Asam Garam Kehidupan: SAFAR- BUKAN BULAN BALA.

Pages

8 Dec 2013

SAFAR- BUKAN BULAN BALA.

SAFAR- adalah nama bulan kedua bagi tahun Hijrah. Erti Safar itu 'kosong'. Kita orang melayu selalu sebut sifar ( kosong ). Bulan ini dinamakan Safar kerana pada bulan tersebut kerana orang-orang Arab Jahiliah sering melakukan serangan terhadap sesuatu puak yang memusuhinya, sehingga kampung halaman mereka kosong tanpa penghuni.

Oleh kerana pada bulan ini selalu berlaku peperangan dan pertempuran di anatara kabi;ah-kabilah Arab, maka ia dianggap sebagai bulan yang paling dibenci di kalangan mereka. Mereka membuat prasangka yang tidak baik terhadap bulan Safar. Anggapan ini nampaknya juga menjangkiti masyarakat Islam seluruh dunia, termasuk di kalangan kita masyarakat Melayu, masih ada ada kepercayaan dan amalan karut yang berlaku.

Dalam bulan ini tidak ada hari-hari yang dirayakan oleh umat Islam. Perayaan ' Mandi Safar ' suatu masa dahulu tidaklah termasuk dalam hari-hari kebesaran umat Islam. Ia hanyalah adat yang sudah menjadi kebiasaan di dalam masyarakat melayu di pantai timur.

Rasulullah SAW ada bersabda berkenaan dengan bulan Safar. Baginda juga menyangkal bahawa bulan ini adalah bulan bencana dan membawa sial. dari Abu Hurairah ra Rasulullah SAW bersabda:

" Tidak ada jangkitan penyakit, tidak ada kesialan burung hantu, kerugian dan kesialan pada bulan safar."

Dari Jabir ra sabda Rasulullah SAW:

" Tidak ada jangkitan, tidak ada sial si polan dan sial bulan safar." Riwayat Muslim dan Abu Daud.

Antara peristiwa yang berlaku di bulan Safar ini ialah permulaan hijrah Rasulullah SAW. Baginda mula keluar dari kota Makkah bersama Saidina Abu Bakar pada akhir bulan Safar. Peperangan Bani Qainuqak pada tahun ketika dan peperangan Khaibar yang dimenangi oleh umat Islam secara gilang-gemilang pada tahun keempat Hijrah adalah berlaku pada bulan ini. Rasulullah mula gering pada akhir bulan Safar dan akhirnya wafat pada 12 Rabiul Awal tahun ke dua belas Hijrah.

* Hari ini 4 Safar, dua tahun lalu...Ma menyandar lesu ke dinding dengan kepalanya melentuk ke bahu setelah semalaman tidak tidur kerana sakit dada. Aku juga kembali menyambung tidur selepas subuh. Dalam pukul 9 pagi aku menyuapkan bubur nasi kosong ( itu yang Ma nak makan ), tapi Ma makan hanya dalam tiga ke empat suap sahaja. Wajah Ma begitu lesu dan layu. Aku pelik bila kuperhatikan hidung Ma yang nampak sangat lain, tapi waktu itu aku tidak terfikirkan apa-apa, ( hidung kembang dan nampak jatuh, salah satu tanda hampirnya kematian ). Ma minta untuk ke hospital, katanya kalau duduk hospital doktor bagi ubat dan masuk air mungkin boleh cepat baik. Kuhubungi ambulan sebab suami sudah ketempat kerja. Sepanjang jalan aku menangis mendudu-dudu walau cuba kutahan tidak mahu menangis depan Ma. Sampai di hospital lebih kurang pukul 11 pagi Ma terus ditempatkan ke Emergency Wad. Kuhubungi saudara mara terdekat, dan pada pukul !.37 tengahari Ma pergi tinggalkan kami buat selamanya.

Segalanya masih segar dalam ingatan, rindu, kasih-sayang, terkilan...semuanya masih terbuku di dalam dada. Terkilan kerana tidak berbakti sebaik mungkin, kerana tidak menyangka sakit Ma akan membawa kematiannya. Saat ini aku hanya mampu menghadiahkan sedikit jariah buat Ma, dengan doa sepenuh hati agar Ma tergolong di kalangan hambaNya yang dikasihi dan suatu waktu nanti direzekikan bersama di dalam satu kampung di syurga abadi..

2 comments:

  1. Pada zaman dulu2 (nak minta kepastian sila tanya generasi lama) ada beberapa acara 'tolak bala' di bulan Safar. Pantai2 pula dipenuhi org utk 'mandi Safar' kononnya bagi menolak bala. Sayangnya ada yg ingin menolak bala ditimpa bala kerana lemas ketika mandi atau kemalangan ketika ke tempat mandi. Nasib baik acara2 jahaliyah itu tidak diamalkan lagi sekarang...

    ReplyDelete
  2. itulah...mereka dulu bukan tak berilmu, tapi kurang penghayatannya, macam dulu-dulu, orang tau bertudung wajib, tapi berapa kerat je yang boleh pakai..

    ReplyDelete

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign