Asam Garam Kehidupan: Kelahiran Yang Ditunggu

Pages

27 Jun 2013

Kelahiran Yang Ditunggu

28 Novembar 1979

Hati Abidah dilanda gundah-gulana. Sejak beberapa minggu lepas hujan turun tanpa tanda untuk teduh. Air sungai juga mula melimpah. Kata orang kampung banjir besar akan melanda tahun ini. Mengingatkan itu hati Abidah tambah resah. Dia mengusap-ngusap perutnya yang sarat, cuma menunggu hari, terasa pergerakan lembut di situ. Abidah tersenyum kecil. Ya Allah, kepadaMu aku berserah.....nuraninya berbisik mengharap rahmat dari Maha Pencipta. Biar apapun ujianMu, biar derita seberat manapun, jangan Kau tinggalkan aku Tuhan, tak mengapa aku tidak mendapat kasih sayang manusia, yang penting aku dapat kasih sayangMu...hatinya berbisik lagi.

Dia menghalakan pandangannya ke arah Farish dan Firash yang leka bermain juraian hujan di tingkap. Sesekali Farish mengusik si adik dengan renjisan air hujan membuatkan Firash terkekeh-kekeh ketawa. Si adik pula membalas membuatkan suasana tambah gamat dengan gelak tawa mereka. Abidah tumpang bahagia, leka dia memerhati Farish dan Firash bermain begitu.

Pandangannya terarah pula kepada Siti sigadis sunti yang baru berusia sepuluh tahun tapi kelihatan cerdik dan matang. Nur sangat mengharapkan kelahiran seorang adik perempuan buat teman bermain. Dengan teman sekampung, dengan kawan-kawan di sekolah habis dicanangkan yang dia akan dapat seorang adik perempuan. Dek kerana inginkan sangat seorang adik perempuan selalulah si Firash jadi mangsa Siti, dibedakkan,diikat dua rambutnya, rambut Firash kerinting berombak separas bahu, wajahnya comel macam budak perempuan.

Siti walaupun baru berusia sepuluh tahun tapi sudah boleh diharap menolong kerja-kerja dapur seperti memasak, mengemas dan membasuh. Biarpun kadang-kadang nasi yang dimasak hangit, maklum sahaja masak guna kayu api. Basuh baju Abidah dan adik-adikpun dah boleh diharap. Abidah bukan tidak belas melihat Siti menapak ke sungai, tapi sudah sarat begini Abidah tak berdaya lagi menuruni bukit untuk ke sungai. Nasib baik juga bekalan air untuk memasak boleh diambil dari paip berhampiran, tapi jenuh juga menunggu giliran.

Selesai memasak nasi berlaukkan ikan sungai goreng dan pucuk paku yang juga digoreng, Siti meminta izin untuk ke rumah Nani kawan baiknya, tapi tidak diizinkan Abidah memandangkan hujan yang belum teduh dan bila mengenangkan saat melahirkan makin hampir. Kalau kebetulan Siti keluar dan dia nak melahirkan , siapa pula yang nak diharapkan memanggil bidan. Farish dan Firash baru berusia enam dan lima tahun, belum tahu apa-apa. Nak harapkan suaminya Halim... " Ah! tak payahlah, Halisah pun tengah sarat anak kedua, tapi dalam perutku ini anak abang Halim juga, Halisah lambat lagi, aku bila-bila masa saja,... ah! biarlah... Siti kan ada, lagipun aku percaya Kau takkan biarkan aku hambaMu yang kerdil ini". Air mata Abidah tumpah jua.

Petang merangkak ke senja, hujan belum juga reda. Dalam hatinya mengharap juga kepulangan suaminya menjenguk dirinya, bertanya khabar, atau menambah keperluan dapur yang makin susut. Dari maghrib ke isya, hingga menjelang tengah malam yang diharap tidak kunjung tiba. Abidah akur..biarlah... Cuma kebimbangannya bertambah juga bila dirasa sakit pinggang datangnya makin kerap dan perutnya kian mengeras.

Dalam suluhan pelta minyak tanah dia dapat melihat Siti, Farish dan Firash tidur bergelimpangan tanpa selimut. Jam di dinding menunjukkan pukul 4 pagi. Matanya tidak mampu dilelapkan, sakit di pinggang kian terasa. Rintik hujan juga sudah berhenti. Abidah cuba bangun, belas hatinya melihat anak-anak tidur mengerekot kesejukan, hendak diselimutkan, bila tiba-tiba dirasanya ada air panas mengalir deras membasahi kainnya...

Bersambung

No comments:

Post a Comment

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign