Ini sambungan kisah semalam. Sebelum tu saya nak ucapkan ahlan wasahlan buat teman-teman baru seperti Lina Razak, Insan Marhaen dan Acik Erna, semoga Allah panjangkan silaturrahim antara kita hingga ke akhirat, InsyaAllah..
Akhirnya wakil Khalifah menemui seorang lagi ulama yang belum berdepan dengan Dahri. Hamad nama ulama tersebut. Khalifah memerintahkan supaya hari perdebatan antara Hamad dan Dahri disegerakan. Dan majlis bersejarah itu mesti dibuat di masjid Jamek di tengah-tengah kota Baghdad.
Sehari berselang, masjid Jamek penuh sesak dengan orang ramai. Masing-masing menaruh harapan agar Hamad berjaya menumbangkan Dahri kerana Hamad satu-satunya ulama yang masih tinggal.
Seperti selalu, sebelum menyampaikan dakyah jahat, Dahri akan mencabar dan memperleceh-lecehkan alim-ulama Islam yang telah ditewaskannya. Dan dengan suara lantang dari atas pentas, dia mencabar lagi kalau-kalau ada yang berani.
Tiba-tiba muncul Nu'man ( Imam Abu Hanifah ) yang ketika itu masih kanak-kanak. Beliau menjadi murid kepada Hamad. Berkata Nu'man dari bawah pentas, " Apakah soalanmu wahai Dahri? Cubalah kemukakan agar dapat dijawab oleh yang mengetahui."
Dahri tersenyum apabila menyedari yang meminta soalan darinya hanya seorang budak kecil. Berkata Dahri, " Siapa kamu, wahai kanak-kanak? adakah engkau mahu menjawab soalanku sedangkan sebelum ini sudah ramai alim ulama yang berserban besar dan berjubah labuh telah aku kalahkan."
" Wahai Dahri, sesungguhnya Allah tidak memuliakan kurniaan dan kebesaran itu kepada orang yang berserban besar dan berjubah labuh. Tetapi Allah mengurniakan kemuliaan kepada orang-orang yang berilmu. Nu'man lalu membacakan sebuah firman Allah yang bermaksud," Allah telah meninggika darjat orang yang beriman dan berilmu di antara kamu beberapa darjat."
Tanpa diselangi bualan yang panjang, Dahri pun mengajukan soalannya yang pertama, " Apakah Allah itu ada?"
Jawab Nu'man, " Ya, wajib Allah itu ada."
Tanya Dahri, " Kalau ada di manakah tempatnya?"
" Wahai Dahri, apakah engkau mempunyai nyawa? Kalau ada di manakah letaknya nyawamu?"
Tersentak Dahri apabila soalan dijawab dengan soalan yang benar-benar mengujinya. Dahri mengajukan soalan kedua setelah seketika Imam Abu Hanifah memberikan beberapa lagi hujjah yang padu. Tanya Dahri, " Adakah wujudnya sesuatu sbelum wujudnya Allah dan sesudahNya?"
Nu'man menjawab," Sesungguhya wujud Allah tidak didahului oleh sesuatu dan diakhiri oleh sesuatu jua,"
" Tidak boleh diterima akal barang yang tanpa permulaan dan tanpa kesudahan," Hujjah Dahri.
"Adakah jari lain sebelum ibu jari dan adakah jari lain sesudah jari kelingkingmu?" Balas Nu'man dengan pertanyaan lagi. Dahri terpegun. Nu'man memberikan beberapa hujjahnya yang lain dengan penuh petah. Dahri mula rasa tercabar. Kata Dahri sambil menahan perasaannya yang kurang sedap, " Baiklah, ini soalanku yang akhir, apakah pekerjaan Tuhanmu ketika ini?"
Soalan tersebut membuatkan Nu'man tersenyum riang. Kata beliau. " Wah! ini soalan yang menarik. Jadi kenalah dijawab dari tempat yang tinggi supaya dapat didengari oleh semua orang."
Dahri turun dari pentas, memberi tempat untuk Imam Abu Hanifah yang masih kanak-kanak itu menjawab soalannya yang terakhir. Sambil berdiri gagah gagah di atas pentas, berteriaklah Imam Abu Hanifah, "Wahai manusia sekelian. Ketahuilah oleh kalian bahawa kerja Allah ketika ini ialah menaikkan yang hak dan menjatuhkan yang batil sepertimana Allah menaikkan aku ke atas pentas dan menurunkan Dahri ke bawah."
Seiring dengan itu bergemalah pekikan takbir dan tempik sorak sebagai meraikan kemenangan Nu'man atau Imam Abu Hanifah itu.
Ada lagi sambungan kisah ini yang sangat menarik, InsyaAllah..moga memberi iktibar kepada kita semua, bahawa peri pentingnya ilmu untuk meninggikan syiar Islam.
No comments:
Post a Comment