Asam Garam Kehidupan: Ramadhan

Nuffnang

Pages

Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

20 Jun 2015

Ramadhan tiga.

Kakak nak beli laptop. Semalam naik bas pukul 6 petang dari Kuantan. Turun kat Pekeliling. Abah berbuka puasa di Masjid Negara. Malas nak ulang-alik. Tunggu-tunggu sampai pukul 12 malam tak sampai lagi. Abah kata pukul 1 malam baru sampai rumah. Saya dah di alam mimpi.

Al kisah beras habis. Saya tak perasan. Nak masak berbuka semalam baru sedar. Subuh puasa ketiga tadi kami bersahur dengan cekodok jer...

Kesian anak-anak. Pukul 11 pagi dah pedih perut lapar. Umar Zikri takdelah puasa hari ni. Tapi excited dapat berjalan ke The Mines ikut abah cari laptop kakak lapar pun tak jadi hal.

Hari ni kakak minta ibu masak kari daging, ikan masak kicap dan sayur campur. Bubur jagung pun sempatlah buat, pencuci mulut kata orang yea. Abah balik terawih suka makan kuih, pencuci mulut camtu. Kalo ibu dah cukup dengan makan nasi masa berbuka tu, kalau nak rasa pun cukup semulut dua je. Seronok tengok kakak bertambah-tambah dua tiga kali. Makanlah kakak. Kat kolej kadang berbuka dengan telur mata kerbau jer..kesian..

Malam ni nak masak sambal bilis campur kacang dan tempe, masak kering-kering buat bekal kakak. Tahanlah dua tiga hari kot. Esok kakak naik bas pukul 2.30 petang. Ada kawan kakak, anak tunggal. Tinggal dekat-dekat je dengan rumah kami, berambil-berantar..ibu abah tak mampu buat camtu kakak. Takpelah kakak, bersusah-susah sikit. Berdikari.

.".....Hu hu...bilalah agaknya aku dapat ikut cara berbuka puasa macam Rasulullah...makan tamar dan minum air, terus solat maghrib dulu. Sedari aku mula belajar berpuasa, dewasa hinggalah berkawen pun, di rumah keluarga mentua pun bila berbuka mesti terus makan berat..
Suami pun memang jenis terus nak makan nasi berlauk bila berbuka. Bagi aku pula, selesai berbuka  terus solat maghrib tunggu isya' dan terawih sekali. Dah takde nak fikir makan-makan lagi dah. Itu yang mudah bagi aku.
Tapi aku tau cara aku tu salah. Entah bila aku dapat ikut cara betul yang Rasulullah ajar tu...sedih juga ni.."

23 Jul 2014

Kita dok tang mana??

Situasi yang biasa..

Cik Yah: Alamak, alamak..apa lagi yang tak siap nih, shopping baju raya..dah, eh! alamak ..baju raya baru ada 3 pasang, tak cukup, kuih raya..hmmm, jap, jap..1,2,3, 4, 5...10, ..15 balang, cukup tak? tak cukup rasanya, kena tambah oder nih, langsir, sofa, TV LCD model terbaru, bang, bang..mana abang ni..jom bang..gi Court Mammoth..ada lagi barang nak kena beli ni..

En. Seman: Apa lagi cik Yah oii..cukup-cukuplah tu, apa lagi yang awak nak cari, kering-kontanglah poket saya bulan ni..

Cik Yah: Ala bang, raya bukannya selalu, setahun sekali je kan, lagi pun kalau kengkawan abang datang tak la abang malu, mesti diorang kagum tengok betapa pandainya isteri abang ni hias rumah..

En. Seman: Hmmm, yelah..yang awak ni beria beno buat persiapan raya, puasa awak camane? Ada meningkat diri awak tu? Ada bertambah sedekah awak? Ada bertambah baca Quran awak? Yang saya tengok awak ni masih lagi jadi ajk mesyuarat tingkap...

Cik Yah: Eh! ke situ plak, cari alasan nak ngelak le tu, yang abang tu..terawih pegi seminggu sekali, tengah malam dok layan bola, kalau cuti lepas subuh tidur, lepas zohor tidur, lepas asar keluar dengan motor besar abang tu, saya tak bising pun..

En. Seman: ..Garu kepala yang dah separuh botak...

Situasi luar biasa.

Cik Maimunah: Abang, Nah rasa la kan, puasa tahun ni Nah tak dapat apa-apa la, rasa macam dok tang tu jugak, nak bersedekah tak mampu, mengaji pun takat baca je la, tak faham pun, terawih pun Nah buat kat rumah je...

En. Ismail: Abang pun rasa macam tu, tak meningkat pun rasa hamba, abang rasa abang masih pemarah kat budak-budak kilang tu, nak sound abang sound je, tak kira la perasaan diorang terkucil ke, tergeliat ke, aishh..apa nak jadi dengan abang ni..

Cik Maimunah: Habis, apa kita nak buat ni bang, bulan puasa pun lagi 2, 3 hari nak habis dah..

En. Ismail: Macam ni la, malam ni jom kita buat ihyaa'ul Lail, mana tau kita direzekikan dapat Lailatul Qadr..

Cik Maimunah: Ha elok tu bang, Nah setuju sesangat, jom kita kejut anak-anak, pakat ngaji, abang bagi tazkirah, kita selawat sesama, mudah-mudahan ada nilai di sisi Allah..


Ihsan google

18 Jul 2014

Mencari Laylatul-Qadr



Laylatul Qadar atau Malam al-Qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam. Ia berdasarkan ayat al-Quran dari surah al-Qadr . Firman Allah SWT :

Ertinya : "Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan" (Al-Qadr : 2) .

Di Malam ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadhan yang lain. Disebutkan di dalam sebuah hadith :-

Ertinya : Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain" ( Riwayat Muslim, no 1175 )

Sebuah lagi hadis menyebut :-

انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها

Ertinya : "Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)" ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره

Ertinya : " Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Waktunya





Para ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-qaradawi menyebut bahawa tarikh malam lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun ada disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini.

Iaitu seperti hari esoknya yang tidak terlampu panas dan tidak pula sejuk, matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai lagi. Ia semuanya berasal dari hadith-hadith yang sohih.

Bagaimanapun tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti esoknya.

Malah, tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah Negara adalah berlainan. Di Negara barat contohnya mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk, musim bunga manakala di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan. Adakah malam al-qadar tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang adalah terik?.

Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.

Menurut pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil.

Hadith Nabi menyebut:-

التمسوها في العشر الأواخر من رمضان

Ertinya : " Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, kita sekali lagi mungkin kebingungan pada tahun-tahun tertentu JIKA negara Arab memulakan puasa pada tarikh yang berbeza dengan negara-negara di Nusantara. Justeru, pada malam ganjil menurut kiraan Malaysia atau Saudi ?. Hal ini sukar diputuskan oleh para Ulama. Sudahnya, mereka menyarankan agar dihidupkan seluruh malam sahaja. Jawapan termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya. Wallahu alam.




Tarikhnya Berubah atau Tetap Setiap Tahun?

Sebahagian ulama mengatakannya bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadhan, manakala majoriti ulama termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie pula berpendapat ianya bertukar-tukar pada setiap tahun dan tidak kekal pada satu tarikh (Al-Majmu' 6/450).

Selain dari itu, berdasarkan dalil hadith al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan sabdaan Nabi SAW:-

أرى رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر ، فمن كان متحريها فليتحرها في السبع الأواخر

Ertinya : Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir" ( Riwayat al-Bukhari , no 1911 & Muslim)

Dari tiga tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramdhan adalah yang paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam (terutamany di negara Arab) dan ia juga dipegang oleh kebanyakan Sahabat Nabi SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka'ab ra bersumpah ia adalah malam ke dua puluh tujuh (di zamannya secara khasnya kerana beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadith yang menyebut:-

ليلة القدر ليلة سبع وعشرين

Ertinya : "Malam al-Qadar dalah malam ke dua puluh tujuh" (Riwayat Ahmad, Abu Daud, no 1386 )

Doa Terpenting Semasa Lailatul Qadar

Allah s.w.t pernah menegur manusia yang lupa doa untuk akhirat mereka di masa puncak kemakbulan doa. Anataranya seperti hari Arafah, sebagaimana dinyatakan dalam firmanNya :-

فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاَقٍ

Ertinya : Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat ( Al-Baqarah : 200 )

Jelas dalam ayat ini Allah s.w.t menegur manusia yang lupakan kebaikan akhiratnya.

Lalu Allah s.w.t mewartakan bentuk doa yang sepatutnya, iaitu yang merangkumi kebaikan dunia dan akhirat..dan dilebihkan 'portion' atau bahagian akhirat apabila di tambah "selamatkan dari api neraka". Beerti doa untuk bahagian akhirat perlu lebih dari dunia.

Lihat doa yang diingini Allah s.w.t :-

وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Ertinya : "Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: ""Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka" ( Al-Baqarah : 201 )

Di malam-malam akhir ramadhan ini target utama kita adalah mendapatkan keampunan Allah s.w.t. Inilah yang disebut dalam jawapan nabi s.a.w kepada Aisyah r.a :-

وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

Ertinya : "Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : " Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan"

Mestikah Mendapat Tanda ?

Sabda Nabi SAW :

من يقم ليلة القدر فيوافقها..

Ertinya : Barangsiapa yang menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya..." ( Riwayat Muslim)

Hadiith ini menyebabkan setengah ulama mengatakan bahawa setiap individu yang mendapat keberkatan malam al-qadar mestilah mengetahui berdasarkan hadith di atas.

Bagaimanapun, pandangan yang lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat kebaikannya, samada ia mengetahuinya atau tidak mengetahuinya, tanpa menafikan bahawa sesetengah individu diberi rezeki dan kelebihan oleh Allah untuk mengetahuinya melalui pelbagai cara termasuk mimpi, tanda menarik dan mungkin pelik dan sebagainya.

Tidak perlulah untuk solat malam di tepi pokok atau di hadapan baldi air, kerana ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku. Allah akan memberikan tandanya menurut kehendakNya.

Masa Berkat Berpanjangan atau Hanya Beberapa Saat?

Saya masih ingat, semasa saya berada di zaman kanak-kanak, tersebar info kepada kebanyakkan saya dan rakan-rakan ketika itu adalah :

waktu maqbul dan berkat ini beberapa saat sahaja. Jika terlepas maka saatnya rugilah sepanjang hayat.

Rupanya, ia hanya rekaan para pereka cipta sahaja yang tidak diketahui tujuan mereka. Hakikatnya, waktu berkat lagi makbul ini adalah luas sepanjang malam, ia telah disebutkan oleh Allah dengan jelas iaitu :-

سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Ertinya : Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar ( Al-Qadr : 5 )



Inilah yang diterangkan oleh Imam Al-Qurtubi di dalam kitabnya. (Al-Jami' Li Ahkam al-Quran, 20/134 )

Wanita Haid Terhalang Dari Berkatnya ?

Adakah wanita sedang haid terhalang dari keberkatan lailatul Qadar?. Sudah tentu jawabnya tidak, Allah s.w.t maha adil. Bagi wanita sedang uzur pelbagai amalan dan ibadah yang masih boleh dilakukan seperti :-
1) Berzikir
2) Berdoa
3) Membawa terjemahan Al-Quran serta memahaminya.
4) Mendengar bacaan Al-Quran oleh suaminya, adik beradik atau dari kaset.

Sebahagian ulama silam dan moden seperti Syeikh Prof. Dr Muhammad Abu Laylah ( Prof Syariah di Univ Al-Azhar) berpendapat mereka dibenarkan juga membaca al-Quran tanpa memegangnya (melalui hafazan), malah sebahagian yang lain seperti Fatwa Ulama Saudi pula membenarkan mereka membacanya melalui mashaf. Saya tidak ingin membincangkannya di sini. Sekadar memberikan idea dan keterbukaan di kalangan para ulama.

Semoga kita diberikan kekuatan ibadah dan keikhlasan di waktu malam tersebut.

Sumber:  http://zaharuddin.net/

2 Jul 2014

Durian penuh kenangan.



Hari sabtu sebelum puasa baru ni sempat beli sebakul durian. Sebakul dijual rm15. Bolehla untuk buat tempoyak. Dari sebakul durian dapatlah tempoyak penuh satu bekas camni. Bolehla buat tambah selera untuk bersahur. Kawan-kawan tau macamana nak buat tempoyak? Tempoyak ni legend kat Pahang, patin masak tempoyak, sapa tak tau kan? Tapi kat mana-mana orang dah kenal dan suka makan tempoyak ni rasanya. Macam-macam boleh buat dengan tempoyak ni. Tumbukkan cili jadi sambal tempoyak, ikan masak singgang cicah ulam timun, sure mak mentua lalu belakang pun tak nampak. 

Banyak kenangan dengan durian ni. Teringat masa kecik umur dalam 4 ke 5 tahun dengan arwah atuk. Atuk saya cina masuk islam, kawen dengan nenek teroka tanah kat pedalaman Pahang. Ingat lagi rumah lama atuk nenek kat tepi sungai. Mandi sungai dengan mak-mak sedara pagi, petang..sejuknya air sungai, gosok gigi guna ubat gigi colgate, masa tu jenama tu je yang ada. dekat-dekat rumah atuk ada pokok salak, petai, manggis dan hmmmm..mestilah ada pokok durian. Nostalgia sangat. Kadang-kadang sesekali termimpi-mimpikan rumah arwah atuk ni. Rumah papan, tiang tinggi, ada lambur buluh ( macam beranda la kot ). Pernah jatuh dari lambur sebab takutkan kambing..

Atuk ni sangat sayangkan saya. Dia tak faseh sangat cakap melayu. Kalau dia ke bandar jumpa cina dia cakap bahasa cina sampai bila balik kampung serak suaranya. Saya ada sepupu lelaki sebaya, tapi atuk lebih sayangkan saya. Dia selalu bawak balik saya balik ke rumahnya, dukung atas bahu atau kendong dalam kain warna biru. Saya ingat sangat. Bila rimas kena kendong dan tak tahan bau peluh atuk saya minta turun, atuk turunkan, tau jela budak kecik lepas ke tanah saya kutip bunga hutan, kutip daun, berenti tengok semut, siput, atuk akan kendong saya semula. Ya Allah, saya boleh ingat semua tu, walaupun umur saya masa tu baru 4 atau 5 tahun. Atuk meninggal masa saya berumur 6 tahun.

Bila dah sampai rumah atuk terutamanya kalau musim durian, atuk bukak durian 4, 5 biji letak depan saya. Saya makan sampai demam. Atuk bagi minum air guna kulit durian. Atuk bawak saya kutip durian keliling rumah atuk, sukanya saya bila jumpa durian.

Arwah mak pun ada nostalgia dengan durian ni. Masa tu ma baru kawen dengan abah. Abah saya bawak ma kutip durian, bila dengar durian jatuh abah tahan kepala dia atas kepala ma, takut kalau-kalau durian timpa kepala ma. Baru kawen, abah sayang dan baik dengan ma...

Masa ma bersalinkan adik bungsu saya, ma simpan kulit durian kering untuk buat berdiang. Orang dulu-dulu bersalin siap berdiang bagai. Orang Pahang panggil bersalai. Supaya ibu tak kesejukan. Sepatutnya guna kayu api. Tapi sape nak carikan kayu api, abah tak balik-balik, kami adik-beradik masih kecik. Bila abah datang dengan mak uda, mak uda tengok kat dapur penuh kulit durian kering, mak uda suruh buang. Tapi ma dah pesan kat saya, jangan buang sebab ma nak buat bersalai...

Bila ma balik duduk di Terengganu ma masih suka buat tempoyak. Ma pandai dah buat tempoyak belajar masa duduk kat pahang. Musim durian, rasanya durian dari Thailand kot..melambak-lambak, sebakul rm10. Ma cerita ma beli bawak balik dengan beca, singgah kat padang masjid bandar Kuala Terengganu tu, kopek kulit durian, bawak balik isinya aje, kulit tinggalkan kat tepi padang tu, ha ha..ada tukang sapu akan kutip.

Setiap kali balik Terengganu ma akan bekalkan tempoyak untuk bawak balik. Tempoyak terakhir ma masih ada saya simpan dalam freezer atas, sayang nak makan, tak taula sampai bila saya nak simpan....

Mak mentua plak lain kisahnya. Tapi rupanya orang negeri Sembilan pun pandai makan tempoyak. Mak mentua suka masak tempoyak pucuk ubi. Pucuk ubi racik halus-halus, campur petai, ikan bilis, santan dan ofkosla ada cili padi kan, dia masak banyak-banyak terutama kalau kami anak menantu balik ramai-ramai.

Pernah sekali saya balik, kebetulan mak mentua masak satu benda yang saya tak pernah makan. Nak tau apa? Bunga durian...bunga durian digoreng dengan bawang, cili api, ikan bilis..tapi sedap plak tu. Saya jakun tak penah makan, teragak-agak nak makan, bila try.." Eh, sedaplah mak." mak mentua jawab, " Ha tu la ekao tak tau, sodapkan.."

Saya perasan setiap kali ramadhan mesti banyak juga durian. Tapi sape nak makan durian masa bukak puasa kan. Tapi durian ni boleh buat macam-macam, buat lempuk durian, buat kuah durian cicah roti, bubur kacang durian, durian crepe....saya tak suka durian crepe, muak..boleh makan seketul je.

Panjang plak cerita durian ni, kalau ada yang sudi membacanya, terimakasihla yek.


1 Jul 2014

Apa itu IMSAK?

Imsak hanya dikenali di Asia Tenggara ( khususnya Indonesia ). Kemungkinan yang membuat ajaran imsak ini berniat baik agar kita ada waktu untuk bersiap diri melaksanakan solat dan mempersiapkan waktu terbitnya fajar. Namun dia lupa ajaran Islam yang diajarkan Rasulullah SAW sudah sempurna sehingga tidak perlu ditambah atau dikurang.

Akibatnya ramai umat hari ini menganggap batas akhir makan sahur adalah imsak. Sehingga menghilangkan ajaran Rasulullah SAW yang sebenarnya.

Dalil: "Jika salah seorang dari kamu mendengar azan sedangkan ia masih memegang  piring ( makanan ) maka janganlah ia meletakkannya hingga ia menyelesaikan hajatnya ( makannya )
[ HR Imam Ahmad, Abu Dawud, Hakim disahkan oleh Adz Zahabi ]

Ibnu Umar berkata: Alqomah bin Alatsah pernah bersama Rasulullah SAW, kemudia datang Bilal akan mengumandangkan azan, kemudian Rasulullah SAw bersabda : " Tunggu sebentar wahai Bilal, Alqomah sedang makan sahur..
[ Hadis ini dihasankan oleh Syeikh Albani ]

" Dan makan dan minumlah kamu hingga terang benang putih dan benang hitam ( iaitu fajar )"
QS AL Baqarah 2: 187

Jadi wahai para sahabatku, batas sahur ialah waktu fajar ( saat azan subuh/ fajar ), bukan IMSAK.

" Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah, dan apa yang dilarang bagimu maka tinggalkanlah."
( QS Al Hasyr  59: & )

.


29 Jun 2014

Ramadhan, ada yang kalah dengan nafsu.

Menjelang maghrib, esoknya ramadhan, syaitan sudah dibelenggu, terbukalah pintu-pintu syurga, terkunci rapat pintu neraka. Tiada lagi penghalang besar untuk manusia beramal soleh melainkan nafsunya sendiri. Ribuan peluang terentang, melalui jalan ketaatan , berganjarkan pahala yang dilipat gandakan.

Sayangnya, peliknya..bila tiba bulan Ramadhan, adalah cerita, berita terpampang di dada akhbar, tentang penangkapan yang memalukan, cerita orang tak puasa..

Sayangnya..sebab peluang dan jalan telah Allah berikan, tapi ada yang kalah dengan nafsu. Nafsu akan mendorong ke arah kejahatan, mata melihat yang haram, lidah untuk mengumpat, berbohong, menipu dan bermacam lagi, nafsu mendorong kaki tangan melakukan maksiat, mendorong hati untuk sombong, hasad dengki, gila dunia dan sebagainya.

Sebab itu pulang dari peperangan Badar yang bersejarah itu ( perang Badar berlaku dalam bulan ramadhan, dengan jumlah tentera islam yang cuma seramai 313 orang mampu mengalahkan tentera musyrikin yang berjumlah 1000 orang ), Rasulullah bersabda:
   
   " Kita baru pulang dari peperangan kecil untuk masuk ke suatu peperangan yang lebih besar."

Brtanya para sahabat, " peperangan apakah itu ya Rasulullah?"

   " Itulah peperangan hati yakni berperang melawan hawa nafsu."

Kubu-kubu dalam peperangan menentang hawa nafsu ialah:


  • Keyakinan yang padu pada Allah.
  • Istiqomah dalam beramal.
  • Tepat dalam beramal dan bertindak
  • Banyak melakukan amalan sunat seperti sembahyang sunat, puasa sunat, membaca Al Quran, berwirid, berzikir, berdoa dan sebagainya.
  • Sering mengenag-ngenang kebesaran Allah serta balasan Allah yakni azab neraka.
Berperang dengan nafsu tidak akan ada gencatan senjatanya. Senjatanya ialah taqwa. Mentaati segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya itu adalah salah satu jalan taqwa.





ihsan google.









Ramadhan datang lagi

Biasanya hari sabtu tak ramai orang shopping barang dapur, mungkin sebab hari sabtu kena bayar 20 sen untuk setiap plastik tambahan. Saya suka shopping hari sabtu sebab tak sesak. Tapi semalam, ramai betul orang, mungkin sebab masing-masing nak beli barang dapur sebagai persediaan menyambut Ramadhan.

Alhamdulillah, tahun ni saya dapat sambut 1 Ramadhan, selalunya ABC, dah 4 ke 5 Ramadhan baru dapat puasa. Kebetulan hari ni ahad, jadi bolehla kot special sikit, ada bubur , ada kuih, raikan anak-anak yang berpuasa. Diorang dok pakat tidur balik lepas subuh ni. Kalau ikutkan nafsu nak tidur tu, saya pun tumbang...

Saya rasala kan..belanja di bulan puasa ni makin bertambah. Yela..kena masak untuk 2 kali makan, walaupun saya masak sekali je, tapi kuantiti (caih! ayat ) bertambah, sebab saya masak lebih untuk sahur sekali. Kalau bulan tak puasa, hari kerja makan kat tempat kerja, so..masak untuk makan malam je, ikan 2, 3 ekor dengan sayur dah memadai. Ni boleh plak nak masak bubur, kuih bagai. Kalau bulan tak puasa, lepas makan takat minum air kosong je, eh..ni siap beli jus dua tiga botol lagi. Kalau bulan tak puasa, buah tu, sape nak makan baru kopek, ini..wah..siap berhidang buah atas meja sekali. Oh ye..sebut pasal makan buah ni kan, sebenarnya dalam islam ikut sunnah yang diajar oleh Rasulullah, buah ni kita makan sebelum makan benda-benda lain. Bukan makan selepas makan macam yang diajar oleh Yahudi tu.

Psssst..gambar kat atas tu gambar curi..

Okla kawan-kawan..di sini saya ingin mengucapkan selamat meraikan Ramadhan al mubarak, jom..kita pakat pi surau tarawih, tadarus, tambah sedekah sebab kebaikan yang kita buat di bulan ramadhan ni pahalanya diganda-gandakan, rugi wooo, kalau kita tak rebut, bukan selalu dapat.

Maaf zahir batin, jika ada antara bicara saya yang mengguris hati kawan-kawan.

26 Jun 2014

JALINKANLAH UKHWAH DAN REBUTLAH PAHALA IBADAH

Salam Ramadhan Al Mubarak.
Di kesempatan ini, marilah kita panjatkan rasa syukur
ke hadrat Allah yang telah
mempersaudarakan kita
kerana dengan belas ihsanNya
kita masih diberikan peluang
untuk menyambuk Ramadhan yang penuh barokah
Nah..di bulan yang menjanjikan pahala
 yang melimpah ruah ini
marilah kita bina kasih sayang
melalui ibadah yang ditunaikan.

Kemudian
Jadikanlah puasa yang menginsafkan kita
erti letih, lapar dan dahaga
membantu mereka yang malang

Muliakanlah waktu berbuka yang penuh nikmat itu
dengan menjamu si fakir
meraikan mereka sebagai tetamu
jadikanlah sedekah ihklas kita, tambahan zakat
moga dengannya
akan terbelalah nasib anak-anak yatim
menghiburkan mereka yang tak punya
rebutlah peluang selepas majlis tadarus
dan solat tarawih untuk menjalinkan persaudaraan
dengan tetangga setempat
jadikanlah segala ibadah yang mencegah kita
dari kemungkaran, menyintai kebenaran
berkasih sayang dan mendamaikan
mereka yang bermusuhan

Segala yang dilakukan ini adalah sunnah
Rasulullah SAW dan amalan yang diidam-idamkan
oleh para malaikat
membuahkan ganjaran berlipat-ganda
dan yang paling utama
mendekatkan kita dengan rahmatNya

Sabda Rasulullah SAW:
" Barangsiapa yang mengasihi sesama manusia
dia akan dikasihi Tuhannya"


2 hari menjelang Ramadhan....
 
 
 
 

21 Jun 2014

berjimat cara saya

Kot adalah yang boleh diikut. Sempena bulan Ramadhan yang akan tiba tak berapa hari je lagi. Macam saya, dengan anak seramai 5 orang ( yang ada di rumah sekarang 3 orang ) memang tak dapat apa kalau bawak setakat rm30 shopping kat Bazar Ramadhan. Keluarga sederhana macam saya ni, rm30 tu kalau beli lauk mentah boleh masak sekali untuk sahur. Orang berduit tak kesahla kan, rm30 tu cam rm3 je kot.

Saya jarang sangat membeli kat Bazar Ramadhan. Kalau pegi tu sebab nak cari murtabak, larling saya sukala sangat makan murtabak masa berbuka. Nak kena belajar ni.^^

Saya dah mula kumpul jus sunquick. Sepanjang Ramadhan itulah minuman kami semasa berbuka. Malas nak bancuh-bancuh gula, siap masak air gula, sesekali untuk bancuh air bandung. Takyah nak beli air kat Bazar Ramadhan. Kat rumah guna air bertapis, kat Bazar Ramadhan belum tentu guna air yang dimasak...Opsss..ada satu yang penting nak saya kongsikan, kepada penggemar ait tebu, berhati-hati yek, sebab tebu ni biasanya tak disimpan dengan sempurna, takut kena kencing tikus....

Kalau kuih-kuih tu, cukupla takat cekodok pisang, sesekali goreng nuget, bubur jagung, pengat pisang, oh ye...nak buat dadih, anak-anak suka dadih, sesuai jugak rasanya buat juadah berbuka, buat banyak-banyak untuk 3, 4 hari, senang, jimat..

Tak lupa nak buat home made ais krim, pun kesukaan anak-anak.

Anak-anak ni suka tengok macam-macam makanan terhidang atas meja. Tapi saya biasanya masak lauk 2 atau 3 jenis je, masak lebih untuk sahur sekali. Pastu adala buah, kurma ( wajib ada bulan puasa ni ), kuih-kuih sikit.

Kita ni mak-mak biasanya cuba masak apa yang anak-anak dan suami suka makan, tapi Alhamdulillah..larling saya tak cerewet, senang je nak bagi dia makan. Anak-anak pun takelah memilih sangat, cuma diorang tak suka makan sayur.

Hmmmm..ada ke kawan-kawan lain yang dah start merancang juadah berbuka secara berjimat-cermat macam saya. Mesti ada kan. Yelah..kita taknak ada pembaziran pulak di bulan yang berkat ni kan. Lepas puasa kang sakan pulak nak raya yerr, eshhhh..takdelah..raya pun sederhana je bagi keluarga saya. Yang kita nak cari hanyalah rahmat dan kasih-sayang Allah sahaja.

16 Jun 2014

Ada masalah nak latih anak berpuasa?

Lagi dua hari je puasa yang nak diganti, dulu awal-awal semangat je buat ganti isnin, khamis, tinggal dua hari tu, dalam hati kata, rileks la..takyah risau-risau, sempatnya. Amboi..yakinnya, macam la Izrail tu boleh tangguh-tangguh nak cabut nyawa awak...

Kawan-kawan ada masalah tak nak suruh anak-anak berpuasa? Tentu ada juga kan, anak saya Nadhrah Hannani awal-awal dah cakap..." tak makan boleh tahan lagi ibu, takut dahaga.." Betul juga kan, tambahan lagi sekarang ni tengah musim panas semula. Saya pun risau juga sebenarnya. Cuma lega sikit bulan puasa biasanya jadual waktu belajar dipendekkan, so..takla lewat sangat anak-anak balik. Mudah-mudahan Allah permudahkan, aminnn..

Camane yek kawan-kawan latih anak berpuasa? Saya dulu seawal umur 5 tahun saya dah latih diorang puasa. Masa tu saya tengah running bisnes tadika dan taska. Anak-anak tadika yang stayback saya latih puasa setengah hari. Minggu pertama puasa sampai pukul 2, pastu berbuka. Minggu ketiga dan seterusnya tambah lagi masa. Hadiahnya masa berbuka tu disediakan juadah yang lebih istimewa dari hari-hari biasa. Seronok diorang tunggu waktu berbuka. Ada yang semangat nak berpuasa hingga sampai waktu berbuka, saya bekalkan sedikit juadah untuk dibawa balik, tambah seronok diorang, parents plak sporting, petang-petang ada je buah tangan untuk saya sekeluarga yang saya kongsikan juga bersama para staf tadika/taska saya.

Bila dah terbiasa macam tu, dengan anak-anak pun saya buat camtu. Saya tak janjikan duit atau hadiah kalau mereka habis berpuasa, saya cuma janjikan juadah yang lebih istimewa dari hari-hari biasa. Tapi takdela sampai membazir.Selalunya memang tak membazir. Anak-anak saya suka terus berbuka dengan nasi. Kemudian pegi tarawih, balik tarawih sambungla makan dengan kuih ke, bubur ke..

Macam tu jugak kalau diorang berjaya puasa sebulan, saya tak biasakan dengan duit atau hadiah. Kalau saya bagi duit pun saya tak sebutkan itu sebagai ganjaran berpuasa. Anak-anak saya memang seronok berpuasa, bila berpuasa dapat tunggu waktu berbuka sama-sama, kemudian tarawih di surau, malam-malam di bulan puasa meriah la sangat. Tu yang tambah buatkan mereka seronok berpuasa.

Lain orang lain caranya kan. Takde salahnya kalau nak bagi duit atau hadiah, cuma pada saya jangan sampai anak-anak berpuasa kerana nak dapatkan ganjaran hadiah atau duit semata....

14 Jun 2014

30 persiapan menyambut Ramadhan.

Dalam dua minggu lagi, In Shaa Allah, umat islam seluruh dunia akan sama-sama menyambut kedatangan bulan yang sangat-sangat dinantikan, bulan penuh barakah, penuh rahmat, penuh pahala yang dilipat-gandakan, tapi tak wajar rasanya bagi kita kalau Ramadhan ini kita sambut untuk mengaut fadhilatnya semata-mata, sebaiknya kita raikan Ramadhan ini dengan penuh rasa kehambaan, bersyukur kepadaNya kerana diizinkan kita menyambut Ramadhan setahun lagi, agar bertambah rasa taqwa kita, tambah tawadhuk, tambah cinta kepadaNya, tambah rasa bersyukur yang akan terus mendorong kita ke arah kebaikan, In shaa Allah.

Semalam saya sempat dengar satu ceramah di IKIM yang menyebut antaranya...marilah kita sama-sama raikan ramadhan seolah-olah kita tiada ilmu tentangnya, dan kita buka kembali, cari, gali kembali ilmu-ilmu tentang Ramadhan, jadi jom kita.....

1)    Segera bertaubat dari semua dosa dengan menyesali dosa-dosa yang telah lalu, meninggalkan perbuatan dosa tersebut, dan bertekad untuk tidak akan mengulanginya kembali pada masa yang akan datang.

2)     Bertaubat atas kelalaian kita menghayati Ramadhan yang lalu. Kita akui kita gagal dalam membesarkan Ramadhan sedangkan ianya adalah ‘hadiah’ Allah untuk mendorong kita memenuhi siang dan malam Ramadhan dengan amal taqwa. Menyesallah atas kesilapan kita di tahun-tahun sebelum ini dan berazamlah dengan sebenar-benar azam pada tahun ini.

3)    Memperbanyak doa agar diberi umur panjang sehingga dapat bertemu bulan Ramadhan. Cemaskan hati kita takut-takut Allah tidak izinkan kita menyambut Ramadhan pada tahun ini. Jika itu berlaku habislah peluang kita mendapatkan kelebihan Ramadhan yang begitu banyak daripada Allah SWT.

4)    Memperbanyak puasa sunnah di bulan Sya’ban agar terbiasa secara jasmani dan rohani. Ada beberapa cara puasa sunat yang dianjurkan di bulan Sya’ban, iaitu: Puasa Isnin-Khamis setiap minggu ditambah puasa tiga hari (13,14 dan 15 Sya’ban) atau puasa Daud (selang sehari) atau puasa sepanjang Sya’ban.

5)    Mengakrabkan diri dengan Al-Qur’an dengan cara membaca Al-Quran secara istiqamah ditambah membaca tafsir atau terjemahan demi melakukan tadabbur terhadap isi Al-Qur’an. Amalan membaca Al-Quran sangat dituntut kerana Al-Quran akan menerangi rumah kita di dunia dan menerangi kehidupan kita di alam barzakh.

6)    Meresapi kelazatan solat malam dengan melakukan sekurang-kurangnya dua rakaat tahajud dan tiga rakaat witir di akhir malam.
 
7)    Meresapi kelazatan zikrullah dengan menjaga zikir setelah solat dan mengingati Allah sepanjang masa di waktu pagi dan petang, di waktu siang dan  malam.

8)    Mempelajari hukum-hukum fekah puasa Ramadhan secara lengkap, samada dengan mengikuti kuliah-kuliah pengajian atau dengan membaca bab puasa dalam kitab-kitab agama terutama mengenai persoalan Fardhu Ain.

9)    Mempelajari rahsia-rahsia, hikmah-hikmah, dan amalan-amalan yang dianjurkan atau harus dilaksanakan di bulan Ramadhan, dengan membaca buku-buku yang membahas hal itu. 

10)  Mendekati para ulamak dan ahli agama yang beramal dengan ilmu, yang ikhlas dalam menyebarkan ajaran Al-Quran. Carilah ulamak yang dalam diri dan keluarganya ada ciri-ciri yang boleh kita ikuti dan contohi. Mendekati mereka mendapat pertunjuk. Ilmu yang diajarinya adalah ilmu yang diberkati. Insya Allah kita akan mudah mengamalkan ilmu yang diajarkannya.

11)   Mempelajari buku-buku mengenai akhlak dan sejarah Rasulullah SAW dan salafus soleh yang membantu menyiapkan jiwa untuk menyambut bulan Ramadhan.

12)   Mengulang-ulang hafalan Al-Qur’an sebagai persiapan bacaan dalam solat Tarawikh, baik bagi calon imam maupun orang yang solat tarawih sendirian di akhir malam.

13)   Menyiapkan anak-anak dan isteri-isteri untuk menyambut kedatangan Ramadhan dengan mengingatkan para isteri untuk mengqada puasa. Menjelaskan hukum-hakam berkaitan fardhu puasa kepada mereka dan mengajak mereka untuk terus mendekatkan diri dengan Allah SWT.

14)   Membiasakan ahli keluarga untuk menjaga solat lima waktu, solat-solat sunnat dan solat malam (tahajud dan witir) dan membaca Al-Qur’an.

15)   Mengawal ahli keluarga agar tidak melakukan hal-hal yang melalaikan hati mereka seperti menonton TV, berada di pusat-pusat membeli belah, mendengar muzik yang melalaikan dan kegiatan-kegiatan lain yang tidak membawa manfaat di akhirat.
 
16)   Berusaha membanyakkan sedekah di bulan ini dan bulan Ramadhan. Bayarlah zakat fitrah sebaik masuk bulan Ramadhan untuk memudahkan agihannya kepada pihak yang memerlukan sebelum tibanya hari raya.
 
17)   Berusaha menghiburkan anak-anak yatim, fakir miskin, janda-janda, warga emas, para pelajar agama dan para guru agama (yang ikhlas tidak mengambil upah) dengan mengambil berat keperluan mereka. Jika perlu, hiburkann hati mereka supaya dekat dengan Allah - berilah tarbiyah, nasihat dan peringatan, berilah juga kasih sayang, bantulah makan minum, pakaian, kemudahan-kemudahan yang bersesuaian dan apa jua persiapan untuk mereka berhari raya.

18)   Berazam untuk membuka lembaran hidup baru kita dengan Allah SWT iaitu sebuah lembaran putih yang penuh dengan amal ketaatan dan bertekad untuk tidak lagi terjebak dengan perbuatan yang keji dan maksiat. Jadikan Ramadhan kali ini adalah Ramadhan terbaik dalam hidup kita.

19)   Memastikan hari-hari kita di bulan Ramadhan adalah hari-hari yang penuh dengan  terbinanya pelbagai rasa hamba - tidak seperti hari-hari kebiasaan kita di bulan lain yang penuh dengan kesombongan, kelalaian dan kemaksiatan. Ramadhan sepatutnya sangat membantu wujudnya rasa hamba di dalam hati kerana lapar dahaga itu adalah situasi biasa orang-orang susah, fakir dan hina. Jadilah hamba sehina-hina hamba di sisi Allah dengan merasakan tidak layaknya kita berlaku sombong selama ini. Hamba Allah tetaplah hina walaupun menjadi raja di atas muka bumi. Menjadi hamba itulah kemuliaan di sisi Allah. Sombong dan takabbur itulah kehinaan dan sebesar-besar kejahatan di sisi Allah.

20)   Meramaikan masjid dengan melakukan solat lima waktu secara berjama’ah di masjid terdekat dan menghidupkan ibadah-ibadah sunnat yang telah lama kita tinggalkan seperti: bertahan di masjid selepas solat Fardhu Subuh sampai terbitnya matahari untuk berzikir, iktikaf, sembahyang sunat Isyrak, Dhuha, tilawah Al-Qur’an dan sebagainya.

21)   Berusaha untuk hadir di masjid sebelum azan dikumandangkan. Maksudnya hendaklah bersegera ke masjid untuk mendapatkan saf awal; menunggu masuknya waktu dengan mengerjakan solat sunnat dan niat iktikaf dan lain-lain.

21)   Membersihkan puasa dari hal-hal yang merosakkan pahalanya, seperti bertengkar, senda gurau dan perbuatan-perbuatan yang melalaikan yang sekadar untuk mengisi waktu tanpa membawa manfaat akhirat sedikit pun (main ‘game’, menonton rancangan tv yang melalaikan, main catur dan lain-lain).

22)   Menjaga dan membiasakan diri dengan sifat mahmudah (terpuji) seperti sikap lapang dada, bertolak ansur, bekerjasama, bertolong bantu, penyabar, pemaaf dan sebagainya.

23)   Beramal soleh di bulan Ramadhan dan membanyakkan azam. Seperti; berazam untuk bertaubat, azam membuka lembaran hidup baru dengan Allah, azam memperbaiki akhlak, azam untuk berpuasa ikhlas karena Allah semata-mata, azam hendak mengkhatamkan Al-Qur’an, azam ingin solat tarawikh dengan penuh dan witir, azam membanyakkan amalan sunat, azam mencari ilmu, berazam membantu dan menolong sesama muslim yang memerlukan, azam memperjuangkan agama Allah dan lain-lain.
 

24)   Mengekang hawa nafsu dari kebiasaan-kebiasaan buruk dan keinginan hidup mewah, boros, kikir, dan hanya tertumpu untuk menikmati makanan-minuman yang lazat ketika berbuka dan sahur atau menyiapkan pakaian untuk berhari raya dan sebagainya

25)   Membiasakan lisan untuk mengatakan perkataan-perkataan yang baik dan bermanfaat; mencegahnya dari mengucapkan perkataan-perkataan keji, maksiat, mengumpat, mengadu domba dan perkataan-perkataan yang membawa kecelakaan di akhirat

26)   Mencegah hawa nafsu dari keinginan untuk melampiaskan kemarahan, kesombongan, penghinaan sesama manusia, kemaksiatan dan kezaliman

27)   Membiasakan diri untuk hidup sederhana, tenang, sabar dan redha dengan segala kesusahan dan kesulitan yang ditimpakan Allah.

28)   Berusaha meninggalkan budaya kehidupan yang melalaikan selama ini.

29)   Melakukan muhasabah / koreksi diri secara berterusan agar diri terus dapat diperbaiki terutama dari sudut amal ibadah, penghayatan rasa hati dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW

30)   Berusaha untuk berkasih sayang dengan saudara seagama tanpa mengira latar belakang dan darjat keturunan atau pangkat kebesaran. Juga berusaha membaiki hubungan sesama muslim. Jika renggang hendaklah dieratkan. Jika bermasalah hendaklah diselesaikan. Jika bermasam muka mestilah segera bermaaf-maafan. Mulakan hidup baru yang bebas dari ‘virus’ kebencian atau ketidaksenangan hati sesama muslim.

Wallahu a’lam

http://suaramuhajirin313.blogspot.com/2014/06/syaban-bulan-latihan-bertemu-ramadhan.html

1 Aug 2013

Rasa macam tak dapat apa-apa dari Ramadhan.....

Hari ni 1 ogos 2013 bersamaan 23 Ramadhan 1434H. Ramadhan sudah makin ke hujung, madrasah Ramadhan sudah hampir melabuhkan tirainya, pelajar Universiti Ramadhan sudah hampir ke hari graduationnya....

Entahlah... rasanya Ramadhanku kali ini masih sama seperti ramadhan yang lepas. Rasanya tiada apa yang bertambah dalam diriku ini, usahkan ibadah hati iaitu bertambahnya rasa kehambaan, ibadah lahir pun sangatlah kurang....

Bila membaca kisah para salafussoleh, malah Baginda SAW sendiri bagaimana hebatnya mereka meraikan Ramadhan dengan segala macam pesta ibadah seperti taddarus Al Quran, tahajjud malam, sedekah dan lain-lain, terasa sangat jauhnya ketinggalan diriku ini dalam mengejar rahmat Tuhan yang begitu banyaknya dalam bulan penuh berkat ini....

Ramadhan akan tetap pergi meninggalkan aku, betapalah aku telah mensia-siakanmu wahai Ramadhan, betapalah aku tak mampu mengisimu walaupun iblis dan syaitan telah dirantai, betapalah aku tak mampu mengalahkan nafsu yang bersarang di dalam dadaku....aku sedar betapa ruginya aku kerana mensia-siakan mu wahai Ramadhan....aku benci diriku kerana itu......

Wahai Tuhan, Wahai Yang Maha Belas Kasihan...tolonglah aku hambaMu yang serba lemah ini, tolonglah aku agar dapat mengisi walau cuma sekelumit dari Ramadhan yang masih berbaki ini. Aku tak mampu tanpa campur tangan dariMu, kasihani daku wahai Tuhan, kasihani daku, kasihani daku........

21 Jul 2013

Nasyid -Bimbang Ramadhan  

Bimbang Ramadhan

Tuhan mengapa aku ini
Aku berlainan dari orang lain
Setiap kedatangan Ramadhan-Mu
Mereka menyambut dengan gembira
Mereka kelihatan ceria

Tapi aku berlainan
Kedatangan Ramadhan penuh duka
Bukan aku benci bulan-Mu
Yang penuh rahmat dan berkat

Tapi aku benci diriku
Aku bimbang Ramadhan-Mu
Aku tidak mengisi sebaiknya
Aku rasa puasaku tidak sempurna
Ampunilah aku Tuhan

Aku rasa sembahyangku tidak sah
Terawih, bacaan AlQuranku
Tidak sampai ke mana
Tuhan itulah menyelubungi hatiku
Setiap kali kedatangan Ramadhan

Adakah satu kesalahan
Ampunkan aku Tuhan
Maafkanlah aku Tuhan
Kalau itu satu kesalahan
Pimpinlah aku betulkan sikapku
Aku mohon keampunan dari Mu Tuhan

http://www.owclondon.co.uk/wp-content/uploads/2012/07/Bimbang-Ramadhan.mp3

13 Jul 2013

Membazir amalan syaitan




MEMBAZIR AMALAN SYAITAN

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

Maksudnya:"Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."

[Surah al-Israa : 27]

Meraikan Ramadhan atau....

Harini baru masuk 4 Ramadhan. Seperti kebiasaanya aku akan ke pasar hari sabtu. Selalunya hari sabtu taklah ramai orang di pasar. Sebab tu aku suka pergi hari sabtu, nak pilih barangpun senang. Tapi harini di luar jangkaanku...

Naik pelik pun ada, ni nak masak untuk bukak puasa ke apa ni?Nampaknya Ramadhan adalah bulan meraikan nafsu, nafsu makan.... tak kira kat mana, kat pasar, kat bazar, yang untungnya para peniaga. Sampai akupun teringin nak meniaga bulan puasa camni, tapi aku ni bukan pandai sangat masak, takat lepas untuk keluarga sendiri je...

Mak aii! ayam yang biasa paling mahal pun rm6.80  tapi tadi sampai rm8.50!!! Tu harga kat pasar. Cuba pulak tengok kat      
kedai, dapatlah rm8 sekilo, belilah jugak sekor, si abang ada balik hari ni, kebetulan 9 Julai lepas besday dia, ingat nakla masak spesel sikit.

Apapun selamat meraikan Ramadhan buat semua, Ramadhan tetamu agung dari Allah yang sangat patut kita sambut dengan penuh rasa kehambaan, moga kita semua direzekikan rasa takut Allah dan rindu Rasul kerana rasa-rasa itulah yang patut ada pada kita sebagai seorang hamba, ameeen.

11 Jul 2013

Alhamdulillah

Nampaknya masuk hari kedua puasa ni anak-anak dah mula stabil. Balik sekolah petang tadi wajah Nadhrah Hannani dah cerah dan nampak bersemangat, Alhamdulillah.

Pagi tadi dalam pukul 4.30 masa bangun nak siapkan sahur hujan dah mula turun sampailah pukul 7.30 pagi. Hujan membawa rahmat, menurunkan panas suhu tengahari dan petang. Terimakasih Ya Allah, sesungguhnya Kau Maha Mendengar.

Harini sempat juga singgah ke blog masak-memasak, bestnya blog diorang, tak sedar dekat 3 jam aku kat situ, banding resepi kat sana,sini mana yang lebih simple dan praktikal, tapi tak taula bila nak buat, tunggu kakak dengan abang balik dari asrama kot.. sebab diorang yang pandai makan.

Bulan puasa ni dapat cuti sebulan, tu yang hari-hari ada benda nak update, kalau boleh nak buat blog yang best cam diorang, mudah-mudahan ada yang sudi membantu ye Lie..

10 Jul 2013

Dugaan Puasa

Tengah sibuk siapkan juadah berbuka, Nadhrah Hannani ( darjah 3 ) balik dari sekolah dengan juraian air mata...

Kesian juga, tapi dah 9 tahun, dulu darjah 2 boleh lagi guna trick ni, oklah dahaga, minumlah, tapi tak boleh makan ye, dia akur. Tinggal puasa 2 hari, tapi ni dah darjah 3....

Dengar je azan, dia terus capai botol air masak, ha kau, memang dahaga betul dia, hampir habis air tu. Sambil makan dia beritahu sebenarnya dia tak lapar, cuma dahaga je.

Esok macam manalah dia? Harini sekolah agama cuti sempena awal Ramadhan, esok dia kena sekolah pagi petang, moga-moga Allah bagi dia kekuatan...

Ramadhan kiriman Tuhan.

Nak layan tetamu biasa yang bertandang ke rumahpun aku tak mampu, inikan pula nak layan tetamu agung, mampukah aku?

Ramadhan kiriman Tuhan untukku.. 
Pandaikah aku menyambutnya? Menerimanya? Melayaninya? Beradabkah aku? Kurang ajarkah aku?

Sedih...

Ramadhan aku biasa-biasa sahaja..
Belum pernah kunikmati Ramadhan yang luar biasa...
Ramadhan bersama hati yang bercahaya..

Ramadhan ku tidak seperti mereka...
Hatiku kekal sama...
Tidak merubah apa-apa...

Tuhan...
Anugerahkanlah aku Ramadhan yang indah...
Kejahatan nafsu segera dirubah...
Kembalikan hati kepada fitrah...
Menyubur ketakutan kepada Allah...
Menambah rindu kepada Rasulullah...

Tolonglah aku Tuhan...
Kerana aku benar tidak mampu...
Tanpa campur tangan dariMu...

Nukilan Khaulah Attamimi

Hari ni 1 Ramdhan 1434H

Harini dah 1 Ramadhan. Cuaca pagi kat kawasan Semenyih ni sangatlah damai, tak panas tak mendung, dah kul 9.30 pagi tapi panasnya tak terik pun, terdengar pulak kicau burung berzikir... Subhanallah.

Sebenarnya Ramadhan kali ni sunyi sikit sebab kakak dah masuk asrama, abang dah masuk tahun kedua di asrama tapi bulan puasa ni ada kelonggaran boleh balik tiap minggu, tinggal yang kecik-kecik kat rumah (sorang darjah 5, sorang darjah 3, sorang 4 tahun) belum pandai demand nak makan apa. Yang darjah 5 tu ada nasi goreng kesukaan diapun dah cukup. Suami pulak asal ada nasi berlauk pun dah memadai. Jarang sangat beli kat bazar Ramadhan sebab selalu terkena beli entah apa-apa rasanya, baik masak sendiri, jimat, masak lebih boleh simpan sekali untuk sahur.

Baru jap singgah kat blog Dapur tanpa sempadan tu, amboi.. banyaknya resepi yang simple dan boleh try sendiri. Blog Cinnamon pun bagus, dapat resepi kek coklat yang sukat-sukat pakai cawan je, senang, sebab malas nak timbang-timbang, leceh.

Apapun moga Ramadhan kali ni kita direzekikan puasa roh, bukan puasa jasad je..

9 Jul 2013

Kenangan puasa

Rasanya semua orang ada kenangan manis berpuasa zaman kanak-kanakkan?
Aku mula belajar berpuasa semasa darjah satu lagi, tapi biasalah puasa budak-budak. Masa tu kelas aku menumpang di balai raya, nak ke situ kena lalu kebun getah, tapi kebun getah tu taklah semak, jadi selamat walaupun kena jalan sorang-sorang. Jadi selamat jugalah untuk aku curi-curi makan, he he...

Bukan makan apapun, kadang-kadang minum air paip sekolah, atau jambu batu, limau yang kulit hijau tu ( macam limau madu  )
Sampai rumah bila Ma tanya puasa tak? Dengan muka sedih konon letih jawab puasa. Yalahkan mana ada kenyang setakat makan sebiji limau. Time buka bukan main seronok lagi walaupun cuma makan nasi lauk ikan tempoyak ke, pucuk paku goreng. Bezanya buka puasa dulu dengan sekarang, dulu mana ada Bazar Ramadhan, bufe Ramadhan ke..

Tapi itulah antara kenangan terindah bersama Ma.
Baju Muslimah

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign