Asam Garam Kehidupan: Mariah Al Qibtiyah-hamba yang merdeka menuju Tuhannya

Nuffnang

Pages

20 Mar 2014

Mariah Al Qibtiyah-hamba yang merdeka menuju Tuhannya

Langkah demi langkah diatur perlahan mengikut rentak unta yang berjalan di hadapannya.  Padang pasir yang tandus itu membuatkan fikirannya juga kering dan tandus. Langkahnya agak perlahan namun digagahi juga bagi menjunjung perintah raja yang sangat dihormati.

Mariah Al Qibtiyah meninggalkan istana mewah milik maharaja Mesir ke suatu tempat yang tidak diketahuinya. Fikirannya berputar ligat mengenang apakah yang bakal berlaku pada dirinya dan adiknya Sirin. Biji-biji pasir direnung seakan-akan mahu mengira butiran pasir yang terhampar dalam permusafiran itu, agar dengan cara itu dia dapat mengatasi masalah yang dihadapinya.

Perjalanan jauh antara Mesir dan Madinah memakan masa berbulan-bulan membuatkan hatinya diasak berbagai pertanyaan dan teka-teki yang sungguh membosankan. Baginya tidak ada satu panduan yang dapat mententeramkan jiwanya dan menjawab pertanyaan hatinya yang semakin bergelora. Cuma ia menaruh harapan yang tinggi biarlah apa yang sedang dan akan berlaku dapat dilalui dengan tabah di samping kebahagian hakiki yang diharapkan.

Habib bin Balta'ah menyedari apa yang berlaku pada diri Mariah. Dia sedaya upaya cuba memperbaiki keadaan itu. Berbagai-bagai cara dilakukan untuk menghiburkan dan menenangkan hati Mariah. Antaranya Habib cuba bersenandung, bersyair, bercerita tentang Islam, tentang perjuangan dan pengorbanan di samping cerita-cerita sejarah yang diselitkan dengan tarbiah dan dakwah Islamiah.

Yang terpenting dan sering diulang selalu ialah tentang peribadi Rasulullah, akhlaknya, taqwanya, rendah dirinya, pemaafnya, pemurahnya, kasih-sayangnya dan seterusnya pengorbanan baginda untuk Islam. Habib juga menceritakan keyakinan Rasulullah tentang keyakinan Rasulullah pada Tuhan yang Maha Esa dan pada hari yang dibangkitkan kelak.

Mariah mula tertarik dengan cerita-cerita dan segala penerangan dari mulut Habib. Walaupun segalanya masih baru bagi dirinya tapi atas kesungguhan Habib menyampaikan semua itu membuatkan dia mula berminat dengan Islam. Dan akhirnya pada suatu malam yang hening Mariah dan Sirin mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Habib, salah seorang sahabat yang sangat dipercayai oleh Rasulullah.

Rasa rindu, ingin tahu dan melihat sendiri wajag Rasulullah dan peribadinya mula bermain di fikiran Mariah. Selama dalam perjalanan hanya cerita-ceritanya saja yang disampaikan ke telinganya. Kalau sebelum ini perjalanan dirasakan sungguh membosankan, tapi kini setiap langkah yang diaturkan diiringi dengan doa dan tasbih memuji Allah. Permusafiran ini dirasakan sungguh bermakna sekali. Diciptanya satu bait syair untuk melepaskan rindunya:

          Ya Rasulullah
          kami datang kepadamu
          ingin menjumpaimu
          ingin menatap wajahmu
          ingin melihat akhlak dan peribadimu
          wahai pemimpin agung
          wajahmu kami rindu
          bagai bulan purnama
          menghias malam yang indah.

 Setelah menempuh perjalanan panjang yang bersejarah itu, akhirnya mereka sampai ke Madinah. Rasulullah menyonsong kedatangan mereka dan menyambutnya dengan mesra penuh kegembiraan. Mariah tiba-tiba rasa malu dan agak kehairanan bila berhadapan dengan Rasulullah, kerana sangkanya Rasulullah seorang pemimpin tentulah mempunyai singghsana yang besar, istana yang bertingkat-tingkat dan pakaian yang menunjukkan kehebatan seperti rajanya di Mesir.

Tapi itu semua tidak ada pada Rasulullah.Rasulullah tidak ada pengawal peribadi yang mengawasinya dan tidak ada istana mewah miliknya. Bahkan Rasulullah sendiri datang menyambut mereka. Sedangkan yang disambut itu adalah dirinya seorang hamba abdi yang tidak mempunyai keistimewaan apa-apa.

Mariah hampir menitiskan air mata bila mengenangkan semua itu. Benarlah kata-kata Habib. Mabur, salah seorang hamba yang dihadiahkan oleh raja Muqauqis Mesir turut memeluk Islam. Sebelum ini dia enggan memeluk Islam tetapi apabila berjumpa dan berhadapan sendiri dengan Rasulullah, hati yang keras jadi lembut. Akhirnya dia juga menyerah diri untuk diislamkan.

Pancaran nur dari wajah Rasulullah membuatkan semua yang bertemu Baginda bersetuju mengatakan yang Baginda adalah seorang utusan Allah yang jujur, tidak ada kepentingan diri dan seorang pemimpin yang layak ditaati.

Rasulullah mengambil Mariah dan menempatkannya di tengah-tengah kebun anggur di 'Aliyah. ' Aliyah adalah sebuah kampung yang terletak di bahagian luar kota Madinah. Rasulullah sering berkunjung ke tempat Mariah seperti beliau mengunjungi hak miliknya. Bahkan Rasulullah sentiasa bersikap lemah-lembut kepadanya, di samping memberi penjagaan yang cukup dan menggaulinya sebagai hamba abdi yang dihalalkan Allah padanya.

Mariah rasa bersyukur dapat berdamping dengan Rasulullah tanpa hijab. Sebaliknya beliau dilayan dan diberi penghormatan oleh Rasulullah. Rasa dirinya terlalu kecil, terlalu hina, terlalu berdosa dan tidak layak untuk sama-sama menjadi sebahagian daripada isteri-isteri nabi.

Hal ini membuatkan Mariah selalu bangun malam untuk menyatakan kesyukurannya pada Tuhan kerana telah menyelamatkan dirinya dari terus kufur sekiranya masih bersama maharaja Mesir. Sesudah mengerjakan ibadah malam Mariah menedah tangan berdoa:
      " Wahai Tuhan yang Maha Agung, Maha Bijaksana mentadbir alam ini, terimalah aku untuk mendekatiMu, bersimpuh di bawah duli kebesaranMu, bersujud memperhambakan diri hanya padaMu dan menangis di hadapanMu, Menangiskan kedegilan dan kesombonganku, menangiskan kebutaan hatiku, menangiskan kematianku yang belum tentu dalam iman atau kufur Juga ku tangiskan baiknya Tuhan membawa aku ke sisi kekasihMu Rasul yang mulia. Sedangkan aku bukanlah layak untuk diberi penghormatan sebesar ini. Oleh itu wahai Tuhanku, terimalah aku untuk mengucap syukur yang tidak terhingga ke hadratMu, dan aku berharap biarlah hati ini terus berpaut dengan kekasihMu itu untuk sentiasa dikuatkan iman dan bakti kerana aku rasa tiada lagi tempat di dunia ini yang selamat selain di sini. Moga-moga perjalanan hidupku Engkau berkati selau, amin, amin, amin."

Mariah merasa tenang hidup di sisi Rasulullah, kerana walaupun tidak ada harta yang melimpah, tidak ada perhiasan emas, tidak ada rumah sebesar istana, tidak ada makanan yang mewah dan lazat, tidak ada tunggangan yang gagah dan lengkap, itu semua baginya tidak perlu. Cukuplah dirinya dihias dengan akhlak dan peribadi yang cantik.

Allah hendak meningkatkan darjat Mariah dengan mengurniakan seorang putera yang diberi nama Ibrahim. Rasulullah SAW bersabda, " Mariah sudah merdeka oleh anaknya." Kini hilanglah status hamba dan Mariah menjadi seorang muslimah yang merdeka. Orang-orang Ansar berebut ingin mengasuh bayi comel itu, agar dengan itu memberi banyak peluang kepada Mariah untuk melayan dan menguruskan Rasulullah..

Tetapi Allah tidak menghendaki Ibrahim hidup lama, sewaktu berumur dua tahun sakitnya semakin enjadi-jadi. Ketika dia sedang nazak, Mariah meletakkan anaknya di pangkuan. Rasulullah sambil menyandarkan diri lalu berkata, " Sesungguhnya kami wahai Ibrahim, tidak kuasa melepaskan kamu sedikitpun dari ( takdir ) Allah."

Kemudian baginda mengucapkan salam bagi roh Ibrahim dam membongkok serta menciumnya. Dengan airmata berlinangan dan hati yang sedih baginda berkata, " Namun kami tidak berkata selain apa yang diredhai oleh Allah. Dan sesungguhnya kami wahai Ibrahim, sedih berpisah denganmu, sesungguhnya kita semua hamba Allah dan kepadaNya kita semua akan kembali."

Setelah  menguruskan jenazah Ibrahim, dimandi dan dikafankan, Rasulullah sendiri yang memasukkan jenazah kecil itu ke dalam maqamnya. Kesedihan Rasulullah tidak dapat dibendung. Menitis air mataBaginda. Begitu juga dengan Mariah. Pilu rasa hatinya berpisah dengan anak kecil yang masih menyusu tapi kuasa Allah lebih mengatasi segalanya.

Dalam perjalan pulang orang ramai melihat gerhana matahari dan mereka menyangka gerhana itu berlaku kerana kematian Ibrahim. Mendengar ucapan itu Rasulullah bersabda:

   " Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda kekuasaan Allah. Kedua-duanya tidak akan gerhana kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana hidupnya. Apabila kamu melihat gerhana, segeralah kamu mengingat Allah dan melakukan sembahyang ( sembahyang sunat gerhana )"

Sejak perginya Ibrahim, Mariah tidak lagi pernah mengandung. Bahagia dan sengasara yang dijalani dalam hidupnya bersama Rasulullah adalah sebagai ujian buat dirinya, untuk mengukur sejauh mana keyakinan dan keimanannya terhadap kekuasaan Allah. Dan dia berjaya dalam semua ujian berat bahkan setiap peristiwa yang dialami menebalkan lagi keyakinan nya terhadap keagungan dan kekuasaan Allah.

Setelah lima tahun Rasulullah wafat, tiba pula giliran Mariah menyahut seruan Ilahi untuk bertemu dengan yang dicintai. Alangkah indahnya jika kita wanita akhir zaman dapat menyalin akhlak Mariah Al Qibtiyah yang rupawan dari Mesir berdarah campuran Itali, untuk kita bangun sebagai srikandi akhir zaman yang sama-sama gigih untuk Islam....

2 comments:

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign