Asam Garam Kehidupan: kisah orang-orang soleh

Nuffnang

Pages

Showing posts with label kisah orang-orang soleh. Show all posts
Showing posts with label kisah orang-orang soleh. Show all posts

9 Sept 2014

Kisah taubat seorang lelaki.











Zun Nun Al-Misri mendengar bahawa ada seorang yang sangat alim dan zuhud, maka pergilah dia ke sana untuk belajar. Sesampainya di sana dia menjumpai seorang lelaki menggantungkan dirinya pada sebatang pokok dengan kepala ke bawah.
Orang itu berkata: “Wahai diri! Tolonglah aku dalam mentaati Allah. Kalau tidak nescaya aku akan hukum engkau dalam keadaan seperti ini sampai engkau mati kelaparan.”

Zun Nun mendekati orang itu lalu memberi salam dan dia menjawab.

“Apa yang telah terjadi dengan engkau ini?” Tanya Zun Nun.

“Tubuhku ini telah menghalangi aku untuk berseronok dengan Allah, kerana ingin bersuka-suka dengan manusia.” Jawab orang itu.

Dengan jawapan itu, Zun Nun menyangka bahawa orang itu telah menumpahkan darah sesama Muslim atau telah berbuat dosa besar lainnya.

“Apa yang telah engkau lakukan?” Tanya Zun Nun.

“Tahukah engkau bahawa jika seseorang itu bercampur baur dengan orang lain, banyak perkara yang boleh berlaku?”

“Kalau begitu, engkau ini betul-betul orang warak dan alim,” kata Zun Nun.

“Mahukah aku tunjukkan kamu orang yang lebih alim dariku?” kata orang itu.

“Boleh juga,” kata Zun Nun.

“Nah, sekarang pergilah engkau agak ke atas bukit ini. Insya Allah, engkau akan berjumpa dengan wali Allah yang saya maksudkan itu,” kata lelaki itu.


Maka segeralah Zun Nun mendaki agak sedikit ke atas lagi sehingga akhirnya ia berjumpa dengan satu tempat pertapaan yang di dalamnya ada seorang pemuda sedang duduk bersila, sementara di hadapan pintu pertapaan itu ada sebelah kaki yang terpotong membusuk dan dimakan ulat. Zun Nun sangat ngeri dan tidak faham apa yang dilihatnya itu. Maka diapun bertanya kepada pemuda tersebut apa ertinya semuanya itu.

Pemuda itu menerangkan bahawa pada suatu hari dia sedang duduk di dalam beribadahnya, tiba-tiba ada seorang perempuan yang melintas di luar. Apabila dia terpandang kepadanya, timbul keinginannya kepada wanita cantik itu dan cuba untuk mengejarnya dari belakang.

Akan tetapi, baru saja dia melangkahkan sebelah kakinya ke luar dari tempatnya, tiba-tiba dia mendengar suara: “Wahai manusia, apakah engkau tidak merasa malu? Setelah tiga puluh tahun engkau menghadapkan hati kepada Tuhan, tiba-tiba sekarang engkau telah mahu ditipu oleh syaitan dan akan mengejar perempuan jahat itu.”

Disebabkan kerana kesalahannya itulah, pemuda itu telah memotong sebelah kakinya yang telah terlanjur keluar dari tempat ibadahnya.

“Jadi aku ini sebenarnya orang berdosa,” kata lelaki itu.

“Maka dari itu engkau tidak patut menemuiku yang sedang dalam penantian keputusan ini. Jika engkau ingin menjumpai seorang yang betul-betul wali, pergilah engkau ke puncak bukit ini.”


Sayang puncak bukit tersebut terlalu tinggi dan sukar untuk didaki sehingga Zun Nun tidak sanggup mencapainya. Sebaliknya dia hanya mendengarkan saja cerita si pertapa dari orang-orang yang mengetahuinya.

Katanya ada seorang lelaki yang telah bertahun-tahun mengabdikan dirinya kepada Allah. Dia telah bersumpah untuk tidak makan selain dari usahanya sendiri dan tidak akan makan makanan yang telah diproses. Dengan izin Allah, sekumpulan lebah telah membuat sarang di dekat tempat ibadahnya, dengan madu lebah itulah wali tersebut mengalas perutnya.

*begitulah taubat para orang yang alim, merasakan setiap setiap kesalahan yang kita anggap ringan, sebagai suatu perkara yg menghalang dari syurga. Jadi dimanakah tahap kita? adakah syurga itu sudah terjamin untuk kita?
Sumber: AkuIslam.com

http://penpatah.blogspot.com/2011/11/kisah-taubat-seorang-lelaki.html

26 May 2014

BAGAIMANA NAK KHUSYUK DALAM SOLAT

seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk dalam solatnya.Namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk.

Lantas dia selalu bertanya kepadaorang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaikidirinya yang selalu dirasai kurang khusyuk.

Pada suatu hari Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al Assam dan bertanya, " Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, " Apabila masuk waktu solat, aku berwudhu zahir dan batin."

Isam bertanya, " Bagaimana wudhu zahir san batin itu?"

Hatim menjawab, " Wudhu zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhu dengan air, sementara wudhu batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara:

* Bertaubat
* Menyesali dosa yang telah dilakukan.
* Tidak tergila-gilakan dunia.
* TIdak mencari/ mengharap pujian orang.
* Tinggalkan sifat berbangga.
* Tinggalkan sifat khianat dan menipu.
* Meninggalkan sifat dengki.

" Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggota ku dan menghadap kiblat.Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:

1.  Aku sedang berhadapan dengan Allah.
2.  Syurga di sebelah kananku.
3.  Neraka di sebelah kiriku.
4.  Malaikat Maut berada di belakangku, dan
5.  Aku bayangkan pula seolah-olah berdiri di atas titian ' Siratul Mustaqim' dan menganggap bahawa
solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku."

" Kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik. Setiap bacaan dan doa di dalam solat, aku faham maknanya."

" seterusnya aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkannya dengan Hatim.

Bagaimana pula solat kita....???

Perkongsian dari rakan BB.

10 Nov 2013

YANG DIJAMIN PASTIKAN TIBA

Bererapa orang dari satu kafilah yang tersesat jalan menjumpai sebuah gua. Mereka masuk kedalamnya untuk mencari teduh dari teriknya mentari. Tiba-tiba mereka mendapati Imam Az Zahidi berada di dalamnya. Mereka terus menegurnya tapi tiada jawaban. 

   " Mungkin dia kedinginan sehingga tidak boleh berbicara." Sangka mereka. Lalu mereka menyalakan unggun api bagi memanaskan badannya. Lalu mereka mengemukakan beberapa pertanyaan lagi. Tapi ternyata masih tiada apa-apa perubahan.

    " Mungkin dia lapar," Sangka mereka lagi. Mereka menghulurkan makanan kepada beliau., tetapi sedikit tidak diambilnya.

    " Dia sudah lama tidak makan, panaskan saja susu untuknya," Ternyata Imam Az Zahidi tidak sedikitpun berpaling kepada mereka, dia seakan-akan patung yang kaku..

    " Mungkin mulutnya sudah kaku dan gigi-giginya sudah rapat, "  Kata salah seorang dari mereka. Segera datang dua orang yang lain membukakan mulut Imam Zahidi lalu menuangkan susu ke dalam mulut beliau. Tiba-tiba Imam Zahidi ketawa.

    " Apakah engkau gila?" Mereka bertanya kehairanan.

Imam Zahidi pun menjawab untuk menjelaskan peristiwa lucu tersebut. 

    " Aku bukan gila, tetapi hanya ingin mencuba bagaimana Allah menjamin rezekiku, sekarang aku sudah tahu bahawa Allah memberi rezeki kepadaku dan hamba-hambaNya bila-bila sahaja, walau di mana dan bagaimana keadaan hambaNya sekalipun."

Begitulah orang yang kuat pergantungannya dengan Allah....

11 Sept 2013

BILA RAHSIA SUDAH TERBONGKAR.

Abdullah Al Mubarak mempunyai seorang hamba. Dia berjanji, " Engkau akan aku bebaskan jika dapat kau bayar seribu dinar."

Oleh kerana terlalu ingin dibebaskan maka hamba itu pun berjanji akan membayar secara beransur-ansur setiap hari. Suatu hari sahabat Abdullah datang memberitahunya, " Hambamu itu pergike kubur setiap hari dan mencuri kain kafan dan kemudiannya menjual kain kafan itu di pasar."

Abdullah merasa marah dan bercadang untuk mengintai apakah benar dakwaan sahabatnya itu. Dia pergi ke kubur dan dilihatnya hambanya ada di situ. Hambanya memakai kain kasar dan gelang besi di lehernya. Hambanya masuk ke dalam kubur, menangis, merayu dan berdoa hingga ke pagi. Kemudian hambanya menuju ke masjid.

Abdullah terus mengekori hambanya secara rahsia. Tiba di dalam masjid hambanya berdoa lagi, " Wahai Tuhan, tidak lama lagi hambaMu ini akan membayar tebusan kepada tuan badanku ini,"

Tiba-tiba datang cahaya kepadanya, cahaya itu menuju ke tapak tangannya dan bertukar menjadi wang!! Semasa beliau hendak bangun dan membayar harga tebusan dirinya kepada Abdullah, tiba-tiba Abdullah keluar dari persembunyiannya dan memanggil hambanya lalu berkata, " Mulai hari ini marilah kita bertukar tempat, engkau menjadi tuan dan aku menjadi hamba,"

Si hamba tadi menjawab, " Sekarang rahsiaku telah terbongkar, maka aku tak mahu hidup lagi,"

Dengan serta-merta hamba itu jatuh dan meninggal dunia. Beliaupun dikebumikan dengan pakaian yang kasar. Pada malam itu Abdullah bermimpi bertemu dengan Rasulullah, Baginda berkata, " Wahai Abdullah, adakah patut engkau kebumikan orang yang kami kasihi dengan kain yang kasar itu?"

25 Aug 2013

" Wuduk tidak pernah hilang dari diriku...

Diriwayatkan dari sebuah kitab, terdapat seorang wanita pembakar roti di zaman nabi Isa as. Suatu hari sedang wanita itu membakar roti, maka berkumandanglah panggilan untuk menyembah Allah. Wanita tersebut bingkas bangun meninggalkan roti yang sedang dibakar semata-mata untuk mengadap Allah Yang Maha Besar. Dengan hati yang penuh bimbang dan mengharap, dia mengadap Tuhannya. 

Ketika itu datanglah syaitan yang menyamar seperti seorang perempuan dan berkata kepada perempuan itu, " Roti mu sudah hangus, cepat,"

Jawab wanita itu, " Tuhan yang aku sembah lebih baik dari roti itu,"

Syaitan itu tidak berputus asa lalu mengambil anak wanita itu dan dicampakkannya ke dalam tempat pembakar roti.Tidak lama kemudian suami wanita itu pulang dan didapati anaknya sedang bermain-main dengan bara api. Melihatkan kejadian yang pelik itu, suami wanita itu terus berjumpa dengan nabi Isa dan menceritakan peristiwa tersebut. Nabi Isa berkata, " Bawa aku kepada anakmu,"

Nabi Isa sendiri merasa takjub melihat peristiwa itu. Lebih-lebih lagi di celah-celah bara api tersebut tumbuh sebatang pokok delima dengan buahnya dan kanak-kanak itu menghisap buahnya. Bara-bara api itu bertukar menjadi permata seperti aked dan lu'luk. Kanak -kanak itu bermain riang dengan batu-batu permata tersebut.

Lalu Nabi Isa as menyuruh membawa isterinya untuk mendapatkan kepastian, Baginda bertanya, "Apa pekerjaan yang kamu lakukan hingga Allah muliakan kamu dengan kemuliaan ini?"

Jawab wanita itu, " Aku selalu melakukan tiga perkara di dalam hidupku, pertama wuduk tidak pernah hilang dari diriku melainkan aku memperbaharuinya apabila batal. Kedua aku selalu menilik orang mati yang diusung oleh orang hidup ke kubur. Aku juga akan menemui nasib seperti mereka suatu hari nanti. Ketiganya hajat manusia akan aku cuba capaikan sedaya-upayaku semata-mata untuk mencapai keredhaan di sisi Allah."

Setelah mendengar penjelasan wanita itu Nabi Isa berkata, " Inilah warisan segala para anbiya' dan jikalau kamu lelaki nescaya aku akan naik saksi bahawasanya kamu adalah seorang nabi. Tapi tidak ada nabi untuk perempuan,"

Di dunia lagi Allah telah memberikan keistimewaan untuk orang yang sentiasa mengekalkan wuduk apatah lagi di akhirat. Berwuduk dalam istilah lain iaitu membersihkan diri dari najis dan membasuh empat anggota dengan tertib. Anggota yang wajib dibasuh ialah muka, dua tangan ke siku, kepala dan dua kaki ke buku lali. Setiap titis air wuduk merupakan malaikat yang akan memohonkan keampunan untuk kita hingga ke hari kiamat. Barangsiapa tidur dengan berwuduk nescaya rohnya akan dapat naik hingga ke arasy dan pahalanya sama dengan orang yang mengerjakan puasa dan mendirikan sembahyang di malam hari. Mati dalam keadaan berwuduk pula mendapat pahala seperti orang mati syahid. Mimpinya juga akan terpelihara dari tipudaya syaitan.  Mengekalkan wuduk adalah budaya orang soleh, dan barangsiapa mengamalkannya ia akan tergolong dalam golongan itu seperti sabda Nabi:

" Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum maka ia tergolong di dalam kaum tersebut."

                                          

18 Aug 2013

Iktibar dari seekor anjing

Suatu hari sedang Abu Yazid berjalan-jalan di satu lorong, tiba-tiba seekor anjing menghampirinya. Oleh kerana takut pakaiannya tersentuh kulit anjing itu, maka Abu Yazid menarik pakaiannya ke atas.

Tiba-tiba anjing itu bersuara seperti suara manusia, " Kalau kulit aku kering, terkena kulitmu, tuan tidak perlu mencuci pakaian tuan, tetapi kalaulah kulitku basah, tuan boleh menyamak pakaian tuan itu. Tetapi sifat benci yang ada dalam diri tuan tidak boleh dicuci hatta dengan tujuh batang sungai sekalipun. Dosa batin itu payah dicuci."

Abu Yazid terpegun lalu berkata," Wahai anjing, kamu ini sangat bijak. Marilah tinggal dengan aku seketika."

" Tidak, kita berdua tidak boleh tinggal bersama kerana aku ini dihina manusia sedangkan tuan dipuji oleh dunia. Tambahan pula aku tidak menyimpan makanan untuk esok, sedangkan tuan menyimpan makanan untuk setahun," jawab anjing itu.

Mendengar kata-kata anjing itu, Abu Yazid berbisik sendirian: Kalaulah seekor anjing pub tidak sudi bersamaku, apakah aku layak untuk menghampiri Tuhan dan duduk di 'majlis'Nya? Puji-pujian bagi Tuhan yang menghinakan diriku dan mengajar manusia melalui perkara-perkara yang kecil."

p/s: minta maaf ye kawan-kawan, saya tak buat entri pasal syawal, takpelah dah ramai kawan-kawan lain yang buat, bermacam ragam dan cerita syawal, cerita saya biasa sangat, tak seronok nak dikongsikan..
                                             

16 Aug 2013

Tuhan Maha Penerima Taubat

Diriwayatkan bahawa dalam kalangan Bani Israel ada seorang pemuda yang beribadat kepada Allah selama 20 tahun dan membuat maksiat kepada-Nya selam 20 tahun pula. Suatu hari dia melihat wajahnya di cermin dan nampaklah janggutnya yang beruban. Dia merasakan dirinya telah tua dan sudah tentu semakin dekat dengan kematian.

     Keadaan itu menyebabkan hatinya merana lalu mengeluh, "Hai Tuhanku, aku telah taat kepada-Mu selama 20 tahun, kemudian maksiat kepada-Mu selama 20 tahun pula. Andai kata aku kembali kepada-Mu, sudikah Engkau menerimaku?"

     Kemudian dia mendengar suatu suara berkata, "Engkau telah mencitai-Ku, maka Aku pun mencintaimu. Engkau telah meninggalkan-Ku, maka Aku pun meninggalkanmu. Dan engkau telah maksiat kepada-Ku, maka engkau Kuberi waktu. Jikalau engkau kembali kepada-Ku, Aku terimalah engkau."

Pintu Taubat Sentiasa Terbuka.

Seorang lelaki telah bertanya kepada Ibnu Mas'ud tentang seorang yang berdosa tapi menyesalinya, apakah bagi orang itu ada hak taubat.

Ibnu Mas'ud berpaling daripadanya, kemudian menghadapnya semula dengan kedua matanya bercucuran air mata, lalu menjawab, " SesungguhnyaSyurga itu mempunyai delapan pintu yang seluruhnya kadang-kala terbuka dan kadang-kala terkunci, kecuali pintu taubat. Pada pintu itu ada malaikat yang diserahi tugas agar jangan menguncinya, bertaubatlah, jangan berputus asa!"

15 Aug 2013

Saat Kematian yang Indah

BEBERAPA orang murid Junaid al-Baghdadi menceritakan bagaimana indahnya beliau ketika akan meninggal dunia. Beliau masih tetap mengerjakan solat sunat di samping yang fardhu, walaupun beliau tidak dapat bangun lagi. Melihat itu, murid-muridnya berkata, "Apakah ini wahai Abu Kassim? Tuan guru telah terlalu memberati badan, padahal dalam menghadapi maut," lalu beliau menjawab, "Di saat seperti inilah yang amat indah untuk mengerjakan ibadah."

     Sementara masih kuat berdiri, beliau berdiri. Setelah tidak kuasa lagi, beliau pun duduk. Tidak kuasa lagi duduk, beliau berbaring, tetapi tidak berhenti daripada bersolat.

     Muhammad al-Jurairi berkata, "Hari wafat beliau itu, adalah hari Jumaat. Pagi-pagi saya datang saya dapati beliau sedang membaca al-Quran. Lalu saya berkata, kasihanilah diri tuan, tuan sudah terlalu payah," lalu beliau menjawab, "Siapakah yang lebih pantas daripada aku berbuat begini di saat yang seperti aku hadapi ini, Padahal saat hidupku sudah hendak ditutup?"

     Kata al-'Athawiy, " Tidaklah berhenti beliau di dalam sakit itu di antara waktu solat dan membaca al-Quran. Bila telah tamat beliau ulang kembali. Demikianlah seterusnya, sehingga tatkala dia menarik nafas panjang penghabisan, telah dibacanya 70 ayat daripada surah al-Baqarah."

Biarlah Aku Buta Asalkan...

SEORANG sufi akan melangsungkan perkahwinannya sengan seorang wanita cantik. Tiba-tiba dengan takdir Allah, di saat hampir pada wktu pernikahan, pengantin wanita itu ditimpa penyakit cacar. Pihak keluarganya sangat sedih dan khuatir anak gadisnya akan dianggap hodoh oleh bakal menantu mereka. Mengetahui hal ini, calon suami lalu memperlihatkan pula bahawa dia telah menghidap penyakit sakit mata sehingga mengakibatkan dirinya buta.

     Perkahwinan pun terus dulangsungkan dalam keadaan kedua pengantin yang seimbang ini, sehingga kedua belah pihak tiada lagi bersedih hati mahupun berkecil hati. Kedua pasangan tersebut terus hidup rukun dan damai selama 20 tahun sehingga Allah takdirkan wanita itu jatuh sakit lalu meninggal dunia.

     Setelah kematian isterinya maka si sufi itu pun membuka matanya yang nyata tidak buta. Lalu orang pun bertanya mengapa dia bertindak berpura-pura buta mata sekian lamanya. Lantas dijawabnya, "Aku sengaja berpura-pura demikian agar keluargaku dan isteriku tidak bersedih hati."

     Orang yang mendengar terus berkata, "Kamu telah mengungguli rakan-rakanmu dengan akhlakmu ini!"

Di Antara Permata dan Perintah...

SEORANG sufi dibiarkan keluar masuk istana raja. Tempat yang tidak pernah dimasuki oleh pembesar raja pun telah menjadi biasa baginya. Raja pun tidak menghiraukan sangat kerana baginda lebih tahu rahsia kehidupan orang sufi tersebut.

     Pembesar-pembesar raja menjadi iri hati. Sedangkan pada mata rakyat, kedudukan mereka lebih tinggi daripada  orang sufi tadi. Apa yang menariknya orang sufi tadi pada mata raja?

     Lantas mereka menghadap raja mengadukan hal ini dan meminta penjelasan. Raja memanggil semua pembesarnya dalam satu perjumpaan. Dengan dibekalkan sebilah kapak, disuruhnya mereka memecahkan permata besar milik kerajaan. Tiada seorang pun daripada para pembesar yang berani mengikut suruhan raja. Tentunya mereka tidak akan sanggup memusnahkan permata yang sangat berharga itu. Kemudian dipanggil pula orang sufi tadi. Lalu diperintahkan sepertimana diperintahkan kepada para pembesarnya tadi.

     Tanpa berlengah lagi, perintah dipatuhi. Berkecai permata besar dan terbeliak mata pembesar memerhatikan perkara itu. Kemudian raja menjelaskan kepada para hadirin.

     "Kamu lebih mementingkan harga permata itu daripada suruhanku tetapi orang sufi ini menilai suruhanku lebih daripada harganya, tanpa ada kepentingan seperti kamu."

31 Jul 2013

Harimau tunduk padanya berkat sabar

Telah diriwayatkan pada zaman dahulu kisah dua orang adik-beradik soleh yang tinggal berjauhan antara mereka. Oleh kerana tinggal berjauhan, maka jaranglah mereka dapat bertemu. Kadang-kadang mereka dapat berjumpa setahun sekali sahaja.
Pada suatu hari si adik ke rumah abangnya kerana ingin menziarahi abangnya. Kebetulan masa itu abangnya tiada di rumah. Dia lantas bertanya kepada kakak iparnya ke mana gerangan si abang. Bukan main terperanjat si adik apabila kakak iparnya dengan marah-marah menjawab, " Dia pergi mencari kayu, semoga dia tidak lagi dikembalikan Allah," sambil itu mulutnya terus memaki-maki suaminya dengan kuat. Oleh kerana dia dia ingin sangat bertemu dengan abangnya, maka dia sanggup menunggu sehingga abangnya pulang.
Tidak berapa lama kemudian, pulanglah abangnya bersama seekor harimau yang membawa kayu di atas belakangnya. Setelah abangnya menurunkan kaya tersebut, dia berkata kepada sang harimau, " Pergilah, semoga Allah memberkati kamu,"
Setelah itu barulah dia mempersilakan adiknya masuk ke rumah. Sementara itu, isterinya masih tetap memaki-maki sambil marah-marah, namun si abang tetap membisu. Tidak dijawab walau sepatahpun. Dengan susah-payah dia melayan adiknya yang datang dari jauh itu, menghidangkan makanan dan makan bersama adiknya. Setelah bertanya khabar dan berbual-bual, si adik pun meminta izin untuk pulang. Dalam  pada itu si adik tak henti-henti memikirkan kesabaran abangnya menghadapi isterinya yang banyak kerenah itu.
Pada tahun berikutnya, sekali lagi si adik datang menziarahi abangnya. Tapi si abang tiada di rumah seperti sebelumnya. Tapi kali ini kakak iparnya tidak lagi marah-marah atau memaki hamun suaminya, sebaliknya dia disambut dan dipersilakan menunggu kepulangan abangnya. Sebentar kemudian pulanglah abangnya sambil memikul kayu di atas bahunya sendiri. Kemudian dia mempersilakan adiknya masuk dan makan bersama-samanya. Tetapi kali ini abangnya tidak perlu lagi bersusah-payah melayan adiknya sebaliknya makanan telahpun disediakan oleh isterinya yang baik hati itu. Melihatkan keadaan yang berbeza dari tahun sebelumnya, si adik lantas bertanya:
" Wahai abang, dulu ada seekor harimau yang memikulkan kayu untukmu tetapi sekarang kayu itu engkau pikul sendiri. Dan sewaktu aku sampai tadi isterimu sudah berubah sama sekali. Apakah rahsia di sebalik semuanya?"
Si abang tersenyum  lantas menjawab, " Wahai adikku, isteriku yang cerewet itu telah meninggal dunia, dan kerana aku bersabar dengan kerenahnya itu maka Allah mendatangkan harimau itu untuk membantuku. Kemudian ketika aku diganti Tuhan dengan isteri yang baik budi ini, sudah tidak ada lagi harimau itu dan aku terpaksa memikul kayu sendiri,"

Begitulah rahmat dan kasih sayang serta keadilan Allah pada hambaNya, cuma kita sebagai hamba selalu kurang sabar dan hilang arah bila diuji. Tetapi bagi orang yang ingin mencapai darjat yang tinggi di sisi Allah SWT, walau terpaksa menderita mereka sanggup menghadapi apa jua kesusahan dan ujian yang ditimpakan kepadanya. Moga kita tergolong di kalangan orang sabar.
Baju Muslimah

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign