Diriwayatkan dari sebuah kitab, terdapat seorang wanita pembakar roti di zaman nabi Isa as. Suatu hari sedang wanita itu membakar roti, maka berkumandanglah panggilan untuk menyembah Allah. Wanita tersebut bingkas bangun meninggalkan roti yang sedang dibakar semata-mata untuk mengadap Allah Yang Maha Besar. Dengan hati yang penuh bimbang dan mengharap, dia mengadap Tuhannya.
Ketika itu datanglah syaitan yang menyamar seperti seorang perempuan dan berkata kepada perempuan itu, " Roti mu sudah hangus, cepat,"
Jawab wanita itu, " Tuhan yang aku sembah lebih baik dari roti itu,"
Syaitan itu tidak berputus asa lalu mengambil anak wanita itu dan dicampakkannya ke dalam tempat pembakar roti.Tidak lama kemudian suami wanita itu pulang dan didapati anaknya sedang bermain-main dengan bara api. Melihatkan kejadian yang pelik itu, suami wanita itu terus berjumpa dengan nabi Isa dan menceritakan peristiwa tersebut. Nabi Isa berkata, " Bawa aku kepada anakmu,"
Nabi Isa sendiri merasa takjub melihat peristiwa itu. Lebih-lebih lagi di celah-celah bara api tersebut tumbuh sebatang pokok delima dengan buahnya dan kanak-kanak itu menghisap buahnya. Bara-bara api itu bertukar menjadi permata seperti aked dan lu'luk. Kanak -kanak itu bermain riang dengan batu-batu permata tersebut.
Lalu Nabi Isa as menyuruh membawa isterinya untuk mendapatkan kepastian, Baginda bertanya, "Apa pekerjaan yang kamu lakukan hingga Allah muliakan kamu dengan kemuliaan ini?"
Jawab wanita itu, " Aku selalu melakukan tiga perkara di dalam hidupku, pertama wuduk tidak pernah hilang dari diriku melainkan aku memperbaharuinya apabila batal. Kedua aku selalu menilik orang mati yang diusung oleh orang hidup ke kubur. Aku juga akan menemui nasib seperti mereka suatu hari nanti. Ketiganya hajat manusia akan aku cuba capaikan sedaya-upayaku semata-mata untuk mencapai keredhaan di sisi Allah."
Setelah mendengar penjelasan wanita itu Nabi Isa berkata, " Inilah warisan segala para anbiya' dan jikalau kamu lelaki nescaya aku akan naik saksi bahawasanya kamu adalah seorang nabi. Tapi tidak ada nabi untuk perempuan,"
Di dunia lagi Allah telah memberikan keistimewaan untuk orang yang sentiasa mengekalkan wuduk apatah lagi di akhirat. Berwuduk dalam istilah lain iaitu membersihkan diri dari najis dan membasuh empat anggota dengan tertib. Anggota yang wajib dibasuh ialah muka, dua tangan ke siku, kepala dan dua kaki ke buku lali. Setiap titis air wuduk merupakan malaikat yang akan memohonkan keampunan untuk kita hingga ke hari kiamat. Barangsiapa tidur dengan berwuduk nescaya rohnya akan dapat naik hingga ke arasy dan pahalanya sama dengan orang yang mengerjakan puasa dan mendirikan sembahyang di malam hari. Mati dalam keadaan berwuduk pula mendapat pahala seperti orang mati syahid. Mimpinya juga akan terpelihara dari tipudaya syaitan. Mengekalkan wuduk adalah budaya orang soleh, dan barangsiapa mengamalkannya ia akan tergolong dalam golongan itu seperti sabda Nabi:
" Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum maka ia tergolong di dalam kaum tersebut."
No comments:
Post a Comment