Asam Garam Kehidupan: Catatan Sejarah Rasulullah

Pages

6 Jul 2013

Catatan Sejarah Rasulullah

Peperangan Tabuk
Kisah sepanjang perjalanan ke Tabuk.
Ada sebelas orang sahabat yang terkenal dengan iman dan kesetiaan mereka tidak menyertai tentera Rasulullah SAW. Salah seorang daripada mereka ialah Saidina Abu Khaisamah ra. Ada masalah yang menyebabkan dia terlewat tetapi dia yakin dia akan dapat mengejar tentera Islam. Rupanya tentera Islam sudah jauh dan dia tidak dapat mengejar mereka. Apabila dia pulang semula ke Madinah, dia mendapati semua isterinya memasang khemah dihadapan rumah mereka.  Mereka telah menyembur khemah dengan air dan membasahkan tanahnya supaya khemah menjadi sejuk. Mereka telah memetik buah pertama dari ladang milik mereka. Malah Saidina Abu Khaisamah ra mendapati isteri-isterinya telah berhias untuk melayaninya. Abu Khaisamah berkata kepada dirinya, "Apakah aku mahu duduk di khemah yang nyaman ini dengan buah-buahan dan layanan isteri-isteriku sedangkan Rasulullah SAW dalam kepanasan. Ini adalah sesuatu yang tidak adil. Tidak mungkin seorang yang beriman melakukannya!"

Lantas Saidina Abu Khaisamah ra berkata kepada isteri-isterinya, "Demi Allah , aku tidak akan masuk ke dalam khemah, aku mahu kamu persiapkan kelengkapan perang aku dan kenderaan aku untuk aku kejar Rasulullah SAW sekarang!" Mereka semua menyiapkan permintaan Abu Khaisamah ra lalu dia terus bergerak mengejar baginda. Rasulullah SAW dan tentera islam berjalan dan berhenti rehat tetapi Abu Khaisamah ra tidak berhenti rehat. Dia memecut kenderaannya untuk mengejar tentera Islam. Akhirnya dia berjaya mendekati tentera Islam. Rasullullah SAW sentiasa membuat pemeriksaan kepada tentera Islam. Baginda tahu siapa yang tidak bersama dengan pasukan tentera ini. Rasulullah SAW tahu bahawa Abu Khaisamah ra, Saidina Kaab ra dan Saidina Abu Lubabah ra dan beberapa orang lagi tidak ada. Ada di kalangan tentera Islam membuat andaian terhadap ketiadaan mereka bersama tentera Islam. Rasullullah SAW berkata "Kalaulah ada kebaikan kepada mereka, Allah SWT akan datangkan mereka tetapi kalaulah tiada kebaikan kepada mereka , Allah SWT telah rehatkan kita daripada mereka." 

Tiba-tiba mereka melihat ada seseorang sedang mengejar mereka dengan untanya. SEtiap orang cuba meneka siapakah yang mengejar mereka itu. Rasullullah SAW bersabda, "InsyaAllah itu Abu Khaisamah". Apabila dia semakin dekat mereka dapat mengenalinya dan mereka memberitahu Baginda. Demikian rintihan hati Saidina Abu Khaisamah ra telah sampai kepada Baginda sebelum jasadnya sampai. Dia meminta maaf kepada Baginda kerana kelewatannya. Rasulullah SAW telah memarahinya tetapi akhirnya Baginda telah memaafkan dan mendoakannya.





No comments:

Post a Comment

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign