Asam Garam Kehidupan: Zunnun Al- Misri...siapa tu?

Nuffnang

Pages

8 Oct 2013

Zunnun Al- Misri...siapa tu?

Tidak dapat dipastikan dengan tepat sejarah awalnya. Namun yang jelas lukisan potret hidupnya memberitahu bahawa Zunnun Al-Misri seorang sufi yang zahid.

Berasal dari daerah Nubian yang terletak di antara Sudan dan Mesir, Zunnun banyak menghabiskan umurnya dengan bermusafir dari satu tempat ke satu tempat. Persinggahannya ialah daerah-daerah kediaman syeikh-syeikh tareqat dan ahli-ahli sufi. Daripada mereka Zunnun memperkayakan pengetahuan tasawuf dan kesufiannya.

Zunnun Al-Misri gemar menyisihkan diri daripada kesibukan manusia ramai. Hidup bersendirian di tempat-tempat tertentu. Dalam persulukannya itu, beliau berusaha gigih memperbaiki dirinya dan meletakkan kecintaan semata-mata untuk Allah. Kemudian beliau bermusafir lagi.

Suatu ketika Zunnun singgah di sebuah kampung. Sedang beliau berehat meredakan kepenatan, terdengar oleh riuh-rendah suara orang ramai sedang bersuka ria. Terbit keinginan di hatinya untuk mengetahui apakah yang sedang berlaku. Lantas Zunnun bertanya kepada seorang lelaki yang ditemuinya. 

" Orang ramai sedang bermain rebana," jawab lelaki itu. Sebentar Zunnun mendengar pula suara ratap tangis yang datang dari sebuah rumah.

" Kenapa mereka menangis?" tanya Zunnun lagi.
" Di dalam rumah itu ada kematian,"

Raut wajah Zunnun Al-Misri serta-merta berubah. Ada sesuatu yang tidak berkenan di hatinya. Zunnun segera mengambil bungkusan pakaiannya dan mahu memulakan perjalanannya lagi. Sebelum meninggalkan tempat itu, Zunnun berkata:

" Aku tidak sudi bermalam di tempat yang mana penduduknya apabila mendapat nikmat mereka bersuka-ria, dan apabila mendapat ujian atau kecelakaan mereka meratap dan mengeluh."

Zunnun bermusafir ke Lubnan. Sudah menjadi kebiasaannya, beliau akan mencari kediaman syeikh-syeikh tareqat dan ahli-ahli sufi. Zunnun bergaul mesra dengan mereka, menambah pengetahuan dan pengalamannya. Hasil dari itu, kemahirannya dalam membicarakan hal-hal kerohanian kian menyerlah.

Zunnun tidak terus bermastautin di Lubnan. Beliau bermusafir lagi sehingga ke Jabbal Muttaqam. Beliau bertemu dengan seorang syeikh tareqat yang telah lanjut usianya. Zunnun mengambil keputusan untuk tinggal bersama syeikh tersebut. Empat puluh hari Zunnun menumpang di rumah syeikh itu. Sepanjang tempoh itu Zunnun mendapat banyak pengalaman baru.

Suatu ketika Zunnun bertemu dengan seekor burung hantu yang buta matanya sedang bertenggek di atas dahan pokok. Burung itu turun ke tanah dan mematuk-matuh tanah, sebentar selepas itu, muncul dua buah bejana di tempat yang dipatuk oleh burung hantu tersebut. Sebuah bejana berisi bijian, manakala sebuah lagi berisi air. Selepas makan bijian yang tersedia, burung hantu itu minum air di bejana kedua.

Kejadian aneh itu menanamkan keyakinan yang sungguh-sungguh di hati Zunnun Al-Misri bahawa Allah Maha Pemurah lagi Maha Hebat. Rezeki hamba-hambanya sudah sedia diatur, meskipun rezeki hanya untuk seekor burung hantu yang buta... Subhanallah...Dia tidak akan membiarkan hamba-hambaNya mati kelaparan. Cuma hamba-hambaNya sahaja yang tidak tahu berterima kasih. Allah menyatakan hala ini di dalam firmanNya: " Sedikit sahaja daripada hamba-hambaKu yang bersyukur."

Zunnun terus bermusafir. Pengajaran yang diperolehi daripada burung hantu itu menjadikan beliau tidak lagi memikirkan rezekinya. Selagi ada nafas, rezeki tidak akan putus. Cuma yang pentingnya usaha dan ikhtiar. Selebihnya berserahlah kepada Allah. Setelah sekian lama memgembara dan merantau, mendalami selok-belok ilmu tasawuf dan jalan-jalan menyempurnakan taqwa, Zunnun membuat keputusan untuk kembali ke Mesir. 

---apakah yang terjadi seterusnya? Tunggu yea----

No comments:

Post a Comment

Baju Muslimah

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign