Asam Garam Kehidupan: August 2013

Nuffnang

Pages

31 Aug 2013

Sambutan Syawal Merdeka di Tadika Nur Muhammad Putra Jaya

Danial, Hakimi, Zarul seriusnya makan, lapar sangat ye..

Tiga dara.. Maisarah, Safiyya, Yusrina


Hidangan sihat.. 

Antara hidangan lain

Hai, tak habis lagi makan, baca doa tak ni?
Yang kecik-kecik ni, anak-anak tadika, anak murid saya juga, tudung dah melayang ke mana tu?


Jamuan raya setahun sekalikan? Ha.. nak makan puas-puas, mengadap rezeki tu jangan lupa Allah yang Maha Memberi Rezeki


Dah selesai, ada yang tak datang, ada yang tak nak bergambar..jadi inilah yang ada semasa sambutan Syawal Merdeka 30 Ogos 2013.

* Sebenarnya ada acara melukis Jalur Gemilang lepas jamuan, tapi tak sempat nak snap, hari nak hujan, berkejar nak balik,  takut jam *

Contohilah kesabarannya.

Dalam kesibukan orang ramai yang sedang bertawaf, terdapat seorang wanita yang tidak berhenti-henti tawaf mengelilingi kaabah.
Dia tunduk dan berjalan perlahan-lahan, wajahnya tenang sambil mulutnya tidak henti-henti berzikir pada Allah. Di celah-celah kesibukan itu rupanya ada seorang lelaki memerhatikan keadaan wanita itu. Kerana kagum dengan sikapnya, lelaki tersebut memberanikan diri untuk bertanya.
" Maafkan saya puan, saya ingin bertanyakan sesuatu."
Kerana khusyuknya, wanita tadi terkejut tetapi mengizinkan lelaki itu bertanya, "Silakan,"
" Dari tadi saya perhatikan puan tidak henti-henti bertawaf, puan kelihatan begitu khusyuk, wajah puan juga kelihatan amat tenang, seolah-olah puan tiada masalah lansung,"
Melihatkan kesungguhan lelaki itu, wanita itu pun berkata," Sebenarnya saya seorang yang malang, saya ada suami dan empat orang anak. Tetapi semuanya telah dijemput Allah kembali padaNya. Peristiwa kematian itu berlaku pada suatu hari raya korban. Suami saya telah menyembelih kambing untuk korban. Perbuatan menyembelih itu telah diperhatikan oleh anak kedua saya yang belum begitu cerdik."
" Suatu hari ketika sedang bermain-main dengan adiknya , anak saya telah membaringkan adiknya dan disembelihnya sebagaimana dia melihat ayahnya menyembelih kambing. Memancut darah adiknya yang menjerit kesakitan. Dia ketakutan lalu lari meninggalkan adiknya yang hampir mati itu.  Suami saya dan abangnya yang dalam keadaan kelam-kabut mengejarnya kerana bimbang dia tersesat di padang pasir dan dimakan segala. Lama selepas itu ketiga-tiga mereka tidak pulang-pulang, saya yakin mereka sudah mati di padang pasir yang kering-kontang itu. Namun saya tetap menunggu dan berdoa semoga mereka pulang,"
" Suatu hari kerana kesedihan dan kegelisahan yang semakin menjadi-jadi, saya biarkan anak kecil saya yang baru pandai merangkak bermain sendiri. Dia telah mencapai cerek air panas yang sedang menggelegak. Tertumpah air panas itu menyirami seluruh tubuhnya. Anak saya menangis dan menjerit kesakitan sehingga akhirnya dia meninggal dunia. Saya hampir-hampir gila."
" Alangkah sedihnya, di mana lagi hati hendak saya sandarkan? Antara keinginan hidup dan mati itu saya bawa hati ke sini, mempersembahkan kepada Allah beban yang terlalu berat saya rasakan. Semoga dia sudi meringankannya. Dan sekarang saya memperoleh ketenangan. Yang tinggal di dunia ini buat saya untuk dicintai dan dirindui hanyalah Allah. Saya akan menghabiskan sisa hidup saya untuk taat dan berbakti pada Allah semata-mata, InsyaAllah."
" Akuilah saudara, bahawa ujian hidup berbagai-bagai bentuknya dan datang tanpa diundang. Tanpa iman manusia pasti karam, tenggelam bahkan mati lemas di dalamnya," Kata wanita itu lalu meninggalkan lelaki itu untuk meneruskan tawaf.

Perempuan di atas telah ditimpa musibah yang sangat berat namun dia tetap ingat Allah lalu merintih kepada Allah sehingga Allah bersimpati dan menerima rintihannya. Kemuncak mujahadahnya Allah hadiahkan rasa redho hingga terserlah cahaya ketenangan yang tak mudah digoyah oleh manusia.

Itulah satu contoh wanita yang sudah merdeka jiwanya...

merdeka hakiki

Ashabul kahfi itu
Merdeka jiwanya
Merdeka 
Bebas jiwanya melaksana
Syariat Tuhannya
Zahirnya
terpaksa bersembunyi
di gua sepi

tapi aku...
bebas melaksana syariat Tuhanku
tapi jiwaku..
masih terbelenggu dengan kejahatan nafsu
yang menipu, halus, tersembunyi..
Tuhan..
Entah bila merdeka hakiki itu
jadi milikku...
Bantu aku dalam mujahadahku
agar manisnya iman taqwa mengisi jiwa
tanpa diganggu gugat lagi...

                           
                            

30 Aug 2013

Hikmah di sebalik peristiwa

Setiap peristiwa yang berlaku di atas muka bumi ini ada hikmah atau rahsianya tersendiri. Kebanyakan orang hanya melihat pada peristiwa lahir semata-mata, pada mereka apa yang berlaku di hadapan mata itulah hakikatnya. Tetapi bagi orang yang mahu berfikir ia akan cuba mencungkil rahsia atau hikmah di sebalik setiap kejadian yang berlaku. Kenapa, mengapa, apa yang tersirat di sebaliknya.

Mari kita sama-sama cuba fahami dengan hati kita melalui kisah di bawah. Ada seorang lelaki yang mempunyai seorang isteri yang solehah. Di rumah mereka ada seorang hamba berkulit hitam yang sangat taat. Tiba-tiba pada suatu hari si hamba memegang tangan puannya dengan penuh nafsu. Tidak lama kemudian ia melepaskannya. Maka hairanlah wanita solehah itu, tetapi oleh kerana ia seorang wanita solehah yang berfikiran panjang, maka ia cuba mencungkil rahsia di sebalik peristiwa itu. Bila suaminya pulang dan membiarkan suaminya berehat seketika, dengan penuh berhikmah dia bertanya, " Wahai suamiku, apa yang kau lakukan di luar tadi?"

Si suami juga yang merasa bersalah terus menceritakan apa yang berlaku, " Tadi di luar saya ada memegang tangan seorang wanita dengan penuh bernafsu. Tetapi saya teringat kalaulah ada orang berbuat begitu kepada isteri saya bagaimana? Maka sayapun terus melepaskannya. Maka isteri yang solehah tadi terus menceritakan perbuatan si hamba tadi kepada suaminya, yang mana selama ini dia sangat taat.

Itulah hukum Tuhan. Setiap yang jahat akan dibalas jahat, dan setiap yang baik akan dibalas baik. Oleh itu jika harta kita dicuri orang, lihatlah asal-usul harta itu, apakah dari sumber halal atau pecah amanah? Kalau kita dipulaukan orang, mungkin kita pernah memulaukan orang. Boleh jadi anak yang hisap dadah, ayahnya dulu pernah terima rasuah dari pengedar dadah yang mana wang rasuah itu menjadi darah daging kepada anak isterinya.

Orang yang berbuat baik, Allah balas kepadanya kebaikan. Umar Abdul Aziz, khalifah Bani Umaiyah yanag sangat adil dalam pemerintahannya. Tindakan pertama bila ia menjadi khalifah ialah mengembalikan semua tanah keluarga diraja kepada rakyat, dan tanah-tanah yang diambil tanpa hak kepada yang empunya. Ia mengecilkan keperluan keluarganya, supaya lebih hampir kepada sederhana dan adil. Pernah suatu malam sedang dia duduk di dalam bilik di istana atas urusan kerja, tiba-tiba anaknya masuk untuk membincangkan hal keluarga. Khalifah Umar Abdul Aziz memadamkan lampu kerana tidak mahu menggunakan apa yang bukan milik kereka.

Hasilnya Allah beri kepada mereka nikmat yang sangat berharga, iaitu dicurahkan keamanan dan kedamaian dalam negeri sehingga serigala dapat berbaik-baik dengan kambing. Inilah contoh seorang pemimpin yang adil sehingga Allah memberikan rahmat kepada pemerintahannya.

Seorang anak yang berbakti kepada orang tuanya, InsyaAllah dia tidak akan disia-siakan oleh anaknya pula di hari tuanya. Suatu waktu dahulu, heboh di akhbar seorang anak meninggalkan ayahnya yang sudah uzur di stesen bas, ada yang menghantar ayahnya ke pusat jagaan orang tua dan terus tidak menziarahinya lagi, cuba kita fikirkan..jika anak itu dididik dengan iman dan kasih-sayang, agaknya berlakukah kejadian yang menampakkan kejamnya si anak tadi?

Marilah sama-sama kita renungkan dengan mata hati kita, mudah-mudahan Allah menurunkan rahmat dan kasih-sayangnya kepada kita di pagi jumaat yang penuh barakah ini. Amin.

29 Aug 2013

sangat benar kata-katanya..

" Tiada gunanya berteman dengan manusia tidak berpendirian, ke mana angin bertiup ke sanalah condongnya. Dia pemurah apabila anda tidak memerlukan hartanya, tetapi dia bakhil ketika anda jatuh miskin dan papa. Alangkag banyak kawan ketika anda menghitung-hitungnya, tetapi alangkah sedikit mereka ketika bencana menimpa."

                                           " Saidina Ali Karramallahu Wajhah "

Saidina Abu Bakar...

Sebelum menjadi khalifah diriwayatkan bahawa Saidina Abu Bakar As Siddiq ra selalu menolong seorang wanita tua yang menjadi jirannya. Setiap pagi beliau akan menolong memberi makan unta-unta kepunyaan jirannya itu serta memerah susunya. Setelah beliau diangkat menjadi khalifah  jirannya itu susah hati memikirkan siapakah yang akan menolongnya. Ia menyangka tentulah Saidina Abu Bakar tidak sempat menolongnya lagi, lantaran telah diangkat menjadi khalifah umat Islam.

Kebimbangan yang melanda hati perempuan tua itu disedari oleh Saidina Abu Bakar. Lalu beliau pergi berjumpa wanita tua itu lalu berkata:

" Wahai ibu, janganlah ibu merasa bimbang, sekalipun saya telah menjadi khalifah, namun jawatan itu tidak akan menghalang saya dari terus menolong ibu,"

* Hebatnya didikan Rasulullah terhadap peribadi para sahabat *

DATARAN MERDEKA.... ( sempena malam ambang Merdeka )

Assalamualaikum,

Telah Allah jadikan kegelapan malam untuk hambaNya melahirkan rasa hati. Merayu, mengadu, menyerahkan cinta untuk Allah SWT. Telah Allah jadikan kemudahan hidup untuk manusia yang berakal. Namun mengapa manusia sendiri mengabaikannya? 

Untuk pengujung DATARAN MERDEKA...
Tidakkah kamu terfikir bahawa alam menjadi saksi atas perbuatan kamu, sekalipun malam hitam pekat menyelimuti dirimu. Kamu hentak kaki atas simen, menari mengikut rentak hati yang tenggelam dengan nikmat dunia. Simen keras di bawah kakimu itulah yang akan menjadi saksi kelalaian kamu di malam sambutan ambang merdeka yang sesungguhnya bukan merdeka dari nafsu yang membelenggu...

Kamu duduk bertenggek di atas bangku dan di tangga dengan pasangan yang belum halal untuk kamu sentuh. Apakah kamu tidak terfikir bahawa itu semua akan menjadi saksi di mahkamah Rabbul Jalil nanti?

" Tuhan, hambaMu ini pernah membuat maksiat di atas belakangku di suatu mlam milikMu Tuhan," Begitulah seakan-akan persaksian yang akan diberikan di atas hubungan bebas yang kamu lakukan.

Yang paling dahsyat dan memalukan, ada gadis yang sudah ' faham' akan persoalan hijab tapi masih  berdua-duaan di Dataran Merdeka. Mengapa kamu tidak malu dengan Tuhan, hijabmu tidak mampu membenteng dirimu.

Ada yang duduk-duduk saja melepaskan waktu, sayang sekali umur masih muda belia tetapi mempersia-siakan waktu malam yang sepatutnya diisi dengan pengabdian kepada Tuhan. Tidak teringinkah kamu termasuk dalam salah satu golongan yang disabdakan oleh Junjungan Mulia:

" Ada 7 golongan yang mendapat perlindungan atau naungan Arasy di hari kiamat kelak:
1. Pemimpin yang adil
2. PEMUDA yang hatinya sentiasa terpaut pada masjid.
3. Dua orang yang saling cinta-mencintai kerana Allah.
4. Orang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi sehingga mengalir air matanya kerana takut pada Allah.
5. Seorang lelaki yang menolak ajakan seorang wanita yang cantik dengan berkata, " Aku takutkan Allah.
6. Orang yang bersedekah dan menyembunyikan sedekahnya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kananya.
7. PEMUDA yang mengisi masa mudanya dengan ibadah.
- Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Begitulah harapan Rasulullah pada kita, umatnya. Dataran Merdeka bukan bererti kamu merdeka dari hukum dan syariat Tuhan. Walau di bumi manapun kamu berpijak, syariat Tuhan tetap berjalan. Jangan kamu cemari Dataran Merdeka dengan perbuatan sumbangmu. Jangan engkau tukar namanya ke Dataran Maksiat. Cukuplah tradisi yang lepas-lepas. Taman bunga dan tempat rekreasi untuk menikmati keindahan ciptaan Tuhan tetapi telah bertukar menjadi tempat maksiat. Tempat teruna dara memadu kasih. Apakah kamu mahu samakan diri kamu dengan haiwan melata. Apakah kamu tidak mendengar tangisan dan rintihan Dataran Merdeka kerana sedih atas maksiat yang kamu lakukan di atasnya? Apakah kamu tidak takut bila bunga-bunga, lampu-lampu, tiang bendera turut bercakap selaku saksi bagi Allah atas maksiatmu?

Sesungguhnya pergunakanlah waktu malam dengan sebaik-baiknya.
1. Berzikir pada Tuhanmu.
2. Membaca FirmanNya.
3. Berdialog bersama Tuhanmu.
4. Memadu kasih dengan Khaliqmu.
5. Memohon ampun dan taubat padaNya yang Maha Pengampun

Itulah yang sepatutnya tugasmu sebagai seorang hamba kepada TuhanMu yang telah menciptakanmu dengan begitu sempurna dan dilengkapi dengan akal supaya kamu dapat membezakan mana yang benar dan salah.

Sekian.

Hakikat sebuah kehidupan..

Terbaring di tepi tembok
menderita ketagihan
Tiada siapa yang simpati
Tiada yang ambil peduli
Dia dengan dunianya
Entah apa di benaknya
terkadang merayau dan
dia dihalau bagai anjing kurap
dipandang jijik dan hina
harga dirinya bagai sampah sarap berlonggokan
Usia mudanya tersia begitu saja
Tenaga mudanya terbuang begitu saja
Di mana ayah dan ibunya juga sanak saudaranya
Salah siapa hingga dirinya...begini rupa.

                               

Tingginya akhlakmu...

Pada suatu hari diriwayatkan bahawa seorang rakyat awam tanpa mengenal Salman Al Farisi, menariknya secara kasar dan menyuruhnya melakukan kerja yang cukup berat. Orang tersebut menyuruh Salman memikul karung rumput untuk dibawa pulang ke rumahnya. Dia berjanji kalau kerja itu selesai Salman akan diberi sedikit upah. Dengan patuh Salman Al Farisi melakukan kerja tersebut.

Dii tengah perjalanan mereka bertemu dengan serombongan penduduk. Salman memberi salam kepada mereka. Lalu mereka berhenti seraya menjawab salam itu, " Juga kepada amir kami ucapkan salam,"

Jawaban penduduk tersebut sangat menghairankan tuan punya karung rumput tersebut. Kehairanannya makin bertambah bila sebahagian anggota rombongan itu datang dan meminta barang pikulan sambil berkata, " Wahai amir, berikanlah beban itu kepada kami agar kami membawanya."

Alangkah terkejutnya tuan punya karung tersebut dan mengertilah ia bahawa buruh upahannya itu adalah Salman Al Farisi, amir negeri Madain. Dengan rasa penyesalan yang amat sangat, segera ia mendekati Salman sambil meminta maaf dan meminta karungnya kembali. Tetapi Salman menolak sambil berkata, " Biar kuhantar sampai ke rumah tuan,"


*Ada kah lagi peribadi sebegini pada diri pemimpin zaman sekarang.....?*

28 Aug 2013

HEBATNYA MEREKA...

Suatu hari Saidina Umar Al-Khattab berangkat ke negeri Syamuntuk melihat daerah-daerah yang telah ditakluki Islam masa itu. Maksud kedatangannya yang utama sekali adalah hendak bertemu dengan Abu Ubaidah Al--Jarrah, penakluk serta amir negeri Syam yang luas itu. Amir ini juga terkenal dengan sifat amanahnya yang luar biasa.

Sesampai saja di rumah Abu Ubaidah, Khalfah pun dipersilakan masuk. Betapa terkejutnya khalifah bila didapatinya tidak ada satu apa pun perabut di dalam rumah Abu Ubaidah. Khalifah Umar pun bertanya: " Mana barang-barang kepunyaanmu wahai saudaraku yang beriman?"

Jawab Abu Ubaidah, " Apa yang tuan itu sajalah barang-barang kepunyaan saya,"

Khalifah kemudiannya kembali memerhatikan seluruh isi rumah amir itu. Sungguh menghairankan, apa yang ada di dalamnya tidak lebih dari sebuah baldi kecil dan sehelai kain bulu. Menyaksikan kehairanan Khalifah, Abu Ubaidah lalu menerangkan hakikat keadaan hartanya, " Ya Khalfah, cukuplah kesemuanya ini buat saya, baldi kecil itu adalah tempat air wuduk dan sepotong kain bulu itu adalah alas tidur saya,"

Saidina Umar begitu terharumenyaksikan kehidupan sahabatnya Abu Ubaidah seorang pahlawan yang begitu sederhana itu.

" Kenapa tangiskan saya ya Amirul Mukminin, kerana saya telah menjual dunia saya untuk membeli akhirat yang kekal abadi," tegas Abu Ubaidah Al- Jarrah.

* hebatnya mereka... tak mampunya nak tiru peribadi mereka, mereka cuma mengambil apa yang benar-benar diperlukan, sedangkan kita...bermacam benda kita beli, tapi kadang-kadang tersimpan sampai buruk dalam stor*

Merdeka, merdeka....

Tak beberapa hari lagi kita sebagai rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan negara Malaysia kita yang tercinta ini. ALHAMDULILLAH... syukur kami panjatkan ke hadratMu ya Allah..

Ya Allah, jadikanlah kami hambaMu yang pandai meraikan kemerdekaan..merdeka jiwa dari nafsu yang jahat, yang sangat mengajak kami ke arah kesesatan... apalah gunanya kami merdeka Ya Allah sekiranya nafsu kami masih membelenggu dan merosakkan hubungan kami denganMu ya Allah...

26 Aug 2013

Seraut wajah

INILAH seraut wajah
inilah rahsia, jua hakikat kejelitaan
yang pemiliknya sering lupa...
Tika hayatnya tersorok dalam balutan
daging dan urat darah, 
disempurnakan dengan sentuhan
'Rahim' iradah Allah
Untuk pinjaman buat perhiasan.
Dan inilah wajah....yang dulunya disenangi
kini, setelah halkumnya tersumbat tanah
pinjamannya dipersoalkan, menepati janji Allah
 "Kemudian pasti kamu akan ditanya tentang segala nikmat yang telah kamu rasakan di dunia"
                                                                               - At Takaatsur: 8



Tolong saya..

Saya 'bergelumang' dengan anak-anak peringkat umur 4 tahun hingga 12 tahun ni dah lama, seingat saya dah lebih dua puluh tahun, mungkin pelajar tadika saya yang 'first bech', tahun 1990, pun dah kahwin dan ada anak dara. Dan sampai sekarang pun saya masih memegang title cikgu tadika.

Saya pernah ada tadika dan taska sendiri sekitar tahun 2000 ke 2008, penghujung tahun 2008 saya jual kerana masalah susah nak cari pekerja yang benar-benar berminat dengan kanak-kanak. Kebetulan juga akhir tahun 2008 tu saya mengandungkan anak yang bungsu, dengan tak laratnya, dengan tak cukup stafnya... Ramai yang datang cuma untuk bekerja sekitar 2 ke 3 bulan sebelum menyambung pengajian, atau sebelum mendapat pekerjaan tetap yang lebih 'glamor' dan menjamin masa depan.

Sekarang saya cuma bekerja dengan orang, dah malas nak pening-pening kepala nak fikir masalah pekerja, maintanen, persaingan dan macam-macam lagi. 

Tapi rupanya masalah mencari pekerja taska ni masih macam sepuluh tahun dulu, susah nak cari yang betul-betul berminat, yang sabar dan sayang dengan kanak-kanak...kesian dengar keluh-kesah kawan-kawan pengusaha taska tentang 'peritnya' mencari pekerja.

Mungkin perkongsian di bawah boleh sedikit membantu.
Sebagai pengusaha kita adalah ganti 'ibu ayah' kepada mereka. Apa yang anak perlu dari sebuah keluarga? Kasih sayang dan pengertian. Sesekali bawa makan angin, bagi hadiah.. dan yang lebih penting lagi kena bawa mereka kepada Allah, seperti selalu bagi tazkirah, sembahyang berjemaah, setiap malam jumaat adakan yasin dan tahlil. Selain mendekatkan diri pada Allah, ia dapat juga merapatkan ukhwah dan kasih-sayang sesama mereka.

Mungkin banyak lagi yang boleh dilakukan sebagai pengusaha. Terpulang juga pada kreativiti masing-masing, sebab sebagai pengusaha ni memang kena bijak dan cekap dalam segala hal ( Jangan mudah patah semangat macam saya, hu hu). Moga ada sedikit manfaat bersama..

Dulu.........

Embun menitis.... setitis demi setitis...berguguran membasahi bumi. Angin malam bertiup. Sesekali menerbangkan debu-debu pasir. Kedinginan malam pukul 1.00  makin terasa, menjalari dan menggigit-gigit tulang hitam, menambah lena insan yang diulit mimpi indah.

Nun di sana..kelihatan dua sosok sedang berjalan, terhoyong-hayang melawan arus angin, sesekali jatuh.. dan bangun semula. Akhirnya sampai juga ke matlamat yang dituju. Lalu bergemalah ketukan di dinihari. Ah! siapakah yang mengganggu tidurku?

" Wahai saudara, ada sesiapakah yang berhutang denganmu pada hari ini?" Lantang suaranya membelah malam.

" Ya, ada, kenapa?"

" Kalau begitu, berapa jumlahnya? Biar ku jelaskan semuanya"

" Boleh saya tahu siapa sebenarnya tuan ini?"

" Tidak perlu, katakan saja ada hamba Allah yang melunaskan hutang-piutangnya itu."

Aneh, siapalah hamba Allah yang begitu pemurah? Sanggup meredah malam yang pekat, meninggalkan lena yang indah, selimut yang nyaman. Menyusuri dari pintu ke pintu dalam dinginnya malam yang menggigit. Sanggup melakukan penuh ikhlas dan rahsia?

Masih wujudkah insan seperti ini hari ini? Sanggup menjadi bank kepada masyarakat. Kerana merasakan kekayaan bukan miliknya. Tetapi adalah satu bebanan yang bakal dipertanggungjawabkan di hadapan hakim Rabbul Jalil.

Dialah Saidina Abdul Rahman bin Auf, pakar perniagaan Islam, yang pernah dikatakan oleh Rasulullah bahawa jika Saidina Abdul Rahman berniaga pasir sekalipun, dia tetap mendapat keuntungan. Namun dari lidah Rasulullah juga memberitahu, Saidina Abdul Rahman kelak akan ke syurga dengan merangkak..

25 Aug 2013

" Wuduk tidak pernah hilang dari diriku...

Diriwayatkan dari sebuah kitab, terdapat seorang wanita pembakar roti di zaman nabi Isa as. Suatu hari sedang wanita itu membakar roti, maka berkumandanglah panggilan untuk menyembah Allah. Wanita tersebut bingkas bangun meninggalkan roti yang sedang dibakar semata-mata untuk mengadap Allah Yang Maha Besar. Dengan hati yang penuh bimbang dan mengharap, dia mengadap Tuhannya. 

Ketika itu datanglah syaitan yang menyamar seperti seorang perempuan dan berkata kepada perempuan itu, " Roti mu sudah hangus, cepat,"

Jawab wanita itu, " Tuhan yang aku sembah lebih baik dari roti itu,"

Syaitan itu tidak berputus asa lalu mengambil anak wanita itu dan dicampakkannya ke dalam tempat pembakar roti.Tidak lama kemudian suami wanita itu pulang dan didapati anaknya sedang bermain-main dengan bara api. Melihatkan kejadian yang pelik itu, suami wanita itu terus berjumpa dengan nabi Isa dan menceritakan peristiwa tersebut. Nabi Isa berkata, " Bawa aku kepada anakmu,"

Nabi Isa sendiri merasa takjub melihat peristiwa itu. Lebih-lebih lagi di celah-celah bara api tersebut tumbuh sebatang pokok delima dengan buahnya dan kanak-kanak itu menghisap buahnya. Bara-bara api itu bertukar menjadi permata seperti aked dan lu'luk. Kanak -kanak itu bermain riang dengan batu-batu permata tersebut.

Lalu Nabi Isa as menyuruh membawa isterinya untuk mendapatkan kepastian, Baginda bertanya, "Apa pekerjaan yang kamu lakukan hingga Allah muliakan kamu dengan kemuliaan ini?"

Jawab wanita itu, " Aku selalu melakukan tiga perkara di dalam hidupku, pertama wuduk tidak pernah hilang dari diriku melainkan aku memperbaharuinya apabila batal. Kedua aku selalu menilik orang mati yang diusung oleh orang hidup ke kubur. Aku juga akan menemui nasib seperti mereka suatu hari nanti. Ketiganya hajat manusia akan aku cuba capaikan sedaya-upayaku semata-mata untuk mencapai keredhaan di sisi Allah."

Setelah mendengar penjelasan wanita itu Nabi Isa berkata, " Inilah warisan segala para anbiya' dan jikalau kamu lelaki nescaya aku akan naik saksi bahawasanya kamu adalah seorang nabi. Tapi tidak ada nabi untuk perempuan,"

Di dunia lagi Allah telah memberikan keistimewaan untuk orang yang sentiasa mengekalkan wuduk apatah lagi di akhirat. Berwuduk dalam istilah lain iaitu membersihkan diri dari najis dan membasuh empat anggota dengan tertib. Anggota yang wajib dibasuh ialah muka, dua tangan ke siku, kepala dan dua kaki ke buku lali. Setiap titis air wuduk merupakan malaikat yang akan memohonkan keampunan untuk kita hingga ke hari kiamat. Barangsiapa tidur dengan berwuduk nescaya rohnya akan dapat naik hingga ke arasy dan pahalanya sama dengan orang yang mengerjakan puasa dan mendirikan sembahyang di malam hari. Mati dalam keadaan berwuduk pula mendapat pahala seperti orang mati syahid. Mimpinya juga akan terpelihara dari tipudaya syaitan.  Mengekalkan wuduk adalah budaya orang soleh, dan barangsiapa mengamalkannya ia akan tergolong dalam golongan itu seperti sabda Nabi:

" Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum maka ia tergolong di dalam kaum tersebut."

                                          

24 Aug 2013

Makanan penghuni Neraka

Di dunia, beraneka jenis makanan dan minuman boleh dipilih mengikut selera kita. Namun bagi penghuni neraka tiada pilihan lagi melainkan makanan dan minuman yang kalau dimakan akan lebih terseksa. Apa dia makanan dan minuman penghuni neraka? Allah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 16-17
" Dan Neraka di hadapan mereka, dan mereka diberi minum dengan air yang bernanah. Dihirupnya sedikit, dan hampir tidak dapat diteguknya, dan kematian datang kepadanya dari segala penjuru, tetapi dia tidak mati dan di belakangnya seksa yang keras."

Minuman penduduk Neraka adalah dari nanah yang busuk. Nanah busuk itu ialah nanah yang mengalir daripada badan mereka sehingga tubuh mereka tenggelam di dalamnya. Cairan itu dinamakan gassaq. Kata Rasulullah SAW:
" Andainya setimba saja air gassaq Neraka Jahannam itu ditumpahkan ke bumi ini, maka seisi dunia akan menderita bau busuk"

Apabila penduduk Neraka meminta makanan kerana lapar dan dahaga, mereka akan dihidangkan dengan minuman nanah yang busuk atau cairan logam yang panas dan diberi makan buah zaqqum yang berduri lagi panas. Makanan dan minuman itu bukannya mengenyangkan dan menghilangkan haus, malah semakin lapar dan dahaga serta menyeksakan.

Abu Dardak menceritakan, Rasulullah SAW bersabda: " Ditimpakan kepada penduduk Neraka rasa lapar yang seimbang pula dengan seksa yang mereka deritai, sehingga mereka menjerit dan meminta makan, lalu dihidangkan tanaman berduri yang tiada berzat bahkan tiada menghilangkan rasa lapar. Mereka menjerit lagi meminta makan, lalu dihidangkan makanan yang tersekat di kerongkongan. Mereka teringat bahawa tercekik oleh makanan semasa di dunia dapat dihanyutkan dengan minum dan mereka menjerit meminta air minum. Lalu diberikan kepada mereka air panas mendidih yang mangkuknya dihulurkan dengan pengait besi dan baru saja didekatkan wajah mereka telah terpanggang olehnya. Lalu bila minuman yang menggelegak itu masuk ke dalam perut, usus-usus pun telah putus-putus, lalu mereka berteriak: Tolong panggilkan penjaga Neraka Jahannam ini!
Para penjaga neraka pun datang dan mereka pun berkata, Sudilah anda memohon ke hadrat Ilahi, agar Dia meringankan seksa kami agak sehari.
Jawab para penjaga: Ya, silakan memohon, tapi permohonan orang-orang kafir akan sia-sia dan menyesatkan saja!
Penduduk Neraka berkata: Tolonglah panggilkan Malaikat Malik, ketua kamu.
Para penjaga pun memanggil Malaikat Malik dan setelah dia datang penduduk Neraka memohon: " Wahai Malik, mintalah kata putus dari Tuhan tentang nasib kami"
Lalu Malik menjawab: " Putusannya ialah bahawa kalian harus tetap menjadi penghuni Neraka ini"

Begitulah dahsyatnya keadaan di Neraka dengan apinya yang terlalu panas, ditambah pula dengan makanan dan minuman yang sudah cukup menjadi azab yang amat menyeksakan.

Sambil makan dan minum merintihlah dengan Allah; Wahai Tuhan, janganlah dengan sebab makan dan minum aku di dunia yang lazat ini, Engkau hukum aku dengan makanan dan minuman yang dahsyat di akhirat. Kasihanilah hambaMu yang lemah ini, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Orang yang benar-benar yakin dengan perkhabaran ini, tidak aka lagi menjadi orang yang tamak dan bakhil. Ia tidak akan membiarkan jirannya lapar,  ia kekenyangan. Moga kita tergolong sebagai orang yang pemurah.



               
                         

Sehari kenyang, sehari lapar

Rasulullah SAW pernah menyuruh Saidatina Aisyah memejamkan matanya sewaktu sedang berada di padang pasir di depan sebuah bukit yang besar. Setelah Rasulullah menyuruh beliau membuka matanya, kelihatanlah bukit itu bertukar menjadi emas. Tetapi kemudiannya ia bertukar menjadi bukit semula dan Rasulullah mengatakan bahawa kalau dia mahu ia boleh memohon agar bukit-bukit di sekitar kota Madinah menjadi emas tetapi baginda memilih untuk kenyang pada satu hari dan berlapar pada hari esoknya. Begitulah silih berganti, agar Baginda boleh bersyukur ketika kenyang dan sabar ketika lapar.

23 Aug 2013

Cara Mudah untuk Bangun Malam

Akak yakin ramai yang mengetahui kelebihan bangun malam dan tahajjud, dan akak positif juga ramai yang tak mampu untuk berbuat demikian, walaupun sangat tahu kelebihan dan fadhilat ibadah tersebut.

Apa yang akak nak share di sini bukanlah kelebihan dan fadhilat tahajud itu tetapi InsyaAllah cara untuk 'membongkar' diri dari tilam empuk, InsyaAllah jika ada kesungguhan korang akan dibantu dan dipermudahkan..

Caranya:
1. Niat
2. Doa dan merintih dengan Tuhan contohnya, Ya Allah tolong berikan aku kekuatan untuk bangun bertemu denganMu malam ini.      
3. Set jam loceng, alarm telefon canggih pun dah macam- macam bunyi, tak kan tak membantukan? Oh ye, korang kena letak telefon atau jam tu jauh sikit, jangan letak di hujung kepala, jadi bila nak 'off'kan loceng tu korang kena bangun, so kat situ kita dah buang sikit dari rasa mengantuk tu, betul tak?.
4. Ini paling penting, bila dah dengar loceng tu, kena terus bangun dan berjalan, jangan duduk, sebab bila korang duduk syaitan sempat berperanan di situ, ha..tak bangunlah jawabnya.
5. Dah bangun kena mandi, barulah segar mata dan badan tu  untuk menunaikan tanggungjawab kita pada Allah,  InsyaAllah.

Sebenarnya inilah tips yang akak amalkan selama ini, dan rasanya ia sangat membantu, semoga apa yang akak share di sini boleh membantu korang juga. InsyaAllah moga ada manfaatnya.

Ajaibnya Iman

Pada malam hijrahnya Rasulullah SAW ke kota Madinah, Saidina Ali telah ditugaskan supaya tidur di bawah selimut yang biasa digunakan oleh Rasulullah. Rumah Rasulullah telah dikepung musuh, pahlawan pilihan Quraisy sedang mengepung dengan pedang tajam terhunus... ketika itulah anak muda yang akan bergelar ' karramallahu wajhah' dengan berani dan yakin menyelimuti tubuh mudanya dari hujung kaki ke hujung rambut. Dia tahu ada kemungkinan bahawa kain selimut itu akan menjadi kain kafannya, dia sedar kedudukannya menjadi umpan untuk mengelirukan orang-orang kafir. Tidakkah dia sayangkan hari mudanya yang penuh keindahan? Tapi bagi saidina Ali, bila iman telah subur dalam diri, segalanya diserahkan pada Tuhan.

Pada malam yang sama, Allah SWT telah menguji dua malaikatnya iaitu Jibril dan Mikail. Allah telah menyatakan bahawa nyawa keduanya akan dicabut dan mereka hendaklah menentukan siapakah yang bersedia untuk lebih dahulu dimatikan. Kedua-dua malaikat itu masing-masing memberi alasan agar nyawanya tidak dicabut terlebih dahulu.

Ketika berlaku kekusutan itu Allah lalu menempelak dan menyindir mereka. Tidakkah mereka malu dengan saidina Ali yang sanggup menggadaikan nyawanya untuk keselamatan Rasulullah. Pada malam hijrah yang bersejarah itu sekali lagi terbukti bahawa didikan Rasulullah amat berjaya melahirkan orang yang berani dan sanggup berkorban, iaitu bila iman menjadi hartanya yang paling berharga...

21 Aug 2013

TANGISAN SEBUTIR NASI

Ini nasi yang kau suap setiap pagi dan sore
Ini nasi yang kau gigit dan mamah dengan geraham dan gigimu yang kuat
dan kau telan aku bulat-bulat tanpa kunyah
kayak ular sawa menelan anak kambing
dan perutmu pun gendut dan buncit
kayak perempuan bunting anak kembar

Dan kau pun kenyang sekenyang-kenyangnya setelah kau lahap aku
kemudian kau tumbang bagaikan pepohon tua
ke kerusi empukmu tanpa kau ucapkan syukur 
kepada Allah yang menganugerahkan kau sebutir nasi

Kau pun menguap dan menguap
terlopong mulutmu
sendawamu berderak-derak
dan jari-jarimu mengelus-ngelus perut buncitmu
dan kantukmu melontarkanmu ke kamar tidurmu
yang bertilam empuk dan kau pun rebah
bagaikan haiwan jantan bertemu haiwan betina
kau pun berkeruh, berkeruh, berkeruh
korr, korr, korr...

Wahai manusia
kau tidur dengan perut kenyang 
tapi tetanggamu tidur bersama kelaparan
yang merobek usus-ususnya.

Tiba-tiba sisa  nasi yang kau pandang kotor
dan jijik, kau curahkan ke longkang berbaur dengan segala kekotoran lain
dan orang-orang yang lalupun berkahak
ke atas rezeki Allah ini.

Aku menangis, menangis, menangis 
apakah kau dengar tangisan sebutir nasi
wahai manusia
adakah kau dengar tangisan sebutir nasi di dalam longkang 
yang kau buang ke daam longkang setelah
perutmu kenyang

Wahai manusia, akan ku dakwa
engkau di akhirat
di hadapan Rabbuljalil
sebutir nasi rezeki Allah yang engkau sia-siakan

dan kau tidur kenyang di ranjangmu, berkeru, berkeruh, berkeruh, korr, korr, korr..
tidak sembahyang, tidak sembahyang, tidak sembahyang..

Tangisan sebutir nasi di dalam longkang
tapi ada makhluk yang tahu menilai rezeki Allah
burung-burungpun datang
mematuk, mematuk, mematuk 
dan pulang ke sarang setelah
temboloknya kenyang

Burung-burungpun bertasbih
Terima kasih Tuhan
Terima kasih Tuhan
kumakan rezekiMU
dari tangisan sebutir nasi
kami minum air matanya
tangisan sebutir nasi.

* Kredit untuk Pak Nora*

20 Aug 2013

Yang Terjerat

                                            


Seekor ikan
nazak dalm belitan pukat
akibat tidak bijak mengesan perangkap
tidak berwaspada mengemudi haluan

Jiwa...
kiranya terjebak di jaringan maksiat
hati akan digelapi titik-titik hitam
dicabut kemanisan iman 
akal yang terbang sukar diselamatkan
lantaran cuai dalam ibadah
lalai dalam mujahadah

Kagumilah kehebatan TUHAN

Setiap hari kita melihat berbagai kejadian ciptaan Tuhan. Kita kagum melihat gunung-gunung yang tersergam gagah. Kita rasa gerun dan ngeri apabila melihat lautan yang luas terbentang berserta dengan gelombang yang menggulung. Apabila mendengar petir sangat mengejutkan dan menakutkan. Melihat pula kilat pancar-memancar datang rasa ngeri dan cemas.

Kita juga akan merasa sangat takjub dan hairan apabila melihat berbagai benda aneh dan pelik, seperti melihat semut yang kecil itu berupaya mengangkat benda yang lebih besar dari saiz badan semut itu sendiri. Semut juga seolah-olah ada akal bila kita lihat mereka itu boleh berbincang dan bermuafakat kerana mereka sering saja berkelompok dan bekerjasama antara satu sama lain. Jika kita perhatikan deretan semut yang berjalan dari arah bertentangan kita dapati mereka akan berhenti sekejap seolah-olah bertegur sapa sebelum meneruskan perjalanan.

Cacing yang berada dalam tanah itu hanya kenyang dengan memakan tanah. Cacing yang tidak ada hidung, bagaimana agaknya mereka bernafas. Makana ayam pula lazimnya ialah jagung, padi, nasi, dedak, cacing, serangga atau kalau ayam kampung boleh pula makan beberapa jenis rumput. Kita tahu ayam tidak boleh berfikir dan mengkaji, macam mana ayam boleh kenal benda-benda itu semua adalah makanannya?

Ikan berada di dalam air atau lautan, kucing yang berada di daratan. Kehidupan keduanya sentiasa terpisah. Macam mana kucing tahu ikan itu adalah makanannya. Maha Suci Allah...

Sedarkah kita bahawa apa yang kita kita kagumi itu, semua yang kita rasa gerun itu, rasa ngeri, rasa takjub, rasa hairan, terpikat, jatuh hati semuanya adalah makhluk macam kita juga. Semua itu adalah benda ciptaan Tuhan seperti kita juga. Apa saja yang kita anggap aneh dan pelik itu semuanya adalah untuk memperlihatkan kepada kita betapa Maha Berkuasa dan Maha Penciptanya Allah. Sebutlah apa saja tidak kira apa benda, bentuk, rasa dan rupa, semuanya adalah ciptaan Allah Yang Maha Bijaksana.

Kalau begitu bukankah lebih patut dan lebih wajar kita merasa takut, kagum, ngeri, takjub hairan dan cinta kepada Allah yang mencipta itu semua. Siapa yang membuat hati kita rasa takut, ngeri, kagum, takjub dan cinta itu? Bukankah semua perasaan yang ada dalam hati kita itu adalah anugerah Allah? Kalau hati kita kagum dengan gunung bukankah lebih baik kita kagumi Allah yang menjadikan gunung itu. Kalau hati kita merasa gerun dan ngeri melihat laut dan geloranya, bukankah lebih wajar kita gerun dan ngeri kepada Allah yang menjadikan gelombang tersebut?

Ya Allah... bantulah kami untuk sentiasa merasa akan Kehebatan dan KebesaranMu, KekuasanMu, KeagunganMu, Ya Allah.. kami tak mampu tanpa campur tangan dariMu...


Fakta menarik tentang BULUH..

Oleh kerana syawal masih hangat, saya ada satu fakta menarik yang ingin dikongsikan, mungkin ada yang sudah tau, tak mustahil ada yang belum tahu, cam saya juga, baru terbaca..

Kat tepi jalan terutamanya banyak sangat orang jual lemang, yang jual buluh lemang pun, pernah terbaca dalam akhbar tahun lepas, lepas jual buluh lemang, boleh menganggur setahun, mak aiii.. bayangkan banyak mana diorang dapat hasil dari jual buluh lemang je.

Rupa-rupanya pokok buluh adalah pokok yang paling cepat membesar di dunia. Sesetengah pokok buluh boleh membesar setinggi hampir semeter sehari!!

Dalam kadar ini ia boleh mencapai bumbung rumah dua tingkat dalam masa satu minggu sahaja. Cepatnya ia membesar!

Maha Suci Allah Yang Maha Bijaksana lagi Maha penyayang, Pokok buluh ini tidak hidup lama, berbatang kecil yang mudah patah apabila tumbuh tinggi. Batang yang masih kecil atau rebung boleh dimakan sebagai sayur, dan menjadi makanan haiwan seperti panda di Cina. Boleh juga dibuat perabut, perhiasan dan untuk memasak makanan seperti lemang, atau masak nasi bagi sesetengah puak orang asli. Oleh kerana itu, Allah jadikan ia tumbuh dengan cepat, kerana ia mempunyai banyak kegunaan kepada haiwan dan juga manusia.
                               


19 Aug 2013

PEMBALUT KEPALA

Suatu hari Rabiatul Adawiyah terlihat seorang yang sedang berjalan dengan kepalanya berbalut. Beliau lalu menghampiri orang itu dan bertanya, " Mengapa engkau membalut kepalamu?"

Orang itu menjawab dengan mengatakan , " Saya sakit kepala,"

Rabiatul Adawiyah kemudian bertanya lagi, " Berapa umurmu?"

" Tiga puluh tahun," Jawab orang itu.

Rabiatul Adawiyah bertanya lagi, " Sehingga hari ini bagaimana keadaan kamu?"

" Sihat-sihat sahaja," Jawab orang itu lagi.

Rabiatul Adawiyah pun berkata, " Selama tiga puluh tahun Allah menyihatkan kamu, tetapi kamu tidak mengibarkan bendera di badan kamu untuk menunjukkan kesyukuran kepada Allah, dan agar manusia bertanya mengapa kamu gembira sekali den setelah kamu ceritakan kurniaan Allah pada kamu, mereka akan memuji Allah. Sebaliknya kamu setelah mendapat sakit sedikit, membalut kepalamu dan pergi ke sana kemari menunjukkan sakitmu dan kekasaran Tuhan terhadapmu, kenapa kamu berlaku sehina ini?"

Orang itu tersentak dengan teguran Rabiatul Adawiyah dan terus bertaubat.

JANGAN LOYAR BURUK DENGAN TUHAN...



Buah tanpa kulit pasti akan binasa
Isinya akan membusuk dan berulat
Ia tidak akan dikutip
Kerana buah hanya dihargai
Bilamana isinya boleh dimakan

Orang yang enggan bersyariat
Tetap tidak akan selamat
Kerana mementingkan nafsu
dan memeliharanya,bermaharajalela...
Di dunia mendapat kemurkaan Allah
kerana menderhaka
apalagi di akhirat
tempatnya; salah satu antara 7 neraka.....
Baju Muslimah

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign