Asam Garam Kehidupan: dengarlah doaku....

Nuffnang

Pages

22 Oct 2013

dengarlah doaku....

- Tuhan! Setiap doaku Engkau dengarlah....
* Tuhan memang mendengar setiap rintihan hambaNya. Cuma kadang-kadang engkau sendiri yang tidak rasa yang Tuhan sentiasa mendengar apa saja yang terlintas di hati dan fikiran engkau.

- Setiap permintaanku Engkau terimalah dengan redha. Setiap rintihanku dengan sebab dosa, hapuskanlah dosaku. Penderitaan jiwaku memang dosa, kasihanilah aku.
* Tuhan memang menerima setiap permintaan hambaNya. Doa itu senjata orang mukmin. Tuhan sangat suka mendengar rintihan hambaNya, terutama hambaNya yang berdosa. Ia bagaikan nyanyian seorang kekasih terhadap orang yang dikasihinya. Tetapi pastikan engkau bertaubat atas dosa-dosamu dahulu. Kemudian lakukanlah sedekah untuk menebus kembali kesalahan yang telah dilakukan.

_ Setiap kesungguhanku bermujahadah Engkau kiralah walaupun aku lemah, memanglah hambaMu ini lemah, maafkan aku. Kelemahan itu memang sifat hamba. Di sinilah dengan rahmatMu aku memohon keampunan dariMu, atau setidak-tidaknya Engkau gugurkanlah dosa-dosaku....
* Tuhan sangat mengambil kira tentang hambaNya. Setiap zarah kebaikan akan dihitung. Begitu juga setiap zarah kejahatan turut dihitung. Kesungguhan engkau bermujahadah, berhempas-pulas dengan nafsu yang rakus dan ganas, Allah tau dan akan menilai semua itu. Jika kita mengaku diri kia lemah, itulah sifat kehambaan namanya. Disitulah letak kasih-sayang Tuhan. Dia mahu kita rasakan kita tidak punya apa-apa, tidak ada kuasa apa-apa. Semuanya berjalan atas kehendakNya jua. Sesungguhnya Allah Pengampun lagi Maha Penyayang. Dosa dengan Tuhan mudah bagi Dia untuk ampunkan etapi dosa sesama manusia mesti diselesaikan di dunia lagi.
* Sepatutnya kita merintih bersungguh-sungguh atas dosa-dosa yang dilakukan. Terutama dosa batin kita yang amat banyak. Menangislah seperti orang-orang soleh zaman dahulu. Engkau patut irihati pada mereka yang merintih terhadap Tuhan sehingga adakalanya hati mereka seolah-olah terbakar oleh takutnya pada Tuhan. Mereka merasakan kebaikan yang dilakukan adalah milik Tuhan dan berlaku kebaikan itu dengan izinNya jua.

- Tuhan, pimpinlah daku selalu kerana kehidupan di dunia selalu sahaja menipu. Kalau Engkau tidak pimpin aku, tidak ada ertinya hidup ini. Dan kecundanglah aku di sana nanti.
* Allah akan menjadi pemimpin bagi orang yang bertaqwa. Dia akan ajarkan berbagai ilmu jika engkau mengejar taqwa. Taqwa itu ialah engkau kekalkan rasa berTuhan dan rasa kehambaan di dalam jiwamu setiap ketika walau di mana jua. Engkau akan dipimpin Tuhan menuju jalanNya dalam mencari keredhaanNya di dunia dan Akhirat.

2 comments:

  1. Betapa siapalah kita tanpa memohon padanya. Sungguh Allah suka kepada hambanya utk meyerahkan diri dan memohon apa saja kepadaNya...

    ReplyDelete
  2. betul sangat kakzakie, setiap detik nafas dan kerdip mata kita, kita amat memerlukan Dia..

    ReplyDelete

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign