Dalam kesibukan orang ramai yang sedang bertawaf, terdapat seorang wanita yang tidak berhenti-henti tawaf mengelilingi kaabah.
Dia tunduk dan berjalan perlahan-lahan, wajahnya tenang sambil mulutnya tidak henti-henti berzikir pada Allah. Di celah-celah kesibukan itu rupanya ada seorang lelaki memerhatikan keadaan wanita itu. Kerana kagum dengan sikapnya, lelaki tersebut memberanikan diri untuk bertanya.
" Maafkan saya puan, saya ingin bertanyakan sesuatu."
Kerana khusyuknya, wanita tadi terkejut tetapi mengizinkan lelaki itu bertanya, "Silakan,"
" Dari tadi saya perhatikan puan tidak henti-henti bertawaf, puan kelihatan begitu khusyuk, wajah puan juga kelihatan amat tenang, seolah-olah puan tiada masalah lansung,"
Melihatkan kesungguhan lelaki itu, wanita itu pun berkata," Sebenarnya saya seorang yang malang, saya ada suami dan empat orang anak. Tetapi semuanya telah dijemput Allah kembali padaNya. Peristiwa kematian itu berlaku pada suatu hari raya korban. Suami saya telah menyembelih kambing untuk korban. Perbuatan menyembelih itu telah diperhatikan oleh anak kedua saya yang belum begitu cerdik."
" Suatu hari ketika sedang bermain-main dengan adiknya , anak saya telah membaringkan adiknya dan disembelihnya sebagaimana dia melihat ayahnya menyembelih kambing. Memancut darah adiknya yang menjerit kesakitan. Dia ketakutan lalu lari meninggalkan adiknya yang hampir mati itu. Suami saya dan abangnya yang dalam keadaan kelam-kabut mengejarnya kerana bimbang dia tersesat di padang pasir dan dimakan segala. Lama selepas itu ketiga-tiga mereka tidak pulang-pulang, saya yakin mereka sudah mati di padang pasir yang kering-kontang itu. Namun saya tetap menunggu dan berdoa semoga mereka pulang,"
" Suatu hari kerana kesedihan dan kegelisahan yang semakin menjadi-jadi, saya biarkan anak kecil saya yang baru pandai merangkak bermain sendiri. Dia telah mencapai cerek air panas yang sedang menggelegak. Tertumpah air panas itu menyirami seluruh tubuhnya. Anak saya menangis dan menjerit kesakitan sehingga akhirnya dia meninggal dunia. Saya hampir-hampir gila."
" Alangkah sedihnya, di mana lagi hati hendak saya sandarkan? Antara keinginan hidup dan mati itu saya bawa hati ke sini, mempersembahkan kepada Allah beban yang terlalu berat saya rasakan. Semoga dia sudi meringankannya. Dan sekarang saya memperoleh ketenangan. Yang tinggal di dunia ini buat saya untuk dicintai dan dirindui hanyalah Allah. Saya akan menghabiskan sisa hidup saya untuk taat dan berbakti pada Allah semata-mata, InsyaAllah."
" Akuilah saudara, bahawa ujian hidup berbagai-bagai bentuknya dan datang tanpa diundang. Tanpa iman manusia pasti karam, tenggelam bahkan mati lemas di dalamnya," Kata wanita itu lalu meninggalkan lelaki itu untuk meneruskan tawaf.
Perempuan di atas telah ditimpa musibah yang sangat berat namun dia tetap ingat Allah lalu merintih kepada Allah sehingga Allah bersimpati dan menerima rintihannya. Kemuncak mujahadahnya Allah hadiahkan rasa redho hingga terserlah cahaya ketenangan yang tak mudah digoyah oleh manusia.
Itulah satu contoh wanita yang sudah merdeka jiwanya...
No comments:
Post a Comment