemah mereka tidak sesuai kerana di lembah itu tidak ada air. Tambahan pula pasukan tentera musuh telah mengambil tempat di atas sebuah bukit di belakang tentera Islam. Hal ini memudahkan pihak musuh mematahkan kekuatan tentera Islam di situ bila-bila masa sahaja.

Sariyah dan tenteranya tidak menyedari kedudukan musuh di belakang mereka. Sariyah menyangka kedudukan itu sangat strategik kerana Saidina Umar yang mengarahkannya ke situ.

Situasi itu juga sebenarnya tidak disedari Saidina Umar kerana beliau sendiri tidak biasa dengan tempat itu. Lagi pula Madinah dan Syam jauh jaraknya iaitu lebih kurang 1,600 km.

Dengan kehendak Allah Saidina Umar telah nampak kedudukan tentera Islam yang dipimpin oleh Sariyah di dalam bahaya. Spontan beliau menjerit, " Awas Sariyah! musuh di bekang kamu! " Saidina Umar melihat entera musuh sedang bersiap sedia untuk menyerang tentera Islam dari belakang.

Aneh sungguh kerana Saidina Umar menjerit di Madinah tetapi dapat didengari oleh Sariyah yang ketika itu berada di Syam. Saidina Umar sedang berkhutbah di atas mimbar ketika itu. Tanpa lengah Sariyah selaku ketua tentera segera membetulkan kedudukan barisan perangnya. Maka selamatlah tentera Islam daripada diserang hendap dan akhirnya tentera Islam mendapat kemenangan.

Mengikut logik akal adalah mustahil Saidina Umar dapat memandang tenteranya yang lebih seribu kilometer tanpa bantuan teropong jauh dan meneriakkan amaran tanpa menggunakan peralatan canggih. 

Sebenarnya itulah maunah daripada Allah iaitu pertolongan dan bantuan yang sengaja Allah datangkan kerana ketaqwaan Saidina Umar dan Sariyah.

28 Sept 2013

Merapu ke Solat?

Perasan tak ada satu iklan 'melawat terengganu' ada seorang 'mad toleh' ( itu yang sepatutnya ) dok ucap perkataan ' begheh boh ( beres boss ), dia bukan faham pun apa yang dia cakap tu, dah orang suruh cakap dia cakap jelah.. first time dengar saya tergelak... kelakar dengar cara dia cakap.

Ha.. macam tulah kita, dah sedari kecik mak kita latih, suruh kita solat. Jadi amalan solat tu dah jadi darah daging kita. Tapi jujurlah ek..agak-agak dari kecik sampai sekarang kita solat ni, kita faham tak, ada penghayatan, ada rasa tak masa kita solat tu?  Ke kita sama je macam ' mad toleh ' tu, tak faham apa yang dia sendiri ucap. Ada tak kita usahakan untuk dapatkan rasa dan roh solat kita.. atau sekadar fizikal kita saja yang rukuk dan sujud ke hadrat Allah, tapi yang lebih parah kita sempat ke shopping kompleks, ke panggung wayang, sempat dating dengan pakwe ke, makwe ke, sempat gossip artis...tiba-tiba dah " Assalamualaikum warrahmatullah... " Eh! baru perasan dah selesai solat kita.

Agak-agak Allah terima tak solat kita?

Padanlah kita dok tahap tu jugak. Jiwa kita tak membangun. Padahal Allah dah janji sembahyang tu mencegah perbuatan keji dan mungkar...

Macam tu jugak masa berdoa, kita cuma 'membaca' doa, bukan berdoa...macam budak tadika yang dilatih baca sajak untuk persembahan akhir tahun, bacalah dia sajak tu penuh gaya..tapi bukan dia faham pun apa yang dia baca. Kalau berdoa sepatutnya penuh penghayatan, faham apa yang nak  kita minta dari Dia, memanglah Dia faham dan tau apa yang kita minta walau dalam apa bahasa sekali pun. Tapi tak beradab namanya. Sepatutnya adab seorang hamba terhadap Tuhannya, penuh tertib, sopan, malu... 

Marilah kita sama-sama usahakan supaya solat kita ada roh, supaya ibadah yang menjadi tiang agama ini tidak Allah tolak. Supaya solat kita benar-benar dapat membina peribadi kita, InsyaAllah..



27 Sept 2013

RASULULLAH YANG PEMURAH. Suka Menerima, Suka Membalas

* Rasulullah SAW berhasrat untuk membeli seekor unta daripada seorang sahabat tetapi sahabat menolak. Baginya unta itu elok dihadiahkan saja. Rasulullah tetap berkeras untuk mendapatkan unta tersebut dengan cara membeli. Setelah tawar-menawar, akhirnya si sahabat pun sanggup untuk menjual untanya. Apabila unta yang baru dibeli sudah berada di hadapan rumahnya, Baginda segera memanggil sahabat yang membawa unta itu. Berkata Rasulullah, " Ambillah unta ini untuk kamu." Rasulullah pun membayar harga unta itu.

* Seorang lelaki datang meminta sesuatu daripada Rasulullah. Baginda memberinya kambing yang banyak, sehingga memenuhi jalan di antara dua bukit. Lelaki itu kembali kepada kaumnya dan berseru, " Masuklah kamu semua ke dalam agama Islam, sesungguhnya Muhammad apabila memberi dia seperti orang yang tidak takut miskin."

* " Letakkan ia di masjid." Kata Rasulullah ketika menerima wang dari Bahrain. Rasulullah menunaikan sembahyang tanpa sempat menoleh kepada wang-wang itu. Selesai sembahyang, wang-wang itu pun dibahagi-bahagikan. Rasulullah bangun setelah wang itu tiada berbaki lagi.

* Suatu ketika Rasulullah SAW gagal memenuhi hajat seorang sahabat yang datang meminta sesuatu daripadanya. Kata Rasulullah, " Aku sedang tidak punya apa-apa. Tapi kamu pergilah ke pasar dan belilah keperluanmu itu atas namaku, nanti akan kubayar harganya."

* Rasulullah memakai baju yang dihadiahkan oleh seorang wanita. Suatu hari Baginda ditegur oleh seorang sahabat, " Wahai Rasulullah, alangkah cantiknya baju ini. Berikanlah kepadaku." Rasulullah pun memberikan baju itu kepada sahabat yang meminta.

* Baginda mengingatkan umatnya melalui sabdanya: " Orang yang pemurah dekat kepada Allah, dekat kepada manusia, dekat kepada syurga. Dan orang yang bakhil jauh daripada Allah, jauh daripada manusia, jauh dari syurga, dekat ke neraka."

* " Ibuku meminta daripada tuan sehelai gamis." Kata seorang budak kepada Rasulullah SAW. Rasulullah menjawab, " Pulanglah dulu, apabila gamis itu ada nanti, kamu datnglah lagi kemari." Budak itupun pulang. Tidak lama kemudian, budak itu datang lagi.
 " Ibuku meminta gamis yang tuan pakai ini," Kata budak itu. Rasulullah masuk ke biliknya dan menanggalkan gamis yang sedang tersarung di tubuhnya lalu memberikannya kepada budak itu.

* Ya Allah, izinkan daku mencintai kekasihMu ini, anugerahkanlah kepadaku rasa rindu yang tak putus-putus kepada Baginda dan rezekikan daku bertemunya di SyugaMu nanti.......*

Islam muliakan kita.

Pada suatu hari, Khalifah Umar Al Khattab, berangkat menuju ke negeri Syam. baginda menunggang seekor unta ditemani oleh seorang pembantunya.

Sebelum memulakan perjalanan, beliau berkata kepada pembantunya itu bahawa mereka berdua akan menunggang unta secara bergilir-gilir, masing-masing untuk satu jarak yang sama. Jika Khalifah berada di atas unta, pembantu itu akan berjalan mengiringinya. Dan begitulah sebaliknya jika tiba giliran pembantu itu di atas, maka Khalifah pula yang akan berjalan mengiringinya.

Sebagai seorang ketua negara, Khalifah telah disambut secara besar-besaran oleh pembesar-pembesar dan orang ramai yang menunggu di luar kota Syam dengan dipimpin oleh Gabenor Abu Ubaidah Al Jarrah.

Tidak lama kemudian, dari jauh nampaklah berbalam-balam mereka bergerak menghampiri kumpulan orang ramai yang sedang menunggu itu. Alangkah terperanjatnya para penyambut tetamu agung itu tatkala melihat khalifah berjalan kaki di tengah padang pasir yang panas terik itu sambil menarik tali unta, sedang pembantunya berada di atas. Rupa-rupaya sewaktu memasuki kota itu bertepatan dengan giliran Khalifah mengiringi unta dan pembantunya berada di atas....

Melihat kejadian yang tidak sepatutnya dan 'menjolok mata' itu, maka Gabenor Abu Ubaidah segera datang mendapatkan Khalifah Umar AL Khattab seraya berbisik kepada beliau, " Ya Amirul Mukminin! tidak baik pada pandangan rakyat melihat peristiwa begini."

" Kita telah dimuliakan oleh Allah SWT  dengan dikurniakan agama Islam serta melenyapkan perbezaan darjat di antara kita. Oleh kerana itu tidak perlulah kita hiraukan cakap-cakap orang ramai...." Kata Saidina Umar membetulkan pandangan Gabenornya. Begitulah seorang pemimpin hebat yang tinggi rasa hamba, sanggup hina di mata manusia, asal tidak di mata Penciptanya....

26 Sept 2013

Nak jejalan je..

Malam ni kemalasan tahap kronik melanda saya, penat 'bergelut' dengan anak-anak di tadika siang tadi masih bersisa... so just nak jenjalan ziarah kengkawan,  mesti ada yang menarik.. sambil boleh komen balas pada kengkawan yang selalu rajin memberi komen cam kakzakie, eye-nee, farah, kancil....: )

* setiap detik, kita makin jauh meninggalkan dunia dan setiap detik jugalah kita makin dekat menghampiri Akhirat *

Kenangan terakhir.....

Pagi tadi saya terima berita kepulangan abadi seorang kawan jauh.....

Terkejut.....tapi itulah hakikat sebuah kehidupan...

Saya sempat bertemu kawan ini dalam bulan 5 baru ni. Rumahnya di Kuang, Selangor. Sebenarnya saya ke sana kerana nak ziarah seorang kawan lain yang mengidap kanser usus.

Kalau saya ke Kuang ( amat jarang sebenarnya... batasan masa dan jarak yang jauh ) ke rumah kawan nilah saya tuju. Saya panggil dia cik Lah. Saya tak tau sakitnya yang lain selain tiroid. Cik Lah ni seorang yang sangat meraikan tetamu, kalau tahu saya nak datang dia akan siapkan makan tengahari walaupun dengan hidangan yang amat sederhana. Suaminya hanya seorang tukang rumah dan cik Lah pula cuma sesekali terima tempahan jahitan sebab katanya tak larat dek sakit tiroidnya itu. Sungguh saya amat terkenangkan sambal ikan dan tumis labu air yang dihidangkannya tempohari.....

Selepas raya puasa baru ni anak cik Lah kahwin, tapi saya tak dapat pergi sebab suami tengah tak sihat. Terkilan juga...

Saya tak bawa kamera masa ke Kuang tu, patut boleh snap dengan phone, pun terlupa juga...jadi tiadalah gambar kenangan saya bersama cik Lah...

Semoga suaminya tabah, Nadhrah ( anaknya ) juga tabah, dan semoga cik Lah tergolong bersama hamba-hambaNya yang muttaqin, semoga Allah membalas segala kebaikan cik Lah terhadap saya, Al Fatehah...

25 Sept 2013

Ahli Syurga Orang-orang bodoh?

Dalam sebuah hadis ada disebutkan bahawa:
         "Kebanyakan ahli-ahli syurga itu terdiri daripada orang-orang yang bodoh atau lemah akal."

Sebenarnya yang dimaksudkan bodoh di sini ialah bodoh dengan dunia, bodoh dengan maksiat, bodoh dengan kejahatan,  dan bodoh dengan kelalaian. Dia tidak pernah faham dengan dunia yang penuh maksiat. terseksa dia melihat orang menderhakai Tuhan, orang yang degil dan sombong dengan Tuhan.

* terbaliknya bodoh di sisi Tuhan *

24 Sept 2013

Di antara dua rasa...

*. Sesiapa yang merasakan dirinya baik, hakikatnya dia jahat kerana telah menganggap dirinya mulia dan telah melakukan dosa batin atau dosa hati, walaupun dalam hidupnya dia memang baik. Lagi-lagilah kalau dalam hidupnya dia jahat.

*. Sesiapa yang merasakan dirinya tidak berdosa dia sudah melakukan dosa, kerana merasakan diri tidak berdosa itu ialah satu dosa, walaupun dia tidak membuat dosa dalam hidupnya. Lagi-lagilah kalau dia memang melakukan dosa.

*. Sesiapa yang merasakan dirinya mulia hakikatnya dia hina dan telah melakukan dosa kerana merasakan dirinya mulia itu juga itu juga ialah satu dosa.

*. Sesiapa yang merasa dirinya ikhlas hakikatnya dia tidak ihklas. Merasa diri ikhlas itu satu sifat mazmumah.

Kita digalakkan mengikut sesetengah sifat Tuhan seperti pemurah, pemaaf, penyantun, pengasih, penyayang dan lain-lain tetapi kita ditegah merasakan diri kita pemurah, pemaaf, pengasih dan sebagainya. 

Sesiapa yang merasakan dirinya hina, adalah mulia di sisi Tuhan. Siapa yang merasakan dirinya berdosa, diampunkan dosanya oleh Tuhan. Siapa yang rasa bersalah, dimaafkan oleh Tuhan. Inilah dinamakan amalan lahir dan amalan hati. Perbuatan lahir mesti positif. Rasa di hati mesti negatif. Dalam amalan hati yang negatif itulah sebenarnya positif. Itulah akhlak namanya.

Sanjung jasa petani

Hari sudah tinggi benar. Mentari tegak di tengah-tengah dada langit, berseringai dengan sinarnya yang garang. Kehangatannya yang membahang seakan mahu membakar samudera padang pasir Arab yang luas terbentang, saujana mata memandang. 

Pasir-pasir hangat itu kemudiannya mencipta satu fatamorgana haba, menggelegak-legak bagaikan ada lopak air di tengah padang pasir. Musafir yang sedang nazak kehausan sering terpedaya oleh fatamorgana ini.

Zuheir, seorang petani dari desa Bahiyah, sebuah desa terpencil di tengah padang pasir Arab sedang mengenderai binatang tunggangannya merentasi padang pasir yang luas itu. Arah tujuannya ialah Madinah.

Terik mentari bagaikan tidak terasa olehnya. Kulit yang membalut tubuh kecilnya bagai sudah serasi dengan kepanasan cuaca daerahnya itu. Justeru itu Zuheir nampak begitu bersahaja duduk di atas belakang binatang tunggangannya sambil membonceng beberapa bekas hasil tanaman desanya. Hasil tanaman itu akan dijaja di Madinah.

Zuheir merasa amat bertuah kerana salah seorang di antara yang menjadi pelanggan tetapnya di Madinah ialah Rasulullah SAW. Setiap kali tiba di Madinah Zuheir tidak pernah lupa berkunjung ke rumah Rasulullah SAW. Kadang-kadang rmah Rasulullah lebih dahulu ditujunya.

Kebiasaannya Zuheir lebih suka menghadiahkan saja hasil tanamannya kepada Rasulullah SAW sebagai tanda ingatan dan cintanya. Rasulullah menerima pemberian itu dengan senang hati. Baginda menghadiahkan pula hasil usaha masyarakat Madinah kepada Zuheir.

Bertukar-tukar barang seperti itu telah menjalinkan ikatan persahabatan yang semakin erat di antara Rasullullah dan Zuheir. Baginda bangga memiliki umat seperti Zuheir. Meskipun hanya menjadi petani dan tunggal jauh di perdesaan tetepi kehidupannya tidak terbelenggu oleh suasana sekitarnya sahaja.

Kata Rasulullah, " Zuheir adalah desa kita dan kita adalah kotanya." Orang kota ada keistimewaannya tersendiri dan orang desa juga ada keistimewaannya tersendiri. Kerana itu Rasulullah tidak pernah membezakan antara dua kelompok umatnya itu. Kasih-sayang ditaburkan samarata.

Suatu hari ketika berjalan-jalan di pasar, Rasulullah menemui Zuheir sedang menjual barang-barangnya.Baginda mendekati Zheir secara senyap-senyap dan memeluknya dari belakang. Pelukan yang memeranjatkan itu membuatkan Zuheir hampir-hampir marah. Tetapi apabila menyedari yang memeluknya adalah Rasullullah, Zuheir begitu gembira dan tersenyum senang.

" Siapa hendak membeli budak ini?" tnya Rasulullah kepada orang ramai yang lalu-lalang di situ.

" Wahai Rasullulah, nanti engkau akan rugi kerana tubuhku yang kecil ini," sahut Zuheir berseloroh.

" Tetapi hargamu mahal di sisi Allah," kata Rasulullah, terhibur dengan pengakuan Zuheir yang melambangkan kejujuran dan kerendahan hatinya

22 Sept 2013

Cerita ringan je pagi ni...

Teringat pula cita-cita lucu anak-anak saya masa diorang kecik-kecik dulu. Agak sekitar umur 4 ke 6 tahun, yalah..baru pandai berfikir kot, bila teringat dan dok cerita-cerita dengan larling saya, dia pun ikut tersenyum ( larling saya memang camtu, kot lucu pun senyum je, jarang dengar dia gelak besar )

Ini kisah kakak, kalau ditanya bila besar nanti nak jadi apa? Dia mesti jawab bila besar nanti dia nak jual kerepek, aduihh..kot nak nak jadi pengusaha kilang kerepek tu boleh tahan lagi, ni nak jadi tukang jual kerepek...Bila cerita balik kat dia pasal cita-cita dia ni, dia pun tergelak besar. Kakak.. ibu rindu kat kakak, bila dengar lagu ' Drink of Love-  Hamood Al Khadri ' ibu rasa macam nak nangis je, kakak kan suka lagu ni.. 

Ini pulak kisah si abang, kalau ditanya besar nanti nak jadi apa, dia mesti jawab nak jadi orang bawak bas (driver bas la tu ), ditanya kenapa nak bawak bas, " Bawak bas best, boleh jalan jauh," Yang ni pun bikin saya garu kepala, kalau nak jadi toke bas ke, bolehla tahan sikit, ni nak bawak bas,

Anak yang ketiga dan keempat bila ditanya selalu jawab tak tau. Tapi Iman ( anak ketiga ) pun ada kisah lucunya, masa dia 4 tahun selalu bila tak tahu sesuatu benda tu, dia akan discribe benda tu ikut apa yang dia nampak, contohnya sotong yang dipotong bulat dia akan kata sotong tayar kereta, 'batu bersurat' yang dulu tu bulatan penyu di Kuala Terengganu tu dia akan kata batu iqra'.. bila dia cakap camtu abang dengan kakak mesti gelak kuat sambil riuh-rendah bercerita kat saya, bising bingit dalam kereta ( ni selalunya masa balik ke Terengganu )

Yang si Nadhrah atau sampai sekarang panggilan manjanya Ibi, juga ada cerita lucu dia. Masa tu dia baru masuk darjah satu. Suatu hari tu kakak dengan Ibi ni dok nyanyi-nyanyi balik lagu-lagu masa diorang tadika dulu, Sampai satu lagu tu, Ibi tak ingat rangkap, si kakak marahla.." Apalah Ibi ni, simpan kat mana, simpan kat kepala lutut ye," Si Ibi terkebil-kebil jawab, " Entah, Ibi lupa nak simpan" Muka dia tak ada reaksi apa-apa pun masa cakap camtu, saya yang dengar macam nak pecah perut tergelak.

Ha, ini kisah si bungsu. Semalam baru saya tanya dia, " Baby besar nanti nak jadi apa?" Spontan dia jawab, " Jadi robot" 
Saya dah tak tahan geli hati tanya lagi, " Kenapa nak jadi robot pulak?" Dia jawab, " Sebab takde orang nak jadi robot,"
Bila saya gelak dia marah pulak, anak oh anak..

Kepada kawan-kawan yang ada anak sekitar umur 4 tahun cubalah tanya apa cita-cita diorang, mesti kita tergelak dengar jawaban diorang sebab diorang punya cita-cita real sangat...




20 Sept 2013

Ambillah iktibar darinya...

Ambillah pengajaran masa yang lalu. Berapa ramai pemimpin yang sudah bersara, keseorangan diri. Tiada yang peduli, tiada yang datang, tiada yang menjenguk. Macam batang buruk yang tidak berharga! Mana orang kiri kanan? Mana kawan seperjuangan? Ke mana pergi yang memuji dan yang menyanjung?
Di mana sekarang yang dulunya mengaku setia? Mana orang yang bersorak-sorai mendengar pidato kita? Mana? Mana? Mana? Begitulah nasib pemimpin. Setakat beberapa waktu saja disanjung orang, selepas itu hilang kuasa dan jatuh terhina dilupa orang.

Ertinya waktu berkuasa dulu orang hormat kerana takutkan kuasa kita. Kerana itu tak usahlah berbangga-bangga, kalau kita boleh tundukkan manusia dengan kuasa dan senjata serta penjara, sedangkan hati mereka tidak dapat ditundukkan.

Kemampuan menundukkan manusia dengan kuasa dan senjata adalah perkara biasa yang berlaku di dalam sejarah, terutama para penguasa dan penjajah dunia. Hal ini bukanlah perkara luar biasa. Yang luar biasa itu ialah apabila orang ramai boleh tunduk kepada seseorang kerana wibawa dan akhlaknya, sekalipun tiada kuasa tentera atau senjata di tangannya.


Jatuh terhina, sewaktu berkuasa hidup menungkat langit......

Lihatlah kepada apa yang diperkatakan.

Sewaktu pulang dari Jarjan menuju kampung asalnya di Thusia, segerombolan perompak padang pasir telah menyerang rombongan yang disertai oleh Imam Al Ghazali. Mereka merampas semua harta yang ada pada rombonga itu. Antara yang dirampas ialah catatan ilmu yang dipelajari oleh Imam Al Ghazali dari gurunya di Jarjan, Imam Abu Nasir Al Ismaili. Imam Al Ghazali menemui ketua perompak itu dan meminta agar catitannya dipulangkan kerana beliau sangat menyayangi dan menghargainya.

Mendengar permintaan Imam Al Ghazali, ketua perompak itu bertanya secara menyindir, " Untuk apa catitan ini wahai anak muda, bukankah engkau telah memahami dan menghafal seluruh isi kandungannya?"

Namun begitu ketua perompak itu akhirnya memulangkan juga catitan tersebut kepada Imam Al Ghazali. Selepas peristiwa itu, Imam Al Ghazali menghafal seluruh isi catatannya itu dan apabila menghadiri majlis-majlis ilmu, beliau lebih mengutamakan pemahaman yang sungguh-sungguh dari sekadar mencatat. 

Beliau benar-benar terkesan dengan sindiran ketua perompak itu. Benarlah kata hukama, " Jangan engkau melihat kepada siapa yang berkata tetapi lihatlah kepada apa yang diperkatakan."


Tiada Makhluk yang abadi

Setiap hari kita melihat daun-daun kering berguguran, melayang-layang jatuh ke bumi. Manakala di atas pokok ada daun-daun yang sedang menguning, menunggu tiba gilirannya pula.

Begitu juga bunga-bunga yang indah dipandang mata, segar dan harum baunya. Akhirnya layu terkulai di tangkainya...lalu kelopak-kelopak kering itu juga berguguran ke bumi.

Juga kalau kita perhatikan di atas jalan raya...katak,tikus,ayam, kucing...dan bermacam spesies haiwan lagi yang mati digelek tayar-tayar kenderaan saban hari, saban waktu. Tidak kurang juga 'penghuni-penghuni' kereta itu sendiri yang menemui ajalnya akibat kemalangan, ada yang sekadar luka-luka ringan dan ada yang mengerikan seperti hancur lebur sehingga cebisan daging terpaksa dikutip dengan penyodok...

Di hospital-hospital...

Setiap hari berlaku kematian. Sebab-sebab kematian pula bermacam cara... ada yang disebabkan sakit, ada yang kerana kemalangan jalan raya, dan ada juga yang ajalnya direnggut orang, ditembak perompak...aduh...mengerikan...

Kita juga melihat berapa banyak bangunan lama yang kini sudah tiada lagi....
Di atasnya diganti dengan bangunan baru yang cantik dan tinggi menjulang langit. Penghuni-penghuni bangunan lama itu pun sudah tiada lagi. Di bangunan yang baru pula diisi oleh penghuni-penghuni baru.

Demikian juga, tidak kurang kawan lama atau kenalan lama yang kini sudah tiada lagi. Mereka pergi mendahului kita......

Kita juga...sedang menunggu giliran, yang kita sendiri tidak tahu entah bila datangnya. Entah hari ini, entahkan esok, entahkan seminit lagi...Tapi...

Kematian pasti berlaku, tempatnya kita tidak tahu, mungkin di rumah, di tempat kerja, di jalan raya, di shopping centre...namun mati itu pasti, cuma tempat, masa dan caranya saja kita tidak pasti. Tugas kita sebagai hamba...membuat persediaan secukupnya...

Rupa-rupanya....
Qiamat kecil-kecilan ini setiap hari berlaku, sementara menunggu tibanya qiamat besar yang juga tidak kita ketahui bila....

Mari bersama kita renungi...
Tiada makhluk yang abadi,  pasti mati.....



*
Orang mukmin yang cerdik itu sentisa mengingati dan bersedia untuknya....



19 Sept 2013

Manusia itu..........

Apabila kehilangan nikmat kesenangan
Barulah terasa indahnya kesenangan
Setelah berlaku waktu sibuk
Baru terasa indahnya waktu lapang
Manakala badan sakit
Baru terasa nikmatnya sihat
Setelah datang masa tua
Barulah terasa indahnya masa muda
Kelalaian kita... selalu merugikan kita
Kealpaan kita... banyak masa telah disia-siakan
Selalunya dunia dan nikmatnya banyak merosakkan kita
Bila iman lemah ujian kesusahan juga
menjadikan seseorang itu derhaka..

18 Sept 2013

Mengapa Sembahyang tidak berkesan

Jika di dalam sembahyang
tidak hadir
jiwa tidak hidup, fikiran tidak tahu
ini bukan sembahyang
ini bukan sembahan
Kalau fizikal sahaja yang bergerak
fikiran dan hati, jiwa tidak bergerak
itu senaman dan riadhah nanmanya
Allah tidak perlu kepada senaman dan riadhah
Barulah kita faham, orang datang ramai- ramai ke masjid
Bukan bersembahyang, tapi bersenam
Kerana itulah sembahyang tidak memberi kesan
di dalam hati
Dan di dalam kehidupan.

* sombongnya seorang hamba kerana tidak mahu meminta dari Tuhannya, padahal dia memang sangat perlu kepada Tuhannya *

17 Sept 2013

Ada kasta di Syurga?

Mengapa Allah jadikan golongan di Syurga berkasta-kasta? Ada yang ditempatkan dalam syurga yang paling indah dan ada yang ditempatkan di tempat yang sederhana atau paling rendah?

Sebagaimana yang kita ketahui, Syurga merupakan tempat rehat orang mukmin yang bertaqwa. Oleh kerana nilai iman dan taqwa tidak sama antara satu sama lain, maka syurga itu dijadikan bertingkat-tingkat sesuai dengan darjat masing-masing. Semakin tinggi iman dan taqwa seseorang itu semakin tinggilah darjatnya dalam syurga.

Tingkat-tingkat syurga itu berbeza-beza keindahan, kenikmatan dan kenyamanan supaya manusia yang istimewa , yang tinggi keimanannya, ketaqwaannya serta sungguh-sungguh beramal dan berjuang, diberi nikmat dan tempat rehat yang istimewa. Itulah janji Allah buat mereka yang bersungguh-sungguh. Firman Allah yang bermaksud:

" Perhatikanlah bagaimana Kami melebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain dan pasti kehidupan Akhirat lebih tinggi tingkatannya dan lebih besar keutamaannya "

Syurga yang tertinggi ialah Syurga Firdaus diikuti oleh Syurga Adnin,Syurga Naim, Syurga Makwa, Syurga Darussalam, Syurga Khuldi, Syurga Darul Jalal dan Syurga Darul Qarar. Syurga Firdaus dibuat daripada emas yang merah dan berkilau-kilauan. Syurga Adnin dibuat dari perak putih, Syurga Makwa daripada zamrud hijau, Syurga Darussalam daripada yaqut yang merah, Syurga Khuldi daripada marjan yang merah dan kuning, Syurga Darul Jalal daripada permata yang putih dan syurga Darul Qarar dari kasturi yang sangat harum.

Syurga Firdaus atau Jannatul Firdaus adalah paling indah dan penuh dengan kelazatan yang tidak terkata. Ia menjadi punca aliran sungai-sungai di syurga. Ia merupakan taman syurga yang terindah yang Allah jadikan khusus untuk para Rasul, para nabi, para shuhada' dan para dermawan.

Kita juga patut bercita-cita untuk mendapat syurga Firdaus yang indah dan istimewa itu. Tidak salah kita mengharap, malah Rasulullah sendiri suruh kita berdoa dengan sabdanya yang bermaksud:

" Sesungguhnya di syurga terdapat 100 tingkat yang telah disediakan oleh Allah untuk orang-orang yang berjuang pada jalannya. Tiap-tiap dua tingkat jaraknya ( antara keduanya ) seperti langit dan bumi. Maka kalau kalian memohon kepada Allah maka mohonlah Syurga Firdaus. Sebab syurga tersebut adalah syurga yang paling istimewa dan paling tinggi. Di atas syurga itu terdapat arasy Allah dan dari situ sungai-sungai syurga mengalir."
                                                      Riwayat Bukhari.


16 Sept 2013

MANUSIA AGUNG YANG SERIUS DENGAN TUHANNYA

Pernah Saidina Umar Al Khattab ra berziarah ke rumah Baginda, merasa terharu kerana menyaksikan seorang kekasih Allah sedang berbaring di atas tikar yang merupakan susunan pelepah-pelepah kurma. Nampak bekas jalur tikar di tubuh Baginda yang mulia.

Di dalam rumah Baginda yang penuh barokah itu, tidak ternampak peralatan lambang kemewahan, hanya ada almari yang berisi segantang gandum kasar. Maka menangislah Saidina Umar dihadapan Baginda SAW, lalu Baginda bertanya," Apa yang menyebabkan engkau menangis wahai Umar?"

" Aku melihar para Kaisar dan Kisra serta raja-raja lain tidur di atas katil mewah beralaskan sutera, tetapi di sini aku melihat engkau tidur di atas tikar seperti ini,"

" Wahai Umar, tidakkah engkau sependapat denganku, kita lebih memilih kebahagiaan Akhirat sedang mereka memilih dunia," begitulah jawaban seorang hamba pilihan Tuhan. Luluhlah hati Saidina Umar mendengar jawaban daripada Rasulullah SAW itu.

Begitulah gambaran peribadi seorang yang sangat mencintai dan takut dengan Tuhan. Bukan hanya dalam keadaan susah beliau mengekalkan rasa kehambaannya tetapi dalam keadaan mewah dan kedudukan yang tinggi sekalipun Rasulullah tetap merasakan kehambaannya pada Tuhan. Lantaran itulah Baginda memilih kemiskinan daripada kemewahan.

Inilah lambang keseriusan hatinya dengan Tuhan. Begitu serius memperhambakan diri pada Tuhan. Serius dalam mencari cinta dan redha Tuhan.

Bagaimana sikap orang serius dengan Tuhan? Antaranya ialah dalam keadaan apapun, hati sentiasa cemas dan bimbang terhadap Tuhan. Kebaikan-kebaikan yang telah dilakukan dirasakan belum berbuat. Kalau berjaya dalam sesuatu tugas atau kerja, dirasakan bukan dari dia, tapi milik Tuhannya.

Di dalam diri tanamkan rasa kurang, rasa lemah, rasa tidak mampu, sehingga dari situ lahirlah benih-benih cinta terhadap Tuhan. Cinta Tuhan itu sangat diperlukan dalam kehidupan seorang insan.

15 Sept 2013

KHALIFAH UMAR cium kepalanya...

Diperhatikan tawanan perang di hadapannya dari atas ke bawah. Dia tahu keunggulan dan sifat-sifat tentera muslimin. Mereka mempunyai iman yang kukuh serta berani berhadapan dengan maut. Mati di medan jihad menjadi kecintaan. Justeru itu tentera muslimin yang tertawan tidak terus dibunuh sebaliknya dia mahu menguji sejauh mana ketahanan iman seorang muslim.

Abdullah bin Huzaifah salah seorang yang tertawan sewaktu memerangi tentera Rom. 
" Saya hendak menawarkan sesuatu kepada engkau," kata kaisar.
" Apa yang anda mahu tawarkan?"
" Kamu boleh bebas tapi dengan satu syarat....masuk agama Nasrani. Di samping itu akan kuanugerahkan hadaig yang besar buatmu," Abdullah menarik nafas dalam-dalm.
" Lebih baik mati seribu kali daripada menerima tawaran itu,"

Kaisar terus mengumpan, " Kau seorang yang pintar, kalau engkau terima tawaranku engkau akan dilantik menjadi pembesar kerajaan,"

Abdullah hanya tersenyum mendengar tawaran itu. Keimanan di dalam dadanya lebih berharga daripada seluruh isi dunia.
" Demi Allah! Meskipun seluruh kerajaan anda ditambah dengan kemua kerajaan Arab diserahkan kepada saya, namun... untuk keluar dari agama Muhammad adalah tidak mungkin!"
" Kalau begitu engkau akan kubunuh!"
"Silkakan, lakukanlah apa yang anda fikirkan patut," jawab Abdullah tanpa rasa gentar. Abdullah lalu diikat di tiang salib. Tukang panah diarahkan memanah lengan Abdullah.
" Mahu kau masuk agama Nasrani?"
" Tidak!!"
" Panah kakinya!" perintah kaisar.
" Bagaimana sekarang?"
Abdullah tetap menolak. Seksaan panah dihentikan. Abdullah diturunkan dari tiang salib. Kaisar memerintahkan kepada pengawalnya agar menyediakan kuali besar yang berisi minyak. Setelah minyak menggelegak, dua orang tentera muslimin yang tertawan dihadap kepadanya. Salah seorang dari tawanan itu dilemparkan ke dalam kuali. Daging orang itu hancur lebur dan mengerikan.
Kaisar dengan angkuh memandang ke arah Abdullah. 
" Nah... sekarang apa bicaramu?"
" Aku tidak sekali-kali menukar agama ku!" tegas Abdullah. Kaisar sudah putus asa.
" Campakkan dia ke dalam kuali!"

Sewaktu pengawal-pengawalnya mengangkat Abdullah untuk dihumbankan ke dalam kuali, mereka dapati Abdullah menangis. Lalu mereka mengadu kepada Kaisar.
" Abdullah menangis tuanku,"

Kaisar tersenyum kerana merasakan umpannya hampir berjaya. Abdullah dilepaskan untuk mengadapnya.
" Mahukah kau memeluk agama Nasrani?"

Abdullah tetap menolak. " Celaka engkau, tetapi kenapa engkau menangis?"
" Aku menangis kerana keinginanku tidak terkabul. Aku mahu mati di medan jihad. Tapi ternyata aku akan mati konyol dalam kuali ini,"
Kaisar terdiam seketika, kemudian bersuara kembali, " Mahukah engkau mencium kepalaku?" dia bertanya angkuh.

Abdullah diam.
"Kalau engkau cium kepalaku, engkau akan kubebaskan,"
Mendengar perkataan bebas, Abdullah mengangkat kepalanya.

" Bebas bersama tawanan Islam yang lain?" Abdullah inginkan kepastian.
" Ya, bebas bersama yang lain," 
Abdullah berfikir," Aku harus mencium kepala musuh Allah... tetapi aku dan kawan-kawanku akan dibebaskan, ah!.... tak rugi aku mencium kepalanya. Allah lebih tahu," bisik hati kecilnya. Abdullah menghampiri kaisar lalu mencium kepalanya. Selepas itu kaisar menunaikan janjinya, seluruh tawanan mislimin dibebaskan.

Abdullah kembali menemui Khalifah Umar Al Khattab dan menceritakan apa yang berlaku. Khalifah sangat gembira. Khalifah memandang ke arah seluruh tentera muslimin yang telah dibebaskan itu.

" Sepatutnya setiap orang yang muslimin mencium kepala Abdullah bin Huzaifah... nah! aku yang mulai," Khalifah Umar berdiri dan mencium kepala Abdullah.

14 Sept 2013

MADAH HATI

*Menyimpan harta
merosakkan hati,
 Menyimpan ilmu
Menghidupkan hati *

AYAT PENDINDING ZINA

Seorang ustaz menziarahi rakannya yang baru menimang cahaya mata. Ia mengucapkan tahniah kepada rakannya dan meminta untuk memangku anak itu. Mulutnya trekumat-kamit membaca sesuatu dan kemudian menghembus di sekeliling bayi tersebut. Dia berbuat demikian sebanyak tujuh kali.

Ayah si bayi kehairanan lalu bertanya, " Apa yang ustaz baca tu?"

Ustaz lalu menjawab, " Saya membaca ayat pendinding zina . Supaya kelak anak ini tidak berzina atau terpelihara daripada zina dengan izin Allah."

Islam mengajar penganutnya supaya apabila menziarahi bayi yang baru lahir, buatlah sesuatu untuk mendidik anak itu. Di antaranya dengan membaca ayat pagar zina untuknya supaya kelak ia menjadi hamba Allah yang baik dan terpelihara daripada zina dan kemurkaan Allah.

Selain itu kita boleh mengamalkan ayat ini untuk anak kita sendiri. Bacalah sebanyak tiga kali dan dihembuskan ke telinganya sebelum tidur. Ibubapa yang ingin anaknya menjadi anak yang soleh dan solehah eloklah melakukannya sebagai salah satu usaha ikhtiar.

Apakah ayat pendinding zina itu? InsyaAllah rasanya semua orang tahu surah ini- surah Al-Qadr. Ianya dinamakan Al- Qadr kerana ia turun di malam Lailatul Qadar. Ayat ini turun di malam dan bulan yang mulia. Tidak hairanlah Allah memberikan keistimewaan kepada yang mengamalkannya. Mari kita lihat pengertian ayat ini:

" Sesungguhnya Kami telah menurunkannya ( Al Quran ) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah Malam Kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malm itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu ( penuh ) kesejahteraan sehingga terbit fajar. "

Sebenarnya banyak lagi kemuliaan dan kelebihan mengamalkan surah ini.  Rasulullah perah mengatakan bahawa sesiapa yang membaca surah ini selepas berwudhuk ia akan mendapat ketenangan dan membantu untuk khusyuk dalam solat.

Oleh kerana ayat ini turun di malam dan bulan yang penuh berkat maka sesiapa yang mengamalkannya dengan penuh yakin dan menyatakan hajatnya pada Allah nescaya akan dimakbulkan.

Semoga kita sama-sama mendapat manfaat dari surah ini dan menjadi pendinding daripada zina dan kemurkaan Allah. Amin.

ROH BOLEH BERI KEKUATAN

Orang yang rohnya kuat walaupun jasadnya sakit, dia tidak akan terasa lemah. Tamsilannya jika kita sedang dalam keadaan kelaparan dan terserempak pula dengan harimau. Sudah tentu kita rasa kecut perut, takut teramat sangat hingga hilang rasa lapar tadi. Ketakutan pada haiwan tadi telah menguasai diri kita sepenuhnya, begitulah roh yang 'melihat' Tuhan takutnya seperti ketakutan melihat harimau.

Bagi orang yang rohnya tidak kuat, bila lapar saja dia sudah tidak larat, sudah mula pening kepala dan sudah tidak tentu arah. Dia mesti makan juga barulah boleh bekerja, berwirid atau berzikir. Begitulah yang terjadi pada generasi muda hari ini, roh sudah tidak lagi memberi kekuatan pada diri sendiri.

13 Sept 2013

DALAM MARAH PUN ADA KASIH SAYANG

Marilah kita sama-sama renungi kasih-sayang Tuhan kepada kita hamba-hambaNya yang tidak ada tandingannya. Manusia ketika marah, dia akan menunjukkan kemarahannya dengan memukul, mengamuk terhadap orang yang dimarahinya. Hasil daripada sifat marahnya, kesakitan yang kita perolehi. Tapi cuba kita lihat pula kalau Tuhan yang marah. Kalaulah Tuhan marah kepada seseorang lalu ditimpakan kemalangan atau apa saja musibah terjadi padanya. Apabila ini terjadi, sudah tentulah kesakitan dan kesulitan akan dirasakan oleh sihamba tadi.

Tetapi selepas itu Tuhan pun berkata;

"Wahai manusia, di atas kesakitan  dan keperitan yang engkau rasa ini, ambillah pahala dariKu ini 
Jadi rupa-rupanya kemarahan Tuhan itu disertai dengan kasih-sayang. Maha Suci Tuhan dan Maha Hebatnya Tuhan, dalam marah pun ada kasih-sayang.

Di Akhirat nanti semua amalan yang dilakukan ketika di dunia akan diperlihatkan. Di waktu itu ada ganjaran yang kita semdiri tidak mengetahui di atas amalan apakah yang diberi. Dan kita pun bertanya pada Tuhan.

" Wahai Tuhan, atas amalan apakah yang Engkau anugerahkan ganjaran ini?"

Maka Tuhan pun akan memberitahu:

" Ingatkah kamu sewaktu di dunia dulu, kamu pernah ditimpa kemalangan. Di atas kesakitan itulah Aku memberi ganjaran pahala ini "

Kemudian di atas ganjaran itu, ada satu ganjaran yang paling besar yang kita sendiri tidak tahu di atas amalan apakah ganjaran itu diberi. Maka kita akan bertanya pada Tuhan dan Tuhan akan menjawab:

" Wahai hambaKu, apakah kamu ingat sewaktu di dunia dahulu kamu pernah berdoa, tapi doa kamu itu aku tidak makbulkan, maka di sinilah aku sediakan ganjaran yang besar "

Jadi janganlah hendaknya kita mempersoalkan lagi kenapa doa-doa kita tidak dimakbulkan, kerana sebaliknya ada ganjaran besar menanti kita di Akhirat.

Lihatlah betapa kasihnya Tuhan kepada kita. Dalam marahNya pun ada kasih-sayang. Sebab Tuhan marah bukan kerana nafsu. Maha Suci Tuhan dari bernafsu. MarahNya itu merupakan suatu proses dalam mengingatkan hamba-hambaNya yang terleka.

Kalaulah dalam marahpun ada kasih-sayang Tuhan, sudah tentulah di waktu tidak marah, kasih-sayangNya sangat dapat dirasakan. Buktinya betapa kasih-sayang Tuhan bukan sekadar memberi apa-apa sahaja yang kita minta, bahkan barapa banyak lagi yang kita tidak pernah minta tapi diberikan Tuhan. Pandangan mata hati sudah tentu dapat merasai betapa kasih-sayang Tuhan itu mengatasi segalanya.

MADAH HATI

*
Untuk hati kita tenang
Jangan hasad dengki dengan orang
Jangan berdendam dengan orang
Orang buat jahat dengan kita lupakan saja
dan doakan mereka
Nanti hati rasa lapang *
                  
                        
Baju Muslimah

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign