Asam Garam Kehidupan: iktibar

Nuffnang

Pages

Showing posts with label iktibar. Show all posts
Showing posts with label iktibar. Show all posts

22 Apr 2015

7 Perempuan bertanya, seorang lelaki menjawab.

Image result for gambar kartun 7 perempuan dan seorang lelaki
google imej


Sekumpulan wanita sedang berhimpun berbincang tentang pelbagai permasalahan. Secara tanpa disedari, timbul persoalan dari setiap wanita itu mengenai kekurangan pada wanita yang dirasakan sukar dan tidak adil. Setiap dari seorang mereka menyuarakan persoalan masing-masing.

Keluhan wanita pertama:
“Aduh, situ tutup, sini tutup, semua nak kena tutup. Susah la camni. Apasal laki-laki mudah saja? Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya kiri kanan atas bawah depan belakang.”

Keluhan wanita kedua:
“Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami pulak? Padahal suami nak keluar ke mana-mana pun, tak bagitau kami takpe pulak.”

Keluhan wanita ketiga:
“Jika kita ikut faraid (pembahagian harta pusaka mengikut Islam), ikut surah al-Nisa dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sikit rasanya berbanding harta yang anak lelaki dapat. Itukah keadilan?”

Keluhan wanita keempat:
“Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak? Suami kita senang saja, masa buat anak cari kita. Masa nak beranak, kita yang tanggung sendiri!”

Keluhan wanita kelima:
“Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami kita, tapi ada Islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?”

Keluhan wanita keenam:
“Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak boleh ceraikan suaminya? Kenapa?”

Keluhan wanita ketujuh:
“Wanita takleh nak beribadat macam lelaki, sebab ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa. Ingat kita perempuan ni suka ke tak solat dan puasa? Dahlah lepas tu kena ganti pulak.”

Kemudian datanglah seorang lelaki kepada mereka lalu ditanya, mengapa mereka mengomel tentang kejadian wanita dan kekurangan-kekurangan tersebut. Setelah disoal dengan soalan-soalan di atas, lelaki itu lantas memandang setiap wanita itu sambil tersenyum, seraya menjawab setiap satu daripadanya.

Pada wanita pertama, lelaki itu menjawab:
“Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang paling aman dan terbaik, kan? Emas dan permata pun tak sanggup kita nak letak terdedah di tepi laluan lalu lalang, sebaliknya kita simpan di rumah atau dalam peti selamat kan? Jika anda letakkan perhiasan tadi di kalangan orang, agaknya apa akan jadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut, tapi anda? Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan!! Mahalnya harga anda untuk seorang lelaki.”

Pada wanita kedua, lelaki itu menjawab:
“Memang, isteri perlu taat pada suami. Tapi, bagaimana pula lelaki? Seorang suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah berkeluarga. Isteri pula tidak perlu lagi. Taatnya hanya pada suami. Kenapa anda perlu taat pada suami? Kerana suami andalah yang menanggung SEMUA dosa yang anda lakukan.”

Pada wanita ketiga, lelaki itu menjawab:
“Benar wanita menerima warisan pusaka sedikit berbanding lelaki, tetapi harta itu menjadi hak mutlak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu. Tak perlu dikongsi dengan sesiapa walaupun suami. Lelaki pula, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalau isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasalah dia.”

Pada wanita keempat, lelaki itu menjawab:
“Tahniah dan terima kasih kepada wanita kerana dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali anda begitu, anda akan didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat. Subhanallah,beruntungnya anda!! Andaikan anda meninggal pula masa beranak tu, percayalah, itu mati syahid dan ganjarannya syurga!!”

Pada wanita kelima, lelaki itu menjawab:
“Akhirat nanti, saya dan lelaki lain di dunia ini akan diminta bertanggungjawab ke atas empat orang wanita. Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu apa maksudnya? Maknanya, anda nanti di akhirat akan dibantu oleh empat lelaki. Siapa mereka? Mereka ialah suami anda, ayah anda, anak lelaki anda dan adik lelaki/abang anda.”

Pada wanita keenam, lelaki itu menjawab:
“Nak beribadat macam lelaki beribadat? Agaknya kenapa Rasulullah SAW lebih suka wanita beribadat di rumah saja berbanding di masjid? Kami lelaki perlu beribadat siang malam untuk mendapat syurga. Anda sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang anda sukai, tanpa perlu susah payah. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula, hanya dengan empat cara. Solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan taat pada suami anda. Itu saja.”

Pada wanita ketujuh, lelaki itu menjawab:
“Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Anda, seorang wanita jika taat akan suaminya, dan menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah, maka anda akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata. Itu janji Allah pada kamu.”

Kemudian lelaki itu bertanya mereka pula:
“Sebenarnya, apa lagi yang awak mahu, wahai kaum hawa?”

Wanita-wanita tadi menangis dan salah seorangnya berkata, “Masya’Allah, sayangnya Allah pada wanita, namun kami sendiri yang mengheret diri ke neraka yang mana ramainya kaum kami berbanding kaum lelaki!”

KREDIT: DI SINI

19 Apr 2015

Istighfar si penguli roti.




Image result for gambar orang tengah uli roti
google imag


Semua orang melakukan kesalahan dan kesilapan. Nabi-nabi dan para Rasul sahaja yang maksum dari dosa dan kesalahan. Sebagai manusia biasa, kita akan tersilap dan tersalah. Kita lakukan dosa dan kemungkaran. Memang Allah cipta kita dalam keadaan lemah.

وخلق الانسان ضعيفا

Manusia dicipta dalam keadaan lemah. Allah yang ciptakan manusia begini. Allah Maha Mengetahui sebab apa dicipta manusia begini. Allah tak pernah menzalimi kita. Allah tak bermaksud jahat pada kita. Allah tahu kita lemah. Allah beri jalan keluar, setiap kali bersalah, memohon ampunlah. Setiap kali berdosa, mengakulah, menyesallah, meminta ampun bersungguh-sungguh. Tebus dengan kebaikan-kebaikan.



Sabda Nabi SAW:

كل ابن آدم خطاؤون و خير الخطئيين التوابين

Setiap manusia adalah orang yang melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang-orang yang bertaubat.

Bagaimana kita bersungguh-sungguh menghindar dari dosa, kita tetap akan terjebak juga. Tetapi kasih sayang Allah tetap berlaku. Allah minta kita mengaku salah, mengaku lemah dan kembali kepada-Nya@bertaubat. Lalu nanti kita akan dilayan dengan sebaiknya walhal kita hanyalah pelaku-pelaku kesalahan dan dosa. Maha Baiknya Allah. Allah Taala bukan sahaja menyayangi para kekasih-Nya tetapi juga menyayangi orang-orang yang berdosa, orang-orang yang berdosa lalu bertaubat dan membersihkan dirinya.

إن الله يحب التوابين ويحب المتظاهرين

Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan mencintai orang-orang yang menyucikan diri.

Kalau begitu, kita kita kena perbanyakan taubat kerana Allah sedang menunggu-nunggu kita kembali kepadaNya. Alangkan Rasul yang maksum beristighfar setiap hari lebih dari 60 kali, betapalah kita yang banyak dosa dan kesalahan.

Mari kita ambil iktibar kisah orang yang sentiasa bertaubat di zaman Imam Ahmad sebagai motivasi dan pendorong untuk istiqamah bertaubat.

Imam Ahmad bin Hanbal dalam perjalanannya menuntut ilmu, akhirnya beliau terpaksa bermalam di sebuah masjid. Malang sekali apabila penjaga masjid menghalang beliau daripada bermalam di situ.

“Ini bukan tempat untuk tidur!” katanya.

Bukan salah penjaga masjid itu yang tidak mengenali Imam Ahmad. Beliau pula tidak memperkenalkan diri. Jika penjaga itu mengenali beliau, pasti dia tidak menghalang Imam Ahmad menumpang tidur. Walaupun beliau memujuk penjaga masjid tersebut untuk dibenarkan tidur untuk hanya beberapa jam, namun tidak berhasil.

Kemudian, Imam Ahmad mengambil keputusan berbaring sahaja berdekatan pintu masjid. Namun, di situ pun si penjaga masjid menghalangnya.

Pada masa itu, seorang pembuat roti menyaksikan peristiwa tersebut. Dia merasa simpati kepada beliau. Lantas, dia mengajak Imam Ahmad yang tidak dikenali itu untuk bermalam sahaja di kedainya. Lelaki ini adalah pengusaha sebuah kedai roti. Setelah menunjukkan Imam Ahmad tempat tidurnya, si pembuat roti meneruskan kerjanya.

Imam Ahmad tidak terus tidur. Dia memerhatikan sesuatu yang menarik pada perlakuan lelaki itu. Setiap gerakan tangannya menguli roti, diiringi istighfar yang tidak henti-henti. Imam Ahmad kagum dengan amalan pembuat roti tersebut. Beliau ingin sangat mengetahui rahsianya.

“Sejak bila engkau beristighfar seperti ini? tanya Imam Ahmad.
“Alhamdulillah tuan, sejak lama dahulu.”
“Adakah engkau mendapat keuntungan dengan sentiasa beristighfar?”
Pantas dia menjawab, “Ya! Setiap hajat & permohonan saya sering dimakbulkan Allah. Cuma ada satu sahaja hajat yg belum dimakbulkan, wahai tuan.”
“Apakah itu?”
“Saya berdoa agar dapat melihat Imam Ahmad bin Hanbal tetapi belum dipertemukan dengannya lagi.”

Terkejut Imam Ahmad mendengar jawapannya itu. Lalu Imam Ahmad berkata, “Wahai saudara. Akulah Imam Ahmad bin Hanbal. Allah telah membawa aku untuk bertemu denganmu.”

Begitulah bukti kelebihan istighfar sehingga Allah merakamkan dalam surah Nuh ayat 10-12. Dalam ayat ini, Allah menceritakan bahawa Nabi Nuh menggalakkan umatnya beristighfar kerana ganjarannya banyak, antaranya:

1-Allah menurunkan hujan lebat yang dapat menyuburkan tanah-tanah mereka, sehingga menghasilkan tanaman & buah-buahan yang mendatangkan kebaikan kepada mereka.

2-Allah akan menganugerahkan kepada mereka harta kekayaan yg banyak & beraneka rupa & ragam.

3-Allah menganugerahkan zuriat yang akan melanjutkan keturunan mereka sehingga mereka tidak pupus.

4-Allah mengalirkan sungai yang berperanan mengairi kebun-kebun mereka, sehingga tanam-tanaman hidup subur & menghijau.

Walaupun wasiat ini berkaitan dengan perutusan Nabi Nuh tetapi sesuai dengan perutusan al-Quran yg manfaatnya bersifat kekal. Lihatlah, walaupun si penguli roti mempunyai hajat yang dia tidak tahu bagaimana untuk mencapainya iaitu bertemu seorang imam besar sedangkan dirinya sibuk dengan perniagaan membekalkan makanan kepada umat Islam, tetapi Allah memakbulkannya, berkat istighfar yg diamalkan. Tanpa meninggalkan urusan fardhu kifayah umat Islam, Allah datangkan Imam Ahmad yang menemuinya. Maha Suci Allah. Memang Allah sangat mencintai orang yang bertaubat… Ya Allah, jadikan kami orang-orang yang sentiasa bertaubat, bertaubat dan bertaubat sehingga kami menemui-Mu. Amin…

KREDIT: DI SINI.

11 Dec 2014

Lalat kudung pengintip rahsia.

Saidina Muawiyah yang sedang tadi duduk di kerusinya tiba-tiba bangun. Dia memanggil jurutulisnya. Ada perkara mustahak yang hendak disampaikan kepada setiausaha peribadinya. Dan dia berhasrat mahu menyampaikan mesej  penting itu melalui surat sahaja.

" Tuliskan satu ayat rahsia kepada setiusaha peribadiku," Suruh saidina Muawiyah kepada jurutulis yang tercegat di hadapannya. Si jurutulis angguk patuh. Dia terus menunggu kerana merasakan perintah yang baru diterimanya itu belum sempurna.

Surat rahsia? Apa isinya? Rahsia negara? Strategi perang? Atau...ah! Takkan dapat diduga isinya dengan tepat melainkan diterangkan sendiri oleh yang memberi arahan. Si jurutulis bergegas ke biliknya setelah mendapat penjelasan serba ringkas mengenai kandungan surat itu.


Image result for lalat
ihsan google.

Baris demi baris dirangka dengan penuh teliti, jangan sampai tertinggal amanah-amanah penting yang patut didahulukan. Si jurutulis pun hampir menamatkan tulisannya bila tiba-tiba datang seekor lalat dan hinggap di muka kertas surat yang hampir siap ditulis.

Kehadiran serangga kecil itu ternyata tidak menyenangkan si jurutulis. Pantas dia membentaknya dengan pen yang sedia di tangan. Hentakan yang bersahaja itu tepat ke sasaran. Sebelah kaki lalat itu tertanggal dari tubuhnya.

Keesokan harinya seperti biasa si jurutulis keluar dari istana bersiar-siar sambil mendapatkan perkembangan semasa terbaru. Tetapi sungguh dia terperanjat, orang ramai mengerumuninya. Dia ditanya tentang isi surat rahsia yang ditulisnya semalam.

" Dari mana kamu tahu semua ni?" tanya si jurutulis penuh kehairanan. Seorang menjawab, " Seorang lelaki Habsyi yang kudung kakinya memberi tahu kami."


Si jurutulis bergegas ulang ke istana. Kepada Saidina Muawiyah dikhabarkan berita itu. Terasa bimbang juga hatinya kalau dikatakan tidak pandai menyimpan rahsia. Tetapi rahsia surat itu bukan dia yang membongkarnya. Segala isinya masih dalam pengetahuannya sahaja. Tidak diluahkan kepada sesiapapun.

Pengaduan yang dibuat sedikitpun tidak memeranjatkan Saidina Muawiyah. Dengan tenang dia berkata, " Lelaki  Habsyi yang kudung kakinya itu ialah lalat yang engkau pukul kakinya semalam.

Rupa-rupanya jin telah menjadi pengintip surat rahsia khalifah.

5 Nov 2014

Inilah pendinding api neraka.

Diriwayatkan seorang pemuda yang sedang bermusafir telah sampai ke kota Madinah dalam keadaan lapar yang amat sangat. Dia mengambil keputusan untuk berhenti di sebuah rumah, kalau-kalau di situ ada rezeki untuknya.

Dengan penuh harapan dia mengetuk pintu sebuah rumah. Sebaik saja terkuak, keluarlah Rasulullah menjawab salamnya. Rupanya itu rumah Rasulullah SAW. Baginda lantas bertanyakan hajat pemuda itu. Apabila Baginda mengetahuinya, Baginda terus masuk ke dalam dan mengambil dua keping roti. Sesudah menerima pemberian Rasulullah itu, pemuda itu terus berlalu.

Siti Aisyah yang memerhatikan kejadian itu merasa hairan kerana lazimnya Baginda melayan tetamunya dan menjemputnya masuk ke rumah, tapi kali ini pemuda itu hanya dilayan di luar. Siti Aisyah memberanikan diri bertanya, " Ya Rasulullah, mengapakah engkau tidak menjemput tetamu itu masuk?"

Baginda lantas menjawab, " Aku dikhabarkan oleh Jibril bahawa pemuda itu termasuk ahli neraka, jadi dia melarang aku menjemput pemuda itu masuk."

Berbalik kepada pemuda itu tadi, setelah mendapat roti pemberian Rasulullah, dia terus menyambung perjalanannya. Bekalan itu disimpan separuh. Sedang dia berjalan di padang pasir yang kering kontang, tiba-tiba dia mendengar tangisan kanak-kanak. Dia mencari punca tangisan itu dan akhirnya bertemulah dia dengan seorang ibu bersama anaknya yang tidak henti-henti menangis.

Melihatkan keadaan yang sangat mengharukan itu, pemuda itu bertanya, " Wahai ibu, mengapakah anak ini menangis?"

" Aku janda yang kematian suami, anakku ini sudah berhari-hari tidak makan dan sekarang aku sedang mencari-cari kalau-kalau ada secebis roti untuk makanannya hari ini."

" Nah, ini ada bekalan roti yang diberikan Rasulullah kepadaku. Aku juga memerlukannya, tapi aku rasa kamu berdua lebih memerlukannya,"

Berita mengenai pemuda tersebut sampai kepada Rasulullah SAW. Baginda gembira sehingga terukir senyuman di bibirnya. Perubahan pada raut wajah Rasulullah disedari oleh Aisyah lalu dia pun bertanya, " Wahai kekasih Allah, apakah telah datang kepadamu perkhabaran dari Allah?"

" Ya Aisyah, sesungguhnya aku diberitahu oleh Jibril bahawa pemuda yang datang ke mari tempohari telah ditukarkan menjadi ahli syurga disebabkan sifat pemurahnya."

Sifat pemurah membawa manusia untuk dekat dengan syurga dan jauh dari neraka. Sebaliknya orang yang kikir atau kedekut akan jauh dari Allah malah tidak akan disenangi sesama manusia. Rasulullah SAW bersabda:

" Orang bodoh yang pemurah itu lebih Allah kasihi daripada orang alim tetapi kikir, dan penyakit yang paling merbahaya ialah kikir. "

Sabda Baginda lagi: " Kemurahan itu adalah daripada kemurahan Allah Taala. Maka bersifat pemurahlah kamu, nescaya Allah bermurah kepadamu. Ketahuilah bahawa Allah Azzawajalla menjadikan sifat pemurah. Lalu Ia menjadikannya dalam bentuk seorang lelaki. Dan dijadikannya kepala orang itu sebatang pokok kayu yang baik. Dahan-dahannya diikatkan dengan dahan Sidratul Muntaha. Sebahagian dahannya dikulaikan ke dunia. Maka barang siapa yang bergantung dengan suatu dahan daripadanya, nescaya dimasukkan orang itu ke syurga. Ketahuilah sifat pemurah itu serengah daripada iman dan iman itu dalam syurga.

Allah menjadikan sifat kikir ( kedekut ) dari kemarahanNya. DijadikanNya kepala kekikiran itu melekat pada pokok zaqum lalu dikulaikan sebahagian dahannya ke dunia. Maka siapa yang bergantung satu dahan daripadanya, nescaya dia dimasukkan ke neraka. Ketahuilah bahawa kikir itu daripada kufur dan kufur itu di dalam neraka."

Marilah kita jadikan sifat pemurah itu pakaian peribadi kita. Mudah-mudahan ia menjadi pendinding dari azab neraka yang maha pedih.

ihsan google.





13 Oct 2014

Nikmat umur.

Pada suatu ketika sedang Nabi Isa berjalan di sebuah padang pasir yang panas dan tandus, Baginda terkejut apabila melihat seorang tua sedang beribadah di tengah panas terik tanpa sebarang tempat teduh. Nabi Isa bertanya, " Wahai orang tua, mengapa tidak kamu dirikan sebuah pondok kecil sebagai tempat berlindung ketika beribadah?" Orang tua itu menjawab, " Saya tidak sempat."

Nabi Isa bertanya lagi, " Berapa tahunkah umurmu dan sudah berapa lamakah kamu beribadah begini?" Orang tua itu menjawab, " Umur saya 700 tahun dan saya sudah beribadah seperti ini sudah selama 600 tahun. 

Nabi Isa tercengang dan berkata, " Sepanjang itu umurmu, dan kamu tidak memikirkan untuk mendirikan sebuah pondok kecil untuk beribadah?" Nabi Isa terharu melihat kegigihan orang tua itu dan erus berkata, " Akan datang satu zaman di mana umur manusia pendek-pendek iaitu tidak sampai pun seratus tahun... tetapi mereka mendirikan bangunan yang tinggi dan mewah-mewah untuk berbangga-bangga," Orang tua itu terkejut dan mengeluh, " Kalau saya umur seratus tahun...akan saya gunakan untuk sujud sahaja kepada Allah SWT.

* Rasulullah SAW bersabda: " Aku menangis kerana Jibril datang memberitahuku bahawa Allah malu untuk menyeksa orang yang telah beruban di kalangan ummatku, tetapi kenapa orang yang telah beruban tidak malu membuat dosa *

ihsan google.

11 Sept 2014

Maafkanlah..

Di hadapan Qadhi Rabbul Jalil terjadi peristiwa dakwa-mendakwa antara dua orang dari ummat Nabi Muhammad SAW. Berkata salah seorang dari mereka...

" Ya Rabbi, orang ini telah menzalimi aku sewaktu di dunia"
Berfirman Allah Taala...

" Amalan kebaikan penzalim hendaklah dipindahkan ke dacing kebajikan orang yang dizalim."

Setelah habis semua amalannya dipindahkan masih belum juga tertebus, maka Allah berfirman..

" Amalan kejahatan  yang kena zalim hendaklah dipindahkan ke dacing kejahatan penzalim."

Setelah habis dipindahkan amalan kejahatan itu, tapi masih belum juga tertebus.  Tiba-tiba sahaja suasana berubah kerana di hadapan mereka berdua telah muncul mahligai-mahligai syurga yang indah tiada tandingan. Maka bertanyalah hamba yang berdua itu.

" Untuk siapa ini ya Rabbi?' Allah menjawab, " Untuk hambaKu yang mahu memaafkan sahabatnya yang berlaku zalim ke atasnya."
Maka berkata orang yang dizalimi..." Ya Rabbi, maafkan perbuatan sahabatku ini, dan aku pun memaafkan dia," Dan mahligai itu menjadi miliknya di syurga....

----memaafkan dengan penuh ihklas itu memang tidak mudah, , ..dan meminta maaf setelah sedar kesilapan diri juga amat payah, berperang hebat kat dalam, terasa jatuh maruah diri, jatuh ego..sebab itu ganjarannya hebat bagi yang sudi memberi dan meminta maaf dengan ikhlas...

Mahligai dunia pun aku tak mampu miliki, apakah aku mampu miliki mahligai di
sana? ...ihsan google.

16 Aug 2014

sanggup nak buang ibu?

Cerita ni share dari group wasap, suka sharekan di sini sebab ceritanya amat menyentuh hati, bergenang air mata saya membacanya...

Dahulu kala di sebuah nergeri pernah ada tradisi membuang orang yang sudah tua ke hutan. Mereka yang dibuang adalah  orang tua yang sudah tidak berdaya kerana memberatkan kehidupan anak-anaknya.

Pada suatu hari ada seorang pemuda yang berniat membuang ibunya ke hutan., kerana si ibu sudah lumpuh dan agak pikun. Si pemuda tampak bergegas ke dalam hutan sambil menggendong ibunya. Si ibu yang kelihatan tidak berdaya berusaha menggapai setiap ranting pokok yang dapat dicapainya. Lalu mematahkannya dan menaburkannya di sepanjang jalan yang mereka lalui. sesampai di hutan yang sangat tebal si anak menurun kan ibunya dan mengucapkan kata perpisahan sambil berusaha menahan sedih kerana ternyata dia sendiri tidak sampai hati melakukan perbuatan ini kepada ibunya. Si ibu yang nampak tegar dalam senyumnya dia berkata...

" Anakku, ibu sangat menyayangimu, sejak kau kecil hingga dewasa ibu selalu merawatmu dengan segenap cintaku,bahkan sampai hari ini rasa sayangku tidak berkurang sedikitpun. Tadi ibu sudah menandai sepanjang jalan yang kita lalui dengan ranting-ranting kayu yang ibu patahkan, ibu takut kau tersesat. Ikutilah tanda itu agar kau selamat sampai di rumah..."

Setelah mendengar kata-kata ibunya, si anak menangis dengan sangat keras, kemudian lansung memeluk ibunya dan menggendong ibunya pulang ke rumah. Pemuda tersebut akhirnya merawat ibunya dan sangat mengasihinya sampailah ibunya meninggal dunia.

Pesan moral: Hanya " orang tua " yang mengerti kita dan batinnya akan menderita kalau kita susah. Orang tua kita tidak pernah meninggalkan kita, bagaimana pun keadaan kita walaupun kita pernah kurang ajar kepada mereka., namaun orang tua kita tetap mengasihi kita.....

Beruntunglah mereka yang masih punya orang tua untuk ditaburkan bakti, dan bagi yang sudah meninggalkan kita jangan lupa kita titipkan doa dalam setiap sujud kita....

google image.

18 Jul 2014

Pengalaman urus jenazah berdosa.










Kisah ini adalah berkisah tentang seorang ustaz yang mengalami pengalaman ngeri dalam mengurus seorang jenazah lelaki yang baru meninggal dunia. Benar atau tidak kisah ini, hanya Allah sahaja yang tau. Apa yg lebih penting, kita ambil iktibar dan pengajaran daripada kisah ini..

Ini adalah kisah tauladan, kisah proses pengebumian seseorang di sebuah bandar di Jawa Timur. Nama dan alamat jenazah ini sengaja tidak disebutkan untuk menjaga nama baik jenazah dan keluarga yang ditinggalkan. Insya Allah kisah ini menjadi hikmah dan cermin bagi kita semua sebelum ajal menjemput. Kisah ini diceritakan langsung oleh seorang Modin (pengurus jenazah) kepada saya. Dengan gaya bertutur, selengkapnya ceritanya begini : Saya terlibat dalam pengurusan jenazah lebih dari 16 tahun, berbagai pengalaman telah saya lalui, sebab dalam jangka atau kurun waktu tersebut macam-macam jenis mayat sudah saya tangani. Ada yang meninggal dunia akibat kemalangan, sakit tua, sakit jantung, bunuh diri dan sebagainya.

Bagaimanapun, pengalaman mengurus satu jenazah seorang yang kaya serta berpengaruh ini, menyebabkan saya dapat kesempatan ‘istimewa’ sepanjang hidup. Inilah pertama kali saya bertemu cukup aneh, menyedihkan, menakutkan dan sekaligus memberikan banyak hikmah. Sebagai Modin tetap di kampung, saya diminta oleh anak almarhum mengurus jenazah bapanya. Saya terus pergi ke rumahnya. Ketika saya tiba sampai ke rumah almarhum tercium bau jenazah itu sangat busuk.

Baunya cukup memualkan perut dan menjijikan. Saya telah mengurus banyak jenazah tetapi tidak pernah saya bertemu dengan mayat yang sebusuk ini. Ketika saya lihat wajah almarhum, sekali lagi saya tersentuh.

Saya tengok wajahnya seperti dirundung oleh macam-macam perasaan takut, cemas, kesal dan macam-macam. Wajahnya seperti tidak mendapat nur dari Allah SWT. Kemudian saya pun ambil kain kafan yang dibeli oleh anak almarhum dan saya potong. Secara kebetulan pula, disitu ada dua orang yang pernah mengikuti kursus “fardu kifayah” atau pengurus jenazah yang pernah saya ajar. Saya ajak mereka mambantu saya dan mereka setuju.

Tetapi selama memandikan mayat itu, kejadian pertama pun terjadi, sekadar untuk pengetahuan pembaca, apabila memandikan jenazah, badan mayat itu perlu dibangunkan sedikit dan perutnya hendaklah diurut-urut untuk mengeluarkan kotoran yang tersisa. Maka saya pun urut-urut perut almarhum. Tapi apa yang terjadi, pada hari itu sangat mengejutkan.

Allah SWT berkehendak dan menunjukkan kekuasaannya kerana pada hari tersebut,kotoran tidak keluar dari dubur akan tetapi melalui mulutnya. Hati saya berdebar-debar. Apa yang sedang terjadi di depan saya ini?

Telah dua kali mulut mayat ini memuntahkan kotoran, saya harap hal itu tidak terulang lagi kerana saya mengurut perutnya untuk kali terakhir. Tiba-tiba ketentuan Allah SWT berlaku, ketika saya urut perutnya keluarlah dari mulut mayat itu kotoran bersama beberapa ekor ulat yang masih hidup.

Ulat itu adalah seperti ulat kotoran (belatung). Padahal almarhum meninggal dunia akibat diserang jantung dan waktu kematiannya dalam tempoh yang begitu singkat mayatnya sudah menjadi demikian rupa ? saya lihat wajah anak almarhum.

Mereka seperti terkejut. Mungkin malu, terperanjat dan aib dengan apa yang berlaku pada bapanya, kemudian saya tengok dua orang pembantu tadi, mereka juga terkejut dan panik.

Saya katakan kepada mereka, “Inilah ujian Allah terhadap kita”. Kemudian saya minta salah satu seorang dari pada pembantu tadi pergi memanggil semua anak almarhum.
Almarhum pada dasarnya seorang yang beruntung kerana mempunyai tujuh orang anak, kesemuanya laki-laki. Seorang berada di luar negeri dan enam lagi berada di rumah.Ketika semua anak almarhum masuk, saya nasihati mereka.

Saya mengingatkan mereka bahwasanya tanggung jawab saya adalah membantu menguruskan jenazah bapa mereka, bukan menguruskan semuanya, tanggung jawab ada pada ahli warisnya.
Sepatutnya sebagai anak, mereka yang lebih afdal menguruskan jenazah bapa mereka itu, bukan hanya iman, hanya bilal, atau guru. Saya kemudian meminta izin serta bantuan mereka untuk menunggingkan mayat itu.

Takdir Allah ketika ditunggingkan mayat tersebut, tiba-tiba keluarlah ulat-ulat yang masih hidup, hampir sebesen banyaknya. Besen itu kira-kira besar sedikit dari penutup saji meja makan.
Subhanallah suasana menjadi makin panik. Benar-benar kejadian yang luar biasa sukar diterima akal fikiran manusia biasa. Saya terus berdoa dan berharap tidak terjadi lagi kejadian yang lebih ganjil. Selepas itu saya memandikan kembali mayat tersebut dan saya ambilkan wudhu. Saya meminta anak-anaknya kain kafan.

Saya bawa mayat ke dalam biliknya dan tidak diizinkan seorang pun melihat upacara itu terkecuali waris yang terdekat sebab saya takut kejadian yang lebih aib akan terjadi. Peristiwa apa pula yang terjadi setelah jenazah diangkat ke bilik dan hendak dikafani, takdir Allah jua yang menentukan.

Ketika mayat ini diletakkan di atas kain kafan, saya dapati kain kafan itu hanya cukup menutupi hujung kepala dan kaki tidak ada lebih, maka saya tak dapat mengikat kepala dan kaki. Tidak keterlaluan kalau saya katakan ia seperti kain kafan itu tidak mahu menerima mayat tadi.

Tidak apalah, mungkin saya yang silap semasa memotongnya. Lalu saya ambil pula kain, saya potong dan tampung di tempat-tempat yang kurang. Memang kain kafan jenazah itu jadi sambung-menyambung, tapi apa mau dikata, itulah yang dapat saya lakukan.

Dalam waktu yang sama saya berdoa kepada Allah “Ya Allah, jangan kau hinakan jenazah ini ya Allah, cukuplah sekadar peringatan kepada hamba-Mu ini.”

Selepas itu saya beri taklimat tentang solat jenazah tadi, satu lagi masalah timbul,jenazah tidak dapat dihantar ke tanah pekuburan kerana tidak ada kereta jenazah/mobil ambulance.

Saya hubungi kelurahan, pusat Islam, masjid, dan sebagainya, tapi susah. Semua sedang digunakan, beberapa tempat tersebut juga tidak mempunyai kereta jenazah lebih dari satu kerana kereta yang ada sedang digunakan pula.

Suatu hal yang saya fikir bukan sekedar kebetulan. Dalam keadaan itu seorang hamba Allah muncul menawarkan bantuan. Lelaki itu meminta saya menunggu sebentar untuk mengeluarkan van/sejenis kereta pick-up dari garaj rumahnya. Kemudian muncullah sebuah van.

Tapi ketika dia sedang mencari tempat untuk meletakkan vannya itu dirumah almarhum, tiba-tiba isterinya keluar. Dengan suara yang tegas dia berkata dikhalayak ramai:

“Mas, saya tidak benarkan kereta kita ini digunakan untuk angkat jenazah itu, sebab semasa hayatnya dia tidak pernah mengizinkan kita naik keretanya.”

Renungkanlah kalau tidak ada apa-apanya, tidak mungkin seorang wanita yang lembut hatinya akan berkata demikian. Jadi saya suruh tuan yang punya van itu membawa kembali vannya.

Selepas itu muncul pula seorang lelaki menawarkan bantuannya. Lelaki itu mengaku dia anak murid saya. Dia meminta izin saya dalam 10-15 minit membersihkan keretanya itu. Dalam jangka waktu yang ditetapkan itu, muncul kereta tersebut, tapi dalam keadaan basah dibasuh.
Kereta yang dimaksudkan itu sebenarnya lori. Dan lori itu digunakan oleh lelaki tadi untuk menjual ayam ke pasar, dalam perjalanan menuju kawasan pekuburan.

Saya berpesan kepada dua pembantu tadi supaya masyarakat tidak usah membantu kami menguburkan jenazah, cukup tinggal di camping saja akan lebih baik. Saya tidak mahu mereka melihat lagi peristiwa ganjil. Rupanya apa yang saya takutkan itu berlaku sekali lagi, takdir Allah yang terakhir amat memilukan.

Sesampainya Jenazah tiba di tanah pekuburan, saya perintahkan tiga orang anaknya turun ke dalam liang dan tiga lagi menurunkan jenazah.
Allah berkehendak semua atas makhluk ciptaan-Nya berlaku, semasa jenazah itu menyentuh ke tanah tiba-tiba air hitam yang busuk baunya keluar dari celah tanah yang pada asal mulanya kering.
Hari itu tidak ada hujan, tapi dari mana datang air itu? sukar untuk saya menjawabnya. Lalu saya arahkan anak almarhum, supaya jenazah bapa mereka dikemas dalam keranda dengan hati-hati.

Saya takut nanti ia terlentang atau telungkup na’udzubillah. Kalau mayat terlungkup, tak ada harapan untuk mendapat syafa’at Nabi. Papan keranda diturunkan dan kami segera timbun kubur tersebut.
Selepas itu kami injak-injak tanah supaya mampat dan bila hujan ia tidak mendap/ambrol. Tapi sungguh menghairankan, saya perhatikan tanah yang diinjak itu menjadi lecak. Saya tahu, jenazah yang ada di dalam telah tenggelam oleh air hitam yang busuk itu.

Melihat keadaan tersebut, saya arahkan anak-anak almarhum supaya berhenti menginjak tanah itu. Tinggalkan lobang kubur 1/4 meter.
Maksudnya kubur itu tidak ditimbus hingga ke permukaan lubangnya, tapi ia seperti kubur berlubang. Tidak cukup dengan itu, apabila saya hendak bacakan talqin, saya lihat tanah yang diinjak itu ada kesan serapan air.

Masya Allah, dalam sejarah peristiwa seperti itu terjadi. Melihat keadaan itu, saya ambil keputusan untuk selesaikan penguburan secepat mungkin.
Sejak lama terlibat dalam penguburan jenazah, inilah mayat yang saya tidak talqimkan. Saya bacakan tahlil dan doa yang paling ringkas.


Setelah saya pulang ke rumah almarhum dan mengumpulkan keluarganya. Saya bertanya kepada isteri almarhum, apakah yang telah dilakukan oleh almarhum semasa hayatnya.


1. Apakah dia pernah menzalimi orang alim ?
2. Mendapat harta secara merampas, menipu dan mengambil yang bukan haknya?
3. Memakan harta masjid dan anak yatim ?
4. Menyalahkan jabatan untuk kepentingan sendiri ?
5. Tidak pernah mengeluarkan zakat, sedekah atau infaq ?

Isteri almarhum tidak dapat memberikan jawabannya. Memikirkan mungkin dia malu Untuk memberi tahu, saya tinggalkan nombor telefon rumah. Tapi sedihnya hingga sekarang, tidak seorang pun anak almarhum menghubungi saya.

Untuk pengetahuan umum, anak almarhum merupakan orang yang berpendidikan tinggi hingga ada seorang yang beristerikan orang Amerika, seorang dapat isteri orang Australia dan seorang lagi isterinya orang Jepun.

Peristiwa ini akan tetap saya ingat. Dan kisah ini benar-benar nyata bukan rekaan. Semua kebenaran saya kembalikan kepada Allah SWT pencipta alam ini. Kepada kita semua pembaca setia renungan Media Informasi ini, tanyalah diri kita akankah kita menginginkan peristiwa itu terjadi pada diri kita sendiri, ibu, bapa kita, anak kita atau kaum keluarga kita ?

http://penpatah.blogspot.com/2012/07/pengalaman-ustaz-urus-jenazah-berdosa.html

17 Jul 2014

Tak mampu nak jadi macam mereka..

* Semua para sahabat Nabi tidak terkecuali dari menghidupkan malam, mereka sembahyang sunat sehari semalam antara 300 hingga ke 600 rakaat, paling kurang 100 rakaak, malah ada beberapa orang sahabat yang mampu sembahyang hingga 1000 rakaat, memang patutlah mereka bergelar sahabat nabi, dengan ibadah dan pengorbanan terhadap Islam yang begitu tinggi.

......aku....nak sembahyang 5 rakaat semalam pun penuh mujahadah..dengan mengantuknya, dengan tak khusyuknya..ya Allah..ampunnnn...


* Saidina Ali terkena panah dan panah itu dicabut ketika beliau bersembahyang, dan ketika itu beliau tidak pun merasa sakit lantaran khusyuknya.

......aku....digigit semut atau nyamuk saja aku sudah tak tentu arah, khusyuk pun turut hilang..aduhhhh......

* Saidina Umar ketika berwuduk pucat ketakutan kerana hendak mengerjakan sembahyang, ia takut untuk berhadapan dengan Allah. Apabila membaca Al Quran yang menjadi wiridnya, dadanya menjadi sebak hingga dia terjatuh dan menangis kemudian tinggal di rumah saja. Tidak mahu keluar hinggalah beliau diziarahi kerana disangka beliau sakit....Tidak menghimpunkan dalam satu hidangan dua jenis lauk hinggalah beliau wafat. Pernah merampas sebiji epal dari mulut anaknya kerana epal itu diambil anaknya dari perbendaharaan Islam, walaupun hatinya hancur luluh mendengar tangisan anaknya..Menulis setiap kesilapannya walaupun kecil dan mengkoreksi dirinya seminggu sekali iaitu di hari jumaat. Dia bertanya pada dirinya, " Hai, Umar apa yang engkau telah buat dengan rakyatmu, ingatlah walau seekor kambing mati kerana tidak makan, engkau akan ditanya." Kemudian dia merotan dirinya, kerana takutkan rotan akhirat. Apabila beliau meninggal dunia, terdapat banyak parut bekas rotan di belakang dan di seluruh badannya.

....aku....tunggu masuk waktu baru nak berwuduk....sedihhhh....., baca Al Quran pun tak faham, nak baca tafsir pun malas, apa nak jadilah dengan diri aku ni...anak buat salah, anak yang kumarahi, bukan aku nak kaji apa salahku sebagai ibu dalam mendidik mereka.....

* Saidina Ali walaupun dalam keadaan tidak berharta, beliau masih mencari-cari sesuatu untuk disedekahkan kepada fakir-miskin, walaupun hanya dengan sebelah buah tamar. Beliau pernah berkata " Wahai dunia, kalau nak tipu, tipulah orang lain, jangan engkau tipu aku."

....aku....sentiasa mencari-cari dan memikir-mikir bagaimana nak cari dunia..oh..dunia. engkau telah menipu aku...

Tapi...aku perlu bangkit..aku tidak boleh berputus asa dari rahmat dan kasih-sayang Allah, moga Ramadhan yang masih berbaki dapat ku manfaatkan sepenuhnya..doakan aku...

ihsan google



12 Jul 2014

Tiada yang abadi

Tiada Makhluk yang abadi http://srikandiofficialblog.blogspot.com/2013/09/tiada-makhluk-yang-abadi.html

9 Jul 2014

Kaya jiwa.

Seorang lelaki kaya bertemu seorang darwisy yang berpakaian compang-camping dan kelihatan terlalu miskin. Orang kaya itu merasa kasihan melihatnya lalu menyedekahkan sejumlah wang kepadanya.

Setelah mendapat wang tersebut, si darwsy memandang muka orang kaya lalu bertanya.." Apakah tuan mahukan wang lagi sekiranya tuan ada peluang untuk memilikinya?"

Jawab orang kaya itu.." Sudah tentu aku mahu."

" Kalau begitu tuan ambillah semula wang ini, kerana tuan lebih miskin dari saya. Tuan masih perlukan wang, sedangkan saya tidak memerlukannya.."

....bila kaya jiwa, tiada harta pun tidak menjadi kudis, ruang yang sempit terasa lapang, hidup susah dalam kemiskinan pun tiada keluh-kesah...tetapi kalau miskin jiwa...harta menggunung pun tidak membahagiakan hidupnya........


ihsan google

Ingatinya selalu..

mengingatinya dapat melembutkan hati..

7 Jul 2014

Kisah tempe tak jadi.


Doa Yang Bersungguh-Sungguh Tetap Dimakbulkan Allah Walaupun Kita Merasakan Awalnya Tidak!!


Kisah Tempe Tak Jadi
Adat orang berniaga, pasti ada rugi, pasti juga ada untungnya. Namun jika rugi, bukan alasan untuk kita mengeluh kepada Allah, akan tetapi sentiasalah berdoa agar kita sentiasa diperbanyakkan rezeki dari Allah.

Kisah yang berkisarkan tentang penjual tempe ini, wajahnya sedih kerana tempe yang dibuat langsung tidak menjadi, dan tidak laku ketika dijual di pasar. Memang secara logiknya, memang tiada siapa yang akan membeli tempe yang belum siap dimasak bukan. Jom ikuti bagaimana pengakhiran kisah ini dan semoga kisah ini dapat memupuk perasaan sentiasa bersyukur atas ketentuan yang Allah dan tentukan untuk kita.

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah memang kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu.D alam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Tuhan yang menyatakan bahawa Tuhan dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagi Tuhan tiada yang mustahil.

Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , "Tuhan , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin"

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Tuhan pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Tuhan. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. "Tuhan, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin".

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul.

Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak. Dia berfikir mungkin keajaiban Tuhan akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar.

Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. "Tuhan, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin". Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya.

Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada. Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam.

Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Tuhan kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak adil.Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi.

Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang. Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Tuhan, pasti Tuhan akan menolongnya.

Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Tuhan, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini."

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita. "Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi."

Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya" Tuhan, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin".

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Tuhan. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu.

Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, "Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?" Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan…Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Allah s.w.t sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Allah s.w.t lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Allah s.w.t akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.

Apa yang kita mahukan juga tidak semestinya apa yang terbaik untuk kita.
Allah S.W.T Maha Mengetahui segalanya.
http://syg-islam.blogspot.com/2013/05/kisah-tempe-tak-jadi.html

ihsan google

1 Jul 2014

Belajarlah...letakkan dirimu di tempatnya..


Belajarlah...Untuk Duduk Di Dalam kelongsong Orang Tua


Tulisan Puan Khalijah Ismail
Pada ketika saya memandang wajah mak, jasadnya semakin susut bukan kerana tidak sihat tapi kurang makan.
Pada ketika saya melihat riadahnya, mak semakin kurang menonton TV, adapun menonton mata sudah terlelap. Sudahnya TV tonton mak...Pada ketika saya melihat aktivitinya, mak semakin kurang berjalan-jalan. Lebih banyak menghabiskan masa dengan mengaji Al-Quran. Berkebun sikit-sikit dari tanah peninggalan arwah abah.

Pada ketika waktu hampir 10.00 malam, mak awal-awal lagi sudah masuk tidur. Tapi jangan ganggu dia selepas itu pasti susah mak nak tidur semula. Buat kata mak, tua-tua ini susah dah nak tidur.


Suatu hari saya tanya mak yang pada ketika itu beliau baru pulang dari menunaikan haji. Kata saya 'selepas ini apa rancangan mak seterusnya? anak-anak semua dah besar serta berkahwin. Haji juga telah ditunaikan. Apa harapan mak seterusnya? Kata mak 'hanya ingat mati sahaja...'


Kesimpulan dan hikmahnya;
Belajarlah...untuk duduk di dalam kelongsong orang tua meskipun kita masih muda. Semakin kita meningkat usia semakin hilang segala nikmat dunia. Adalah lebih baik kita merasainya sekarang sebelum waktunya.


http://suaramuhajirin313.blogspot.com/search/label/BLOG%20KAMAR%20KEHIDUPAN



Baju Muslimah

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign