Asam Garam Kehidupan: October 2014

Nuffnang

Pages

31 Oct 2014

Abdullah dah balik Afghanistan.

Dah sebulan Abdullah balik Afghnistan. Tiba hari ni rasa rindu pulak kat budak tu. Masa dia ada dulu suasana bising memanjang, dia tak boleh duduk diam, rata dia merayau dari atas ke bawah, dahla mulutnya becok tak tau butir bicara pun kekadang tu...sekarang ni jauh beza suasana kelas, kadang-kadang saya bagi diorang buat aktiviti, saya boleh tinggalkan diorang tanpa bimbang macam masa Abdullah ni ada dulu.

Saya ingat lagi, masa mula-mula dia masuk, kami tak faham pun apa yang dia cakap. Setiap pukul 10 pagi mak dia datang sebab nak suruh dia kencing. Kami plak pelik kenapa selalu ada air kuning atas penutup lubang tandas duduk tu. Satu hari tu, mak dia tak datang, dia pergi toilet sendiri, rupanya dia kencing berdiri pancut atas penutup tu, Masya Allah....tak basuh pun burung dia, keluar toilet pun tak basuh kaki, aduhaiiii...

Satu hal nak latih dia kencing duduk, basuh dan keluar cuci kaki dulu. Ambik masa juga, tapi Alhamdulillah boleh.

Cuma agak terkilan sikit sebab parent dia tak bagitau nak balik Afghan, jadi buku-buku tadika dia tak sempat kami pulangkan. Pegi rumah sewa diorang, tengok dah ada penyewa lain.

Bagi saya secara peribadinya, saya terkilan sebab tak sempat nak minta maaf sebab selalu marahkan si Abdullah ni, hilang sabar saya sebab selalu bergaduh dengan budak-budak lain. Apapun, moga dia menjadi anak yang soleh..

30 Oct 2014

Dengar benda ni mesti kzakie lega...

Sebab kakzakie peminat fm nombor wahid, so ini entri khusus untuk kzakie, he he

Dera..dera..

Agaknya terdengar kat hujung telinga diorang pasal kes budak umur 3 tahun kena ikat di rumah pengasuh kat berita tv9 semalam,  diorang pun mengadu...

" Ibu, semalam cik su dera asyraf..."
"Hah, dera camane?"
" Cik su dera suruh asyraf habiskan cekodok sebab asyraf mengadu cik su tak bagi dia makan."
" Oo, ha ha ha."

Takdelah cik su tu nak 'mendera' sembarangan. Yang ibu tahu cik su tu memang cengil kalau budak tu nakal, tak dengar cakap, 'kurang asam'..kan? Cik su tu pun jenis tak berkira ibu rasa, senang nak minta tolong, macam aritu, abah lambat, cik su boleh je tolong hantar kita balik dengan kereta dia..kan? Pada ibula..cik su tu baik orangnya, walaupun mulut dia bising.

Alhamdulillah, saya dapat pengasuh yang baik, jadi saya kena jagala, bayar duit mengasuh tepat pada masa, bagi buah tangan sesekala, kalu ada apa-apa hal  yang berkait dengan anak kita kena bagitau dia, pesan selalu kat anak-anak kita jangan nakal, kita pun as a parent janganla fussy sangat, in shaa Allah, takdela rasanya diorang nak dera anak kita sembarangan.

Kita pun masa nk cari pengasuh tu, kena tanya-tanya parents yang lain dulu, ok ke tak pengasuh tu, kalau taska, berdaftar ke tak, tanya juga kat anak-anak kita macamane duduk kat situ,  seronok ke tak, pendek kata, kena ambil tahu secara bijaksana pengaduan anak-anak kita.
Tu yang dah pandai bercakap yea, kalu baby.. tengokla kot ada lebam sana-sini, tu je la rasanya, hmmmm..tanyalah farah bubblynotes plak.

Bak kate ustaz kazim dalam "kalau dah jodoh" = datang pagi-pagi kemain lagi sambut, " cucu opah dah sampai", tengahari bila budak tu nangis, kena jerit, " diamla, aku nak masak ni" dibiar berlumuih sampai petang, dekat nak balik baru bagi mandi, pakai bedak banyak-banyak, pastu cakap, " by cucu opah, esok jumpa lagi"- tu namanya bermuka-muka.

29 Oct 2014

Jom...cek kesihatan sendiri.

Perkongsian dari grup wasap keluarga, jangan ambil mudah dengan kesihatan diri, kalau dah kronik, nak baik pun susah, dan nak beramal ibadah pun payah...

28 Oct 2014

Ni memori anak kampung.

Knor cinnamon punya memori masa kecik tu, memori anak bandar. Ni saya nak citer memori anak kampung hulu Pahang, di sebuah kampung..kampung Bantal namanya, boleh search google cari, mesti ada. Saya lahir kat sane, tapi selalu ikut ma balik Teganu, sampai umur 4 tahun selalu balik Teganu. Dah masuk sekolah rendah baru jarang balik.

Banyak memori sebagai budak kampung. Mandi sungai ikat kain batik kat dada terjun biar jadi gelembung jadi macam pelampung, pastu hanyut ikut arus sungai dari hulu ke hilir. Penat mandi tangkap anak udang, caranya cari ranting kayu yang terpacak tengah sungai, ada daun plak terselit, tengok bawah ada anak udang, buat macam kolam kecil keliling dia, buang air yang bertakung, bila kering senangla nak tangkap anak udang tu, dapat dalam 5 ekor, bawak balik bakar, ermmmm..sedap, manis isinya.

Kalau tak tangkap anak udang, cari plak buah ara sungai, atau panjat jambu kampung, atau pokok ciku depan kedai kampung, panjat pokok kelapa pun berani. Budak-budak sekarang mane berani panjat pokok, kami dulu, tak padan budak pompuan, kalau tak berani panjat pokok bukan budak kampung namanya.

Tak pun mancing ikan, guna umpan cacing jer. Haa..yang ni saya tak berani buat,memang geli, sampai sekarang pun geli dengan benda-benda licin ni, kalau nak mancing je kena minta tolong kawan letakkan umpan, sampai kawan pun boring taknak mancing dengan saya, ha ha.

Game dolu-dolu pun seronokla sangat, sama cam dalam katun upin ipin. Main galah panjang, main susun tin, baling selipar, main senapang buluh, main lastik,....teringat satu ketika tengah seronok main baling selipar,abah datang entah dari mana, dibedalnya betis saya dengan ranting kayu depan kawan-kawan, malunya. Masa tu saya darjah 6 abah marah suruh belajar sebab dah dekat nak peksa penilaian darjah 6. Berbirat betis.

Budak-budak sekarang boleh ke nak main masak-masak betul-betul punya? Saya dulu,  punyalah seronok main masak-masak, masak nasi dalam tin susu cap junjung tu, lauk cilok kat dapur makan nasi tu dalam pondok bawah pokok limau nipis. Arwah mak tak marah lansung, anak saya sekarang takdelah nak merasa pengalaman camtu. Sampai diorang selalu cakap, " ibu dulu bestlah, dapat buat macam-macam" ....bila saya citer kisah saya dolu-dolu..

Kalau musim hujan camni, main hujanla, apalagi. Mandi hujan sampai kecut jari-jari. Tapi tak plak demam. Budak sekarang kena hujan sikit je dah demam.

Bila tengok budak-budak KAFA saya dok ralit main batu seremban, teringat plak kenangan main guli tujuh biji kat kaki lima sekolah,tak pun kaki lima masjid sementara tunggu nak mengaji dengan ustaz. Budak sekarang main seremban bunjut kain yang isi kacangtu je. Tak pandai main guli yang melantun-lantun tu.

Uishhh...dok asyik citer dah dekat kul 9 rupanya, nak pi jemuq kain lak ni, nak kejar panas, petang-petang asyik hujan, adatla kan, musim panas berganti musim hujan, hukum alam, ketentuan Allah yang wajib kita terima dengan lapang dada.

Kat bawah tu kenangan jalan-jalan di dataran masjid putra..dengan anak-anak bandar ni, tu je lah kot yang boleh dibuat, takkan merasa pengalaman masuk hutan cam saya dulu.....

27 Oct 2014

Kisah sedih yang mampu membuatkan kita mengalirkan air mata...




Kisah yang bakal anda baca di bawah sesungguhnya amat meruntun perasaan saya sebagai seorang anak yang telah kehilangan bunda tercinta. Terasa kasih-sayang murni seorang anak terhadap ibunya, juga betapa dalamnya kasih ibu terhadap seorang anak...tak terhitung dan terukur oleh apa pun yang ada di dunia ini..

Buat anda yang masih mempunyai ibu, hargailah, sayangilah, berkorbanlah..sesungguhnya ibu kita itulah seorang..isteri, suami jika pergi pergi dari sisi kita masih boleh dicari pengganti, tapi ibu..tiada penggganti, tiada kasih semurni kasih ibu..


Kalau nak kira, mak aku la harta yang paling mahal, paling berharga. Tak de nilai yang boleh disamakan dengannya. Aku cukup rapat dengan mak aku. Dia lah yang tahu dan ambil tahu kehendak anak-anaknya. Cukup memahami.

Abah aku orangnya agak garang masa kami kecik-kecik dulu. Pernah kami kena pelangkung dengan dia sebab lambat mandi pagi nak pergi sekolah. sejak hari tu aku dah kurang sikit ngan abah. Apa-apa masalah aku ngadu ngan mak. Mak laa tempat aku bercerita suka duka, mintak tolong buat keja sekolah. Mintak duit belanja. Kena buli ngan kawan, semuanya Mak. Ngan abah, jangan kata nak mintak, nak bersembang pun tak berani.

Abah pepagi lepas hantar kitorang pergi sekolah dia pergi ladang, tengah hari atau petang baru balik. Abah akan rehat kekadang tidur kat pangkin bawah pokok moktan tepi rumah. Macam tu la abah hari-hari, kami jarang dapat dengar suara dia, tapi kalau dia dah bukak mulut memang kena.

Masa tu kekadang aku rasa ngapa la aku ada abah, kalau ada mak je kan bagus. Tapi mungkin jugak Abah jadi gitu sebab keadaan hidup kami, kami dulu org susah. Abah hanya peneroka felda, kerja teruk tapi pendapatan tak seberapa. Untuk tampung perbelanjaan keluarga dan belanja sekolah kami, Mak buat nasik lemak ngan kuih tepung bungkus.

Pukul 5 pagi mak dah bangun bungkus nasi. Pepagi lepas hantar kitorang pergi skolah abah singgah letak nasi lemak ngan tepung bungkus kat kedai makan tepi sekolah. Masa tu nasi lemak sebungkus Abah jual 30 sen kuih tepung bungkus 15 sen. Kekadang tu aku bawak gak 2, 3 bungkus nasik lemak jual kat kawan sekelas dapat duit belanja lebih hari tu.

Aku dapat duduk dengan mak sampai tingkatan 3, selepas itu aku masuk asrama Vokasional Temerloh. Tapi tetiap minggu balik kampung, sebab nak makan masakan mak, keras tengkuk aku duk makan nasi kawah, ikan jeket ngan sawi balak kat asrama. 

Petang Jumaat balik kampung sampai umah terus cari nasi setiap jumaat dia dah tahu, dia akan goreng ikan plaklin (ikan temenung), sayur togeh, ulam togeh ngan kacang botol, sambal belacan lada besar. tu je favored aku, Ada set tu. memang makan tak ingat punya. Kekadang tu mak masak kari ayam cair. Kalau kena yang tu, sehari 3, 4 kali ulang makan nasi.

Duk asrama 2 tahun lepas SPM aku kerja sementara kat Tekam Resort, nama je resort sebenarnya aku kerja dalam ladang gak banci pokok. Gaji RM400. Tu la pendapatan pertama hasil titik peluh aku sendiri. Hari ambik gaji tu seronok bukan main macam-macam dah plan nak beli barang.

Benda yang paling aku teringan masa tu, pancing guna mesin. Dapat duit terus pergi pekan beli, ingat lagi..harga pancing tu RM75 satu set. Balik rumah petang tu duit lebih bagi kat mak, sebab aku dah janji nak bagi duit pertama aku kat mak, bayar balik duit minyak motor yang aku mintak kat dia tetiap hari pergi kerja. 

Menitik air mata mak bila dia pegang duit aku bagi tu. Aku ingat lagi masa tu dia kata “ni bukan duit minyak motor, ni duit kerja anak ma, alhamdulillah dapat dah ma merasa duit anak-anak”.

Aku kerja tak lama, aku dapat surat tawaran pergi UITM (masa tu masih ITM) Shah Alam jurusan elektrik panggilan pertama. Masa tu aku baru balik keja, siap mandi, pastu makan masak sedap tengah hari tu. Tengah makan mak cakap “haa…makan puas-puas, nanti lambat pulak dapat makan macam ni”. Aku tanya kenapa? Mak kata ada surat kat depan. 

Dan dan aku pergi ambil baca. Melompat aku masa tu. Aku tunjuk kat mak. Dia kata dia dah baca tadi. Berair mata mak masa tu, kata dia..lepas dah anak ma 2 orang, tinggal 2 lagi tu tak tau macam mana. Perbelanjaan aku masuk ITM masa tu abang sulung aku tanggung. Masa tu dia di Jepun study dan buat kerja part time jadi DJ.

Masa aku part 4, mak bersalin adik perempuan. Kelahiran paling gembira bagi keluarga kami. Sebab sebelum ni kami 4 beradik lelaki. Abah la orang paling gembira kerana dah lama dia nak anak perempuan. Adik perempuan ni jugak telah buat perubahan pada diri abah. Abah dah tak macam dulu. Sesekali aku balik, abah, aku tengok abah yang mengasuh adik lebih dari mak. Syukur pada Tuhan harap adik tak merasa seperti apa yang kami rasa dulu.

Ssetahun lepas adik lahir mak sakit. Tapi tak de la teruk sangat, cuma pergi klinik je. Lepas sebulan lebih sakit mak tak sembuh. Abah bawak pegi pada pakar kat hospital Mentakab. Diaorang ambik sample darah.

Lepas seminggu diorang panggil pergi hospital semula, dah dapat keputusan. Ya Allah, mak disahkan kena Kanser Payudara. Doktor kata, untuk selamat mak kena operate selewat-lewatnya dalam tempoh sebulan.

Bermula dari hari tu kami sekeluarga tak senang duduk terutama abah. Merata dia cari tempat untuk berubat, sebab kalau boleh kami tak nak mak di operate tetiap hari menangis, bukan sebab sakit, tapi sebab dia risukan adik perempuan yg masih kecik, apa nasib adik bila dia tak de nanti. 

Aku cukup tak tahan bila setiap kali mak tinggal pesan. “mie..nak bancuh susu adik bubuh susu 2 sudu je. Mie..kain batik ma ada 3 helai yang baru dalam almari, nanti orang datang bukak ambik”. Air mata memang tak leh tahan.

Sampai masa mak terpaksa operate jugak. Doktor kate kuman kanser tu dah merebak ke paru-paru. Masa tu aku ambik cuti seminggu dengan dekan. Balik kampung kena jaga adik. 

Lepas operate mak dah mula jadi lemah kesian sangat aku tengok doktor nak buat kemo, tapi tak boleh sebab badan mak terlampau lemah. Lepas 2 minggu Mak kat hospital. Dia dah beransur baik. Abah bawak balik sihat kat umah, tapi tak sepenuhnya, makan masih berpantang boleh berjalan, boleh buat kerja rumah macam biasa.

Tapi tak lama, dalam sebulan lebih lepas tu mak pengsan tiba-tiba. Abah bawak pergi hospital jengka. Bermula hari tu..keadaan mak makin hari, makin teruk. Seminggu mak kat hospital. Kemudian doktor bagi balik, keadaan mak elok sikit, tapi mak dah tak boleh berjalan masa tu. Kena guna kerusi roda. 2 hari je mak sempat duk rumah, lepas tu abah terpakasa bawa mak pergi hospital semula, sebab keadaan mak terlalu lemah, mata tak boleh bukak, dah tak boleh bercakap, mak tak makan sejak balik umah. Masuk makanan mak muntah.

Doktor kata penyakit mak dah teruk, kuman dah merebak ke paru-paru dan hati. Sebab tu mak tak boleh makan. Selama di hospital mak hidup dengan air dan ubat saja. Sayunya aku tengok muka mak dah cengkung, nafas tercungap-cungap, tapi masa tu mak boleh bercakap.

Satu yang aku amat kagum dengan mak, walaupun dia menderita sakit. Tak pernah dia sebut yang dia sakit. Kami berbual macam biasa. Macam tak de apa-apa boleh buat lawak, gelak lagi. Walhal aku tau yang dia menanggung sakit yang amat sangat.

Doktor ada terangkan pada kami adik beradik macam mana nak jaga orang sakit barah. Doktor kata penyakit ni panas, lebih panas dari suhu bila kita demam, kemudian semua sendi satu badan akan sakit, perut rasa lapar tapi tak boleh makan. penglihatan akan kabur, di sebabkan paru-paru mak dah rosak, bila dia bernafas dia akan rasa sakit.

Seksanya mak, tapi dia tak tunjuk kesakitan dia pada anak-anak. Cuma bila dia tengok adik, dia akan menangis. Aku pun sama akan ikut menangis bila tengok mak peluk adik. Semakin hari keadaan mak semakin teruk ..aku ambik keputusan untuk cuti satu sem. Abg di Jepun pun balik. 

Hati mak dah mula membengkak. Perut dia buncit macam di pam. Berkilat dan boleh nampak urat. Mata mak dah tak terang, bila dia tengok satu-satu benda, dia akan nampak seperti ada benda macam semut tengah merayap. Dan masa tu juga pemikiran mak dah tak berapa normal. Dia tak kenal dah orang yg pegi melawat dia, kecuali anak-anak dia. 

Ada satu masa, aku tengah urut tangan dia, dia sapu kepala aku macam ada benda atas kepala aku, aku tanya kenapa kata ada habuk penuh atas kepala aku jadi dia nak sapu buang. Masa tu jugak merambu air mata aku. Walaupun dia menderita sakit, dia masih semangat menjaga kebajikan dan kebersihan anak dia.

Hampir 3 bulan mak kat hospital jengka, dan selama tu la kami sekeluarga berumah di sana. Semua misi, doktor dah kenal. Selama tu jugalah kami adik beradik jaga mak, urut dia, bagi makan ubat, mandikan dia, tukarkan baju dan segalanya walaupun kami lelaki jururawat kat situ dah tak kisah. 

Memulanya mereka memang tak bagi orang lelaki masuk wad wanita lepas waktu melawat. Kami jumpa doktor dan ketua dia jururawat, mintak kebenaran sebab kami tak de adik-beradik perempuan kemudian mak perlukan orang tunggu 24 jam, sebab bila mak kejang kena ada org urut dia dan ni lah saja peluang yang kami ada nak balas jasa Mak sementara hayatnya masih ada.

Akhirnya Mak kami bawak balik ke umah. Sebab Mak kate dia tak nak mati di hospital, dia nak mati di rumah sendiri, nak tengok anak-anak dia suami dia. Mintak dengan doktor, doktor benarkan. doktor kata mak dah tak de harapan.

Bila mak sampai rumah. Suatu keajaiban berlaku, mak mintak makan, kemudian ingatan dia normal semula. cuma mata dia ja masih kelabu. Dia makan, kami bagi semua makanan yang dia suka, apa yang dia sebut kami cari. Kami ambil semua baju baru mak kami pakaikan pada dia sembang ngan semua orang, mintak maaf ngan semua terpaksa baring mengiring, sebab perut dia smakin membesar.

Lebih kurang seminggu mak kat rumah nazak. Hari tu pagi sabtu. Nafas Mak tersekat-sekat..masa tu Mak dah dak boleh bercakap, suara dia keluar amat perlahan. Kita kena letak telinga kat mulut dia baru dengar. 

Tengah hari tu kami dah tak sampai hati lagi tengok mak dalam keadaan tu, seksa sangat, umpama ikan dilempar ke darat. Kami sekeluarga berbincang. Tanya pendapat orang tua dan buat keputusan, agaknya hari ni sampailah masa tamatnya penderitaan mak sekian lama. Kami dah tak sanggup tengok mak terseksa lebih lama. 

Kami adik-beradik dan abah pergi pada mak. Kami mintak ampun, mintak maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki, mintak halal makan minum kami, mintak halal air susu yang kami minum. 

“Ma… Emie mintak ampun, mintak maaf segala dosa Emie pada ma, dari hujung rambut sampai hujung kaki. Emie mintak halal makan minum Emie selama ni, Emie mintak halal air susu yang Emie minum”, banyak lagi aku nak sebut pada Mak tapi tak terkeluar dari mulut. Ya Allah kenapalah jadi macam ni. 

Kami kucup dahi Mak…. kami cium tapak kaki mak. Air mata Mak mangalir. Kami letak adik tepi Mak. Bagi Mak cium adik. Sayunya aku tengok. Air mata Mak mengalir bila tengok adik. Kesian adik lepas ni dia dah tak dapat jumpa Mak. Tak dapat merase kasih sayang Mak.

Mak bisikkan sesuatu pada Abah. Air mata abah mengalir. Nilah seumur hidup aku nampak abah menangis. Abah kucup dahi Mak. Kemudian dengan amat terpaksa kami terlentangkan Mak. Aku terpaksa, kami terpaksa. Kami sayangkan Mak. 

Tak nak seksa mak. Tak lama mak sesak nafas. Abah ajar mak mengucap. Allahhuakbar seksanya menuju kematian. Innalillahiwainnahiro-jiun….. Ibu tercinta pergi buat selamanya……… Maaf, setakat ini sahaja sanggup saya tulis kisah ini…linangan air mata dan Al-Fatihah sebagai noktahnya.

INGAT!!! IBU KANDUNG HANYA SEORANG SAHAJA DI DUNIA INI. JIKA DAH TIADA, MAKA TIADALAH GANTINYA. SYURGA ITU DIBAWAH TELAPAK KAKI IBU. KEPADA MEREKA YANG MASIH MEMPUNYAI PELUANG, AMBILLAH PELUANG INI, CIUM TANGAN IBU ANDA, MINTAK AMPUN PADANYA. GEMBIRAKAN 
DIA. AMBILLAH KISAH BENAR YANG SEDIH INI SEBAGAI PEDOMAN HIDUP, HARGAI MEREKA!




25 Oct 2014

Untuk selamat.....



ada ihklas dan takut..timbul rasa harap
padaNya selalu-ihsan google

Suatu ketika , selepas iblis dikeluarkan dari syurga, malaikat Jibril dan Mikail sentiasa menangis. Lalu Allah berfirman kepada keduanya: " Apakah kiranya yang menyebabkan kamu berdua menangis sebegini rupa?"

Keduanya menjawab, " Wahai Tuhan, kami tidak merasa aman dari ketentuanMu, sedangkan azazil ( iblis ) juga terpedaya dengan ibadahnya yang banyak."

Allah berfirman, " Begitulah kiranya kamu berdua, kamu tidak merasa aman dengan ketentuanKu."

Begitu juga dengan kisah yang berlaku pada salah seorang anak murid Imam Al Ghazali selepas kematiannya. Suatu ketika pernah anak muridnya bermimpi berjumpa dengan tuan gurunya itu. Lantas dia bertanya," Wahai tuan guru, bagaimana Allah memperlakukan terhadapmu?"

Jawabnya, " Aku diselamatkan kerana belas ihsan Allah terhadapku. Suatu masa pernah aku membiarkan seekor lalat menghisap dakwat dari penaku. Aku membiarkannya sehingga ia puas dan terbang dari situ. Aduhai kiranya itulah yang menyebabkan Allah melimpahkan rahmat ke atsku."

Begitulah...ibadah yang banyak belum tentu dapat menjamin keselamatan kita di akhirat kelak. Bukan itu yang menjadi nilaian Allah, tetapi keihklasan hati yang melakukannya. 

Nabi Daud as menangis selama empat pulu hari dalam keadaan bersujud tanpa mengangkat kepalanya. Sehinggakan rumput tumbuh dari air matanya. Lalu ia dipanggil," Hai Daud, adakah engkau lapar? atau engkau haus?" Lalu Nabi Daud memekik dengan pekikan yang mengeringkan kayu. Kayu itu terbakar kerana kepanasan takutnya.

Kemudian Allah menurunkan taubat dan pengampunan kepadanya. Lalu ia berkata," Wahai Tuhan! Jadikanlah kesalahanku dalam tapak tanganku!"  Tidak lama kemudian tertulislah kesalahan di tapak tangan beliau. Sejak itu ia tidak membuka tapak tangannya melainkan beliau sentiasa menangis apabila terlihat kesalahan itu.

Demikianlah... dua rasa yang perlu ada pada seorang hamba.. rasa ihklas dan takut pada Allah. Banyak lagi rasa-rasa sebagai seorang hamba seperti harap, cemas, bimbang kalau-kalau Allah tidak terima segala amalan kita. Alangkah malangnya nasib kita di sana nanti. 

Oleh itu marilah kita sama-sama tanamkan rasa pengharapan yang tinggi agar Allah terima segala amalan kebaikan kita, mengingatkan dosa-dosa yang lepas dan bertaubat bersungguh-sungguh dan tidak mengulangi dosa-dosa itu, amin.

24 Oct 2014

Berhijrahlah sebelum menjelang 40-an...




Selepas 40 tahun... hati tidak kenal Allah, tidak kenal akhirat, Islam, Iman...tentu payah hendak menjadikannya sebuah keyakinan. Umpama anak yang tidak tahu siapa ibunya, tiba-tiba datang seseorang mengaku dia ibunya, tentu payah untuk menanam kasih-sayang dan kecintaan kepada ibunya, walaupun dia yakin itulah ibunya...sebab kasih-sayang sudah diberi kepada ibu angkat.

Begitulah payahnya, orang yang sudah 40 tahun mengekalkan sifat sombong dan besar diri, untuk mujahadah menjadi tawadhuk atau rendah diri. Sesudah 40 tahun mengekalkan sifat bakhil, hingga sifat itu sudah menjadi perangai dan akhlaknya, bukan senang hendak mendidik hati jadi pemurah.

Sudah 40 tahun menjadi pemarah dan pembengis, bukan mudah hendak menjadi pengasih dan lemah-lembut..Sudah 40 tahun berhasad dengki sesama manusia, tentu tidak mudah untuk menjadi orang yang berlapang dada dengan mausia.

Sudah 40 tahun tidak sabar, tidak redha, maka tentu payah untuk bertukar menjadi seorang yang sabar dan redha dengan Allah. Sudah 40 tahun berpenyakit gila puji, gila pangkat, gila dunia, tentu amat sukar untuk bertukar menjadi seorang yang zuhud dan alim...

...oleh itu, pendidikan, mujahadah, menambah iman, menambah ilmu mestilah dibuat sewaktu usia masih muda, jinakkan nafsu waktu ia belum liar lagi. Anak-anak kita..latihlah dengan segala kebaikan lahir dan batin sewaktu mereka belum pandai buat jahat lagi. InsyaAllah ia mudah dikekalkan...

Bertuah dan bersyukurlah sebanyak-banyaknya jika Allah mengetuk pintu hati kita menjelang umur 40 ini, kerana umur 40 ni dah kritikal sebenarnya.....

* Salam Maal Hijrah buat semua teman ukhwah saya di halaman ini, dan juga sesiapa saja yang singgah di sini, moga ada manfaatnya *

23 Oct 2014

Damaikan hatimu.....

Damai kan..dah penat dan pening dengan macam-macam isu yang bukan-bukan
sekarang ni, saja tampilkan gambar ni buat santapan mata.

A.N.U.G.E.R.A.H

" Barang siapa menjaga pandangan mata, 
ia akan dianugerahkan kemantapan hati "

Saidina Umar Al Khattab.

22 Oct 2014

" I want to touch a dog" - apa komen Ustaz Kazim Elias?








Salam sejahtera..

Kempen Saya Mahu Sentuh Anjing..

Hurmm satu kempen utk mmbuang stigma bagi Org Muslim dan khususnya org Melayu kononnya.. Siap bawak dalil kisah org masuk syurga kerana bagi minum kpd anjing lagi.

Membela anjing utk jaga kebun utk jaga keselamatan rumah utk mengesan barang jenayah tidaklah dilarang malah harus di dlm Islam.

Tetapi nak dijadikan sbg binatang peliharaan spt kucing ayam dll tidaklah boleh dipandang ringan krn ianya melibatkan urusan ibadat seharian.

Mana boleh saja2 bela, saja2 nak pegang. Sebab apa nak pegang? Isu apa? Nak jadikan anjing sbg apa? Mula2 pegang pastu bela ,pastu masuk dlm rumah pastu? Pastu?

Binatang mughalazah ini mcm babi jugalah mughalazahnya, lepas ni buat la kempen pulak pegang babi dgn melawat ke pasar babi lepas tu melarat ke makan babi pulak.

Ini semua ada agenda halus utk meliberal dan mempluralkan agama. Tidaklah salah pegang anjing, tapi apa sebabnya sampai buat kempen?Kenapa tak buat kempen ke masjid ke? Kempen menerima hudud ke kempen menerima konsep Kalimah Allah yg sebenarnya ke..

Inilah jarum halus yang dicucuk kpd umat Islam agar menjadi fahaman liberal dan plural.. Nnt akan ada yg kata kenapa ustaz bising isu anjing kenapa tak bising isu memegang bukan mahram tak bertudung dll, yg itu pun berkali2 dah saya tegur dan nasihat tapi dlm bab kempen anjing ni, ianya satu gerakan yg cukup halus utk menghalalkan sesuatu yg sudah diharamkan dan dimulakan dgn satu kempen secara kecil2an yg akhirnya akan merubah dan menidakkan hukum dan itulah tujuan asalnya.

Berhati2lah dgn kempen sebegini, lepas kempen arak mai anjing pulak lepas ni apa pulak? Jgn lepas ni buat kempen babi pulak dgn alasan bahawa babi skrg dah bersih dah diternak dlm aircond dah mengamalkan tahap kebersihan mematuhi piawaian antarabngsa.

Halusnya kempen anjing ini namun sayang ada segelintir umat Islam yg tidak cukup halus matahatinya utk meneliti…. -Ustaz Mohd Kazim Elias

Kredit: DI SINI

Noslalgia Muharram.

Selamat datang Muharram 1436H dan selamat jalan Muharram 1435H..setahun berlalu penuh dengan warna-warna suka-duka sebuah perjalanan, setahun yang bakal datang entah apa lagi warna-warni suka duka bakal dicatatkan...

Dan setelah selesai daun-daun hari, minggu dan bulan-bulan taqwim 1435 gugur berantakan di bumi dan ditelan oleh mulut-mulut masa, daun-daun baru yang hijau segar timbul dengan susuk wajah baru, nafas baru, udara baru membentang sebatang jalan dan titian baru untuk dilalui oleh insan yang melata di bumi Allah ini.

Dan mahu tidak mahu, ingin tidak ingin seluruhnya berhijrah bila datangnya tahun hijrah 1436. Dunia berhijrah. Manusia berhijrah, muda berhijrah kepada tua, tua berhijrah kepada lebih tua lagi, hidup berhijrah kepada kematian....

Dan bayi yang baru lahir berhijrah dari alam gelita ke alam terang. Hidup yang berhijrah kepada kematian,  berhijrah dari alam dunia kepada alam akhirat, adakah kuasa kita yang mampu menghalang. Kemudian dari alam kubur berhijrah lagi ke perhimpunan besar di Padang Mahsyar. Kemudia berhijrah lagi, kemana???  ke mana???

ke syurga?...atau ke neraka???

Aku mengetuk daun pintu diriku, sudahkah aku berhijrah? Berhijrah dari sifat mazmumah kepada sifat mahmudah. Berhijrah dari ingkar kepada taat kepada Allah, berhijrah dari selubung kemalasan ke alam kerajinan beribadah..

Kuketuk lagi pintu hati ku ini, bertalu-talu...sudahkah lidahku berhijrah? Sudahkah mataku berhijrah? Sudahkah telingaku berhijrah? Sudahkah tanganku berhijrah? Sudahkah kakiku berhijrah? Mampukah aku membuka sebuah babak baru dalam hidupku dengan menjadi hambaNya yang lebih taat lagi?

" Orang yang bermujahadah pada jalan Kami akan Kami tunjukkan jalan Kami dan sesungguhnya Allah berseta orang yang berbuat kebajikan."
                                                                                                  - Al Ankabut - 96.

NOSTALGIA MUHARRAM.
- 1 Muharram tahun ke 7 kerasulan: Rasulullah SAW dikurung di Shi'ib Abi Talib bersama-sama semua Bani hasyim.
- 1 Muharram 7H ( rabu ) : Permulaan Rasulullah mengutus surat kepada pemerintah-pemertintah antarabangsa.
- Muharram 7H: Ghazwah Khaibar.
- Muharram 7H: Perkahwinan Rasulullah dengan saidatina Safiyyah.
- 10 Muharram 8H ( rabu ) Bertolak dari Makkah ( Ghazwah Fathul Makkah )
- Awal Muharram 9H: Pentadbiran zakat bermula.

Pohon hijrah 1435 makin rontok daunnya- ihsan google.


21 Oct 2014

- "I want to touch a dog" -Budak-budak ni pun tahu hukum!!!

Pasal kempen pegang anjing semalam, budak-budak ni pun kecoh. Sampai je kat KAFA, nampak je muka saya diorang terus bising-bising, macam-macam pandangan diorang..

" Diorang tu bodoh, dah jelas anjing tu haram"
" kenape jakim biar?"
" mak saya kata kalau sengaja pegang haram"
" Kalau saya orang bagi duit pun saya takkan pegang"
" Hei, apala diorang yang pegang tu, nama je islam, buat malu je."

Ni komen budak-budak yang berumur bawah 12 tahun, belum matang pun, yang dok asyik kena marah sebab banyak main dari belajar, yang solatnya lebih banyak ngelat dari betul, tapi nampaknya mereka lebih faham hukum, lebih tahu dari orang yang mengaku 'cerdik' tu...
saya sedang ajar mengaji si kakak comel ni, yang kat meja tu
masih kecoh dengan isu anjing, saya pasang telinga dengar,
jelas diorang tak puas hati, masing-masing dok lontarkan
pandangan bernas.

Salam rindu, salam maal hijrah.

Salam rindu buat kawan-kawan dan salam ukhwah juga buat sesiapa saja yang sudi singgah di sini, moga semuanya beroleh rahmat, kasih-sayang dan pengampunan Allah.

Maaflah lama menyepi...takde apa nak cerita.
.
Nak cerita sikit je. Malam ahad lepas, kami sekeluarga sempat ikut satu kuliah. Tentang kepentingan sembahyang malam. Banyak sangat sebenarnya kelebihan sembahyang malam, nak sebut sikit je, kalau tulis panjang-panjang nanti kot tersengguk pulak nak membacanya yea, hi hi..

Kalau kita ada masalah jalan penyelesaiannya cukup mudah, bangunlah buat sembahyang malam. Mengadu, merintih mohonlah pada Allah, In shaa Allah, kerana Dia suka kita  mengadu padaNya. Ada satu kisah Nabi Musa sakit gigi, lalu baginda bertanya lansung kepada Allah apa yang dapat digunakan untuk menyembuhkan sakit gigi baginda itu, Lalu Allah tunjukkan sejenis tumbuhan. Setelah digunakan, sembuhlah sakit gigi baginda. Suatu ketika lain baginda sakit gigi lagi, terus
saja diambil tumbuhan tersebut tanpa bertanya pada Allah lebih dahulu, tapi kali ini sakit giginya tidak sembuh. Lalu baginda bertanya pada Allah kenapa? Allah memberitahu Allah berlepas tangan kerana kali ini Baginda membuat keputusan sendiri tanpa bertanya pada Allah. Jadi kita ni, lagilah sepatutnya kena berserah pada Allah dalam segala hal.

Umar Zikri sempat komen ustaz..." ustaz ni kawan abah kan, suka buat lawak macam ustaz Kazim"  ( dia bisik kat saya ). Ustaz Haslin bollywood pun katanya kawan abah, pada dia ustaz yang pakai kopiah tu semuanya kawan abah, ha ha..

Sabtu ni kita semua akan sambut 1 muharram, bermulalah kelendar baru taqwim islam 1436H, salam maal hijrah buat semua.

Sal, nanti akak terjah blog Sal yea, In shaa Allah:-)

15 Oct 2014

Nak berniaga tepi jalan jer rasanya..

takde idea. Kuota broadband pun dah habis, tunggu loading pun dah cukup seksa. Cuma rasa nak kongsi perasaan jer pagi ni, entah ada yang sudi membaca ke tidak..takpe..pada yang sudi terimakasih saja mampu diungkap yea. Terimakasih juga buat teman ukhwah yang baru Zakaria Mamat, nak follow semula tak tinggalkan link, harap kalau terbaca kat sini, tinggalkan link kat komen ke, saya akan berdesup follow semula. In shaa Allah yea.

Saya rasa saya nak berjualan, tambah duit belanja dapur dengan berniaga pagi ahad, pagi ahad jer la. Boleh ke...? Entah la..tak pernah dan takde pengalaman lansung sebenarnya.

Kesian kat larling tu sebenarnya. Semuanya atas bahu dia. Gaji cikgu tadika macam saya ni berapala sangat, takat lepas nak beli suplimen sikit, topap sikit, tu je lah. Tengok muka larling kelat je bila hujung-hujung bulan, kesian tau...

Saya cadang nak buat yang simple-simple je, nasi goreng, mee hoon goreng, spageti goreng citarasa tekak melayu saya tu..keluar sikit dari kawasan perumahan saya tu ada kolej MARA Jepun, bolehla saya buka meja kat situ. 

Tapi kan, larling macam tak sokong jer. Agaknya dia tak yakin saya boleh buat, atau..ke dia malu, takut nanti orang kata dia tak cukup duit nak sara keluarga, ishhh..jahat betul hati saya ni, suka nak sangka buruk je.

Apapun saya masih dalam usaha memujuk dia. Dalam keadaan serba-serbi mendesak sekarang ni, barang tu naik harga, barang yang tak kena-mengena pun aikkk..boleh naik harga juga, rasanya kami perlu berbuat sesuatu,lagipun kan Rasulullah pun dah jamin, 9 per 10 rezeki ni adalah dari perniagaan.

Doakan saya, moga ada antara doa kawan-kawan yang berkat..In shaa Allah..
ni tumpang duduk kat gerai kawan dulu, amik feel...










14 Oct 2014

5 Renungan Rahmat.

*  Renunglah ayat-ayat Allah, hingga lahir keyakinan ( tauhid )
*  Renunglah nikmat-nikmat Allah, hingga lahir kecintaan ( mahabbah )
*  Renunglah janji-janji Allah hingga lahir ghairah beribadah.
*  Renunglah ancaman Allah, hingga lahir rasa takut.
*  Renunglah kekurangan diri dan kebesaran Allah, hingga lahir rasa malu.
Aku ingin selalu memandang anak-anak ini
dengan pandangan kasih-sayang, moga dengan itu
Allah sudi memandangku dengan pandangan kasih-sayang.

13 Oct 2014

Nikmat umur.

Pada suatu ketika sedang Nabi Isa berjalan di sebuah padang pasir yang panas dan tandus, Baginda terkejut apabila melihat seorang tua sedang beribadah di tengah panas terik tanpa sebarang tempat teduh. Nabi Isa bertanya, " Wahai orang tua, mengapa tidak kamu dirikan sebuah pondok kecil sebagai tempat berlindung ketika beribadah?" Orang tua itu menjawab, " Saya tidak sempat."

Nabi Isa bertanya lagi, " Berapa tahunkah umurmu dan sudah berapa lamakah kamu beribadah begini?" Orang tua itu menjawab, " Umur saya 700 tahun dan saya sudah beribadah seperti ini sudah selama 600 tahun. 

Nabi Isa tercengang dan berkata, " Sepanjang itu umurmu, dan kamu tidak memikirkan untuk mendirikan sebuah pondok kecil untuk beribadah?" Nabi Isa terharu melihat kegigihan orang tua itu dan erus berkata, " Akan datang satu zaman di mana umur manusia pendek-pendek iaitu tidak sampai pun seratus tahun... tetapi mereka mendirikan bangunan yang tinggi dan mewah-mewah untuk berbangga-bangga," Orang tua itu terkejut dan mengeluh, " Kalau saya umur seratus tahun...akan saya gunakan untuk sujud sahaja kepada Allah SWT.

* Rasulullah SAW bersabda: " Aku menangis kerana Jibril datang memberitahuku bahawa Allah malu untuk menyeksa orang yang telah beruban di kalangan ummatku, tetapi kenapa orang yang telah beruban tidak malu membuat dosa *

ihsan google.

Pesan buat seorang ISTERI.

Pesankan kepada isteri agar jiwa mereka hidup.................( sambil dalam hati suami berkata " Jangan perasanlah aku masuk syurga....Tapi ke mana pula aku nak pergi?" )

---------------------------------------------------------------------------------
Bidadari syurga makhluk yang sangat indah yang telah Allah ciptakan untuk hamba-hambaNya yang soleh, yang berbuat kebaikan, buat manusia yang layak memasuki syurga. Diceritakan bahawa bidadari-bidadari syurga ini terlalu rindukan suaminya di dunia dan teringin melihat suaminya di dunia, namun tidak diberi izin oleh Malaikat Penjaga syurga.

Kerana kerinduan kepada suami mereka membuak-buak, suatu hari mereka meminta izin dari Allah untuk menjenguk ke bumi bagi melihat suami mereka dan kerana itu mereka telah diizinkan Allah. Bidadari-bidadari ini dapat kenal siapa mereka kerana di dada bidadari telah tertulis nama suami yang mereka rindui dan cintai....

Apabila menoleh sahaja ke bumi, maka terlihatlah bidadari-bidadari itu akan isteri bagi suami mereka di dunia ( kita-kitalah tu ) sedang tidak taat serta berbuat derhaka kepada suami, lalu bidadari syurga yang sangat merindui suaminya di syurga Akhirat sedih dan hiba lalu berkata...

" Janganlah kamu menyakitinya, semoga Allah memerangi kamu! Sesungguhnya dia hanyalah tamu di sisi kamu. Sebentar lagi dia akan datang kepada kami dan meninggalkan kamu."

Ulang sekali lagi........

" Janganlah kamu menyakitinya, semoga Allah memerangi kamu! Sesungguhnya dia hanyalah tamu di sisi kamu. Sebentar lagi dia akan datang kepada kami dan meninggalkan kamu."

Ulang sekali je lagi........

" Janganlah kamu menyakitinya, semoga Allah memerangi kamu! Sesungguhnya dia hanyalah tamu di sisi kamu. Sebentar lagi dia akan datang kepada kami dan meninggalkan kamu......"

ada ke yang sanggup buat begini..? ihsan google.


Baju Muslimah

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign