Asam Garam Kehidupan: Kisah isteri yang solehah.

Pages

27 Dec 2013

Kisah isteri yang solehah.

Seorang lelaki bangsawan daripada Bani Israil telah keluar meninggalkan isterinya untuk satu perjalanan ( pengembaraan ) yang jauh. Isterinya yang bernama Aruh bukan saja cantik, tetapi bijak dan setia kepada suaminya serta taat kepada Allah SWT.

Sebelum meninggalkan rumah lelaki bangsawan itu telahh berwasiat kepada adik lelakinya supaya menjaga dan mengambil tahu hal isteri dan rumahnya. Pada suatu malam, setelah beberapa lama lelaki bangsawan itu meninggalkan rumahnya, adiknya datang menemui isterinya. setelah bertanya khabar dan berbual-bual, si adik yang dipercayai teguh memegang amanah abangnya itu berkata kepada kakak iparnya, " Sudah dua puluh tahun aku jatuh hati kepadamu. Sebelum ini aku malu dan takut kepada abangku, terpaksalah aku memendam rasa. Sekarang abangku iaitu suamimu telah lama pergi. Mungkin dia hilang dan tidak akan kembali lagi. Inilah masanya aku sampaikan hajatku."

Aruh sudah pasti adik iparnya datang mengunjunginya dengan niat jahat, bukan hendak bertanya khabar dan melindunginya seperti yang diamanahkan oleh suaminya.

" Tergamak engkau hendak mengkhianati amanah abangmu?" tanya Aruh dengan penuh rasa kesal. " Aku tidak akan mengikut kehendak nafsu buasmu, walau apapun terjadi aku tetap memelihara hak suamiku."

" Tetapi suamimu sudah tiada lagi, mungkin sudah mati. Lagipun sekarang kita berdua sahaja. Tiada siapa yang tahu perbuatan kita." kata lelaki itu.

" Kalaupun benar suamiku tiada lagi, aku tidak rela kesucianku dinodai. Walaupun kita hanya berdua sahaja, tetapi Allah menyaksikan kita. Aku tidak mahu melakukan dosa.  Aku tidak mahu menanggung dosa di dunia dan seksaan Allah di Akhirat, " dengan tegas Aruh menjawab.

Lelaki itu terdiam. Lalu iblis membisikkan sesuatu ke telinganya. Lantas lelaki itu kemudiannya berkata, " Kalau engkau tidak mahu memenuhi permintaanku, aku akan memfinahkan engkau. Aku akan umum kepada orang, bahawa engkau telah berzina dan engkau akan direjam."

" Aku tidak takut dengan ugutan itu. Engkau boleh lakukan itu kepadaku, tetapi kehormatanku tetap kupertahankan," jawab Aruh.

Adik iparnya amat marah dan terus melakukan apa yang dikatakannya itu. Aruh difinahkannya, kemudian dia ditangkap dan dibicarakan. Seterusnya dia dikenakan hukuman rejam di persimpangan jalan. Pada malamnya, ketika dia mengerang kesakitan, dia ditemui oleh seorang lelaki yang kebetulan lalu di situ. Lelaki itu, Jamal namanya segera menolong Aruh dan dibawa pulang ke rumahnya. Apabila sahabat-sahabat Jamal datang ke rumahnya dan melihat Aruh, mereka tergoda dengan kecantikan Aruh. Mereka mendekati Aruh dan cuba mencabul kehormatannya, tetapi ditegah oleh Jamal.

Kerana marahkan Jamal, seorang daripada sahabatnya itu datang semula ke rumah Jamal pada malam itu juga. Tujuannya hendak membunuh Jamal, tetapi terbunuh anak Jamal. Keesokan harinya, isteri Jamal menuduh Aruh membunuh anaknya. Tetapi Aruh dibela oleh Jamal. Hal ini menyebabkan isteri Jamal diserang rasa cemburu dan menuduh Jamal melakukan perbuatan curang dengan Aruh. Untuk menjernihkan keadaan Jamal meminta Aruh meninggalkan rumah mereka dengan membekalkan wang sebanyak 400 dirham.

Dalam perjalanan yang tidak tentu arah itu, Aruh bertemu pula dengan seorang lelaki yang dibelenggu oleh seorang lelaki lain. Apabila diketahuinya  lelaki itu dibelenggu kerana hutang, Aruh segera menolong lelaki itu dengan melangsaikan hutang dengan wangnya sebanyak 400 dirham itu. Lelaki yang ditolong Aruh berasa terhutang budi kepadanya. Dia berkata, " Kerana aku terhutang budi kepadamu, maka aku rela menjadi hambamu."

Aruh dan lelaki itu meneruskan perjalanan tanpa arah tujuan. Apabila tiba di tepi sebuah laut, lelaki itu dirasuk iblis. Dia hendak menodai kesucian Aruh. Tetapi Aruh bukan wanita sembarangan, dia tetap mempertahankan kehormatannya. Dia berkata, " Inikah balasan mu terhadapku setelah aku menolongmu dulu?"

Kecewa keran hajatnya tidak tercapai, lelaki itu mendendami Aruh.  DIa segera menemui seorang saudagar yang kebetulan berlabuh di situ. Dia berkata kepada suadagar itu, " Aku mempunyai seorang jariah ( hamba ) yang cantik. Aku hendak jualkannya kepadamu kerana aku kesuntukan wang."


Apabila saudagar itu melihat Aruh yang memang cantik itu, hatinya tertarik. " Berapa harganya?" tanya saudagar itu. "Tidak mahal, 300 dinar sahaja, " jawab lelaki itu. " Baiklah, aku setuju membelinya. Ambillah wang ini," kata saudagar itu dengan senang hati.

Aruh segera membantah, " Jangan beki aku, aku bukan hamba, aku merdeka, sebenarnya dialah yang mengakui menjadi hambaku," Bentakan Aruh tidak dihiraukan. Dengan cara paksaan dan kekerasan dia dibawa oleh anak-anak buah saudagar itu ke kapal.

Pada malamnya, apabila saudagar itu hendak merapatinya Aruh dengan rasa marah yang tidak terkawal, menampar muka saudagar itu dan berkata, " Takutilah engkau kepada Allah!' Dan ketika saudagar itu hendak melakukan kekerasan terhadapnya, tiba-tiba kapal itu dipukul oleh taufan yang hebat. Dalam beberapa ketika sahaja, tenggelamlah kapal itu dan semua di dalamnya mati kelemasan kecuali Aruh. Dia dilindungi oleh Allah Taala, dihanyutkan oleh arus dan terdampar di pantai sebuah negeri. Kemudian dia diselamatkan oleh orang-orang di pantai dan dibawa kepada raja negeri itu.

Raja yang adil itu memberi perlindungan kepada Aruh. Baginda mendirikan sebuah rumah khas untuk Aruh mengerjakan ibadah kepada Allah. Semenjak itu terkenallah Aruh sebagai seorang wanita solehah dan doanya sangat mustajab. Ramai orang sakit datang menemuinya dan didoakannya, lalu penyakit mereka disembuhkan oleh Allah Taala.

Suami Aruh rupanya masih hidup! Begitu lama dia meninggalkan isterinya dan kini ia pulang. Alangkah sedih hatinya, apabila didapatinya isterinya tiada di rumah dan dikatakan telah direjam kerana berzina. Kesedihannya bertambah apabila didapati adiknya pula buta dan beberapa orang kawan adiknya dihinggapi penyakit.

Untuk memulihkan kembali penglihatan adiknya, ramai orang menasihatkan suami Aruh supaya membawa adiknya itu menemui seorang wanita solehah di sebuah negeri. Dengan tujuan supaya adiknya dapat melihat kembali, suami Aruh segera bertindak mengikut nasihat itu.

Dalam perjalana dia bertemu dengan seorang lelaki yang bernam Jamal bersama seorang kawannya yang dihinggapi penyakit. Kemudian dia bertemu pula dengan seorang lelaki muda yang buta seperti adiknya. Kesemua orang yang ditemui itu seorang demi seorang menggabungkan diri, sama-sama berjalan menuju ke negeri yang dikatakan wanita solehah itu berada. Tujuan mereka juga sama, iaitu meminta wanita solehah itu mendoakan kesembuhan penyakit mereka.

Setelah beberapa lama berjalan akhirnya mereka tiba ke negeri itu. Mereka menuju ke rumah ibadah yang dikatakan didiami oleh wanita solehah itu. Aruh keluar dengan berpakaian hitam dan purdah menutupi wajahnya. Setelah kesemua yang hadir itu menyatakan hajat masing-masing, Aruh masuk semula ke biliknya. Dengan air mata berlinangan dia memuji Allah, bersyukur dan berdoa. Kemudian dia keluar semula lalu berkata, " Ketahuilah kamu semua, aku hanya dapat berdoa. Hajat kamu sama ada tercapai atau tidak, terserahlah kepada Allah SWT."

" Ya, tolonglah doakan kami. Upahnya akan kami berikan seberapa banyak yang dikenakan, " Ujar suami Aruh.

" Upah? Tidak! aku berkhidmat semata-mata kerana Allah Taala" Semua yang hadir tunduk dan mengangguk-angguk. Kepada suaminya, waniat solehah itu berkata, " Adik engkau ini mengikut tilikanku, telah melakukan kezaliman kepada seorang hamba Allah. Orang yang dizalminya dilindungi Allah tetapi adikmu menerima pembalasan seperti yang sedang ditanggungnya sekarang. Engkau suruhlah adikmu ini bertaubat dan mengakui dosa yang dilakukannya. Mudah-mudahan dia diampuni oleh Allah dan matanya dipulihkan seperti sediakala."

Si adik yang buta itu tunduk berfikir sejurus. Kemudian dia berkata kepada abangnya, " Memang benar seperti kata perempuan solehah ini, aku sebenranya telah mengkhianati amanahmu. Aku tidak menjaga isterimu, sebaliknya aku telah menzaliminya, kerana dia enggan melayan hafsu buasku, aku fitnahkan dia berzina dan dia telah dihukum rejam. Wahai abang,ampunkanlah aku!" dia mengakui dosanya.

" Apa yang engkau lakukan tehadap isteriku memang kejam dan memang sepatutnya engkau menerima pembalasan seperti ini!" Kata suami Aruh dengan marah sekali. " Tetapi kerana engkau adikku dan engkau mengakui kesilapan dan dosamu, aku ampunkan engkau, bertaubatlah engkau kepada Allah," katanya lagi.

Wanita solehah itu lalu berdoa kepada Allah SWT. Sejurus kemudian penglihatan adik iparnya itu pulih semula. Seterusnya wanita solehah itu menyuruh kesemua yang hadir itu bertaubat dan mengakui dosa masing-masing serta menceritakan apa yang telah mereka lakukan. Jika mereka enggan, mereka tidak akan diberi apa-apa pertolongan.

Seorang kawan adik ipar Aruh segera bangun dan berkata kepada suami Aruh, "aku juga berdosa kepada isteri engkau dan engkau sendiri. Aku mengaku aku telah bersubahat dengan adikmu memfitnahkan isterimu. Aku telah menjadi saksi palsu. Aku bertaubat sekarang. Da aku memoho ampun kepadamu, ampunkanlah aku."

Pengakuan yang sama dibuat oleh kawan-kawan adik ipar Aruh yang lain. Kawan Jamal pula berkata, "aku juga telah melakukan dosa. Apabila aku temui seorang wanita cantik di rumah Jamal, kawanku ini aku cuba menodai kehormatannya, tetapi aku ditegah oleh Jamal. Aku pulang dan datang lagi hendak membunuhnya tetapi terbunuh anaknya. Aku bertaubat sekarang, maafkanlah aku Jamal."

Orang muda yang buta itu pula berkata, " ketika aku dibelenggu kerana gagal membayar hutang, datang seorang wanita cantik menolong aku. Dia tolong melunaskan hutangku dan aku dibebaskan. Untuk membalas budi baik perempuan itu, aku berjanji untuk menjadi hamba kepadanya. Tetapi aku telah mengkhianatinya. Aku telah menjualnya kepada seorang saudaga kerana dia tidak mahu memenuhi kehendak nafsu buasku. Sekarang aku bertaubat."

Wanita solehah itu kemudiannya memberi isyarat kepada suaminya supaya mendekatinya. Suami Aruh mematuhi sahaja perintah itu. Ketika itu, dia bangun dan membuka purdah yang dipakainya. Apabila wajahnya terdedah maka tercenganglah suaminya dan kesemua yang hadir itu.

"Engkau Aruh isteriku?"  Tanya Sang suami separuh menjerit, Alhamdulillah engkau selamat dilindungi Allah SWT.

"Sekarang segala-galanya sudah jelas, Alhamdulillah," ujar Aruh dan memakai kembali purdahnya. "Bermaaf-maaflah di antara kamu. Atau barangkali ada di antara kamu hendak mengambil kisas, terpulanglah kepada kamu. Aku sendiri telah memaafkan kamu semua kerana Allah," Aruh lalu berdoa kepada Allah SWT supaya mereka yang terlibat sembuh dan pulih daripada penyakit dan kecacatan. Doa Aruh itu mustajab dimakbulkan Allah SWT. Semua yang terlibat pulih daripada kecacatan dan sembuh daripada penyakit masing-masing. Wallahu a'lam...

3 comments:

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign