Asam Garam Kehidupan: Duta Islam Yang Pertama

Pages

18 Jul 2013

Duta Islam Yang Pertama

Saidina Mus'ab bin Umair ra adalah duta Islam pertama yang dihantar oleh Rasulullah SAW ke Madinah. Dia ditugaskan untuk mengajar Islam kepada penduduk Madinah yang baru menerima ajaran Islam dan memperkenalkan Islam kepada seluruh penduduk Madinah. Islam berkembang dengan cepat malah luar biasa di Madinah. Beliau bekerja siang dan malam untuk Allah dan RasulNya. Usahanya yang sangat gigih itu telah menyebabkan Islam sampai ke seluruh pelusuk Madinah. Tiada rumah di Madinah melainkan Islam telah memasukinya.

Penyebaran Islam secara pesat dan penerimaan luarbiasa penduduk Madinah telah berlaku dalam masa 3 tahun sahaja. Bermula selepas tahun kesepuluh hijrah sehinggalah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah dan tertegaknya sebuah negara Islam. Setiap orang yang telah masuk Islam di Madinah berusaha pula untuk membawa keluarganya masuk Islam. Contohnya seperti yang berlaku dalam keluarga Amru bin Jamuh. Semua anaknya telah masuk Islam tetapi Amru belum mahu menerima Islam. Anak-anaknya mahu menyedarkan ayah mereka dari kebatilan agamanya. Pada suatu malam ketika Amru sedang tidur mereka menyelinap masuk ke biliknya. Mereka telah melumurkan kotoran di berhala Amru. Apabila Amru bangun pagi, dia melihat tuhannya berlumuran dengan kotoran. Dia pun bercakap-cakap dengan tuhannya, " Siapakah yang memperlakukan begini kepada kamu? Kenapa kamu tidak mempertahankan diri kamu?" Selepas itu dia membersihkan dan mewangikan semula berhalanya. Selepas itu diapun menyembahnya. Keesokan malamnya anaknya lakukan lagi terhadap berhala Amru. Pagi esoknya bila didapati berhalanya berlumuran kotoran lagi  dia berkata kapada tuhannya, " Wahai tuhan, kenapa kamu tidak mempertahankan diri kamu?" Selepas itu dia membersihkan, mewangikan dan menyembahnya lagi. Digantungnya sebilah pedang di leher berhalanya sambil berkata, "Kalau ada sesiapa datang mahu mengotorkan kamu, kamu bunuh dia!"

Pada malam ketiga itu, anaknya datang lagi. Mereka telah menyembelih seekor anjing. Pada masa itu anjing belum diharamkan lagi. Mereka menggantung anjing itu di leher berhala bapa mereka. Mereka melumurkan berhala itu dengan darah anjing. Selepas itu berhala dan bangkai anjing itu dicampak ke tempat sampah. Apabila Amru bangun keesokan paginya dia mendapati berhalanya tiada lagi. Dia mencarinya di merata tempat. Akhirnya dia menemuinya di tempat sampah sarap bersama bangkai seekor anjing dan seluruh badannya berlumuran darah anjing. Ketika itu Amru berkata, " Demi Allah, engkau memang tidak layak disembah!" Peristiwa itu menyebabkan dia menyedari  bahawa agama menyembah berhala adalah agama yang karut. Ketika itu barulah dia dapat melihat kebenaran Islam dan beriman kepada Allah dan RasulNya. Demikianlah setiap orang berusaha untuk menyelamatkan keluarga mereka sehingga Islam tersebar ke seluruh Madinah dengan cepat.

No comments:

Post a Comment

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign