Asam Garam Kehidupan: Ibu yang mengandungkan tuannya

Nuffnang

Pages

8 Sep 2013

Ibu yang mengandungkan tuannya

Ini kisah benar yang berlaku di sekitar akhir tahun 80-an yang saya petik dari sebuah majala lama. Moga kisah ini memberi iktibar kepada kita semua.

Seorang kawan saya bertemu dengan dua orang tua suami isteri di suatu pagi di stesen Keretapai Kuala Lumpur. Mereka berumur dalam lingkungan enam puluhan, sedang dalam keadaan terpinga-pinga, nampaknya seeperti berada dalam masalah yang tidak dapat diselesaikan.. Manakala isterinya sedang menangis tersedu-sedan kesedihan. Setelah memberi salam kepada mereka, kawan saya pun mula bertanya. Lama dia menunggu jawaban daripada mereka. Kemudian barulah terdengar jawaban dengan suara yang serak munggkin kerana lama menangis dari makcik itu.
Beliau telah menceritakan kisahnya dari awal  sehinggalah bagaimana mereka berdua boleh terdampar di situ...

Makcik dan suaminya berasal dari pada sebelah utara tanahair. Mereka mempunyai sebuah rumah tua yang sudah uzur, tunggu masa sahaja untuk roboh. Rumahnya terletak di pedalaman dan terpencil dari rumah-rumah yang lain. Pendekata jika berlaku sesuatu kecemasan memang susah untuk mencari bantuan, lebih-lebih lagi jika sebelah malam. Keadaan malam yang gelap pekat kerana tiada bekalan elektrik. Rumah mereka juga tiada bekalan air bersih, cuma mengharap sumber air dari perigi sahaja.

Perhubungan ke kampung mereka adalah sukar. Sampai di perhentian bas yang terakhir, terpaksa pula naik teksi sapu sejauh lebih kurang 6 km (jalan tanah merah) . Dari situ terpaksa pula naik motosikal sapu ke rumahnya lebih kurang 2 km lagi. Kalau tiada motosikal terpaksalah mereka berjalan kaki  melalui jalan hutan yang berbukit-bukit.

Mereka hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Badan yang telah tua dan uzur membuatkan mereka tidak mampu bekerja kuat lagi. Pakcik tadi bekerja sebagi penoreh getah di kawasan rumahnya sendiri. Pokok getah pusaka yang telah tua, susu pun dah tak banyak.. Sepatutnya telah lama ditebang dan ditanam semula, tetapi oleh kerana tiada modal, maka tidaklah mampu mereka berbuat demikian.. Di samping itu mereka menternak ayam dan berkebun sayur sekadar untuk makan sendiri. Itupun ayamnya selalu hilang dimakan musang atau ular sawa kerana rumah mereka berhampiran dengan hutan.

Hasil perkongsian hidup mereka Allah kurniakan cuma seorang anak perempuan. Walaupun begitu mereka tetap bersyukur. Maka dijaga, diberi kasih sayang yang cukup dan dimanjai sungguh-sungguh buah hati pengarang jantung mereka itu. Mereka sanggup bergolok bergadai demi memberi pelajaran, agar anak mereka itu berjaya dalam hidup dan membalas jasa mereka suatu hari nanti.

Sebelum mereka tinggal di rumah pusaka iaitu kediaman mereka sekarang, kehidupan mereka agak senang, ada rumah dan sebidang tanah yang mana itulah satu-satunya harta keounyaan pakcik itu. Tetapi bila anak mereka memerlukan biaya pembelajaran yang tinggi kerana berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti seterusnya ke luar negeri, pakcik tadi terpaksa menjual tanahnya sedikit demi sedikit demi membiayai pelajaran anak kesayangan mereka itu. Begitulah tingginya harapan mereka dan besarnya pengorbanan mereka terhadap anak kesayangan sehingga akhirnya habislah tanah dan rumah mereka dijual kesemuanya. Maka semenjak itu si ayah dan siibu terpaksa pindah ke rumah pusaka yang ada sekarang.

Hasil kegigihan si anak pula, membuatkan dia telah berjaya dalam pelajarannya di bidang akauntan di United Kingdom selama tiga tahun dengan mendapat keputusan yang amat cemerlang. Sekembalinya dari luar negeri beliau telah ditawarkan beliau telah ditawarkan bekerja oleh beberapa syarikat swasta dengan gaji yang lumayan, beliau memilih sebuah syarikat Eropah. Sesudah beberapa tahun bekerja dengan prestasi kerja yang cemerlang beliau dinaikkan pangkat sebagai senior akauntan dengan gaji dan kemudahan yang lebih lumayan.

Pada peringkat awal si anak selalu balik ke kampung sekurang-kurang sebulan sekali. Setelah dinaikan pangkat beliau telah berkahwin dengan salah seorang pegawai di tempat kerjaya.  Si anak mempelawa ayah dan ibunya tinggal bersama memandangkan kesibukan tugasnya, tambahan pula setelah berkahwin dia jarang lagi dapat pulang menziarahi orang tuanya. Tetapi kerana sayangkan rumah pusaka mereka, mereka tidak mahu tinggal bersama si anak tadi.

Selepas setahun berkahwin mereka memperolehi seorang anak. Timbul pula masalah untuk mendapatkan orang gaji. Puas dicari tidak bertemu yang sesuai. Maka si anak berpakat dengan suaminya untuk mengambil orang tua mereka untuk menjaga si anak, Itulah sahaja jalan yang mereka nampak.

Maka pergilah mereka suami isteri ke kampung dengan penuh harapan agar kali ini ibu dan ayahnya setuju mengikut mereka ke bandar.. Mereka menerangkan maksud membawa keduanya tiggal bersama mereka, kononnya sudah sampailah masa keduanya berehat memandangkan mereka telah tua dan uzur, kalau sakit pening mudah untuk dibawa berubat ke hospital. Di samping itu bolehlah tengok-tengokkan cucunya itu. Dan kali ini kedua mereka akur dengan permintaan anak perempuan mereka.

Maka hiduplah kedua orang tua ini dari 'alam kampung' ke 'alam bandar'. Daripada hidup susah kepada hidup mewah di rumah banglow 2 tingkat yang luasnya macam istana pada mereka. Pada peringkat awal memamg mereka cuma menjaga cucu sahaja, tetapi keadan telah berubah dari bulan ke bulan. Akhirnya kerja si ibu telah bertambah, tidak sesuai dengan umur dan keadaannya yang semakin uzur. Sekarang si anak telah memberi tugas-tugas baru seperti memasak, mengemas, membasuh, menyediakan sarapan manakala si ayah telah diarah sebagai tukang kebun, tukang cuci kereta, tukang buka pintu dan mengemas di luar rumah. Nampaknya si anak telah melanggar janji-janji manisnya, dahulu dia berjanji untuk menjaga mereka, sekarang sudah terbalik..

Keadan si anak pula telah bertambah kasar terhadap keduanya. Pantang lambat sedikit, keluarlah kata-kata kesat dan tengking herdik memarahi ibu bapanya itu.Tersentak hati kecil mereka, tetapi oleh kerana keduanya tidak mahu banyak bicara, maka keduanya diam sahaja, walaupun di dalam keadaan keduanya sedang uzur dan sakit.

Pada suatu hari berlakulah suatu peristiwa pahit, sedih dan bersejarah di dalam hidup kedua orang tua itu. Suatu hari ahad, anak perempuannya telah menjemput beberapa kawannya untuk makan tengahari. Bahan-bahan masakan telah dibeli, dan dia mengarahkan ibunya supaya masak yang sedap-sedap untuk menjamu kawan-kawannya. Si ibu terpaksa akur walaupun hari itu dia benar-benar tidak sihat dan memerlukan rawatan doktor, tetapi si bu tidak berani bersuara kepada si anaknya yang bengis itu. Si ayah pula diarahkan supaya membukakan pintu kereta yang mana pemilik-pemiliknya adalah manusia-manusia sombong, angkuh, bongkak dan tidak berakhlak.

Selepas semuanya berkumpul di ruang tamu, maka si anak telah mengarahkan ibunya mengedarkan minuman dahulu dengan dibantu oleh si ayah. Si ibu terpaksa membuatnya dalam keadaan uzur dan terketar-ketar. Entah macam mana malang tidak berbau, kaki si ibu tersadung karpet tebal menyebabkan cawan yang dipegang terpelanting dan airnya tumpah ke atas salah seorang tetamu anaknya.

Spontan, si anak yang bongkak ini dengan muka merah padam dan membeliakkan biji matanya kerena terlalu marah, menerkam dan menempeleng ibunya dengan sekuat-kuat hati kerana terlalu geram sambil mengeluarkan kata-kata yang terlalu kesat yang tidak seharusnya diucapkan oleh seorang anak terhadap ibunya. Salah seorang tetamunya bertanya, " Siapa orang tua ni?"

Dijawab olehnya, " Orang tua kurap ni adalah orang gaji I, yang I pungut ketika sedang merempat di tepi jalan, I bela dan beri pekerjaan kepada mereka, tak sangka ini balasan mereka pada I,"
Mereka pun tertawalah mendengar jawaban tersebut.

Betapa hancurnya hati mereka terhadap perbuatan si anak. Tidak disangka dia sanggup memperlakukan mereka begitu sekali. Inikah balasannya setelah mereka bersusah-payah, bergolok-bergadai membesarkan dan memberikannya pelajaran? Jauh daripada apa yang mereka harapkan. Hati si ibu benar-benar terguris. Lalu mereka sepakat untuk meninggalkan rumah yang penuh sejarah hitam itu.

Keesokan harinya,selepas si anak keluar bekerja, mereka mengemaskan pakaian untuk pulang semula ke kampung. Mereka tinggalkan cucu yang belum mengerti apa-apa itu kepada jiran dengan alasan untuk ke klinik kerana tidak sihat. Mereka menahan teksi dan memintanya menghantar mereka ke stesen keretapi Kuala Lumpur. Sampai di sana mereka kebingungan kerana tidak pernah naik keretapi seumur hidup, sehinggalah mereka ditemui oleh kawan saya dalam keadaan si ibu menangis tidak berhenti-henti kerana mengenangkan perbuatan si anak.

Kedua orang tua itu memberitahu mereka tidak akan memaafkan perbuatan si anak dan tidak meredhainya, dan mereka tidak akan sekali-kali datang ke rumahnya. Mereka akan kembali ke rumah pusaka mereka untuk meneruskan sisa-sisa hidup di samping menyiapkan bekal untuk pulang ke nagara yang abadi.


2 comments:

  1. Isk anak tu teruk betul. Sampai macam tu sekali buat.

    -wina1979-

    ReplyDelete
  2. itu yang kita tahu, yang kita tak tahu, mungkin banyak lagi

    ReplyDelete

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign