Asam Garam Kehidupan: Noslalgia Muharram.

Nuffnang

Pages

22 Oct 2014

Noslalgia Muharram.

Selamat datang Muharram 1436H dan selamat jalan Muharram 1435H..setahun berlalu penuh dengan warna-warna suka-duka sebuah perjalanan, setahun yang bakal datang entah apa lagi warna-warni suka duka bakal dicatatkan...

Dan setelah selesai daun-daun hari, minggu dan bulan-bulan taqwim 1435 gugur berantakan di bumi dan ditelan oleh mulut-mulut masa, daun-daun baru yang hijau segar timbul dengan susuk wajah baru, nafas baru, udara baru membentang sebatang jalan dan titian baru untuk dilalui oleh insan yang melata di bumi Allah ini.

Dan mahu tidak mahu, ingin tidak ingin seluruhnya berhijrah bila datangnya tahun hijrah 1436. Dunia berhijrah. Manusia berhijrah, muda berhijrah kepada tua, tua berhijrah kepada lebih tua lagi, hidup berhijrah kepada kematian....

Dan bayi yang baru lahir berhijrah dari alam gelita ke alam terang. Hidup yang berhijrah kepada kematian,  berhijrah dari alam dunia kepada alam akhirat, adakah kuasa kita yang mampu menghalang. Kemudian dari alam kubur berhijrah lagi ke perhimpunan besar di Padang Mahsyar. Kemudia berhijrah lagi, kemana???  ke mana???

ke syurga?...atau ke neraka???

Aku mengetuk daun pintu diriku, sudahkah aku berhijrah? Berhijrah dari sifat mazmumah kepada sifat mahmudah. Berhijrah dari ingkar kepada taat kepada Allah, berhijrah dari selubung kemalasan ke alam kerajinan beribadah..

Kuketuk lagi pintu hati ku ini, bertalu-talu...sudahkah lidahku berhijrah? Sudahkah mataku berhijrah? Sudahkah telingaku berhijrah? Sudahkah tanganku berhijrah? Sudahkah kakiku berhijrah? Mampukah aku membuka sebuah babak baru dalam hidupku dengan menjadi hambaNya yang lebih taat lagi?

" Orang yang bermujahadah pada jalan Kami akan Kami tunjukkan jalan Kami dan sesungguhnya Allah berseta orang yang berbuat kebajikan."
                                                                                                  - Al Ankabut - 96.

NOSTALGIA MUHARRAM.
- 1 Muharram tahun ke 7 kerasulan: Rasulullah SAW dikurung di Shi'ib Abi Talib bersama-sama semua Bani hasyim.
- 1 Muharram 7H ( rabu ) : Permulaan Rasulullah mengutus surat kepada pemerintah-pemertintah antarabangsa.
- Muharram 7H: Ghazwah Khaibar.
- Muharram 7H: Perkahwinan Rasulullah dengan saidatina Safiyyah.
- 10 Muharram 8H ( rabu ) Bertolak dari Makkah ( Ghazwah Fathul Makkah )
- Awal Muharram 9H: Pentadbiran zakat bermula.

Pohon hijrah 1435 makin rontok daunnya- ihsan google.


2 comments:

  1. thanks share kak..salam Awal Muharram

    ReplyDelete
  2. salam awal Muharram juga, mudah-mudahan tahun depan bertambah baik utk sal yea, in shaa Allah.

    ReplyDelete

Baju Muslimah

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign