Asam Garam Kehidupan: Kisah Mamat.

Nuffnang

Pages

25 Jun 2014

Kisah Mamat.

Sepatutnya entri ni saya nak publish sempena hari bapa aritu, tapi dok sibuk-sibuk sampai terlupa. Rasanya belum terlambat kot nak buat cerita tentang kasih-sayang seorang anak terhadap bapanya. Ini kisah benar, berlaku sekitar tahun 80-an. Cerita ni dari Chik ( mak saudara ) saya, ada yang saya edit serba-sikit tapi masih tak lari dari cerita sebenar.

Kisah ni berlaku di Terngganu. Kisah seorang anak yang bernama Mamat ( mungkin Muhammad...., orang kita ni suka memendekkan nama, Muhammad jadi Mamat, Abdullah jadi Dollah ) tapi Chik saya pun tak tau nama sebenar Mamat ni. Mamat ni tergolong lembam. Lembam-lembam pun kawen juga, isteri pun macam dia jugak. Mereka ada seorang anak ( saya lupa plak nama anak diorang ). Mamat ni kerjanya bawak beca roda tiga, orang Terengganu panggil teksi beca. Tinggal bersama keluarga mereka ni ialah ayah Mamat yang sudah uzur.

Mamat sayangkan ayah dan anaknya. Anaknya Alhamdulillah tak lembam. Oh ya, anaknya lelaki, masa tu lebih kurang umurnya dalam 2 ke 3 tahun. Selalu terlepas ke jalan sebab maknya entah leka, entah buat apa ( rumah diorang dekat dengan jalan, tapi bukan jalan besar, jadi takla sibuk ). Jiran yang ternampak tolong hantar balik.

Diorang ni susah. Bagi nak tampung kehidupan Mamat akan kutip ikan yang dah tak berapa fresh kat pasar dan jual balik. Chik saya selalu beli, niat nak tolong juga. Mamat ni senang kalau nak minta tolong, ringan tulang kata orang. Boleh buat apa je, asalkan dapat sedikit upah.

Satu hari tu, ayah Mamat menyatakan keinginan nak tengok bandar Kuantan.

" Kita takdok pitih ayoh, tapi gini ah, kita gi naik teksi beca kita."

Si ayah bersetuju saja. Memang mereka miskin, nak beli tiket bas ke Kuantan pun tak cukup duit, lagi pun takkan Mamat nak lepaskan ayahnya yang uzur tu pergi seorang diri. Jadi bagi menampung belanja makan dalam perjalanan, Mamat telah bersiap sedia seadanya. Beras, bawang, minyak, ikan masin, kuali, periuk, tilam, bantal, semua dibawak. Bayangkan jauh jarak perjalanan bandar Terengganu ke Kuantan, kalau naik kereta pun lebih-kurang 4 jam perjalanan. Inikan pula naik beca. Jadi dalam perjalanan tu, kalau jumpa masjid mereka akan bermalam di masjid, kalau tak jumpa tidurlah mereka dua beranak dalam beca tu.

oh ya, terlupa tentang anak isteri yang ditinggalkan. Sepeninggalannya Mamat sempat menitip pesan pada jiran terdekat supaya tolong isterinya apa patut, risau dia sebenarnya...." Mamat nak bawok ayah gi kuantang, mokcik tolong tengok anok bini Mamat deh." pesan Mamat. " Doh mung ni gi nge mende?" tanya sijiran kehairanan. " Mamat bawok teksi beca." Mengucap panjang si jiran.

" Ho doh. takpela, buleh je mokcik tulong tengok, mane buleh tulong, mokcik tulonglah deh." kata-kata si jiran melegakan sedikit kerisauan di hati Mamat.

Akhirnya sampai juga mereka di Kuantan. Puaslah hati si ayah dapat menjenguk bandar Kuantan, gembira pula hati Mamat dapat memenuhi hasrat si ayah.Teringin juga Mamat nak belikan buah tangan buat anak isteri, tapi apakan daya, belanja yang dibawa pun sudah habis juga buat membeli bekalan yang kehabisan. Si ayah pun mungkin faham, tidak diminta apa-apa lagi walaupun sekadar sepasang selipar.  sampailah masa untuk bertolak pulang ke bandar kuala Terengganu..Mamat pun sudah rindu benar pada anak isteri yang ditinggalkan sekian lama. Hampir sebulan juga.

Dah tak jauh pun nak sampai ke bandar Kuala Terengganu. Mamat berhentikan becanya di tepi jalan. Penat benar rasanya mengayuh beca dengan jarak perjalanan yang jauh itu.Peluh menyimbah membasahi rambut dan bajunya. Perut yang lapar tidak dilayan. Hatinya makin tak sabar untuk menatap wajah anak dan isterinya. " Ayoh gi duduk kat stesen, Mamat nok tidur jak, mintok maaf banyok ayoh deh." Sempat Mamat memohon maaf dari ayah. Ayah sekadar mengangguk dan berlalu ke pondok bas berhampiran,  manakala Mamat melelapkan mata di atas beca.

Siapa yang dapat menduga apa ujian Allah yang bakal menimpa. Sebagai hamba kita hanya pasrah..

Hampir setengah jam Mamat terlelap dalam keletihan yang amat sangat. Tanpa menyedari apa pun yang berlaku di sekelilingnya. Si ayah pun tersandar hampir terlelap bila dia mendengar seretan berat tayar lori yang terbabas menghentam beca Mamat...

Melambung beca Mamat, bertaburan segala barang yang ada. Mamat pun melambung dan jatuh betul-betul di hadapan bapanya. Darah merah pekat mengalir dari kepalanya, mulutnya.Kecederaan luarnya tak serius, mungkin cedera dalam akibat hentakan . Bukan kepalang terkejut si ayah, segera dipangku anaknya, sempat diajarnya mengucap, dan Mamat terkulai dalam ratap-tangis bapanya.

Mungkin kerana kesedihan melampau, si isteri mengalami tekanan jiwa. Anaknya makin terabai. Tapi atas inisiatif ketua kampung, mereka diserahkan kepada JKM kerana mereka pun tiada saudara-mara lain. Ayahnya pun dihantar ke JKM.

Bila saya tanya chik saya pasal anak Mamat ni, chik saya pun tak pasti. Tapi mungkin nasibnya tak semalang sibapa, sebab anaknya tak lembam, mungkin dah berjaya, siapa tau kan. Allah tu kan maha Adil, diujinya kita dengan kesusahan supaya kita mendapat pahala sabar, dan diuji kita dengan kejayaan dan kesenangan supaya kita dapat pula bersyukur...

Tapi bandar Kuala Terengganu pun dah maju sekarang, kalau jalan malam-malam, hati tak puas menikmati keindahan lampu lip-lap, lip-lap berwarna-warni, tempat peranginan yang indah, bandarnya makin sibuk, dah susah nak jumpa beca roda tiga, dah jadi nostalgia. Dulu masa saya masih bersekolah menengah di sana, senang lagi nak jumpa, orang yang bawak beca ni semuanya dah tua, kalau saya naik, saya bagi lebih tambang, sebab kesian.

Tak lupa salam ukhwah buat teman alamaya terbaru dari http://thismontanablog.blogspot.com/, semoga kita saling memberi manfaat.

2 comments:

  1. sedihnya baca kak... Al-fatihah buat arwah.

    ReplyDelete
  2. dah tertulis nasibnya begitu, In shaa Allah, moga dia tergolong di dalam hamba-hambaNya yang diredhai.

    ReplyDelete

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign