Asam Garam Kehidupan: Orang mati bersedekah.....

Pages

28 Jan 2014

Orang mati bersedekah.....

Tsabit Al Banani bermimpi melihat seorang pemuda keluar dari kuburnya dalam keadaan berserabaut, wajahnya pucat lesi, cemas dan gundah-gulana. Dia berjalan dengan tangan kosong sambil air matanya mengalir membasahi pipi. Sedangkan semua ahli kubur yang lain memakai pakaian putih bersih serta membawa makanan beraneka macam.

Tsabit pun bertanya mengapakan keadaannya menjadi sedemikian rupa. Pemuda itu berkata bahawa tidak ada seorang pun di dunia yang mahu mendoakan serta bersedekah untuknya. Sedangkan ahli-ahli kubur yang lain mempunyai keluarga dan sanak-saudara yang sering berdoa dan bersedekah untuk mereka pada setiap malam jumaat.

Ibunya masih hidup, tetapi telah berkahwin lagi, dia lupa untuk berdoa dan bersedekah untuknya. " Kini aku telah berputus-asa dengan rahmat Allah dan sentiasa sedih lagi cemas setiap masa," kata pemuda itu dengan sayunya.

Tsabit pun bertanya tentang ibunya dan di mana dia tinggal serta berjanji akan menceritakan keadaan pemuda itu kepada ibunya.

" Katakan bahawa di dalam poket bajuku ada wang seratus misqal warisan ayahku. Wang itu adalah kepunyaanku. Nanti dia akan percaya terhadap apa yang tuan ceritakan," pemuda itu berkata dengan penuh harapan.

Setelah terjaga keesokannya, Tsabit Al Banani terus mencari ibu pemuda itu dan menceritakan kisahnya. Ibu pemuda itu jatuh pengsan apabila mendengar kesusahan yang menimpa anaknya. Bila dia tersedar, terus diberikannya wang sebanyak 100 misqal tersebut kepada Tsabit Al Banani untuk disedekahkan dengan diniatkan pahalanya untuk arwah anaknya itu,

Sekali lagi Al Banani bermimpi berjumpa pemuda itu. Kali ini dia telah berubah dengan wajahnya berseri-seri penuh kegembiraan.  Kata pemuda itu, " Wahai Imam Muslim, mudah-mudahan Allah mengasihi engkau sebagaimana engkau mengasihi aku."

-------Tuhan, bagaimana aku di sana nanti? Aku takut, sekiranya amalanku tiada nilaiannya di mataMu, lalu ke mana lagi akan kuadukan nasibku...Wahai Yang Maha Mengasihani...pandanglah aku, pimpinlah daku selalu, sesungguhnya aku jahil tanpa pimpinan dariMu...pandangi daku dengan rahmat dan kasih-sayangMu--------

---------Ya Allah, kurniakan padaku rasa hamba itu, kerana hanya dengan rasa kehambaan aku dapat redha dengan setiap ketentuanMu terhadapku, agar aku tidak hilang pertimbangan dan keluh-kesah atas setiap kesusahan yang menimpaku-----

No comments:

Post a Comment

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign