Bismillahirrahmanirrahim.
Kisah wakjuj makjuj telah saya dengar dari arwah mak saya sejak kecil lagi. Teringat sampai sekarang. Dalam suluhan pelita minyak tanah, al maklum waktu tu kampung belum ada elektrik, sambil ma menguli tepung karipap, mencanainya, mengelimnya...saya setia menemani ma saya saban malam. Hasil dari rajin menengok dan meneman ma saya, in shaa Allah saya pandai membuat karipap, dari zaman kecik main pondok-pondok tu, saya buat karipap betul-betul, goreng, siap makan dengan kawan, ... sampai sekarang boleh buat karipap, nak makan anak beranak tu lepaslah. Kalau nak buat frozen pun in shaa Allah boleh, cuma..malas je.
Arwah ma cerita wakjuj makjuj tu, saya tak dapat bayangkan bentuknya camane, tapi memang ngeri sebab terbayang kerakusannya memakan apa sahaja setelah keluar dari bukit Kaf, setelah terkurung sekian lama oleh benteng besi yang dibina oleh raja Iskandar Zulkarnain. Imaginasi anak perempuan berumur lebih kurang 8 ke 9 tahun waktu tu, saya membayangkan Iskandar Zulkarnain itu orangnya besar tinggi membawa pedang tajam berkilat...terasa sangat ingin melihat raja hebat itu, sehingga menyimpan namanya kononnya nak bagi nama anak nanti, boleh pulak ye berangan camtu padahal baru umur 9 tahun.
Kemudian saban malam saya mengharapkan ada orang bangun untuk azan subuh supaya benteng besi yang menipis dikeruk oleh wakjuj makjuj kembali utuh...tapi sampai sekarang pun bila mendengar azan subuh, hati saya menjadi lega, lega bukan kerana ketakutan zaman kecil bila membayangkan kerakusan wakjuj makjuj tu, tapi kerana yakin masih ada yang bangun dalam kedinginan pagi untuk menyampaikan seruan agar seluruh ummat manusia bangun mengabdi diri kepada yang Esa..
Hari ni ( rabu semalam sebenarnya) saya menyampaikan cerita wakjuj makjuj versi arwah ma kepada anak-anak tadika. Moga-moga mereka diberi faham oleh Allah sedikit situasi akhir zaman sekarang ni.
بارك الله فىه.