Asam Garam Kehidupan: September 2015

Nuffnang

Pages

30 Sep 2015

HARAPAN KU KEPADA MU..

Ku harap padaMu Tuhan
Di waktu ku lalai, ingatkan aku..
Ketika ku beramal, ikhlaskanlah hatiku..
Agar amalku diterima..
Di masa aku diuji, kuatkan jiwaku..
Agar aku dapat bersabar..
Supaya imanku tidak terkorban..
Di waktu-waktu aku senang..
Jangan lalaikan aku,  agar aku bersyukur..
Masukkan ke dalam hatiku..
Cinta dan takut kepadaMu..
Hiburkanlah hatiku selalu
Dengan mengingatiMu..
Engkau sangat aku perlu..
Jangan tinggalkan aku..
Engkau adalah hidup matiku..
Janganlah biarkan aku..
Pimpinlah aku selalu..
Agar hidup matiku, mendapat keredhaanMu..

27 Sep 2015

Warna Hati Sentiasa Berubah...

Susah sungguh hendak meluruskan hati.
Berubah saja situasi dia ikut berubah.
Payah sungguh hendak dicorakkan dalam satu warna.
Warna hati sentiada berubah.
Dia tidak mahu istiqomah.
Mudah saja tergugat oleh suasana.
Apabila mendapat ujian kesusahan dia mula gelisah.
Bertambah berat ujian jiwa bertambah parah.
Tapi...
Bila mendapat kesenangan dia mula berbunga-bunga.
Bertambah kesenangan bunganya bertambah merah dan cerah.
Dia terlonta-lonta kegembiraan, lupa daratan.
Terasa dirinya orang istimewa.
Orang lain semuanya malang.
Oh Tuhan..
Susah sungguh hatiku untuk diluruskan.
Tolonglah aku.
Luruskanlah hatiku.
Di dalam sebarang situasi.
Di waktu susah maupun senang.
Di waktu sempit dan lapang.
Engkau jadikanlah hatiku setiap saat
Tidak cacat denganMu.
Bahkan dalam setiap ujian menimpaku.
Makin menguatkan imanku.

Nota hatiku...mengapa payah benar wahai hati...

25 Sep 2015

Kebahagiaan itu terletak pada IMAN.

Tersebut suatu kisah, seorang wali Allah bertapa di dalam gua yang terletak berhampiran dengan sebuah medan peperangan. Suatu hari, wali Allah itu keluar ke pintu gua dan didapatinya ada seorang manusia terbaring berlumuran darah, betul-betul di hadapan pintu guanya. Dari pakaian orang itu dapatlah siwali mengagak bahawa orang itu ialah askar yang cedera parah dalam peperangan. Beliau lalu mengangkat pemuda itu masuk ketempat tinggalnya dan dirawat semampunya. Dengan izin Allah pemuda itu akhirnya sedar, sembuh dan sihat. Tinggallah mereka berdua dalam gua itu.

Suatu hari pemuda itu menghampiri si wali itu dan mengajukan soalan.

" Sekian lama saya saksikan bapa, hidup dalam gua yang sunyi ini, jauh dari krseronokan hidup manusia, terlalu miskin dan papa, tiada pula teman, tetapi pada wajah bapa ada ketenangan yang tidak pernah saya saksikan pada manusia-manusia lain. Apakah rahsia hidup bapa?"

Si wali mengangguk- angguk dan bangun dari duduknya sambil berkata, " Mari ikut bapa, kita cari jawapannya.'

Mereka keluar dari gua dan berjalan menuju ke hutan belantara. Tiba di suatu kawasan, pemuda itu tiba-tiba memegang tangan orang tua itu dan menariknya sambil berkata, " Bapa kita tinggalkan tempat ini. Saya dapati ada bekas-bekas tapak kaki harimau yang masih baru!" Pemuda itu cemas.

" Jangan takut nak, mari ikut bapa," si wali tetap tenang.
" Tidak bapa, tidak!" Pemuda itu menarik tangan orang tua itu dan cepat-cepat mereka berjalan pulang. Di dalam gua orang tua itu berkata.

" Anak begitu takut pada harimau hanya kerana anak ternampak bekas tapak kakinya. Kenapa anak tidak mahu takut pada Allah hanya dengan melihat alam ini? Langit yang tinggi tanpa tiang, bumi yang luas dengan hutan belantara, laut dan sungai, siang dan malam, hujan dan panas dan semua isi bumi ini adalah tanda-tanda wujud dan berkuasanya Allah SWT."

Pemuda itu terpegun mendengarnya dan tidak dapat berkata apa-apa. Orang tua itu menyambung bicaranya.

" Bapa tinggalkan dunia luar yang sibuk itu, hidup dalam gua ini dengan niat mahu mengisi sepenuh masa mengingati dan mengabdikan diri pada Allah. Bapa mahu bersyukur sebanyak-banyaknya atas nikmat yang Allah kurniakan dan kalau boleh ingin membalas nikmat-nikmat itu dengan menghambakan diri sepenuhnya pada Allah. Ketenangan yang anak saksikan pada bapa ialah lambang kebahagiaan yang bapa rasa kerana dapat berkorban pada Allah yang Maha Pemurah dan Penyayang itu."

Pemuda itu akhirnya tinggal menetap bersama si wali itu, mencari kebahagiaan melalui hidup yang sederhana tetapi bererti.

Itulah satu contoh bahawa tanpa bantuan harta benda dan wang ringgit, tetapi memiliki keimanan yang teguh itu sudah memberi kebahagiaan hidup pada manusia. Imanlah satu-satunya kekuatan yang boleh menjamin bahagia hidup untuk manusia, di dunia dan di akhirat. Tanpa iman wang yang banyak, pangkat yang tinggi, ilmu yang luas tidak akan bererti apa-apa kepada manusia ketika ia berdepan dengan masalah-masalah hidup.

24 Sep 2015

Macam pesta.

Saya sempat ke kubur arwah bonda hari ni. Sudah dua bulan rasanya saya tak ke sana. Sedih tengok sepohon kemboja yang saya tanam di hujung pusara bahagian kepala sudah tumbang dimakan anai-anai di pangkalnya. Tinggal sepohon je lagi di bahagian kaki.

Ramai betul yang mengambil kesempatan cuti hari raya ni untuk berziarah ke pusara ibubapa ataupun saudara mara yang telah pergi.

Saya selalu pergi hari ahad, sunyi sepi je, Nadhrah, Iman dan Umar Zikrilah jadi teman. Bukan apa, kalau sorang-sorang tu ngeri kan orang yang berniat jahat, mana tau kan. Tapi tak sangka bila time raya camni, ramai dan meriah betul. Macam-macam rupa orang datang, ada yang sopan dengan tudung jubah, tapi berkasut tinggi, sikit lagi nak tersadung kakinya, ada yang ber t shirt lengan pendek, seluar jean ketat, tudung pun tak pakai, ermmmm...moga Allah beri hidayah padanya suatu hari nanti.

Dan mereka ni plak pandai mencari peluang menambah pendapatan dari ramainya orang yang berkunjung. Ada yang meminta sedekah, ada yang menjual ais krim, ada yang menjual kuih-muih dan air, yang meminta sedekah tu saya tengok bole tahan ramai yang menghulur sedekah. Begitu juga si penjual ais krim dan penjual air tu,  ramai yang membelinya, kuih-muih dia pun dah habis. Haaa...kan, hendak seribu daya, tak nak seribu daleh..

23 Sep 2015

Lagi kata-katanya yang mencuit hati.

Mendengar berita anjing gila di tv sambil memerengkan kepalanya, macam faham je..hatiku meneka-neka..
Masuk berita lain, sambil tangan menyusun lego mulutnya nengomel- ngomel sendirian...

" Mana ada anjing gila gigit orang, orang gila gigit anjing adalah..."

Saya rasa kalau korang dengar, korang pun gelak tak pun senyum gelihati...itulah kata-kata madah..ha ha ha dari buah hati pengarang jantung saya..Umar Zikri.

Salam Aidil Adha buat semua teman alamaya yang sangat saya kasihi, ampun maaf zahir batin sekiranya selama persahabatan ini saya sering terlanjur bicara yang menyentuh peribadi kalian, sesungguhnya jika terjadi itu hanya secara kebetulan yang tidak saya sengajakan. Semoga persahabatan kita berpanjangan hingga ke Jannah sana, amin ya Rabb...

22 Sep 2015

Try sana, try sini, try dunia..

Entah kenapa setelah bertukar susu masa mengandungkan Umar Zikri dulu membuatkan perut saya alah lactose sampai sekarang. Minumlah susu apa pun, kecuali susu tin tu..perut saya memulas dan terus nak membuang. Ahad lepas teringin nak cuba apam balik cheese jagung, nak try lah kan, selalu beli yang biasa jr, rm2.50 sekeping, yang ni rm4.00, hrmmm...tak kena pun dengan selera, padan muka saya... muak semacam, tapi makanlah juga sepotong, penyudahnya saya cirit-birit dua hari, perut tak tahan cheese lah tu, hari ni saya amik cuti. A' ah...cuti sekolah pun tadika saya tu beroperasi juga, sebab ada budak day care. Tugas saya siapkan alat bantu mengajar, lukis-lukis kat dinding..

Saya ada baca pasal ESP shaklee tu, macam ok je, macam menarik testimoni dia. Yelah, untuk kesihatan, niat untuk ibadah. Kalau sakit sana, sakit sini, nak berkhidmat kat suami pun susahkan..

Ok...jom baca untuk renungan bersama..
Dunia ibarat laut yang dalam yang dipenuhi berbagai khazanah dan simpanan Tuhan yang berharga. Manusia dibenarkan mengambilnya tapi ramai manusia karam dan tenggelam di dalamnya.

Dunia ibarat madu yang manis. Ramai yang suka meminumnya. Tapi jarang orang yang tidak tersedak apabila meminumnya.

Dunia ibarat harimau yang ditunggang oleh manusia untuk menuju ke destinasi. Tapi jarang manusia yang sampai ke matlamatnya. Selalu mereka dibaham harimau di dalam perjalanan itu kerana bukan mudah untuk mengawal harimau.

Sekian adanya, terimakasih sudi singgah dan sudi baca..

19 Sep 2015

Bila Nadhrah diminta jadi motivator dan diajak bercuti ke Sabah.

Petang semalam dia minta izin keluar ke rumah kawannya yang selang 5 buah rumah dari rumah kami sebab katanya mak kawannya itu panggil.
Selepas maghrib sambil masak dinner dia bercerita yang dia diminta
menjadi pemangkin semangat( ishhh...bior betui) kepada kawannya itu, katanya markah math kawannya 41, markah dia 45, saya tanya per berapa? 45/100.. Ha ha ha...saya gelak sakan, dia pun sengih macam kerang busuk. Saya kata...camane nak bagi motivasi, awak punya markah pun lebih kurang dia je, lainla markah awak 90 lebih ke..

Katanya.." Entahla, tapi mak dia marah dia, kawan lain pun mak ayah diorang semua marah bila markah sikit, Alhamdulillah ibu abah tak marah, abah kata...usaha lagi, buat banyak latihan( dia mendalamkan suara mengajuk suara abah )"

Katanya lagi, mak kawannya ajak dia bercuti ke Sabah. Tapi takkanlah dia nak ikut kalau takde ahli keluarga yang pergi. Sedih sayu gak dalam hati saya. Saya bagitau cuti ni memang kita tak pegi mana-mana sebab takde bajet, abah dah banyak habis duit sebab betulkan rumah yang kena masuk pencuri aritu.
" Ermmm, takpe..." Panjang takpe dia...
Pastu saya kata...bagitau mak kawan tu, yang penting kena jaga solat, jaga solat baru Allah jaga kita sebab kita jaga hubungan dengan Allah, kalau tak solat, kita takde hubungan dengan Allah, macamane Allah nak jaga kita...
" ermmm...tulah, si.......... ni solat memain, kejap solat, kejap tak.."

Alhamdulillah, saya rasa anak-anak saya tak bermasalah sangat( ada juga, bohongla kalau takde lansung) sebab saya sangat menjaga solat diorang, mengantuk camane, penat camane pun saya paksa juga solat. Saya pernah tarik Muhammad Danish waktu tu dia darjah 4, ke bilik air, tunggu sejam dia di bilik air tu, tunggu lagi sejam dia berdiri tegak, tapi tak juga angkat takbir, saya tunggu jugak hingga dia benar-benar solat, even sampai sekarang pun dah tingkatan 4 sekolah menengah agama asrama penuh pun masih liat juga, setiap subuh jika cuti sekolah, saya akan ketuk pintu bilik sampai dia bangun untuk solat subuh. Memang susah..
Tapi susah camane pun, saya amat yakin, solat itu wajib setiap ibubapa ambil berat, lebih dari segala-galanya, bukan bagi makan pakai, bukan bagi pandai semata-mata..

Tahun depan Nadhrah Hannani upsr, kengkawan ada dengar tak, tahun depan ada 6 subjek plak, sebab kertas bm dah jadi 3, jadi 6A lah targetnya, tapi baru dengar-dengar jelah.

14 Sep 2015

Bila dia bertanya.

Aduh, malasnya
Mood takde..
Idea pun takde..
Laptop takde,
Pc rosak
Tab kena curi
Aduh, makin menumpulkan semangat..
Takpelah...
Bukan ada yang rindu pun
Bukan bagus pun...

Takpelah aku bagi peluang pada diri sendiri..sit back and wilex, hokeh..

Aah..dah alang-alang bersiaran nih ( bersiaranlah sangat) nak bercerita pasal semalam. Saya tau dia memerhati je. So, saya kena lebih bersopan ye dok? Ooo, selama ni korang sopan lah yerk, ishhh...abuya saya ajar, bila kita ikhlas, ada orang ke, takde orang ke..apa yang kita buat sama jer, jangan depan orang kita solat, bila takde orang kita pun tinggalkan solat.

Saya bercerita nih tentang ticer India yang baru join kami di  tadika. Dia ni my boss hired sebab kami ni lidah kejung nak bercakap BI dengan bebudak tuh.

So..kisahnya semalam saya ketiduran dengan bebudak sampai pukul 3 petang due to ABC, keh..keh, so..bangun je dia terus tanya saya dah solat ke belum. Yang peliknya dekat ticer-ticer lain dia tak penah tanya pun. Pastu adalah dia tanya pasal solat, pasal aurat. Tu yang saya cakap saya kena lebih berhati-hati supaya dia tidak nampak buruknya Islam, kata orang cakap tak serupa bikin, saya tau saya bukan yang terbaik, tapi manalah tau kalau Allah nak bagi dia hidayah melalui saya.

Yang saya kagum dia ni taat pada ajaran dia, puasa setiap jumaat, ada hari bole makan sayur je, pegi sembahyang...sedangkan dia tak tau pun apa yang dia buat tu takde nilai pun di sisi Allah, tak boleh bawak dia ke syurga pun, tapi kita...kita tau setiap perintah Allah wajib kita patuhi, setiap larangan wajib kita hindari, sayangnya kita buat tak tau jerk, kita tau adanya syurga dan neraka, tapi kita tak rindu pun pada syurga yang benar itu dan tak takut pun pada neraka yang sangat menggerunkan itu, padahal ada sahabat nabi yang terbakar hatinya saat mau berhadapan dengan Allah dalam solat...kita..?..terbakar hati sebab tengok cerita Korea kot..minta maaf, saya cakap kat diri saya sendiri, bukan mengata orang tau.

Salam takziah buat jemaah haji yang terkorban dalam tragedi kren runtuh di tanah suci Makkah, bila Allah mau menguji kita, supaya kita kembali kepadaNya, Dia boleh buat apa saja, barulah kita terkejut, gentar, takut, hati kembali bergantung kepadaNya dengan sebenar-benar pergantungan, rasa kerdil sebagai hamba yang tak mampu apa-apa... Sama-sama kita sedekahkan Al Fatihah, moga pemergian mereka pemergian yang diterima di sisiNya, aminnn.

Satu lagi...esok, selamat bercuti buat semua. Semoga cuti kita bukan cuti yang sia-sia.

10 Sep 2015

Benar kan?

Kata-kata yang diluahkan oleh  abuya ( panggilan saya terhadap Almarhum ustaz Ashaari Muhammad ) semasa hayatnya dulu sudah menjadi kebenaran. Bagaimana nak menanganinya...kata beliau lagi, kembalilah kepada Al Quran dan sunnah...

9 Sep 2015

Salah satu cara untuk khusyuk solat.

Ada bermacam cara boleh kita buat untuk mencapai khusyuk. Solat yang khusyuk itu penting kerana solat yang beginilah dapat mencegah perbuatan mungkar. Firman Allah..
انالصلوةتنهى عن الفحشاءوالمنكر
Sesungguhnya sembahyang itu dapat mencegah daripada pekerjaan yang keji dan mungkar.

Sembahyang yang khusyuk bolehlah diertikan sembahyang yang sempurna lahir dan batin. Ketika jasad menghadap Allah, hati juga menghadap Allah. Ketika mulut memuji, mengagung dan berdoa pada Allah, hati juga memuja, merintih dan karam dalam penyerahan pada Allah.

Memang susah, tapi wajiblah diusahakan khusyuk itu kerana solat yang khusyuk sahaja akan menghapus dosa, membaharui ikrar, menguatkan iman, mendekatkan hati pada Allah, meningkatkan taqwa dan menghindar perbuatan keji dan mungkar. Itulah keuntungan di dunia dan di Akhirat Allah anugerahkan pahala dan syurga yang penuh kenikmatan.

Antara cara yang boleh kita usahakan:
1. Berwudhuklah lebih awal untuk menunggu waktu solat, lunakkan hati terlebih dahulu dengan bacaan zikir, selawat mahupun ayat suci Al Quran.

2. Usahakan memahami makna bacaan di dalam solat.

3. Setelah ingat dan faham, bacalah segala bacaan yang sunat di dalam hati, jangan dilafazkan, kerana sifat hati ni, bila lidah bekerja, hati turut bekerja, tetapi jika mulut diam, hati tetap bekerja. Ingat!!! Cuma bacaan yang sunat sahaja seperti bacaan dalam rukuk, sujud dan bacaan dalam duduk antara dua sujud. Bacaan yang wajib seperti takbiratul ihram, Fatihah dan tahiyyat tetaplah wajib dilafazkan. Sebab itu usahakan untuk faham maknanya.

In shaa Allah...moga boleh kita manfaatkan bersama.

8 Sep 2015

Alhamdulillah...

Semoga luka di hatiku cepat sembuh..sebab aku ni memang jenis mudah terluka dan lukanya payah juga nak sembuh, agaknya hatiku ada penyakit 'kencing manis'...
Ye Azimah, jangan manis kat wassap jr...

7 Sep 2015

KENALILAH ALLAH.

Kenalilah Allah
Engkau akan cinta kepadaNya
Kenalilah Dia
Engkau akan takut kepadaNya
Kenalilah Tuhan pencipta kita
Kita akan redha ketentuan dariNya
Kenalilah Allah
Kita akan sabar keranaNya
Kenalilah Dia
Kita akan bersyukur kepadaNya
Kenalilah Tuhan
Kita akan berkorban untukNya
Kenalilah Allah
Kita akan taat kepadaNya
Taat kita kepadaNya itulah keselamatan kita
Kenalilah Dia yang menjaga kita
Bahkan Tuhan menjaga seluruh keperluan kita..
Kenalilah Allah agar kita perlu kepadaNya
Tuhan adalah segala-galanya buat kita semua
Kenalilah Tuhan agar hidup mati kita keranaNya
Kita akan merasa bertuhan setiap masa
Kita ada kawan yang setia membela kita
Begitulah rasa kehambaan setiap hamba
Apabila dia kenal sungguh Tuhannya.

~~Mursyid~~
9-10-2002

5 Sep 2015

Sakitnya tuh di sini...

Semalam aku terkena lagi. Niat baikku disalah faham. Sebab tu bila pn Aida meminta aku menegur kesilapan mereka aku terasa amat berat hati. Tapi bila keadaan tak berubah aku terpaksa juga menegur.

Sebenarnya aku menegur tu ekoran dari rasa bimbang kerana kejadian pecah rumahku baru-baru ni. Rumahku yang tinggi lagikan boleh dipanjat dan dipecah, inikan plak tadika yang bertangga tu. Ambil kayu panjang tekan je dari luar. Kalau pintu kayu kat atas tu tak berkunci senang-senang je orang masuk.

Aku kesiankan dia., sebagai balu anak sorang, kata pn Aida dia bekas asnaf yang perlu kami bantu, pn Aida benarkan dia tinggal di tadika, yelah at least ada juga orang yang diharapkan boleh membantu menjaga kebersihan di tadika.

Dalam tempoh sebulan dia tinggal di tadika, aku perhatikan jarang benar dia lock grill tu dengan mangga. Lock yang kat grill tu pun tak dilock juga( ishhh...apabenda aku cakap ni, harap korang dapat imagine lah yek ), takkan boleh macam tu kan, kalau jadi apa- apa aku dan pn Aida juga yang susah nanti. Kot nak tawakkal pun kenalah berusaha dulu.

Jadi bila dah selalu sangat macam tu, suamiku pun asyik menegur juga, akhirnya  semalam aku sampai jam 6.10 pagi,aku ambil gambar masukkan dalam gruop wasap tadika kami, tapi sebelum buat macam tu aku dah tegur dia beberapa hari sebelumnya. Nampaknya dia tak ambil perhatian.

Marah sungguh dia bila aku buat macam tu, kemarahannya diluah dalam grup tadika, memaksa pn Aida dan suaminya datang dan kami dipanggil untuk mesyuarat tergempar.

Alhamdulillah, pn Aida dan en Azahir faham tujuanku. Aku tidak disalahkan, sebaliknya dia diminta lebih terbuka menerima teguranku. Dalam mesyuarat tu juga mereka menegaskan yang aku dipertanggungjawabkan di atas segala kelancaran perjalanan tadika, segala urusan staff adalah melalui aku dan aku yang akan perpanjangkan kepada mereka, memandangkan mereka tidak dapat selalu berada di tadika.

Sebenarnya selepas kena semalam, aku jadi tak bermaya juga, bila dia cakap cikgu-cikgu lain pun tak puas hati denganku. Puas aku memikir- mikirkan apa yang tak kena yang telah aku buat. Perut lapar, tapi aku tak lalu makan, dah masuk angin, sampai hari ni rasa masih sebu. Aku bercerita di sini bukan untuk menagih simpati kengkawan, tapi kot ada yang nak kesiankan aku, Alhamdulillah juga, uhuk..uhuk...

Tak mengapalah, aku dah maafkan dia, walaupun sebenarnya hatiku masih sedih juga. Cuma bagiku sebagai muslimah berfurdah dia patut lebih menjaga adab dalam berbicara, jangan sampai orang menilai buruk terhadap pakaian muslimah, lebih- lebih lagi di tadika kami sekarang ada seorang guru India beragama Hindu.

1 Sep 2015

Rumah saya dipecah.

Saya tak tau nak mulakan dari mana. Ini pengalaman buruk saya harap cuma berlaku dalam mimpi, tapi kenyataannya ia benar- benar berlaku! Dan saya trauma...

Khamis..27/8/2015, saya keluar rumah seawal jam 6 pagi macam biasa. Tiada perasaan apa-apa. Cuma di tengah jalan baru perasan saya tertinggal hp dan tab. Tapi taulah suami saya tu, mana sempat nak patah balik. Dia rushing taknak terkepung jem di area Sg. Besi.

Saya mengajar pun macam biasa. Nak tepon uncle Rajan nak bagitau supaya amik macam biasa, alaa...takpelah, tunggu jelah. Rupanya uncle ada hal, datang pukul 3. Lewatlah sikit dari biasa. Sampai rumah kul 3.30. Rasa nak terkucil sesangat.

Masuk je cari tepon dulu, yang tertinggal atas meja makan. Eh, mane? Saya pasti sangat saya tertinggal di situ. Ke tertinggal atas kerusi kat luar rumah. Ke dapur, naik atas, cari dalam bilik tidur, pun takde, ishhh...mana ni. Kemudian saya perasan pintu kayu di beranda atas tempat letak mesin basuh sedikit renggang. Eh, tak rapat ke aku tutup pagi tadi. Saya bukak pintu tu.....ya Allah.... Ya Allah, ya Allah...mulut saya tak berhenti mengucapkan kalimah suci itu. Darah terasa kering, dada berdebar kencang..." Bebi, rumah kita kena rompak..." Umar Zikri pucat mukanya. Dah meleleh air matanya. Saya cepat menarik tangannya turun, takut ' mahkluk Allah' tu masih berada dalam rumah kami. Kunci pintu depan. Bergegas ke rumah pengasuh, lari rasa tak jejak jalan. Rasa nak terkucil tadi hilang entah ke mana.

Rumah pengasuh anak saya yang jaraknya dalam 300m dari rumah terasa jauhnya. Lelah, letih, berdebar semua bergumpal dalam dada masih tak surut, malah bila sampai ke situ kaki turut jadi lembik. Pinjam tepon cik su tepon suami bagitau apa yang berlaku. Saya tak berani nak balik, tunggu polis datang( suami tepon polis ). Pukul 4.15 petang  polis sampai, baru saya balik. Suami sampai dalam pukul 4.45 petang, baru saya berani masuk bilik semula, aduhai....

Habis dikopaknya laci tempat simpan emas sejemput saya. Hilanglah dua bentuk cincin prmberian arwah mak, cincin kawen, loket, kamera, dua biji hard disk kepunyaan suami dan satu pemberian berharga juga dari arwah ma..sekeping duit antik gambar orang pegang tombak panjang bernilai satu dolar keluaran tahun 1901... Arwah ma pesan suruh jaga elok-elok, tapi..saya pujuk hati bahawa itu bukan rezeki saya. ..

Mulanya saya berdoa supaya Allah bukak hati orang yang mengambil barang saya tu dibukakan hatinya supaya mau memulangkan kembali barang- barang saya tu, tapi nak pujuk hati lagi ni, mungkin Allah nak bagi sesuatu yang lebih bernilai iaitu rasa redha bahawa apa yang ada tu semuanya pinjaman belaka. Ya...semoga dibukakan hati orang tu untuk sedar, semoga itulah kali terakhir dia mencuri, semoga dia bertaubat...

Cuma kesian jugak kat anak- anak saya, duit raya diorang bertiga dalam rm300 juga lesap, abah tak sempat  lagi nak masukkan  dalam tabung ptptn. Tapi menjelang dua hari lepas tu diorang pun dah cool juga. Nak buat camane lagi, bukan rezeki korang bertiga.

Tapi, Alhamdulillah sesangat, agaknya si pencuri tu tak perasan duit tadika yang saya simpan dalam sampul surat terletak macam tu je kat rak buku, bukan sikit kalau hilang, dekat rm2 ribu. Terima kasih ya Allahhhh...

Kira terrer lah si pencuri ni, boleh panjat ikut salur air ke beranda atas tu, tinggi jugak, agak dalam 3 meter. Kuat jugaklah walaupun mungkin orangnya kecik je, boleh dipiuhnya grill besi ke atas. Pecahkan cermin tingkap yang boleh tahan tebalnya. Masukkan tangan dan pulas tombol. Dulu ada suami terpikir nak pasang selak belah dalam, tapi kemudiannya terpikir sape plak sanggup nak panjat tinggi-tinggi tu, ermmmm...sape nak sangka benda nak jadi kan.

Saya tak kaya
Ada tepon, pun cikai jer
Ada emas, pun sejemput cuma
Tapi itu pun kira berharga
Sebab saya tak kaya
Tapi tak mengapalah
Dah bukan rezeki saya
Moga saya,...dan si pencuri
Sama- sama dapat manfaatnya.
Allah kurnia rasa redha
Bahawa itu bukan hak saya
Bila-bila boleh diambil kembali pinjamanNya
Dan buatmu wahai yang lebih miskin dari saya
Moga engkau temui jalan pulangmu...



Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign