Abidah menggagahkan diri merangkak ke arah Nur. Dengan suara lemah dia mengejutkan Nur supaya memanggil bidan. Terpisat-pisat Nur bangun kebingungan, tapi bila mindanya mula waras dan menyedari keadaan ibunya , dia melompat bangun mengejutkan adik-adiknya, " Bangun, bangun mak nak bersalin, jom panggil tok bidan".
Abidah nampak anak-anaknya menyelinap turun dalam gelap pekat subuh. Hatinya sayu tak keruan, tapi dia tiada pilihan. Siapa lagi boleh diharapkan di saat-saat begini.
Sayup-sayup dia mendengar jerit-pekik Nur dan adik-adiknya memanggil bidan, " Tok bidan, oo tok bidan, mak nak bersalin, tok bidan, mak nak bersalin" bertingkah-tingkah dengan kokokan ayam . Lama juga mereka menjerit-jerit di tepi pagar yang menjadi sempadan rumah Abidah dan bidan tersebut.
Bila bidan datang Nur dan adik-adiknya menyambung tidur. Abidah dengar bidan bertanya di mana Halim tapi dia tak terdaya menjawab. Tidak lama kemudian Halim muncul bersama Halisah. Abidah sempat juga mendengar Halim dimarahi bidan tersebut kerana tinggalkan Abidah hanya dengan anak-anak di saat-saat begitu. Halim hanya membisu..
Menjelang azan subuh Abidah selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Nur yang terdengar tangisan bayi lansung terbangun semula. Penuh di dadanya harapan untuk mendakap seorang adik perempuan, dia berlari ke arah ibunya, "Ala, adik lelaki lagi". Tapi kekecewaan itu segera hilang bila dia menatap wajah comel adiknya itu, dicuitnya hidung sikecil yang sedang lena di pangkuan Abidah.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment