Malaysia sedang mengalami saat ujian dan dugaan Tuhan. Kehilangan MH370 masih merupakan bencana yang belum ada kesudahannya. Tidak ada pertunjuk positif yang betul-betul konkrit. Semuanya hanya maklumat 'separa masak' yang akhirnya ternyata - samada tidak benar atau rekaan atau tidak tepat.
Ujian Tuhan yang mengejutkan ini pula berlaku pada 7 Mac tahun ini. 2014 adalah tahun yang dinanti-nanti oleh Kementerian Pelancongan dengan promosi Tahun Melawat Malaysia!! Sukarnya seseorang pemimpin atau menteri yang 'biasa-biasa' untuk membuat keputusan. Tentu serba salah kerana acara untuk setahun ini sudah lama dirancang sedangkan suasana sedih sedang menyelubungi negara.
Keadaannya sangatlah sukar dan sulit jika ada cadangan untuk mengubah suai acara Tahun Melawat Malaysia ini. Sasaran kementerian berkenaan ialah menjadikan sektor pelancongan negara sebagai penyumbang pendapatan negara yang terbanyak.
Bukan mudah! Jika kita faham, Tuhanlah yang mengubah agenda Tahun Melawat Malaysia menjadi 'Tahun Kesedihan Malaysia!!" Siapakah menteri yang mempunyai kekuatan jiwa dan kesedaran agama yang mampu mengubah semua agenda hiburan kepada agenda berunsur kerohanian, doa, solat hajat dan taubat? Yang lebih baik ialah menyediakan hiburan atau konsert alternatif yang bersesuaian dengan kehendak agama dan budaya tempatan.
Jika kita mahu mengenali seseorang tokoh berwibawa menjadi pemimpin negara di masa depan, kita lihatlah komen-komen yang ada di dalam media. Orang yang akan terajui negara ini sepatutnya sedar tentang percaturan Tuhan terhadap negara kita yang tercinta ini.
Sebagai contoh, penganjuran konsert hiburan yang merosakkan moral anak muda negara kita. Ini semua masih berlaku berleluasa tanpa ada usaha mengimbanginya dengan sesuatu yang lebih sihat dan positif. Seseorang yang bercita-cita besar untuk agama, akan mempunyai pelbagai idea segar dalam menyaingi arus kerosakan sosial golongan remaja di negara kita.
Dalam suasana sedih inilah kita dikejutkan adanya "International Future Music Festival Asia 2014."Ianya dijangka selama 3 hari (bermula semalam). Untuk itu. malam tadi satu konsert 'mega' telah diadakan di Stadium Bukit Jalil. 85,000 penonton terutama remaja telah hadir untuk terkinja-kinja menari di segenap ruang stadium!
Sesiapa yang berhati jujur pastilah akan mengakui bahawa konsert itu hanya menyumbang elemen kerosakan melampau. Konsert sebesar itu ternyata mengguris hati masyarakat Malaysia yang sedang bersedih duka. Seolah-olah masa yang baru seminggu berlalu kembali melalaikan kita.
Khabarnya konsert tersebut telah menyaksikan seorang mati kerana mengambil dadah berlebihan. Ada laporan yang mengatakan 4 orang yang mati manakala 5 yang lain sedang koma dan kritikal di hospital. Semuanya kerana penangan dadah. Jumlah yang terkorban tidaklah penting tetapi apa yang nyata, konsert sedemikian sangat menggalakkan pengambilan dadah, arak, pergaulan dan seks bebas serta kerosakan moral tanpa had.
Masyarakat dan negara akan terus dibebani hasil dari aktiviti hiburan yang merosakkan sebegini rupa. Kes mengandung anak zina akan terus meningkatkan statistik sedia ada, kes dadah, rogol, bunuh dan jenayah lainnya akan terus subur dengan adanya konsert atau acara hiburan seburuk itu.
Kepada pihak yang bertanggung jawab. kenang-kenangkanlah rakyat Malaysia lainnya yang prihatin terhadap nasib anak kapal dan penumpang MH370. Lakukanlah sesuatu supaya perkara yang mendatangkan kemurkaan Tuhan sebegini, tidak lagi kita izinkan berlaku. Besarlah kemurkaan Tuhan jika kita bermain-main dan berpura-pura dengan Tuhan.
Hukuman Tuhan sentiasa mengekori apa jua tindakan kita. Kerosakan remaja Melayu muslim di negara kita sudah sangat menyedihkan. Jika kemurkaan Tuhan berlaku lagi dengan insiden-insiden lain yang lebih dahsyat, mampukah lagi kita tersenyum dan berpesta ria?
Kehilangan MH370 sebenarnya peringatan Tuhan untuk pemimpin dan rakyat Malaysia. Ambillah iktibar dengan peristiwa yang berlaku. Itulah kasih sayang Tuhan agar kita mahu membuat perubahan. Jangan mengulangi kesilapan yang sama. Setelah Tuhan tegur kita dengan kehilangan MH370, janganlah kita masih lagi tegar memberi ruang golongan remaja bergelumang dosa.
Ingatlah bahawa kemungkaran yang kita izinkan adalah penggamit kemurkaan dan bencana dari langit. Jangan terus menjadi orang yang keliru sehingga tidak tahu mengaitkan apa yang berlaku dengan kuasa dan kehendak Tuhan. Semua dan segalanya termasuk kita semua adalah milik Tuhan. Dia amanahkan rakyat dan negara untuk kita tadbir mengikut kehendakNya..
Ampunkan kami Tuhan!! Bantulah dan sedarkanlah kami semua yang masih lalai!!
Jika anda menjadi pemimpin, apakah tindakan anda terhadap konsert sebegini?
Kembali kepada cara hidup islam.
ReplyDeleteSistem islam..
Kembali kpd Allah.
Insaflah yg kita sedang diuji Allah...
Rakyat mahukan Islam, tapi pemimpinnya tidak ada kaedah yang cantik untuk menyampaikan keindahan Islam kepada rakyat yang dipimpin, aduh...moga Allah segera datangkan seorang penyelamat.
DeleteMasa saya belajar, lecturer beritahu semua bemula dari rumah. Mungkin sebagai rakyat biasa kita mula majlis perkahwinan, kenduri meja makan lelaki perempuan berasingan dimana saya sendiri pernah hadir. Kaku sebab suami di tempat lain,tapi permulaan yang bernas.
ReplyDeleteuntuk bangunkan Islam, perlu ada sebuah jemaah dan pemimpin yang mengikut percaturan Tuhan, baru Islam indah terbangun, jika tak setakat itu sajalah...
Deletekerosakan dunia adalah disebabkan tangan - tangan manusia itu sendiri ...
ReplyDeleteya betul, kerosakan yang mengundang kemurkaan Tuhan...ampun ya Allah kerana lalai...
Delete