29 Disembar 2011
Ma dah pergi.. Ma dah pergi.... Gie menangis semahu-mahunya, Faris, Fairus, Shukor yang tidak pernah Gie lihat menitiskan airmata juga menangisi pemergian Ma. Fadhli, Ya Allah, maafkan kak Gie sebab tak dapat bawa jenazah Ma pulang ke Terengganu.
Waktu itu Gie sangat buntu, hilang arah, fikiran Gie kosong.... Memang pada awalnya bila Shukor cakap nak bawa Ma balik ke Terengganu Gie ikut saja. Tapi ustazah yang mandikan jenazah Ma nasihatkan supaya jangan bawa Ma balik, Kasihan Ma bawa balik jauh, seksa jenazah katanya. Memang Gie rasa amat berat hati, sedih fikirkan Fadhli dan Cik yang tak sempat jumpa Ma buat kali terakhir, tapi Gie lebih kasihankan Ma, Gie tak mahu jenazah Ma terseksa.
Bila ustazah tu kata ada tanah perkuburan yang dekat iaitu Sg. Kantan, Gie terus setuju. Gie ingat sangat ustazah memuji-muji senang mandikan Ma, badan Ma lembut, bersih. Ustazah tegur jari Ma yang masih berinai, ( Humairah yang inaikan sebab Ma yang minta bila tengok kami ramai-ramai berinai ). Tapi Ma, satu lagi yang sangat tak dapat Gie lupakan bagaimana mulut Ma yang agak senget dan terbuka ( sebab Ma pakai gigi palsu ) tiba-tiba tertutup rapat dan cantik!! Ustazah tegur " tengok mulut mak awak dah tertutup cantik ". Gie sangat bersyukur dengan kurniaan Allah pada Ma. Dapat Gie saksikan juga rambut Ma yang sudah banyak memutih menjadi hitam semula, wajah Ma menjadi tegang semula!!
Subhanallah, Subhanallah, terimakasih Ya Allah...
Wajah Ma berseri, Ma seakan tidur lena, tersungging senyuman di hujung bibir Ma. Ma selamat disembahyangkan, seterusnya dibawa ke tanah perkuburan dalam tempoh yang singkat sahaja. Alhamdulillah Fairus yang balik kerana nak ambil beg baju dia( sebab ingat nak bawa Ma balik ke
Terengganu) sempat juga sampai dan jumpa ma buat kali terakhir. Dia pun dapat lihat wajah Ma yang berseri dan tersenyum. Ma selamat disemadikan sebelum maghrib.
Satu yang sangat buat Gie terkilan sebab lansung tak terfikir nak bawa Ma balik dulu ke rumah Gie. Kalaulah Gie bawa balik Ma tentu Fadhli dan Cik dapat jumpa Ma.. Tapi Gie dah tak boleh fikir panjang masa tu, fikiran Gie kosong, apa yang Gie ingat ialah ini tanggungjawab Gie sebagai anak sulung nak selesaikan urusan Ma secepat mungkin.
Tapi Gie terima ketentuan Ilahi, adalah hikmahnya yang sampai harini tak mampu Gie cungkil. Cuma Gie sedih tak dapat ziarah Ma selalu sebab agak jauh, kalau.., ah! semuanya kalau..yang penting Gie dapat juga ziarah Ma, kadang-kadang 2 minggu sekali, kadang-kadang sebulan sekali. Tak lupa hadiahkan bacaan Yasin untuk Ma setiap hari, hanya itu yang mampu Gie buat.
Ma, semoga Allah makbulkan doa Gie agar kita dapat berkumpul di perkampungan yang sama di syurga nanti. Sungguh Gie rindukan Ma sampai bila-bila...
No comments:
Post a Comment