Asam Garam Kehidupan: July 2013

Nuffnang

Pages

31 Jul 2013

Harimau tunduk padanya berkat sabar

Telah diriwayatkan pada zaman dahulu kisah dua orang adik-beradik soleh yang tinggal berjauhan antara mereka. Oleh kerana tinggal berjauhan, maka jaranglah mereka dapat bertemu. Kadang-kadang mereka dapat berjumpa setahun sekali sahaja.
Pada suatu hari si adik ke rumah abangnya kerana ingin menziarahi abangnya. Kebetulan masa itu abangnya tiada di rumah. Dia lantas bertanya kepada kakak iparnya ke mana gerangan si abang. Bukan main terperanjat si adik apabila kakak iparnya dengan marah-marah menjawab, " Dia pergi mencari kayu, semoga dia tidak lagi dikembalikan Allah," sambil itu mulutnya terus memaki-maki suaminya dengan kuat. Oleh kerana dia dia ingin sangat bertemu dengan abangnya, maka dia sanggup menunggu sehingga abangnya pulang.
Tidak berapa lama kemudian, pulanglah abangnya bersama seekor harimau yang membawa kayu di atas belakangnya. Setelah abangnya menurunkan kaya tersebut, dia berkata kepada sang harimau, " Pergilah, semoga Allah memberkati kamu,"
Setelah itu barulah dia mempersilakan adiknya masuk ke rumah. Sementara itu, isterinya masih tetap memaki-maki sambil marah-marah, namun si abang tetap membisu. Tidak dijawab walau sepatahpun. Dengan susah-payah dia melayan adiknya yang datang dari jauh itu, menghidangkan makanan dan makan bersama adiknya. Setelah bertanya khabar dan berbual-bual, si adik pun meminta izin untuk pulang. Dalam  pada itu si adik tak henti-henti memikirkan kesabaran abangnya menghadapi isterinya yang banyak kerenah itu.
Pada tahun berikutnya, sekali lagi si adik datang menziarahi abangnya. Tapi si abang tiada di rumah seperti sebelumnya. Tapi kali ini kakak iparnya tidak lagi marah-marah atau memaki hamun suaminya, sebaliknya dia disambut dan dipersilakan menunggu kepulangan abangnya. Sebentar kemudian pulanglah abangnya sambil memikul kayu di atas bahunya sendiri. Kemudian dia mempersilakan adiknya masuk dan makan bersama-samanya. Tetapi kali ini abangnya tidak perlu lagi bersusah-payah melayan adiknya sebaliknya makanan telahpun disediakan oleh isterinya yang baik hati itu. Melihatkan keadaan yang berbeza dari tahun sebelumnya, si adik lantas bertanya:
" Wahai abang, dulu ada seekor harimau yang memikulkan kayu untukmu tetapi sekarang kayu itu engkau pikul sendiri. Dan sewaktu aku sampai tadi isterimu sudah berubah sama sekali. Apakah rahsia di sebalik semuanya?"
Si abang tersenyum  lantas menjawab, " Wahai adikku, isteriku yang cerewet itu telah meninggal dunia, dan kerana aku bersabar dengan kerenahnya itu maka Allah mendatangkan harimau itu untuk membantuku. Kemudian ketika aku diganti Tuhan dengan isteri yang baik budi ini, sudah tidak ada lagi harimau itu dan aku terpaksa memikul kayu sendiri,"

Begitulah rahmat dan kasih sayang serta keadilan Allah pada hambaNya, cuma kita sebagai hamba selalu kurang sabar dan hilang arah bila diuji. Tetapi bagi orang yang ingin mencapai darjat yang tinggi di sisi Allah SWT, walau terpaksa menderita mereka sanggup menghadapi apa jua kesusahan dan ujian yang ditimpakan kepadanya. Moga kita tergolong di kalangan orang sabar.

30 Jul 2013

CINTA INI UNTUK SIAPA?

Kalau ada orang hadiahkan kita sesuatu yang berharga seperti kereta, peti ais, almari, barang kemas dan lain-kain, siapa yang kita cinta? Orang yang menghadiah atau barang-barang yang dihadiahkan? Tentu pada orangnya. Barang-barang itu kalau disukai, tapi tentu tidak melebihi dari cinta pada orang yang memberinya.

Itu yang pataut. Yang tidak patut ialah mencintai barang lebih dari orang yang memberi. Hingga orang itu dilupakan dan tidak dipeduli. Tapi itulah yang berlaku kini. Allah hadiahkan kita segala macam nikmat. Tiba-tiba nikmat itu yang kita puja dan puji hingga kita tidak peduli dan tidak ingat pada Allah. Bukan saja tidak cinta pada Allah, bahkan menderhakaiNya pula. Tidak fikir pun nak korbankan 'pinjaman-pinjaman'Allah itu ke jalan Allah.

Semuanya diambil dan digunakan untuk kepentingan diri. Tidak ada rasa terima kasih pada Allah. Alangkah kejamnya kita, sedangkan binatang pun tahu membalas budi tuannya. Tapi manusia lupa daratan, lupa pada yang menciptanya.Cinta diberi pada harta, anak, isteri, pada perniagaan, pengajian dan lain-lain hingga tiada sedikit pun cinta pada Allah. 

Kita sanggup berkorban pada yang kita cintai tadi, namun tiada apa yang kita korbankan di jalan Allah. Walhal semua yang dikasihi itu tidak kekal dan pengorbanan juga tidak berbalas. Jadilah manusia selalu kecewa dalam hidup, akibat tersalah memberi cinta.

Cinta agung sepatutnya diberi pada Allah. Berkorban habis-habisan untuk Allah. Barulah cinta tidak berakhir sia-sia dan pengorbanan akan dinilai dan diganti.

* Baru nak belajar mencintai Dia *

29 Jul 2013

SIAPA YANG GILA NI?

Dalam sebuah kampung tinggallah seorang orang gila. Pada suatu pagi dapat pulak dia masuk ke masjid...

" test, test..Allahu akbar, Allahu akbar"... dia mengalunkan azan hingga habis.

Orang kampung yang kehairanan mendengar azan jam 9 pagi berdatangan ke masjid.

" La, si gila ni rupanya, woii, gila, kenapa kau azan jam 9 pagi ha? memang betullah kau gila"

Si gila yang tak nak mengaku gila menjawab..
WOII, KOWANGLA GILA, MASA AZAN SUBUH TADI KOWANG TAK DATANG, NI AKU AZAN PUKUL 9 KOWANG DATANG PLAK, HA HA HA....

Jadi siapa yang gila ekk?!!!
                              

28 Jul 2013

Tudungkan luar dalam

Ada orang, orang lain pakai tudung, diapun nak pakai tudung. Orang lain pakai tudung kerana taatkan Allah. Takut 
 nak dedah aurat kerana takut dengan Neraka. Maka ditutuplah aurat itu serapi-rapinya. Agar terlindung dari pandangan mata lelaki mata keranjang. Pakai tudung, sembahyang, puasa, taat suami, jaga pula maruah diri. Tak mahu berganding bahu dan bersiar-siar serta bergelak ketawa dengan lelaki yang belum jagi suami. Takut pula nak berhias-hias dan menconteng pipi warna-warni depan lelaki yang bukan suami. Tempat maksiat dijauhi dan dimusuhi. Harapan agar jadi wanita solehah. Moga tercapailah cita-cita mulia.

Tapi ada juga yang tutup atas bawah buka. Rambut ditutup leher dan tangan dibuka. Pakai tudung dengan baju kebaya. Cantik dan seksi pada pandangan lelaki. Bercakap dan berjalan dengan lelaki tak rasa apa-apa. Taman bunga, panggung wayang dan tempat maksiat lain pun pergi juga. Tudung pula berenda-renda. Bersulam,bermanik sana- sini, lagi cantik dan silau lah mata. Ini pakai tudung untuk apa? Nak tutup aurat atau fesyen saja?

Janganlah cemarkan tudung ( lambang wanita solehah ) dengan maksiat. Kalau nak bertudung di luar, tudunglah hati juga. Jangan sampai luar ditudung, dalam hati berbunga-bunga cinta dunia. Tak salah berfesyen, yang salah fesyen melampaui batas. Tudung adalah alat untuk selamatkan diri dari api neraka. Oleh itu jagalah adab-adabnya agar di akhirat boleh jadi orang yang bahagia.    
                                  

Cara ke Tandas Mengikut Sunnah

Seringkali kedapatan di kalangan kita yang susah untuk membuang air besar. Kadangkala ianya menjadikan saat yang membosankan kerana terpaksa berjam-jam di dalam tandas.

Cara yang terbaik sekali untuk membuang air besar ialah dengan bertinggung mengikut sunnah Rasulullah SAW. Iaitu dengan meletakkan peha kiri di atas kaki kiri manakala kaki kanan mencangkung seperti biasa.

Tangan kanan hendaklah diletakkan di atas kepala. Ini bertujuan untuk mengelakkan dari dikencing dan dilumuri najis oleh syaitan sebab tandas adalah rumah utamanya. Sebaik-baiknya, ketika hendak masuk ke tandas pakailah tutup kepala (tangan kanan ini boleh menggantikan tutup kepala jika kita di dalam keadaan terdesak).

Manakala siku kiri boleh membantu melawaskan pembuangan air besar dengan menekan di bawah perut.

Bagi orang yang belum pernah dan belum biasa dengan teknik ini mungkin merasakan terlalu sukar, tapi inilah sunnah yang mana ianya juga boleh mengatasi masalah sembelit.

Amalan bertinggung biasa, sedikit sebanyak boleh membawa kesan buruk pada diri terutama penyakit buasir. Kuman-kuman dari lubang tandas akan mudah masuk ke dalam dubur berikutan terlalu hampirnya ia dengan lubang tandas. Jika dalam keadaan musafir di dalam hutan, ikutlah seperti mana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW kerana ianya boleh menyelamatkan diri daripada digigit oleh serangga yang melata di bumi.

Ketika menyuci najis pula, masukkan seruas jari tengah (kiri) ke dalam dubur. Bersihkanlah najis-najis yang melekat di kawasan itu. Jangan basuh hanya di kawasan luar dubur sahaja kerana sesiapa yang solat dalam keadaan dirinya menanggung najis, solat tidak sah.

Akhir kata, sebelum ke tandas jangan lupa membaca doa dan memakai selipar ataupun alas kaki. Sebelum keluar dari tandas jangan lupa membasuh kaki, ini boleh mengelakkan sakit kepala. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud:

"Membasuh dua tumit kaki dengan air yang sejuk selepas keluar dari bilik air boleh mengelakkan sakit kepala."

Subhanallah


SUBHANALLAH
Kenderaan ini telah hangus terbakar, tetapi kalam suci Al-Quran ini tetap terpelihara dari api yang membara. Tidak ada keraguan bagi mereka-mereka yang beriman. ALLAH MAHA BESAR

Ucaplah SUBHANALLAH

26 Jul 2013

Titian


Titian menjadi penghubung
Memudahkan perjalanan
Menyegarkan pertemuan
Seburuk-buruk titian dunia...
Masih boleh diperbaiki
Untuk keselamatan dan kemudahan pengguna
Titian صِرَاطُ الْمُسْتَقِيْمِ di negeri abadi...
Sehalus sehelai rambut dibelah tujuh
Tiada kenderaan yang mampu melaluinya
Melainkan kenderaan dari amal soleh dan taqwa
Dihiasi pula dengan keikhlasan
Serta rahmat dan kasih sayang Allah.

Hebatnya Kalau Boleh Tangisi Dosa

Bukan senang hendak menangis kerana rasa berdosa. Yang selalunya orang menangis kerana kalau putus cinta, kecewa, bergaduh dengan suami atau boyfriend, suami kahwin lagi, kerana hajat tak sampai dan macam-macam sebab lagi. Yang mana semua tangisan itu tak ada pahalanya di sisi Allah.

Yang paling dahsyat ada yang menangis kerana kematian bintang filem pujaan, menangis kerana meraikan maksiat, tengok cerita hindustan atau cerita melayu, satu panggung menangis. Tak pakat pun, tapi boleh menangis ramai-ramai. Keluar panggung sampai merah-merah mata.

Walhal masuk panggung sesak-sesak lelaki perempuan, tengok pula adegan peluk cium yang dah jelas haramnya. Tumpang menangis pulak bila hero-heroin frust. Tak ke kelakar tu. Tangisan yang jelas sia-sia, share saham dosa lagi...

Kalau kita boleh menangis kerana dosa itu petanda baik. Itu tradisi orang soleh. Orang soleh dulu bukan setakat menangis malah ada yang pengsan, dan ada yang matipun bila teringatkan dosa. Bacalah kisah bagaimana Saidina Abu Bakar yang sampai orang lain dapat tercium bau hangit hatinya yang terbakar setiap kali mengadap Allah. Itulah hati orang yang cinta Allah.

Rasul kata stitik air mata yang tumpah kerana takutkan dosa, boleh menyelamatkan orang itu dari bakaran api neraka. Tapi kalau menangis kerana sebab-sebab selain dari itu tak ada jaminan syurga. Sebaliknya lebih dekat dengan neraka kerana menangis itu kerana tak redha dengan ketentuan Allah.

* Jenuh teran-teran air mata, susahnya nak keluar, kecuali ingat perkara sedih, hu hu *


SIAPA SANGKA....

   


Siapa sangka jaringan benang yang halus
Tanpa berpahat atau diikat
Menjadi perisai yang kukuh
Bagi labah-labah menangkap mangsanya
Begitulah sunnatullah
Yang lemah atau kurang
Belum tentu dia kalah atau salah
Yang kuat dan gagah
Tidak semestinya dia menang atau benar
Kadang-kadang yang kalah itu benar
Yang menang itu salah
Semuanya tersirat berbagai hikmah
Biasanya yang benar itu tetap menang
Sekalipun ia lemah dan kurang
Kerana di situlah letaknya bantuan Allah
Bagi mereka yang bertaqwa.

Asal-usul rakaat sembahyang

Mengapa sembahyang lima waktu tidak sama jumlah rakaatnya? Antara rahsianya ialah:

Sembahyang subuh: dua rakaat dikaitkan dengan Nabi Adam as yang sujud syukur sebanyak dua kali sewaktu matahari akan terbit selepas diturunkan dari syurga ke bumi.

Sembahyang zohor: dikaitkan dengan korban Nabi Ibrahim as setelah menggantikan anaknya Nabi Ismail as dengan seekor kibasy untuk dijadikan korban. Nabi Ibrahim telah sujud syukur sebanya empat kali. Kejadian berlaku setelah gelincir matahari.

Sembahyang asar: ada kaitannya dengan Nabi Yunus yang sujud syukur sebanyak empat kali pada waktu asar, setelah selamat keluar dari perut ikan Nun.

Sembahyang maghrib: tiga rakaat ada hubungannya dengan Nabi Isa as. Apabila Jibril as datang untuk menyelamatkan Nabi Isa dari dibunuh oleh Yahuza, bekas anak murid yang khianat padanya, Nabi Isa telah sujud syukur sebanyak tiga kali iaitu ketika terbenamnya matahari.

Sembahyang Isya: dikaitkan dengan riwayat Nabi Musa as ketika baginda berada di Bukit Tursina. Baginda sujud syukur sebanyak empat kali pada wakti Isya.

* moga ada manfaatnya *

               

25 Jul 2013

Bersiap untuk raya?

Rasanya topik yang paling hangat diperbualkan orang sekarang ni ialah persiapan menyambut hari raya. Berjalan kat mana-mana pun suasana nak menyambut syawal tu dah terlihat begitu meriah. Malah sebelum Ramadhan pun dah boleh tengok 'bena' jualan murah tak kira kat kedai kecik, kedai-kedai besar, pasaraya lagi meransang mood raya melebihi sambutan terhadap Ramadhan.

Teman alam maya pun ada yang dah mula buat kuih raya,shopping baju raya, langsir raya, bekas kuih raya dan segala hal berkaitan raya. Baguslah, taklah kelam-kabut nanti.

Cuma ini peringatan untuk diriku yang selalu 'tergelincir', mudah-mudahan ada manfaat yang boleh kita kongsikan bersama..

Dalam kita bergembira membuat berbagai persiapan untuk syawal ni, moga kita selalu ingat apa yang kita ada sekarang cuma pinjaman Allah sementara kepada kita. Allah boleh ambik semula bila-bila masa Dia suka. Jangan sampai kita hilang pertimbangan,keluh-kesah, kalut semacam bila Allah ambik semula hakNya yang dipinjamkan. Mana tau kita ni dah banyak sangat cuai dengan Allah, Allah boleh datangkan pencuri ke, kebakaran ke, tak mustahilkan?

Moga kita jadi hamba yang selalu bersyukur dengan segala nikmat pemberian Allah yang tak terhitung banyaknya.Segala nikmat itu adalah pinjaman sementara sahaja untuk menguji samada kita bersyukur atau tidak. Menggunakan segala nikmat itu ke arah kebaikan. Kejarlah kebahagiaan yang hakiki iaitu dengan meningkatkan keimanan kepada Allah. Kerana hanya padaNya ada cinta yang Agung......

        

24 Jul 2013

Kasutnya tertinggal

Bisyru Al Haafi adalah seorang hartawan di Baghdad yang hidupnya siang dan malam berfoya-foya dengan kemewahan, arak dan wanita. Cahaya Allah melimpah ke hatinya disebabkan teguran dari seorang tetamu yang tidak dikenalinya. 

Sedang Bisyru menghirup nikmat dunia, tiba-tiba datang seorang tetamu mengetuk pintu rumahnya. Jariyahnya ( hamba wanita ) keluar melihat siapa yang datang.

Tamu itu bertanya kepada jariyah: " Yang empunya rumah ini orang merdeka atau hamba?"

Jariyah itu menjawab: " Seorang merdeka dari golongan pertuanan."

" Engkau telah berkata benar," kata tamu itu lagi setelah mendengar jawaban si jariyah. " Kalau dia hamba tentu dia akan melakukan adab-adab seorang hamba. Bahkan dia akan meninggalkan segala macam permainan yang sia-sia itu kerana takut akan Tuhannya"

Setelah itu tamu tersebut pun beredar. Kata-kata dari tamu itu disampaikan oleh jariyah kepada Bisyru. Di saat itu juga hati Bisyru bergoncang dan beliau terus mengejar orang itu sampai lupa untuk memakai sepatu.

apabila bertemu dengan tetamu tersebut, Bisyru memintanya mengulangi kata-kata itu lagi. Apabila diulang bertambah kuatlah goncangan di hatinya.

Akhirnya Bisyru meninggalkan kehidupan yang penuh maksiat lalu menyerahkan diri kepada Allah sepenuhnya. Jadilah Bisyru Al Haafi seorang waliyullah yang tinggi rasa takut dan cintanya kepada Allah SWT.

Iktibar dari seekor nyamuk

Ngg.. ngg..ngg.., seekor nyamuk berlegar-legar di kepala, muka, hidung.. tangan kita pun cepat saja bertindak. Ppp.. berakhirlah riwayat hidup seekor nyamuk yang sedang mencari rezeki.

Dan kita telah menjatuhkan hukuman tanpa bicara, tanpa timbang rasa, tanpa tanya jawab. Tidak terfikirka lansung keperluan sang nyamuk tadi yang hanya mahu setitis saja dari darah kita. Mudah-mudah saja kita menghukum, hanya dengan sedikit kesalahan...

Itu tentang seekor nyamuk yang mungkin boleh membawa mudharat pada kita, yang tidak salah kita membunuhnya. Tapi hakikatnya begitulah kita, cepat saja menghukum kesilapan orang lain. Lebih -lebih lagi bila kesalahannya itu ada kaitan dengan kita, bila anak nakal cepat saja tangan kita mencubit ( sayalah tu, hu hu ), bila suami menegur ada saja jawaban kita, bila kawan buat kerenah cepat saja kita menyangka-nyangka....

Jarang di antara kita yang akan berkata, " Mungkin ada sebab kenapa dia buat begitu..." atau hati terasa, " Agaknya kalau aku buat begitu, macam nilah orang kan terasa..." Iaitu sangat berhati-hati untuk menjatuhkan hukuman, walaupun hanya di dalam hati.

Cuba bayangkan kalau Allah Yang Maha Besar, Maha Kaya dan Maha Perkasa itu berbuat begitu kepada makhlukNya khususnya manusia, sepertimana kita selalu berbuat ( Menghukum ) kepada nyamuk tadi, rasanya hampir mustahil kita boleh berjumpa spesies manusia di muka bumi ini lagi. Justeru tidak ada satu manusiapun yang tidak pernah buat silap dan salah, samada dengan Allah atau sesama manusai. Kecuali para nabi dan Rasul yang memang terpelihara dari melakukan dosa.

Tetapi Maha Baiknya allah, kita yang selalu buat salah dan silap, masih lagi diberikan rezeki setiap hari, masuk lagi diberi menyedut oksigen percuma setiap saat. Masih lagi mahu Dia menerima kita. Yang mahu menyembahNya atau tidak, semua diberi nikmat, maka nikmatNya yang manakah yang hendak kita dustakan?

Maha Lembutnya Allah itu, bila hambaNya engkar, bahkan sombong dengan dosanya, Dia tidak menghukum tanpa memberi peluang terlebih dahulu untuk hambaNya bertaubat. Bahkan kepada makhluk yang tidak merasa berdosa, didatangkannya ujian dan bala berupa kesusahan, kesakitan, dan pengajaran-pengajaran dari orang lain, yang seakan memberitahu si hamba, " Sedarlah wahai hambaKu, kau telah tersalah, mintalah ampun kepadaKu, Aku sentiasa sedia menerimanya...."Bahkan bukan sekali dua diberi peluang untuk bertaubat dan membaiki diri. Bahkan sepanjang umur si hamba, hinggalah di ambang sakaratulmaut.

Bersyukurlah kita kerana masih diberi peluang dan kesempatan. Namun peluangNya ada had dan masanya. Jika sudah di ambang sakaratulmaut.....

                               

23 Jul 2013

Taat suami, Taatkan Allah

Seorang isteri mempersoalkan, kenapa perempuan saja yang disuruh taatkan suami. Perempuan kena begini, kena begitu dengan suami. Kena jadi isteri solehahlah dan macam-macam lagi. Orang lelaki relaks saja.Komennya..

Yang suruh taatkan suami tu bukannya suami atau alim ulama. Tapi Allah. Sebagai seorang yang beriman, masakan suruhan Allah pun nak dibangkang. Lagipun kalau kita taatkan suami, yang dapat pahala bukannya suami, tapi kita. Tak rugi.

Bab taat-taat ni, bukan isteri saja kena taatkan suami. Di pejabat, pekerja disuruh taatkan bos. Apa jadi kalau pekerja tak taatkan bos. Tentu pejabat akan jadi pasar, jadi tempat lepak, tempat berniaga, tempat curi tulang dan segala-galanya yang pekerja mahu. Pejabat apa namanya kalau macam tu? Bila pekerja taat barulah disiplin dapat berjalan. Pejabat jadi tempat bekerja dan berurusan. Sebab taat mendatangkan rasa patuh dan ingin ikut undang-undang yang ada. Memang cantik undang-undang yang Allah dah tetapkan. Suami ketua dalam rumahtangga. Setiap ketua mesti ditaati. Barulah ketua dapat melindungi orang yang di bawah jagaannya.

Susun kasut pupuk rasa hamba

Ada banyak sikap baik yang semakin dilupakan orang. Salah satu di antaranya ialah:
Apabila memasuki surau, masjid, rumah, dewan atau mana-mana kawasan yang memerlukan kasut ditanggalkan, mereka akan menanggalkan kasut dan menyusunnya dengan cantik dan teratur.

Bayangkan jika lalu di hadapan rumah yang di pintunya terdapat kasut yang tersusun cantik dan teratur. Tentu hati kita senang dan gembira melihatnya. Susunan kasut yang teratur dan cantik menunjukkan orang di dalamnya juga seorang yang teratur dalam melakukan pekerjaan, pembersih dan kemas. Ia juga melambangkan pemikiran yang teratur. Bayangkan pula kalau kita melihat kasut-kasut yang bertaburan di sana- sini. Tentu sakit mata dan sakit hati melihat keadaan seperti itu.  

Kerja menyusun kasut ini nampak remeh dan leceh. Tidak ramai orang sanggup melakukannya, boleh jatuh standard. Tetapi ia sebenarnya sangat mendidik kita untuk memepunyai sifat hamba atau rasa kehambaan sekaligus melahirkan sifat-sifat mahmudah. Malah dapat menundukkan ego ysng menjadi ibu segala kejahatan.

Ia melatih kita hilang rasa malu dalam melakukan kebaikan sekalipun ia kerja orang bawahan. Secara tidak lansung kita dapat memahami perasaan orang yang melakukan kerja-kerja yang dianggap hina dan kotor seperti mencuci lantai, longkang, mengangkut sampah dan sebagainya. Barulah kita dapat menghargai setiap orang tidak kira apa statusnya.

Kita akan terlatih berdisiplin dan bertanggungjawab dalam setiap perkara yang kita lakukan. Kalau terhadap sepasang kasut pun kita sangat menjaganya, tidak dibiarkan bertaburan, tentu kita akan menjaga perkara yang lebih besar dari itu. Tentu kita mahu menjadi orang yang baik, bertanggungjawab, berdikari, berakhlak mulia, merendah diri dan disenangi oleh setiap orang, lebih-lebih lagi oleh Allah dan Rasul.

Sikap yang baik ini perlu dipupuk dan dilatih sejak kecil lagi agar menjadi kebiasaan dan mendarah daging dalam diri kita. Kerjanya mudah tetapi sukar dilakukan kalau tidak bersungguh-sungguh dan kalau bukan kerana Allah. Kalau selain dari Allah kita tidak akan melakukannya kerana ada kepentingan,percayalah.

Bagaimana? Sanggup cuba susun kasut di surau malam ni? 

* Imam Al-Ghazali pernah melakukan kerja mencuci tandas untuk memupuk rasa hamba*

       

Aduih, seksanya....

Sedar tak sedar dah nak masuk 15 Ramadhan. Alhamdulillah puasa tidak lagi menjadi masalah kepada anak-anak, kalau ada pun cuma merungut dahaga je, dah mandi, rehat depan tv oklah semula. Cuma masalah lain pulak timbul.

Susah nak makan sahur. Dikejut suruh bangun takde masalah, nak makan....muka masing-masing, cam cekodok sejuk!

Teringat cerita dongeng Ma tentang bulan, sebab diorang pun kecoh tengok bulan yang hampir mengambang penuh tu. Jadi nak bagi ceria sket masa sahur tadi aku ceritakan semula cerita dongeng Ma...

Pada zaman dahulu...(cewah..aku kan cikgu tadika, mesti pandai bercerita)...
" Ada seorang budak lelaki bernama Awang, Awang ni anak tunggal, dia ada bela seekor ayam jantan yang diberi nama Jalak. Jalak ni seekor ayam jantan yang besar, suara kokokan dia kuat, boleh dengar sampai ke bulan"

Sampai kat sini, mata masing-masing dah bulat, tangan pun dah makin laju menyuap nasi, aku sambung cerita...

" Satu hari Awang teringin nak makan pisang, dia pun minta kat mak dia, tapi mak dia tengah sibuk masak, suruh minta kat ayah, ayah pulak tengah sibuk menyirat jala"

" Menyirat jala tu apa bu?" Kena pulak terangkan maksud menyirat.

Sambung cerita... " Si ayah pulak suruh minta kat mak. Sekali lagi Awang minta pisang kat mak dia, mak suruh lagi minta kat ayah, macam tulah sampai beberapa kali. Awang rasa sedih sangat. Dia pun pergi ke reban si Jalak, mengadulah dia pada si Jalak akan kesedihannya tak dapat makan pisang. Tiba-tiba badan si Jalak menjadi semakin besar, Awang pun naik ke atas badan si Jalak. Si jalak pun membawa Awang terbang, makin tinggi, tinggi, tinggi dan akhirnya sampai ke bulan"

" Bila mak dia cari ajak makan malam tengok Awang dah tak ada, puaslah dicari Awang merata-rata, tak juga berjumpa. Tiba-tiba mereka terdengar suara kokokan si Jalak dan bila mereka mendongak ke bulan ternampaklah si Jalak sedang mengepak-ngepak dan si Awang di atasnya, menyesal tak sudahlah mak dan ayah si Awang"

" Tu cerita dongeng kan bu?"

" Ha'ah, saja nak bagi hilang mengantuk"

Aku dulu bila Ma cerita kisah ni aku percaya sangat, ( tak ingat masa tu umur berapa), tapi budak-budak sekarang ni cerdik, dah tahu mana satu dongeng, mana cerita betul.

                      

22 Jul 2013

Kisah orang yang diserang lalat

Ada sebuah cerita yang diterima dari Husain, yang didengarnya dari Abdullah, dari Suaid bin Said, dari Abu Muhayyah, beliau berkata: Bercerita kepada seorang lelaki, kami satu rombongan pergi mengembara. Di antara kami ada seorang yang memaki Saidina Abu Bakar As Siddiq. Kami telah melarangnya, tetapi dia tidak menghentikan perbuatannya itu.

Di tengah perjalanan kami berhenti. Ada di antara kami yang memanfaatkan masa berehat itu dengan makan, minum dan sebagainya.

Kawan kami yang mencaci Saidina Abu Bakar itu pergi agak jauh dari tempat persinggahan kami. Mumgkin dia sedang mencari tempat yang sesuai untuk qada hajat.

Tiba-tiba kami dikejutkan oleh teriakan kawan kami itu. Dia menjerit sekuat-kuatnya minta tolong. Kami fikir dia digigit ular atau disengat lebah. Kami melompat menuju ke arah kawan kami itu. Rupa-rupanya dia bukan digigit ular tetapi diserang lalat yang ganas! Keadaannya seperti bangkai yang dikerumuni oleh lalat hijau yang besar belaka!

Kami cuba sedaya-upaya menyelamatkan kawan kami itu. Tetapi lalat itu bukan sahaja jarang dijumpai malahan berdengung ganas. Sengatannya jauh lebih sakit daripada sengatan lebah. Kamipun terpaksa lari dari situ. Setelah lalat-lalat itu beredar kami dapati ada anggota tubuhnya yang terputus.

Manusia ditimpa penyakit jiwa



Di akhir zaman banyak manusia ditimpa penyakit jiwa
Jiwa tidak tenang sekalipun sudah berkuasa dan kaya
Sudah ternama, sudah glamor, sudah dikenal
Tetapi segala yang dimiliki
Tiada memberi apa-apa faedah

Duduk di rumah gelisah, duduk di pejabat resah
Sedikit salah orang lain, mudah marah-marah
Segala yang dilihat tiada yang indah
Fikiran berserabut, jiwa parah

Yang tiada beriman bunuh diri
Yang lemah iman terlibat dengan berbagai-bagai jenayah
Rasuah, arak, judi, zina, menzalimi orang lain
Di dalam rumah tiada ukhwah, tiada harmoni, tiada sekata

Mereka ditimpa neraka dunia
Sebelum neraka di akhirat sana
Aduh! kalau di dunia tiada bahagia
Apakah di akhirat nanti dapat bahagia?

Pada Tuhan ada kebahagiaan
Pada Tuhan ada ketenangan
Serahlah diri padaNya
Redhalah dengan ketentuanNya
Buanglah mazmumah, hiasilah diri dengan mahmudah
Di sinilah rahsia  kebahagiaan
Di sinilah rahsia keindahan.



21 Jul 2013

Rasa nak runtuh hati ibu.

Dari bangun pagi dia dok leka dengan game, dah tengahari baru teringat nak siapkan folio, sudahnya solat zohor pukul 3 petang!!!

Tulah kerja dia kalau ada di rumah, game, game,game...komputer tu kalau dia ada di rumah tak dapat 'rehat', puas kena leter baru nak mandi, puas kena marah baru nak solat, Ya Allah... berilah aku kekuatan dan kesabaran dalam mendidik anakku yang sorang ni...

Bulan puasa ni dia boleh balik tiap minggu. Minggu lepas sempat kusiapkan ayam goreng dan kek batik bekal balik ke asrama. Seronok dia bercerita kawan-kawan suka makan kek batik tu. Dia minta buatkan lagi. Tengahari tadi dah siap buat dengan pizza sekali. Memang nak bekalkan untuk dialah.

Sebelum pukul 2 aku dah bising suruh solat, dia tak bergerakpun dari meja komputer. Jenuh kena marah, jenuh bising-bising, tak bergerak juga. Dah geram sangat aku ugut tak akan bekalkan dia apa-apa untuk balik asrama, baru bangun, aku tengok jam dah pukul 3 petang!!

Lepastu mulalah aku berada dalam dilema, nak bagi bekal, tak bagi, nak bagi ke tak tak bagi. Tak bagi kesian, kalau bagi nanti dia tak serik, akhirnya aku tak bagi. 

Bukan tak kesian, hingga saat aku tulis entri ni hatiku masih rasa serba tak kena. Tapi aku perlu bertegas terutama dalam soal besar camni, solat bukan perkara main-main padaku, solat adalah soal pokok yang tidak boleh dipandang ringan. Nampaknya aku kena ubah doaku dari ' minta anak-anakku sentiasa mendirikan solat' kepada 'minta anak-anakku bersegera menunaikan solat bila masuk waktu'.

Mudah-mudahan ini menjadi peringatan dan pengajaran kepada anakku Mohd Danish.....

Nasyid -Bimbang Ramadhan  

Bimbang Ramadhan

Tuhan mengapa aku ini
Aku berlainan dari orang lain
Setiap kedatangan Ramadhan-Mu
Mereka menyambut dengan gembira
Mereka kelihatan ceria

Tapi aku berlainan
Kedatangan Ramadhan penuh duka
Bukan aku benci bulan-Mu
Yang penuh rahmat dan berkat

Tapi aku benci diriku
Aku bimbang Ramadhan-Mu
Aku tidak mengisi sebaiknya
Aku rasa puasaku tidak sempurna
Ampunilah aku Tuhan

Aku rasa sembahyangku tidak sah
Terawih, bacaan AlQuranku
Tidak sampai ke mana
Tuhan itulah menyelubungi hatiku
Setiap kali kedatangan Ramadhan

Adakah satu kesalahan
Ampunkan aku Tuhan
Maafkanlah aku Tuhan
Kalau itu satu kesalahan
Pimpinlah aku betulkan sikapku
Aku mohon keampunan dari Mu Tuhan

http://www.owclondon.co.uk/wp-content/uploads/2012/07/Bimbang-Ramadhan.mp3

19 Jul 2013

Apakah maksud Ummiy Rasulullah SAW

Semoga Allah mengampunkan kita di atas salah tanggapan dan salah tafsir terhadap status Baginda SAW sebagai seorang Rasul yang Ummiy. Selama ini kita difahamkan bahwa Ummiy itu bererti orang yang tidak tahu membaca dan menulis, atau dalam istilah lain buta huruf. Jika begitu fahaman kita ertinya kita menganggap Baginda orang yang tidak belajar atau orang yang bodoh. Ensiklopedia barat juga mendefinasikan Nabi Muhammad sebagai seorang yang illiterate. Bagi orang tidak prihatin, hal ini mungkin tidak menjadi apa-apa masalah baginya. Tapi bagi yang prihatin, yang hatinya terbuka dan sensitif akan merasakan seolah-olah ada yang tidak kena dengan maksud Ummiy ini. Mana mungkin seorang Rasul yang kemuliaannya sampai namanya digandingkan dengan nama Tuhan, dikatakan buta huruf.

Sebenarnya yang dimaksudkan Ummiy itu ialah seorang yang belajar secara luar biasa, bukan mengikut kaedah biasa atau belajar secara proses biasa. Tujuan belajar adalah supaya menjadi pandai, dengan mengisi ilmu kepada akal dan roh. Itulah hakikatnya. Jika akal dan roh tidak diisi dengan ilmu maka seseorang itu tidak akan menjadi pandai.

Orang yang hendak menjadi pandai secara biasa kenalah melahirkan sebab lahiriah untuk mencapai matlamatnya. Contohnya melalui menulis, membaca, berguru, belajar di sekolah dan lain-lain.

Oleh kerana Rasulullah itu orang luar biasa, Allah pandaikan Baginda tanpa melalui proses biasa. Demikianlah Maha Besarnya Tuhan, Rasulullah dipandaikan melalui proses luar biasa. Rasulullah belajar tetapi tidak perlu menulis, membaca, berguru, atau belajar di sekolah. Oleh itu sama sekali tidak benar jika dikatakan Rasululah tidak belajar. Sebenarnya maksud Ummiy ialah baginda itu TIDAK PERLU kepada membaca dan menulis.

PERBAHASAN UMMIY

Mari kita bahaskan pula perkataan Ummiy itu. Ummiy didasarkan kepada 'ibu'.

1. Ibu kalau dibahaskan secara lahir ia merupakan punca zuriat kerana ibu melahirkan. 

2. Bagi yang tidak bernyawa ada juga disebut ibu. Contohnya ibu roti. Daripadanyalah roti dihasilkan. Ia disebut ibu juga.

3. Ibu secara batin atau maknawi pula mempunyai erti yang lebih hebat. Ibu dan ayah pada diri kita ialah akal dan roh. Tanpa akal dan roh tiada erti apa-apa. Sebab itulah Allah terus bagi ilmu kepada Rasulullah tanpa menggunakan alat. Itulah sebabnya Rasulullah dikatakan Ummiy iaitu belajar secara terus dari Allah. Allah terus campakkan ilmu pada ibu dirinya iaitu akal dan roh. Oleh itu salah besarlah jika dikatakan Rasulullah tidak belajar.

Rupa-rupanya begitu hebat Allah memproses hamba-hamba yang dikehendakiNya dengan cara dipandaikan tanpa melalui proses belajar secara biasa. Itulah sebenarnya mukjizat Rasulullah yang cukup agung dan hebat. Ummiy itu adalah lambang kebesaran Rasulullah yang sebenarnya. Layaklah Rasulullah itu dikatakan ibu, kerana baginda ibu segala ilmu, ibu segala kebaikan, ibu kepada perjuangan, ibu kasih sayang, ibu perpaduan dan lain-lain lagi kerana dari segala ibu itulah lahir ilmu, kebaikan, perpaduan, kasih sayang, perjuangan dan lain-lain. 

Firman Allah yang bermaksud:
" Dan sesungguhnya Al-Quran ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta alam. Ia dibawa turun oleh Ar Ruhul Amin (Jibril), ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan"
(Asy Syu'ara: 192-194)

Malah yang membenarkan dan melayakkan lagi baginda menjadi ibu berlandaskan gelaran Ummiy tersebut ialah kerana rohnya atau Nur Muhammad adalah ciptaab Tuhan yang pertama. Dari kerana kebesaran dan kemuliaan Nur Muhammad inilah diciptakan langit dan bumi, haiwan, tumbuhan, syurga, neraka dan lain-lain. Begitulah hebat dan mulianya Rasulullah hinggakan baginda dilantik menjadi penghulu manusia dan namanya diangkat sebaris dengan nama Tuhannya.

MUSUH-MUSUH ISLAM MENGELIRUKAN MAKSUD UMMIY.

Musuh-musuh islam terutama Yahudi dan puak orientalis sebenarnya sangat kenal  siapa Rasulullah. Kehebatan dan kemuliaannya ada dalam pengetahuan dan kajian mereka. Lalu mereka cuba mengelirukan pemikiran umat islam dengan mengatakan bahawa" Rasulullah itu Ummiy yakni tidak tahu membaca dan menulis untuk membuktikan bahawa Al-Quran itu bukan bukan dari tulisan Rasulullah"

Nampak macam logik dan rasional hujah tersebut. Tapi sebenarnya mereka menutup maksud Ummiy yang sebenar yang memperlihatkan kehebatan Rasulullah SAW . Akhirnya umat islam dari generasi ke generasi beranggapan Rasulullah itu buta huruf, dan kesan psikologi terhadap pemahaman palsu ini menyebabkan umat islam menjadi mundur. Bukan setakat miskin ilmu, harta, kemajuan dan lain-lain tetapi yang lebih parah dari itu ialah miskin iman.

Usaha untuk memperkecilkan martabat Rasulullah SAW memang telah sekian lama dirancang oleh musuh islam. Mereka sengaja hendak memperlihatkan Rasulullah sebagai tidak bertamadun agar umat islam juga akan mencontohinya. Kebesaran dan kemuliaan Rasulullah cuba ditutup dan disembunyikan.

Untuk memperlihatkan dengan lebih jelas bahawa Ummiy adalah salah satu mukjizat besar Rasulullah mari kita lihat pula kaedah menuntut ilmu melalui proses luar biasa ini. Rasulullah itu digelar Ummiy kerana padanya diberikan ibu segala ilmu. Sepertimana Al-Fatehah dikatakan Ummul Kitab kerana di  dalamnya intipati seluruh Al-Quran. Begitu jugalah dengan Rasulullah di mana wahyu yang diturunkan kepadanya adalah ibu segala ilmu. Oleh kerana apa yang dianugerahkan kepadanya adalah ilmu segala ilmu, ia tidak boleh diterima melalui proses biasa. Ibarat seorang yang ingin mengail ikan yang besar, mestilah menyediakan mata kail yang besar dan kuat, umpan yang baik, tali yang kuat dan teguh sesuai dengan ikan yang hendak dipancing.

Begitu jugalah bagi seseorang yang ingin memperolehi ilmu luar biasa dari Tuhan seperti mana Rasulullah mendapat wahyu. Tidak cukup sekadar melalui proses biasa dengan menggunakan pancaindera. Ilmu wahyu yang Allah anugerahkan pada baginda diajar  terus kepada ibu dirinya iaitu akal dan rohnya. Ilmunya bukan dari sumber membaca dan menulis.

Peranan dan Falsafah Mata

1. Jagalah mata lahir dengan sebaik-baiknya, jangan gunakan sewenang-wenangnya kerana ia boleh melemahkan atau membutakan mata hati atau mata batin.

2. Biarlah mata lahir rabun atau buta kerana ia hanya menyusahkan kehidupan di dunia, tapi kalau mata hati rabun atau buta ia akan menyusahkan kehidupan di akhirat yang semua orang akan tinggal kekal abadi di sana.

3. Mata lahir macamlah lampu kereta. Kalau selalu sahaja dimain-main lampu itu akan melemahkan bateri. Begitulah kalau mata hati selalu sahaja main-main tengok yang haram ia akan melemahkan mata hati.

4. Pandangan mata lahir boleh mengingatkan kita kepada Allah tetapi boleh juga melalaikan kita daripada Allah.

5. Pandangan mata lahir boleh meransang mata hati melihat kebesaran Allah dan kehebatan Allah atau boleh sekadar merasakan kecantikan dan kehebatan apa yang dia lihat semata-mata.

6. Mata lahir boleh membutakan mata hati kalau dia melihat tidak disertakan dengan Allah dan juga boleh menghidupkan mata hati jika ia melihat disertakan dengan Allah Taala.

                                  

18 Jul 2013

Duta Islam Yang Pertama

Saidina Mus'ab bin Umair ra adalah duta Islam pertama yang dihantar oleh Rasulullah SAW ke Madinah. Dia ditugaskan untuk mengajar Islam kepada penduduk Madinah yang baru menerima ajaran Islam dan memperkenalkan Islam kepada seluruh penduduk Madinah. Islam berkembang dengan cepat malah luar biasa di Madinah. Beliau bekerja siang dan malam untuk Allah dan RasulNya. Usahanya yang sangat gigih itu telah menyebabkan Islam sampai ke seluruh pelusuk Madinah. Tiada rumah di Madinah melainkan Islam telah memasukinya.

Penyebaran Islam secara pesat dan penerimaan luarbiasa penduduk Madinah telah berlaku dalam masa 3 tahun sahaja. Bermula selepas tahun kesepuluh hijrah sehinggalah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah dan tertegaknya sebuah negara Islam. Setiap orang yang telah masuk Islam di Madinah berusaha pula untuk membawa keluarganya masuk Islam. Contohnya seperti yang berlaku dalam keluarga Amru bin Jamuh. Semua anaknya telah masuk Islam tetapi Amru belum mahu menerima Islam. Anak-anaknya mahu menyedarkan ayah mereka dari kebatilan agamanya. Pada suatu malam ketika Amru sedang tidur mereka menyelinap masuk ke biliknya. Mereka telah melumurkan kotoran di berhala Amru. Apabila Amru bangun pagi, dia melihat tuhannya berlumuran dengan kotoran. Dia pun bercakap-cakap dengan tuhannya, " Siapakah yang memperlakukan begini kepada kamu? Kenapa kamu tidak mempertahankan diri kamu?" Selepas itu dia membersihkan dan mewangikan semula berhalanya. Selepas itu diapun menyembahnya. Keesokan malamnya anaknya lakukan lagi terhadap berhala Amru. Pagi esoknya bila didapati berhalanya berlumuran kotoran lagi  dia berkata kapada tuhannya, " Wahai tuhan, kenapa kamu tidak mempertahankan diri kamu?" Selepas itu dia membersihkan, mewangikan dan menyembahnya lagi. Digantungnya sebilah pedang di leher berhalanya sambil berkata, "Kalau ada sesiapa datang mahu mengotorkan kamu, kamu bunuh dia!"

Pada malam ketiga itu, anaknya datang lagi. Mereka telah menyembelih seekor anjing. Pada masa itu anjing belum diharamkan lagi. Mereka menggantung anjing itu di leher berhala bapa mereka. Mereka melumurkan berhala itu dengan darah anjing. Selepas itu berhala dan bangkai anjing itu dicampak ke tempat sampah. Apabila Amru bangun keesokan paginya dia mendapati berhalanya tiada lagi. Dia mencarinya di merata tempat. Akhirnya dia menemuinya di tempat sampah sarap bersama bangkai seekor anjing dan seluruh badannya berlumuran darah anjing. Ketika itu Amru berkata, " Demi Allah, engkau memang tidak layak disembah!" Peristiwa itu menyebabkan dia menyedari  bahawa agama menyembah berhala adalah agama yang karut. Ketika itu barulah dia dapat melihat kebenaran Islam dan beriman kepada Allah dan RasulNya. Demikianlah setiap orang berusaha untuk menyelamatkan keluarga mereka sehingga Islam tersebar ke seluruh Madinah dengan cepat.

Cara-cara menghidupkan Iman




1. Banyak tafakur.

2. Banyakkan membaca Al-Quran dengan faham makna dan kehendak ayat.

3. Mengamalkan syariat. Syariat lahir banyak membenihkan 
iman. Apabila lebih banyak berjuang, lebih banyak sembahyang, maka semakin bertambah iman.

4. Banyak mengingati dosa. Ia akan menyuburkan rasa takut pada Allah. Apabila membuat ibadah tetapi rasa selamat dan hilang rasa takut, itu adalah istidraj. Ertinya kita tertipu. Kita sangka dapat iman tapi sebenarnya ghurur ( tertipu ) di dalam beribadah.

17 Jul 2013

Hidupkan Hati

Hati kena diaktifkan. Jangan dibiarkan kosong. Jika kosong, ia akan lalai. Maka nafsu akan kuasai hati kita bahkan syaitan akan ambil peluang. Bagaimana mengisi hati? Macamana nak aktifkannya?

1. Di waktu kosong tanpa aktiviti fizikal, isi dengan perbanyakkan selawat, mendoakan guru-guru kita, hadiahkan Fatihah kepada mereka semua.

2. Ketika bekerja aktifkan hati dengan kata-kata terimalah kerjaku ini sebagai ibadah dalam usahakan mencari rezeki yang halal.

Lima syarat supaya setiap usaha kita menjadi ibadah.

1. Niat mesti betul (kerana Allah)

2. Perkara yang kita lakukan dibenarkan oleh syariat.

3. Pelaksanaannya mengikut syariat.

4. Natijah atau hasil mesti betul.

5. Tidak meninggalkan perkara asas dalam Islam iaitu Rukun 
     Iman dan Rukun Islam.



Dunia ibarat...

Hayatilah dengan matahati.

Dunia ibarat laut yang dalam yang dipenuhi dengan berbagai-bagai khazanah dan simpanan Tuhan yang berharga. Manusia dibenarkan mengambilnya tetapi banyak manusia tenggelam di dalamnya atau karam di dalamnya.

Dunia ibarat gadis yang cantik yang sangat mempesona. Kita disuruh mengurus dan menjaga kehormatannya tetapi kebanyakan orang sebelum orang lain menodainya, dia menodainya terlebih dahulu.

Dunia ibarat tumbuh-tumbuhan hijau yang senang mata memandangnya. Kita dilalaikan olehnya serta cenderung terhadapnya. Jarang orang boleh mendisiplinkan dan mengawal dirinya.  


16 Jul 2013

Cerita abang Loh

Antara adik-beradik kita abang Loh lah yang jarang balik jumpa Ma, sehingga dia sangat menjadi ingatan pada Ma. Selalu Ma minta kak Gie tepon abang Loh suruh balik jumpa Ma. Tak tau kenapa abang Loh suka sangat tukar nombor tepon, sehingga susah sangat nak dihubungi. Selalu Ma beritau kak Gie, " Sokmo tak dapat tepong dia, suruh gok dia balik jumpa Ma"

Bila Ma dah takde Cik pernah cerita punyalah  Ma suka sangat  bila abang Loh balik masa dekat raya tahun 2011 tu sampai Ma melompat-lompat kecil sambil bertepuk tangan. Kak Gie tak tau nak bayangkan kerinduan Ma macamana pada abang Loh...

Dan punyalah berselera Ma makan masa berbuka puasa makan nasi ikan cicah budu, padahal Ma tak boleh makan budu, lepas Ma makan budu tulah dia selalu mengadu sakit dada....

Cerita abang Loh..
Dia beli ikan bakar saiz besar, tapi Ma kan jarang beli ikan besar-besar, selalu ikan sadin, anak kembung, ikan besar sikit pun cuma ikan tongkol... Pastu Ma tegur " Bakpe ya beli ikan beso- beso ni, wak bazir je " Abang Loh cuma senyum, tengok Ma makan penuh selera.

Kesian bang Yeh, bang Loh.. raya ni diorang camanalah.....

Haa, jangan tak caya.. Blogger Fadhli Hamdan yang contengkan!


Nak tengok entri ni semula, klik di SINI. Terima kasih...

15 Jul 2013

Menyinsingnya Fajar Islam

" Wahai manusia! Allah telah memerintahkan kepadamu supaya menyembahNya dan janganlah kamu menyekutukan Dia dengan sesuatu apa pun."

Demikian Nabi Muhammad menyampaikan dakwah Islam kepada penduduk Mekah. Baginda berkeliling mengunjungi rumah mereka berdakwah secara terang-terangan setelah datang perintah dari Allah untuk berbuat demikian. Tindakan baginda telah menggoncangkan kaum-kaum musyrikin sehhingga apabila Rasulullah mendatangi rumah-rumah orang Mekah maka Abu Lahab akan mengiringi baginda dari belakang.

" Wahai manusia! Dia ini menyuruh kamu meninggalkan agama nenek-moyangmu." Demikianlah hasutan Abu Lahab yang menggerakkan orang ramai supaya menghalang Baginda daripada berdakwah. Maka bermulalah pergolakan hebat di Mekah.

Pemuda Quraisy berusaha dengan kekasarannya untuk membantutkan fajar Islam yang telah mula menyinar itu. Segala macam usaha dilakukan seperti fitnah dan tuduhan liar seperti kena sihir, gila dan mengancam menginjak tengkuk Baginda sehinggalah mereka merancang hendak membunuh Baginda.

" Ajaklah mereka kepada La ilaha illallah"

Demikian Jibril menekankan kepada baginda sehingga tidak seorang manusiapun Baginda takuti. Di tengah-tengah kekalutan ancaman Quraisy itu, Nabi Muhammad SAW dapat membawa beberapa orang memeluk Islam. SAidina Abu Bakar adalah di antaranya dan bila beliau melihat hamba-hamba yang disiksa segeralah beliau menebus dan memerdekakannya, seperti Bilal dan Amir bin Fuhairah.

" Assalamualaikum ya Rasulullah " salam-salam yang diucapkan oleh batu, kayu dan tanah kepada Nabi SAW sebagai satu mukjizat. Kemana juga Baginda pergi, maka Baginda akan menemui makhluk (alam benda) ini mengucapkan salam iaitu di saat ramai yang memusuhi Baginda atas usaha Abu Lahab, Abu Jahal dan lain-lainnya.

Pada satu ketika bapa saudara Nabi iaitu Abu Talib melihat baginda dengan Ali bin Abu Talib sedang solat. Beliau merasa hairan kerana perbuatannya berlainan dengan apa yang lazim pada masyarakat Mekah waktu itu.

" Wahai Muhammad, agama apakah yang engkau anuti itu?" 
" Wahai bapa saudaraku, inilah agama yang diturunkan Allah, agama Malaikat dan Rasul-rasulNya, dan agama nenek kita Ibrahim as. Allah telah mengutusku menjadi Rasul membawa kebenaran."
" Wahai bapa saudaraku, engkau adalah orang yang paling berhak menerima nasihatku. Aku mengajak mu kepada petunjuk Allah, paling berhak pula memperkenankan dakwahku dan menolong aku."

Demikianlah harapan baginda kepada bapa saudaranya.

" Wahai Muhammad! Demi Allah, aku tidak sanggup meninggalkan agama nenek-moyangku dan ajaran-ajarannya. Tetapi Demi Allah, selama aku hidup tidak akan sampai kepada Engkau apa yang tidak Engkau ingini." Abu Talib menolak dengan baik.

Dengan sikap dan jawaban bapa saudaranya itu, sudah tentu menjadi penawar jiwa kepada Nabi SAW di tengah-tengah keluarga Baginda yang memusuhinya dengan keras. Apatah lagi Ali bin Abu Talib sebagai anak muda yang dapat pula dorongan dari ayahnya. Kepadanya Abu Talib selalu berpesan supaya sering mendampingi Nabi Muhammad SAW walaupun beliau sendiri tidak terbuka hati mengikutinya.

" Ikutilah dia ( Muhammad ) selalu selama dia mengajak kamu kepada yang baik" Demikian anjuran Abu Talib kepada anaknya Ali.

Fajar Islam sudah menyinsing di kota Mekah dan ini amat mengejutkan Jahiliah yang dalam kegelapan itu. Makin hari sinarnya makin bertambah naik menerangkan kehidupan insani. Dan makin bertambah getirlah dugaan terhadap Baginda dalam memperjuangkan kebenaran itu.....

Jibrail merasmikan Muhammad sebagai Rasul Allah

Suasana malam di bulan Ramadhan itu amat terasa sekali. Muhammad sedang bersendirian berkhalwat di dalam gua Hira'. Dalam ketenangan malam yang hening itulah Malaikat Jibril datang membawa wahyu Allah kepada Muhammad bahawa Muhammad adalah Rasul Allah. Seperti tugas-tugas Jibril dahulu menyampaikan wahyu kepada lain-lain Nabi Allah, Ibrahim, Musa, Isa dan lain -lain, dan malam itu ia muncul pula di depan Muhammad lalu berkata:

" Iqra " (bacalah)
" Ma Aqra " (aku tidak tahu membaca)

Mendengar jawaban Muhammad itu, lalu Jibril memeluk baginda. Baginda merasa seakan-akan lemas barulah dilepaskan Jibril, lalu berkata lagi: 

" Iqra" (bacalah)
"Ma Aqra" (aku tidak tahu membaca)

Mendengar jawaban Muhammad itu, lalu sekali lagi Jibril memeluk baginda. Baginda merasa seakan- akan lemas barulah dilepaskan Jibril, lalu berkata lagi:

" Iqra " (bacalah)
"Ma Aqra" (aku tidak tahu membaca)

Lalu diajarkan Jibril:

" Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan, yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia dengan qalam, mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya."

Demikian Malaikat Jibril membacakan ayat-ayat Al-Quran itu dan diikuti Muhammad membacanya.Inilah ayat-ayat dari Surah Al-Alaq yang pertama diturunkan kepada nabi Muhammad. Setelah selesai baginda membaca ayat tersebut, Malaikat Jibril pun berlalu dan diikuti baginda segera keluar dari Gua Hira' itu.

"Wahai Muhammad, engkau Rasul Allah dan aku ini Jibril"

Nabi Muhammad memandang ke langit dilihatnya Jibril dalam rupa bentuk manusia. Kedua tumitnya berada di hujung langit. Muhammad terdiam dan terus memandang ke langit. Baginda tegak bagaikan terpaku di bumi. Tidak bergerak ke depan atau ke belakang dan kepalanya terus memandang ke atas dan ke mana saja arah dipandang, baginda akan nampak Jibril.

" Wahai Muhammad, engkau Rasul Allah dan aku ini Jibril." Demikian diulangi Jibril

Baginda terus terdiam dan berkeadan demikian sehingga digerakkan oleh orang-orang yang disuruh Khadijah mencari suaminya Muhammad kerana merasai bimbang di hatinya, khuatir sesuatu berlaku ke atas baginda.

Akhirnya Jibril berlalu dan menghilang. Setelah merasa tenang seketika, baginga pun berangkat pulang dan Khadijah sudah sedia menunggu. 


Mulai saat itu rasmilah Muhammad sebagai Rasulullah dalam usia empat puluh tahun. Baginda utusan Allah kepada manusia bagi menunjukkan jalan-jalan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Malaikat Jibril berulang-alik mengunjungi baginda dengan membawa ajaran-ajaran Allah.

( waktu itu belum sampai perintah berpuasa, tapi ia berlaku di malam bulan ramadhan )






google image

14 Jul 2013

Eh, ada follower baru

Sambil tunggu pukul 6 ( eeeii... lambatnya masak, ye.. sebab semua dah siap awal-awal, tinggal nak masuk kuali je ) sempat lagi jengah baby saya ni yang baru masuk 2 bulan usianya...

Eh! ada follower barulah, terimakasih, InsyaAllah moga ada manfaatnya yang boleh kita kongsikan.

Selamat menunggu berbuka puasa buat semua.

13 Jul 2013

Membazir amalan syaitan




MEMBAZIR AMALAN SYAITAN

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

Maksudnya:"Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."

[Surah al-Israa : 27]

Meraikan Ramadhan atau....

Harini baru masuk 4 Ramadhan. Seperti kebiasaanya aku akan ke pasar hari sabtu. Selalunya hari sabtu taklah ramai orang di pasar. Sebab tu aku suka pergi hari sabtu, nak pilih barangpun senang. Tapi harini di luar jangkaanku...

Naik pelik pun ada, ni nak masak untuk bukak puasa ke apa ni?Nampaknya Ramadhan adalah bulan meraikan nafsu, nafsu makan.... tak kira kat mana, kat pasar, kat bazar, yang untungnya para peniaga. Sampai akupun teringin nak meniaga bulan puasa camni, tapi aku ni bukan pandai sangat masak, takat lepas untuk keluarga sendiri je...

Mak aii! ayam yang biasa paling mahal pun rm6.80  tapi tadi sampai rm8.50!!! Tu harga kat pasar. Cuba pulak tengok kat      
kedai, dapatlah rm8 sekilo, belilah jugak sekor, si abang ada balik hari ni, kebetulan 9 Julai lepas besday dia, ingat nakla masak spesel sikit.

Apapun selamat meraikan Ramadhan buat semua, Ramadhan tetamu agung dari Allah yang sangat patut kita sambut dengan penuh rasa kehambaan, moga kita semua direzekikan rasa takut Allah dan rindu Rasul kerana rasa-rasa itulah yang patut ada pada kita sebagai seorang hamba, ameeen.

12 Jul 2013

Perang Mu'tah

InsyaAllah jika kita menghayati kisah ini,kita akan dapat menyelami betapa gigih, gagah berani tanpa rasa takut mati para sahabat dalam memperjuangkan Islam, suluhlah dengan matahati, moga dapat menambah kecintaan kita kepada Rasulullah SAW.

Dalam peperangan Mu'tah, pertempuran hari keenam adalah pertempuran paling sengit. Di Madinah, Rasulullah SAW memanggil semua sahabat  bersembahyang, berdoa dan bermunajat memohon bantuan Allah SWT kepada tentera Islam. Mereka menghantar bantuan rohani kepada tentera Islam yang sedang bertempur di medan Mu'tah. Setelah itu Rasulullah SAW duduk dan menceritakan kepada mereka apa yang sedang berlaku di medan Mu'tah. Walaupun Rasulullah SAW berada di Madinah tetapi baginda dapat menceritakan satu persatu peristiwa yang sedang berlaku di medan perang Mu'tah. Rasulullah SAW menceritakan " Zaid membawa bendera dan memimpin tentera Islam. Zaid menyerang tentera kafir bertubi-tubi tetapi akhirnya mereka berjaya mengepung dan menyerang Zaid. Tentera Islam mempertahankan Zaid tetapi tentera kafir memanah Zaid dari jauh. Akhirnya badan Zaid hancur dengan panahan tentera kafir, Zaid telah syahid tetapi Jaafar menyambar bendera tentera Islam dan terus menyerang tentera Rom sehinggalah dia dikerumuni oleh tentera Rom. Jaafar tidak mampu bergerak walaupun setapak kerana dia dihimpit olrh tentera Rom yang ramai. Ketika itu Jaafar turun dari kudanya dan bertempur di bawah sehinggalah tentera Rom menyerbu dan menyerangnya. Akhirnya mereka berjaya memenggal tangan kanan Jaafar. Dia segera memegang bendera Islam dengan tangan kirinya. Mereka dapat memenggal tangan kirinya pula, dia segera memegang bendera dengan kedua-dua tangannya yang sudah terpotong itu. Ketika itu mereka berjaya membunuhnya. Jasad Jaafar terbelah dua dari bahunya kerana tetakan dari tentera Rom".

Selepas peperangan tentera Islam mengambil mayat panglima Islam yang syahid. Mreka dapati di sebelah jasad Saidina Jaafar ra saja ada lebih dari tiga puluh kecederaan. Di Madinah Rasulullah SAW memberitahu  para sahabat, " Jaafar telah syahid selepas kedua tangannya terpotong kerana mempertahankan bendera Islam. Allah telah menggantikan dua tangannya itu dengan dua sayap daripada permata Yaqut, dia boleh terbang dengan sayapnya ini dalam syurga ke mana saja yang dia mahu sehinggalah hari Qiamat nanti"

Demikianlah ganjaran yang Allah SWT sediakan kepadanya di akhirat adalah lebih besar.

Kenangan puasa bersama Ma

Selalunya kesempatan puasa bersama Ma hanya satu atau dua hari sahaja sebelum Syawal. Hanya itu sahaja yang direzekikan  memandangkan kekangan kerja dan waktu persekolahan anak-anak.  Bila giliran balik raya kampung tokma ni anak-anak ikut terlebih excited, kadang-kadang seminggu lagi nak balik baju dah packing masuk beg.

Selalunya bila balik aku akan operasi rumah Ma dulu, sebab Ma ni jenis suka simpan entah apa-apa, Fadhli tak berani sentuh, Ma marah. Tapi kalau aku yang buat Ma tak kata apa, cuma dia  pesan jangan simpan barang-barang tu sampai dia tak jumpa nak cari.

Bila dah akhir-akhir Ramadhan kami beli je juadah berbuka di bazar Ramadhan. Masa berbuka selalunya bentang je tikar kat lantai, seronok makan bersila. Ma jarang masak sebab dah tak larat berdiri lama, jadi akulah ambik turn masak, kalau beli je tak cukup sebab anak je dah lima orang, jadi tambah juga satu dua lauk masak sendiri, masak lebih untuk sahur sekali.

 Ma akan bangun seawal jam 3 pagi untuk solat tahajud. Itulah amalan Ma yang sangat aku kagumi. Tapi selalunya sebab Ma yang bangun awal, jadi dia akan masakkan nasi dan panaskan lauk. Ma jarang sahur makan nasi, dia makan kurma dan minum air masak je, sebab sayangkan tahajjudnya. Bila dah pukul 5 barulah Ma kejutkan kami untuk sahur, dan dia sambung pula dengan menghafal surah. Antara surah yang sudah lancar di mulutnya seperti Al- Waqiah, Al- Rahman, Al- Mulk....

Rindu sangat kat Ma sebenarnya. Sebelum Ma ikut aku haritu Ma ada cakap nak balik puasa di Terengganu, senang nak terawih, surau dekat, dapat bantuan duit zakat, duit zakat tu Ma bagi pulak pada budak-budak yang datang beraya.

Satu lagi yang sangat tak dapat dilupakan, kami selalu tunggu Lailatul Qadar bersama. Kalau turn balik raya di Rembau, aku akan telefon Ma tanya samada Ma tunggu malam sekian, sekian....

Dan sekarang saat indah itu tiada lagi, dah dua tahun kuraikan Ramadhan tanpa Ma....

11 Jul 2013

Alhamdulillah

Nampaknya masuk hari kedua puasa ni anak-anak dah mula stabil. Balik sekolah petang tadi wajah Nadhrah Hannani dah cerah dan nampak bersemangat, Alhamdulillah.

Pagi tadi dalam pukul 4.30 masa bangun nak siapkan sahur hujan dah mula turun sampailah pukul 7.30 pagi. Hujan membawa rahmat, menurunkan panas suhu tengahari dan petang. Terimakasih Ya Allah, sesungguhnya Kau Maha Mendengar.

Harini sempat juga singgah ke blog masak-memasak, bestnya blog diorang, tak sedar dekat 3 jam aku kat situ, banding resepi kat sana,sini mana yang lebih simple dan praktikal, tapi tak taula bila nak buat, tunggu kakak dengan abang balik dari asrama kot.. sebab diorang yang pandai makan.

Bulan puasa ni dapat cuti sebulan, tu yang hari-hari ada benda nak update, kalau boleh nak buat blog yang best cam diorang, mudah-mudahan ada yang sudi membantu ye Lie..

Peperangan Badar

Badar Al-Kubra

Pada bulan Sya'ban tahun kedua hijrah, Allah SWT telah menurunkan perintah berpuasa di bulan Ramadhan. Maka puasa Ramadhan yang pertama oleh para sahabat ra adalah di bulan Ramadhan tahun kedua selepas hijrah. Pada bulan Ramadhan itu Rasulullah SAW berpuasa dan semua dan semua umat islam berpuasa bersama Baginda. Dalam bulan Ramadhan inilah berlakunya peperangan Badar yang merupakan peperangan paling agung dalam sejarah Islam. Ketika itu Rasulullah SAW mendapat berita kepulangan kafilah dagang kuffar Quraisy yang besar dari Syam. Barang-barang kafilah itu dibawa oleh 1000 ekor unta dan hanya dikawal oleh 40 orang lelaki. Kafilah ini diketuai oleh Abu Sufyan. Kafilah ini istimewa dari kafilah yang lain kerana semua peniaga Quraisy Mekah mendapat barang dagangan mereka dari kafilah ini. Kafilah ini merupakan dagangan bersama di antara semua pedagang Quraisy. Tidak hairanlah ia sangat menjadi perhatian dan sangat dinantikan oleh semua orang. Rasulullah SAW memberitahu umat Islam bahawa Baginda akan memimpin sendiri tentera Islam kali ini. Allahlah yang menyusun segala-galanya.

Firman Allah yang bermaksud:
Sepertimana Allah telah mengeluarkan kamu (Rasulullah SAW) dari rumah kamu dengan kebenaran.

Rasulullah SAW telah membuat tawaran kepada semua orang Islam untuk menyertai pasukan ini. Pada waktu itu belum ada perintah berjihad. Semua para sahabat ra membuat persiapan untuk menyertai pasukan ini. Seramai 313 orang lelaki keluar bersama Rasulullah SAW dalam pasukan ini. Setelah bersedia, mereka pun bergerak menuju ke tempat laluan kafilah Quraisy itu.

-- untuk cerita selanjutnya boleh dapatkan buku Catatan Sejarah Rasulullah oleh Ust Nasaruddin Awang--

10 Jul 2013

Dugaan Puasa

Tengah sibuk siapkan juadah berbuka, Nadhrah Hannani ( darjah 3 ) balik dari sekolah dengan juraian air mata...

Kesian juga, tapi dah 9 tahun, dulu darjah 2 boleh lagi guna trick ni, oklah dahaga, minumlah, tapi tak boleh makan ye, dia akur. Tinggal puasa 2 hari, tapi ni dah darjah 3....

Dengar je azan, dia terus capai botol air masak, ha kau, memang dahaga betul dia, hampir habis air tu. Sambil makan dia beritahu sebenarnya dia tak lapar, cuma dahaga je.

Esok macam manalah dia? Harini sekolah agama cuti sempena awal Ramadhan, esok dia kena sekolah pagi petang, moga-moga Allah bagi dia kekuatan...

Ramadhan kiriman Tuhan.

Nak layan tetamu biasa yang bertandang ke rumahpun aku tak mampu, inikan pula nak layan tetamu agung, mampukah aku?

Ramadhan kiriman Tuhan untukku.. 
Pandaikah aku menyambutnya? Menerimanya? Melayaninya? Beradabkah aku? Kurang ajarkah aku?

Sedih...

Ramadhan aku biasa-biasa sahaja..
Belum pernah kunikmati Ramadhan yang luar biasa...
Ramadhan bersama hati yang bercahaya..

Ramadhan ku tidak seperti mereka...
Hatiku kekal sama...
Tidak merubah apa-apa...

Tuhan...
Anugerahkanlah aku Ramadhan yang indah...
Kejahatan nafsu segera dirubah...
Kembalikan hati kepada fitrah...
Menyubur ketakutan kepada Allah...
Menambah rindu kepada Rasulullah...

Tolonglah aku Tuhan...
Kerana aku benar tidak mampu...
Tanpa campur tangan dariMu...

Nukilan Khaulah Attamimi

Hari ni 1 Ramdhan 1434H

Harini dah 1 Ramadhan. Cuaca pagi kat kawasan Semenyih ni sangatlah damai, tak panas tak mendung, dah kul 9.30 pagi tapi panasnya tak terik pun, terdengar pulak kicau burung berzikir... Subhanallah.

Sebenarnya Ramadhan kali ni sunyi sikit sebab kakak dah masuk asrama, abang dah masuk tahun kedua di asrama tapi bulan puasa ni ada kelonggaran boleh balik tiap minggu, tinggal yang kecik-kecik kat rumah (sorang darjah 5, sorang darjah 3, sorang 4 tahun) belum pandai demand nak makan apa. Yang darjah 5 tu ada nasi goreng kesukaan diapun dah cukup. Suami pulak asal ada nasi berlauk pun dah memadai. Jarang sangat beli kat bazar Ramadhan sebab selalu terkena beli entah apa-apa rasanya, baik masak sendiri, jimat, masak lebih boleh simpan sekali untuk sahur.

Baru jap singgah kat blog Dapur tanpa sempadan tu, amboi.. banyaknya resepi yang simple dan boleh try sendiri. Blog Cinnamon pun bagus, dapat resepi kek coklat yang sukat-sukat pakai cawan je, senang, sebab malas nak timbang-timbang, leceh.

Apapun moga Ramadhan kali ni kita direzekikan puasa roh, bukan puasa jasad je..
Baju Muslimah

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign