Asam Garam Kehidupan: kisah Rasulullah SAW

Nuffnang

Pages

Showing posts with label kisah Rasulullah SAW. Show all posts
Showing posts with label kisah Rasulullah SAW. Show all posts

9 Nov 2014

Hayati dia..untuk mencintai dia..

Pernah Saidina Umar Al Khattab ra berziarah ke rumah Baginda, merasa terharu kerana menyaksikan seorang kekasih Allah sedang berbaring di atas tikar yang merupakan susunan pelepah-pelepah kurma. Nampak bekas jalur tikar di tubuh Baginda yang mulia.

Di dalam rumah Baginda yang penuh barokah itu, tidak ternampak peralatan lambang kemewahan, hanya ada almari yang berisi segantang gandum kasar. Maka menangislah Saidina Umar dihadapan Baginda SAW, lalu Baginda bertanya," Apa yang menyebabkan engkau menangis wahai Umar?"

" Aku melihar para Kaisar dan Kisra serta raja-raja lain tidur di atas katil mewah beralaskan sutera, tetapi di sini aku melihat engkau tidur di atas tikar seperti ini,"

" Wahai Umar, tidakkah engkau sependapat denganku, kita lebih memilih kebahagiaan Akhirat sedang mereka memilih dunia," begitulah jawaban seorang hamba pilihan Tuhan. Luluhlah hati Saidina Umar mendengar jawaban daripada Rasulullah SAW itu.

Begitulah gambaran peribadi seorang yang sangat mencintai dan takut dengan Tuhan. Bukan hanya dalam keadaan susah beliau mengekalkan rasa kehambaannya tetapi dalam keadaan mewah dan kedudukan yang tinggi sekalipun Rasulullah tetap merasakan kehambaannya pada Tuhan. Lantaran itulah Baginda memilih kemiskinan daripada kemewahan.

Inilah lambang keseriusan hatinya dengan Tuhan. Begitu serius memperhambakan diri pada Tuhan. Serius dalam mencari cinta dan redha Tuhan.

Bagaimana sikap orang serius dengan Tuhan? Antaranya ialah dalam keadaan apapun, hati sentiasa cemas dan bimbang terhadap Tuhan. Kebaikan-kebaikan yang telah dilakukan dirasakan belum berbuat. Kalau berjaya dalam sesuatu tugas atau kerja, dirasakan bukan dari dia, tapi milik Tuhannya.

Di dalam diri tanamkan rasa kurang, rasa lemah, rasa tidak mampu, sehingga dari situ lahirlah benih-benih cinta terhadap Tuhan. Cinta Tuhan itu sangat diperlukan dalam kehidupan seorang insan.

9 Apr 2014

Mangkuk yang cantik, madu dan sehelai rambut



Rasulullah s.a.w., dengan sahabat-sahabatnya Abakar r.a, Umar r.a., Uthman r.a, dan Ali r.a, bertamu ke rumah Ali r.a. Di rumah Ali r.a. istrinya Sayidatina Fathimah r.ha. puteri Rasulullah s.a.w. menghidangkan untuk mereka madu yang diletakkan di dalam sebuah mangkuk yang cantik, dan ketika semangkuk madu itu dihidangkan sehelai rambut terikut di dalam mangkuk itu. Rasulullah s.a.w. kemudian meminta kesemua sahabatnya untuk membuat suatu perbandingan terhadap ketiga benda tersebut (Mangkuk yang cantik, madu, dan sehelai rambut).
Abu Bakar r.a. berkata, “Iman itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang beriman itu lebih manis dari madu, dan mempertahankan iman itu lebih susah dari meniti sehelai rambut”.
Umar r.a. berkata, “Kerajaan itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, seorang raja itu lebih manis dari madu, dan memerintah dengan adil itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut”.
Uthman r.a. berkata, “Ilmu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang menuntut ilmu itu lebih manis dari madu, dan beramal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut”.
‘Ali r.a. berkata, “Tamu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, menjamu tamu itu lebih manis dari madu, dan membuat tamu senang sampai kembali pulang ke rumaHnya adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut”.
Fatimah r.ha.berkata, “Seorang wanita itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, wanita yang berpurdah itu lebih manis dari madu, dan mendapatkan seorang wanita yang tak pernah dilihat orang lain kecuali muhrimnya lebih sulit dari meniti sehelai rambut”.
Rasulullah s.a.w. berkata, “seorang yang mendapat taufiq untuk beramal adalah lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, beramal dengan amal yang baik itu lebih manis dari madu, dan berbuat amal dengan ikhlas adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut”.
Malaikat Jibril a.s. berkata, “Menegakkan tiang-tiang agama itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, menyerahkan diri, harta dan waktu untuk usaha agama lebih manis dari madu, dan mempertahankan usaha agama sampai akhir hayat lebih sulit dari meniti sehelai rambut”.
Allah s.w.t. berfirman, ” Syurga-Ku itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik itu, nikmat syurga-Ku itu lebih manis dari madu, dan jalan menuju syurga-Ku adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut”.

http://mylah999.wordpress.com/page/3/

23 Feb 2014

Syaitan takut kepadanya..

Pada suatu ketika Rasulullah hendak masuk ke dalam sebuah masjid. Baginda melihat syaitan berdiri di pintu masjid. Lalu Baginda berkata, " Hai iblis, apakah yang kau buat di sini?" Iblis itu menjawab, " Aku hendak masuk ke dalam masjid dan mengganggu sembahyang orang itu, tapi aku takut kepada orang yang tidur berhampiran dengannya itu."

Kata Rasulullah SAW, "Hai iblis, mengapa engkau tidak takut kepada orang yang sedang bersembahyang itu? sedangkan dia dalam keadaan beribadah dan bermunajah kepada Allah, juseru engkau takut kepada orang yang sedang tidur itu, sedangkan dia dalam keadaan lalai?"

Iblis menjawab, " Orang yang sedang sembahyang itu jahil dan mudah diganggu, tapi yang tidur itu orang alim, sehingga kalau aku berhasil mengganggunya dan menjadikan sembahyangnya rosak atau batal, maka aku khuatir bila orang alim itu terbangun, dia akan segera membetulkan sembahyang orang itu."

Setelah itu Rasulullah pun bersabda:

" Tidurnya orang alim itu lebih baik daripada ibadahnya orang yang jahil."

25 Jan 2014

Asal-usul Syair Thola'al Badru 'Alaina

Pertama kali kedengaran di bumi Madinah semasa peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW bersama Saidina Abu Bakar As Siddiq  pada 12 Rabiul Awwal tahun 1 Hijrah bersamaan 28 Jun 622 Masihi.

Ketibaan Rasulullah pada bulan Jamadil Akhir tahun yang sama di Madinah, telah disambut oleh penduduk Madinah yang kebanyakkannya dari suku kaum Aus dan Khazraj dalam suasana yang penuh gilang gemilang sebagai meluahkan rasa rindu yang amat mendalam pada Baginda. Setiap bibir melafazkan kata-kata aluan dan pujian:

          Telah terbit bulan purnama pada kami,
          Daripada jalan yang bernama Wida'i
          Dan kami melihat cahaya ( Rasulullah SAW ) bersinar
          Lalu cahaya itu menerangi bumi.

          Kami wajiblah mengucapkan syukur,
          Selama ada orang menyeru ke jalan Allah
          Wahai Rasul yang diutuskan kepada kami
          Engkau membawa panduan untuk ditaati.

          Dan kesukaan dan kegembiraan telah tiba,
          Wahai Nabi yang mempunyai ajaran yang memuaskan
          Engkau penolong kami sekelian
          Wahai Nabi yang mempunyai perangai yang elok.

Sejak itu kata-kata pujian tersebut, malah diolah dengan kata-kata yang lebih 'puitis', sering dinasyidkan ketika menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Bayarannya Sebuah Rumah di Syurga

Ketika Rasulullah SAW mula-mula tiba di Madinah, perkara pertama yang dilakukannya ialah mendirikan masjid- Masjid Nabi. Ia didirikan di atas tanah seorang penduduk dari golongan Ansar. Ketika Rasulullah hendak memperbesarkan masjid itu, Baginda meminta tuan tanah itu memberikan tanahnya. Tukarannya ialah sebuah rumah di syurga untuknya.

Orang itu keberatan. Lalu datang Saidina Uthman bin Affan membawa 10,000 dirham dan membayar harga tanah itu. Saidina Uthman lalu menyerahkan tanah itu kepada Rasulullah SAW dan berkata, " Ya Rasulullah, belilah tanah ini dari saya."

Lalu dibeli oleh Baginda dengan harga sebuah rumah untuk Saidina Uthman bin Affan di dalam syurga. Nilai wang pada masa itu, 20 dirham bersamaan dengan seekor kibasy yang baik atau 10 dirham, seekor kambing yang baik.

Pisahkan suami isteri kerana......

Tentera muslimin berarak pulang meninggalkan gelanggang perang Badar. Kemenangan di pihak mereka. Paling gembira adalah Rasulullah SAW sendiri.

Meskipun begitu, ada juga di kalangan kaum muslimain yang berduka di celah-celah kegembiraan yang menerangi Madinah, ibu kota Islam. Beliau ialah Zainab, puteri Rasulullah SAW sendiri yang ketika itu berada di Mekah.

Zainab dilanda kesedihan apabila mengetahui suaminya telah menjadi tawanan perang Badar. Suaminya bernama Abul Ash dan ketika itu beliau belum memeluk Islam lagi. Pun begitu kasih-sayang Zainab terhadap suaminya tetap subur.

Keinginan untuk menebus suaminya terus melonjak. Namun bila mengenangkan yang menawan suaminya ialah Rasulullah SAW sendiri, Zainab menjadi serba-salah. Antara ayah dan suami...
Akhirnya Zainab akur pada tuntutan kasihnya pada sang suami, dia mahu menebus Abul Ash. Kalung pemberian ibunya, Siti Khadijah dijadikan penebus untuk suaminya.

Rasulullah SAW sungguh terkejut menerima kiriman kalung dari Mekah itu. Baginda kenal sungguh dengan kalung pemberian isterinya untuk puteri mereka. Hati baginda diragut kesayuan yang dalam...

Dengan hati yang berat, Rasulullah terpaksa menerima tebusan itu kerana ia dikirim dari Mekah. Tebusan itu akan membolehkan Abul Ash kembali kepada Zainab. Ketika peristiwa itu berlaku, turun ayat Al Quran yang bermaksud:
            " Wahai orang Mukmin! Apabila datang kepadamu wanita beriman yang ikut hijrah maka ujilah ( keimanan) mereka. Allah lebih tahu dengan keimanan mereka. Maka jika kamu tahu mereka beriman, tidak boleh lagi mereka kembali kepada ( suami mereka ) yang kafir. Mereka tidak halal lagi bagi mereka."
                                                                                                                   Mumtahanah: 10

 Dengan turunnya ayat itu, bermakna Zainab terpaksa berpisah dengan suaminya. Demi melaksanakan perintah Allah, Rasulullah memberitahu hal tersebut kepada Abul Ash meskipun hatinya terlalu berat untuk berbuat demikian. Abul Ash kembali ke Mekah dengan hati yang hamcur luluh. Pembebasan itu dirasakan sudah tidak memberi erti apa-apa lagi.

Rasulullah menghantar utusan ke Mekah untuk mengambil puterinya. Zainab menerima perintah yang datang dari ayahnya itu meskipun terpaksa melawan perasaan yang maha hebat.

Beberapa waktu selepas itu Zainab telah memberi perlindungan kepada Abul Ash yang masuk ke Mekah secara senyap-senyap. Perbuatan Zainab itu akhirnya dapat dihidu oleh Rasulullah. Baginda mencela perbuatan itu kerana ia boleh menimbulkan fitnah di tengan masyarakat. Namun Baginda faham perasaan puterinya kerana mereka dipisahkan dalam keadaan yang masih berkasih-sayang. Kata nabi:
          " Wahai puteriku, muliakanalah tempatnya. Engkau tidak halal lagi baginya dan dia haram daripada mendekatimu."

Abul Ash disuruh pulang ke Mekah. Sebelum pulang dia ditanya, adakah dia mahu beriman tetapi dia menolak. Tiba di Mekah Abul Ash membahagikan semua harta yang dibawanya kepada mereka yang memerlukan.

          " Ada sesiapa lagi yang belum memilikinya? tanya Abul Ash setelah semua hartanya dibahagi-bahagikan.
          " Kalau tidak, dengarlah baik-baik, hari ini aku mengucapkan bahawa Tiada Tuhan yang patut disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Jangan sesiapa lagi mencariku setelah aku Islam." ucap Abul Ash dengan terang dan lancar. Hatinya kini bulat.

Berangkatlah Abul Ash ke Madinah dengan membawa iman yang kental di dada. Penduduk Madinah menyambut kedatangannya dengan gembira, terutama bagi Zainab dan Rasulullah SAW sendiri. Ikatan suami isteri yang putus kini disambung semula mengikut hukum syariat.



24 Jan 2014

Indahnya cara makan Rasulullah

Rasulullah SAW

https://fbcdn-sphotos-d-a.akamaihd.net/hphotos-ak-prn2/1383584_603360873036092_10132065_n.jpghttp://peribadirasulullah.wordpress.com/

18 Jan 2014

Biodata Rasulullah SAW

Biodata Rasulullah saw. - Manusia Agung Sebaik-baik Kejadian Tuhan!!
Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masehi
                    (dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah            
                     Abrahah yang menyerang kota Kaabah).
Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.
Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf.
Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman.
                                 Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW).
Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).
Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah.
                           Suaminya bernama Abu Kabsyah).

USIA 5 TAHUN
Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.

USIA 6 TAHUN
Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa ‘ (sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah).
Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN
Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.
Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN
Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘ Sirah ‘ , jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun.
Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja. Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul ‘; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.

USIA 25 TAHUN
Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah. Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah. Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
Mas kahwin Baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN
Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah.
Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Makkah.
Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘ Hajarul-Aswad ‘ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN
Menerima wahyu di gua Hira ‘ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

USIA 53 TAHUN
Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.
Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

USIA 63 TAHUN
Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11Hijrah/ 8 Jun 632 Masihi.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW
Khadijah Binti Khuwailid.
Saudah Binti Zam’ah.
Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).
Hafsah binti ‘ Umar (anak Saidina ‘ Umar bin Al-Khattab).
Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.
Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).
Zainab Binti Jahsy.
Maimunah Binti Harith.
Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.
Zainab Binti Khuzaimah (digelar ‘ Ummu Al-Masakin ‘ ; Ibu Orang Miskin).

ANAK-ANAK RASULULLAH SAW
Qasim
Abdullah
Ibrahim
Zainab
Ruqaiyah
Ummi Kalthum
Fatimah Al-Zahra ‘

ANAK TIRI RASULULLAH SAW
Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).

SAUDARA SUSUAN
Halimah Al-Saidiyyah
Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
Abdullah bin Harith bin Abdul ‘ Uzza
Syaima ‘ binti Harith bin Abdul ‘ Uzza
‘Aisyah binti Harith bin abdul ‘ Uzza

BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW
(ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)
Al-Harith
Muqawwam
Zubair
Hamzah ***
Al-Abbas ***
Abu Talib
Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza)
Abdul Ka ‘ bah
Hijl
Dhirar
Umaimah
Al-Bidha (Ummu Hakim)
Atiqah ##
Arwa ##
Umaimah
Barrah
Safiyah (ibu kepada Zubair Al-Awwam) ***
*** Sempat masuk Islam.
## Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.

Mari kita hayati Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud) ini :
“Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga.” (Riwayat Al-Sajary daripada Anas). Ingatlah bahawa sistem hidup Islam itulah sunnah Baginda saw.

Nabi Muhammad SAW - Manusia agongNABI MUHAMMAD S.A.W. secara lahiriahnya, begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda.

Di antara kata-kata apresiasi para sahabat ialah:Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah saw.
Aku melihat cahaya dari lidahnya.
Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari terbit.
Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.
Rasulullah umpama matahari yang bersinar.
Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.
Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya spt bulan purnama.
Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona.
Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat.
Wajahnya seperti bulan purnama.
Dahi baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya.
Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.
Mata baginda hitam dengan bulu mata yang panjang.
Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut.
Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali pertama kali melihatnya.
Mulut baginda sederhana luas dan cantik.
Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.
Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.
Janggutnya penuh dan tebal menawan.
Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca.
Warna lehernya putih seperti perak, sangat indah.
Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.
Rambutnya sedikit ikal.
Rambutnya tebal kdg-kdg menyentuh pangkal telinga dan kdg-kdg mencecah bahu tapi disisir rapi.
Rambutnya terbelah di tengah.
Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat.
Dadanya bidang dan selaras dgn perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih drpd biasa.
Seimbang antara kedua bahunya.
Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya, jarinya juga besar dan tersusun dgn cantik..
Tapak tangannya bagaikan sutera yang lembut.
Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik.
Kakinya berisi, tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.
Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
Warna kulitnya tidak putih spt kapur atau coklat tapi campuran coklat dan putih.
Warna putihnya lebih banyak.
Warna kulit baginda putih kemerah-merahan.
Warna kulitnya putih tapi sihat.
Kulitnya putih lagi bercahaya.
Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh.
Badannya tidak gemuk.
Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran sederhana lagi kacak.
Perutnya tidak buncit.
Badannya cenderung kepada tinggi, semasa berada di kalangan org ramai baginda kelihatan lebih tinggi drpd mereka.

KESIMPULAN
Nabi Muhammad sa.w adalah manusia agung yang ideal dan sebaik-baik contoh
sepanjang zaman. Baginda adalah semulia-mulia insan di dunia. Kita mestilah menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola dan contoh ikutan. Banyakkan berselawat ke atas Baginda SAW. Semoga baginda memberikan syafa’atnya kepada kita semua di akhirat, insyaAllah.

Marilah kita mencintai dan membela Allah dan RasulNya, kejarlah kasih sayang dan keredhaan Allah dan Rasul. Larilah dari mencari cinta manusia kepada menagih cinta dari yang layak memberi cinta. Kita jadikan Allah dan Rasulullah saw sebagai matlamat kita bersama nanti kita akan disatukan diatas saf dan jalan kebenaran di akhir zaman. Usahlah kita gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangi kita di dunia. Tapi gelisah dan bimbanglah takut dibenci Allah kerana jika itu berlaku tiada lagi yang akan mengasihi kita di akhirat. Ya Allah selamatkanlah kami!!!
Posted by suaramuhajirin at 03:38

17 Jan 2014

Kecintaan para sahabat

Antara kejayaan Rasulullah ialah berjaya mempersaudarakan para sahabat seolah-olah mereka adik-beradik satu keturunan, dari satu ibu dan ayah, bersahabat kerana Allah Taala, ikatan amat kuat sekali, diikat oleh satu akidah. Tidak ada kepentingan dunia, mereka bersahabat kerana iman, ukhwah, akhlak dan kerana ketaqwaan.

Sabda Rasulullah SAW:

 Maksudnya: " Cinta kasihku terlimpah di atas mereka yang berkasih- sayang keranaku. Akan Ku naungi mereka di bawah naungan Arasy pada hari Kiamat yang mana pada hari itu tiada naungan melainkan naungan Ku."
                                                                                                          ( riwayat Abiddunya

Lanjutan dari kisah mempersaudarakan para sahabat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ini, Baginda sendiri mengambil Saidina Ali krw sebagai saudaranya. Baginda juga mempersaudarakan sahabat dari golongan Muhajirin dan Ansar. Sahabat dari golongan Ansar berkata:

" Harta benda kami ( tanah dan kebun tamar ) kami akan bahagi-bahagikan di antara mereka."

Apabila sahabat Ansar memungut hasil kebun kurma, mereka akan membahagikannya kepada dua bahagian. Salah satu bahagian lebih banyak dari bahagian yang lain. Bahagian yang sedikit diletakkan pelepah-pelepah kurma di bawahnya supaya kelihatan sama banyak dan bahagian itu mereka ambil. Sementara itu bahagian yang sememangnya banyak diberikan kepada sahabat-sahabat Muhajirin. Begitulah yang dilakukan demi menjaga persahabatan.

Hal ini berterusan sehinggalah Islam semakin kuat dan mendapat harta yang banyak lalu harta itu ditawarkan kepada sahabat-sahabat Ansar, tetapi mereka menolak sambil berkata, " Tidak, melainkan tuan membahagi-bahagikannya sama rata dengan saudara-saudara kami ( Orang Muhajirin )."

Kita? bersahabat kerana apa? kenapa kita berkawan tak pernah kekal? Antara sebabnya:
1. Berkawan kerana ada kepentingan peribadi, mungkin kerana kekayaan, pengaruh, kedudukan...
2. Berkawan sebab seagama, sebangsa, sekaum, sekampung, senegeri dan lain-lain, terutama bila sama berjumpa di negara asing,
3. Kawan/rakan kongsi- bila rakan kongsi pecah amanah, hilanglah kawan.
4. Kawan seasrama, sekolej, sepengajian, habis pengajian kawan pun hilang....( mungkin ada yang kekal berhubungan, tapi tak ramai )



11 Jan 2014

Macamana super hebat Rasulullah?

Rasulullah diutuskan untuk semua manusia, tapi awalnya baginda diutus kepada bangsa Arab. Mengapa? Rasulullah diutus kepada bangsa Arab yang mundur, tidak tahu menulis, tidak tahu membaca serta jauh dari ilmu dan tamaddun. Sudahlah begitu, mereka jahat, keras hati, pengotor, berpecah belah, suka berkelahi, bergaduh dan berperang. Selalu berlaku, dengan sebab seekor unta, mereka berperang atau bermusushan berpanjangan sampai beratus tahun. Kalau kerana bangsa dan negara, munasabah juga. Ini kerana seeekor unta, berlaku permusuhan kepada anak, cucu, cicit, oiut dan generasi seterusnya sehingga lahirnya Rasulullah SAW. Di waktu itu juga sudah ada dua bangsa yang maju dan bertamadun, yang menguasai Timur dan Barat iaitu Rom dan Parsi. Rom dan Parsi telah menjajah bangsa Arab. Dalam keadaan begitu, Allah utuskan Rasul kepada bangsa Arab yang lemah dan dhaif seperti digambarkan tadi.

Mengapa Allah utuskan Rasulullah SAW kepada bangsa Arab dan bukan kepada bangsa Rom dan Parsi? Hikmahnya, kalau Rasulullah diutus kepada bangsa Rom dan Parsi yang sudah maju, bertamadun, pandai membaca dan menulis, sejarah akan kata,patutlah pemimpin Rasulullah cepat maju, cepat bertamadun dan cepat menguasai dunia sebab Rom dan Parsi memang bangsa yang maju, pandai dan bertamadun. Nanti tidak nampaklah kebesaran Allah, Rasulullah SAW dan Islam.

Rasulullah SAW diutus kepada bangsa Arab yang jahat, keras hati, tidak tahu membaca, tidak tahu menulis, tidak bertamadun, berpecah belah tetapi baginda boleh selesaikan masalah-masalah itu dalam tempoh 23 tahun. Ini tentulah luar biasa. Bangsa Arab itu telah berjaya diubah menjadi bangsa yang pandai, bertaqwa, bersatu padu, berkasih sayang, bekerjasama, dikasihi manusia. Maka terlihatlah luar biasanya Tuhan, Rasulullah SAW dan Islam.

Kisah Kewafatan Rasulullah versi Syiah!


10 Jan 2014

Rasulullah..super hebat

Pernah tak kita berfikir, mengkaji-kaji kenapa Rasulullah diutuskan kepada kaum Arab dan bukannya kepada bangsa Rom dan Parsi?

Siapa nak join kat sini, bagi pendapat, pandangan, komen tentang entri ringkas saya di atas? sila.. sila..moga menambah kecintaan dan rindu kita kepada Baginda.

5 Jan 2014

Rindunya....

Alhamdulillah..Allah izinkan kita berjumpa lagi di sini, rindu sangat dengan kzakie, knor cinnamon, farah, IM, Na..dan lain-lain ( minta maaf, sekadar menyebut beberapa nama ), saya agak sibuk menjelang buka sessi tadika 2014 ni, ditambah dengan sedikit masalah internet,baru hari ni dapat update..tapi takdelah yang happening sangat pun nak citer kat sini, sekadar biasa-biasa aje..

Sedar tak sedar kita dah masuk bulan Rabiul awwal, bulan di mana lahirnya seorang manusia agung yang begitu besar jasanya kepada kita semua, yang sangat menginginkan keselamatan dunia akhirat kepada semua umatnya, kerana kemuliaan dan kecintaan Tuhan kepadanya, kita yang bergelar umatnya mendapat keistimewaan sehingga didahulukan memasuki syurga, mendahului umat-umat yang lain. Tak cinta lagikah kita kepadanya? Tak rindukah kita kepada insan agung ini? sedangkan dia hingga ke hujung nyawapun masih menagih keselamatan untuk kita? Alangkah tak mengenang jasanya kita, jahatnya nafsu yang sedang bersarang di dalam dada kita ini, sehingga sanggup melupakan baginda, sedangkan beliau adalah kecintaan Tuhannya...

Sempena bulan Rabiul Awwal ini, saya akan cuba memaparkan kisah-kisah berkaitan dengan Rasulullah, semoga dapat kita ambil iktibar dan menambah kecintaan dan rindu kita terhadap baginda..

Di zaman itu, ada seorang pengemis berbangsa Yahudi yang buta matanya, terlalu anti dia kepada Rasulullah SAW. Setiap hari, apabila ada sesiapa mendekati beliau pengemis yahudi buta tersebut pasti akan menyebarkan kata-kata kesat yang menghina Rasulullah dan mengajak orang ramai agar menjauhi Baginda, katanya, " Wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, jika kalian mendekatinya, kalian akan dipengaruhinya."

Akan tetapi, setiap pagi Rasulullah SAW pasti ke pasar bertemu dengan yahudi buta tersebut dengan membawa makanan. Si buta seperti biasa akan mencerca Rasulullah tanpa mengetahui orang yang sedang berdepan dengannya iu adalah Rasulullah, dan seperti biasa Baginda tetap bersabar dan berdiam diri sambil menyuap makanan kepada si buta. Perkara ini menjadi rutin Baginda sehinggalah Baginda wafat, pulang menemui cintanya..

Pada suatu hari Saidina Abu Bakar ra yang menjadi Khalifah pertama umat Islam berkunjung ke rumah anaknya Aisyah rha dan bertanyakan kepada anaknya, sekiranya masih ada SUNNAH Rasulullah yang belum ditunaikan oleh beliau. Aisyah memaklumkan ayahnya telah melunaskan segala sunnah Rasul kecuali satu, iaitu memberi makanan kepada si yahudi buta tersebut.

Keesokan harinya, Saidina Abu Bakar ra pergi ke pasar, bertemu si buta tersebut dan membawa makanan. Ketika Abu Bakar mendatangi dan menyuap makanan kepada si buta tersebut, si buta menjadi marah dan bertanya siapa yang mendekatinya, kerana beliau perasan bahawa yang mendatanginya pada hari tersebut bukanlah orang yang selalu bertemunya sebelum ini.

Pengemis:  " Siapakah kamu?"

Abu Bakar ra :  " Aku yang biasa menemui mu,"

Pengemis: " Bukan! engkau bukan orang yang biasa mendatangiku, apabila dia dating kepadaku, tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tetapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya sebelum diberikan kepadaku,"

Saidina Abu Bakar tidak dapat menahan air matanya lalu menangis, " Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu, aku adalah salah seorang sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ketahuilah olehmu, beliau ialah Muhammad."

Alangkah terkejutnya yahudi buta tersebut, malah beliau turut menangis mendengar penjelasan Saidina Abu Bakar, " Benarkah demikian?  selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, tetapi dia tidak pernah memarahiku sedikit pun, dia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, dia begitu mulia...."

Lantaran terkejutnya dia beliau jatuh dan meninggal dunia, tetapi sebelum itu dia sempat melafazkan syahadah di hadapan saidina Abu Bakar, Islamlah dia..

 * sayu, sebak di dadaku....*

4 Oct 2013

PERTEMUAN NOSTALGIK.

Peperangan Hunain baru saja usai. Kemenangan yang pada awalnya hampir menyebelahi pihak musuh telah berubah haluan. Setinggi-tinggi pujian dan kesyukuran pun dipersembahkan ke hadrat Allah, tanda terima kasih yang tidak terhitung.

Seorang wanita datang kepada Rasulullah SAW. Berkata wanita itu kepada baginda, " Wahai Muhammad, aku Syaima', saudara perempuan engkau."

Demi mendengar nama Syaima, air muka Rasulullah tiba-tiba berubah. Hatinya diusik sayu. Fikirannya meniti lereng-lereng kenangan yang pernah dilewatinya lebih separuh abad yang lalu.

Rasulullah tunduk hiba. Apatah lagi bila mengetahui Syaima' menjadi tawanan perang kaum Muslimin. Sungguh-sungguh menyedihkan hati Baginda.

Titis-titis air mata yang bertakung di bingkai mata Rasulullah kian memberat, akhirnya melimpah dan menuruni pipi Baginda yang putih bersih, jatuh satu persatu.

Syaima' adalah puteri Halimatus Saadiah, ibu susuan Rasulullah, ini bermakna dia juga adalah saudara sepersusuan baginda. Syaima' juga turut membantu ibunya menjaga dan mengasuh Rasulullah sejak bayi hingga baginda melangkah ke alam kanak-kanak.

" Jika engkau suka, marilah tinggal bersamaku," ujar Rasulullah. " Tapi jika engkau ingin kembali kepada kaummu, aku akan melepaskanmu dengan baik," Sambung baginda.

" Aku ingin kembali kepada kaumku," balas Syaima'. 

Rasulullah tersenyum cuma, meskipun hatinya begitu terharu. Rasa kasih sayang dan hormat yang tertanam di hatinya membuatkan baginda terlalu ingin untuk membuat jasa kepada Syaima' sepertimana Syaima' pernah membuat jasa kepadanya.

Tidak lama selepas Syaima' beredar, Rasulullah didatangi oleh seorang wanita yang telah lanjut usianya. Rasulullah menyambut kedatangan itu dengan hati yang masih belum damai, bahkan bertambah-tambah kesayuannya. Wanita itu adalah Halimatus Saadiah.

Rasulullah memimpin Halimah masuk ke khemah. Badinda menghampar kain ridaknya untuk diduduki oleh Halimah. Baginda melayannya dengan penuh penghormatan, sayu dan gembira datang silih berganti.

Sungguh tidak disangka, perpisahan yang sudah sekian lama terjadi masih ada pertemuan di hujungnya. Segala-galanya kehendak Allah.

Sesungguhnya pertemuan yang berlaku ketika anak dan ibu sudah mencecah ke usia tua, terasa begitu mengharukan sekali. Kerana itu pada kesempatan sedikit yang masih terluang, Rasulullah berusaha membahagiakan ibu susuannya itu sambil melepaskan rindu yang sekian lama terpendam.

27 Sept 2013

RASULULLAH YANG PEMURAH. Suka Menerima, Suka Membalas

* Rasulullah SAW berhasrat untuk membeli seekor unta daripada seorang sahabat tetapi sahabat menolak. Baginya unta itu elok dihadiahkan saja. Rasulullah tetap berkeras untuk mendapatkan unta tersebut dengan cara membeli. Setelah tawar-menawar, akhirnya si sahabat pun sanggup untuk menjual untanya. Apabila unta yang baru dibeli sudah berada di hadapan rumahnya, Baginda segera memanggil sahabat yang membawa unta itu. Berkata Rasulullah, " Ambillah unta ini untuk kamu." Rasulullah pun membayar harga unta itu.

* Seorang lelaki datang meminta sesuatu daripada Rasulullah. Baginda memberinya kambing yang banyak, sehingga memenuhi jalan di antara dua bukit. Lelaki itu kembali kepada kaumnya dan berseru, " Masuklah kamu semua ke dalam agama Islam, sesungguhnya Muhammad apabila memberi dia seperti orang yang tidak takut miskin."

* " Letakkan ia di masjid." Kata Rasulullah ketika menerima wang dari Bahrain. Rasulullah menunaikan sembahyang tanpa sempat menoleh kepada wang-wang itu. Selesai sembahyang, wang-wang itu pun dibahagi-bahagikan. Rasulullah bangun setelah wang itu tiada berbaki lagi.

* Suatu ketika Rasulullah SAW gagal memenuhi hajat seorang sahabat yang datang meminta sesuatu daripadanya. Kata Rasulullah, " Aku sedang tidak punya apa-apa. Tapi kamu pergilah ke pasar dan belilah keperluanmu itu atas namaku, nanti akan kubayar harganya."

* Rasulullah memakai baju yang dihadiahkan oleh seorang wanita. Suatu hari Baginda ditegur oleh seorang sahabat, " Wahai Rasulullah, alangkah cantiknya baju ini. Berikanlah kepadaku." Rasulullah pun memberikan baju itu kepada sahabat yang meminta.

* Baginda mengingatkan umatnya melalui sabdanya: " Orang yang pemurah dekat kepada Allah, dekat kepada manusia, dekat kepada syurga. Dan orang yang bakhil jauh daripada Allah, jauh daripada manusia, jauh dari syurga, dekat ke neraka."

* " Ibuku meminta daripada tuan sehelai gamis." Kata seorang budak kepada Rasulullah SAW. Rasulullah menjawab, " Pulanglah dulu, apabila gamis itu ada nanti, kamu datnglah lagi kemari." Budak itupun pulang. Tidak lama kemudian, budak itu datang lagi.
 " Ibuku meminta gamis yang tuan pakai ini," Kata budak itu. Rasulullah masuk ke biliknya dan menanggalkan gamis yang sedang tersarung di tubuhnya lalu memberikannya kepada budak itu.

* Ya Allah, izinkan daku mencintai kekasihMu ini, anugerahkanlah kepadaku rasa rindu yang tak putus-putus kepada Baginda dan rezekikan daku bertemunya di SyugaMu nanti.......*

24 Sept 2013

Sanjung jasa petani

Hari sudah tinggi benar. Mentari tegak di tengah-tengah dada langit, berseringai dengan sinarnya yang garang. Kehangatannya yang membahang seakan mahu membakar samudera padang pasir Arab yang luas terbentang, saujana mata memandang. 

Pasir-pasir hangat itu kemudiannya mencipta satu fatamorgana haba, menggelegak-legak bagaikan ada lopak air di tengah padang pasir. Musafir yang sedang nazak kehausan sering terpedaya oleh fatamorgana ini.

Zuheir, seorang petani dari desa Bahiyah, sebuah desa terpencil di tengah padang pasir Arab sedang mengenderai binatang tunggangannya merentasi padang pasir yang luas itu. Arah tujuannya ialah Madinah.

Terik mentari bagaikan tidak terasa olehnya. Kulit yang membalut tubuh kecilnya bagai sudah serasi dengan kepanasan cuaca daerahnya itu. Justeru itu Zuheir nampak begitu bersahaja duduk di atas belakang binatang tunggangannya sambil membonceng beberapa bekas hasil tanaman desanya. Hasil tanaman itu akan dijaja di Madinah.

Zuheir merasa amat bertuah kerana salah seorang di antara yang menjadi pelanggan tetapnya di Madinah ialah Rasulullah SAW. Setiap kali tiba di Madinah Zuheir tidak pernah lupa berkunjung ke rumah Rasulullah SAW. Kadang-kadang rmah Rasulullah lebih dahulu ditujunya.

Kebiasaannya Zuheir lebih suka menghadiahkan saja hasil tanamannya kepada Rasulullah SAW sebagai tanda ingatan dan cintanya. Rasulullah menerima pemberian itu dengan senang hati. Baginda menghadiahkan pula hasil usaha masyarakat Madinah kepada Zuheir.

Bertukar-tukar barang seperti itu telah menjalinkan ikatan persahabatan yang semakin erat di antara Rasullullah dan Zuheir. Baginda bangga memiliki umat seperti Zuheir. Meskipun hanya menjadi petani dan tunggal jauh di perdesaan tetepi kehidupannya tidak terbelenggu oleh suasana sekitarnya sahaja.

Kata Rasulullah, " Zuheir adalah desa kita dan kita adalah kotanya." Orang kota ada keistimewaannya tersendiri dan orang desa juga ada keistimewaannya tersendiri. Kerana itu Rasulullah tidak pernah membezakan antara dua kelompok umatnya itu. Kasih-sayang ditaburkan samarata.

Suatu hari ketika berjalan-jalan di pasar, Rasulullah menemui Zuheir sedang menjual barang-barangnya.Baginda mendekati Zheir secara senyap-senyap dan memeluknya dari belakang. Pelukan yang memeranjatkan itu membuatkan Zuheir hampir-hampir marah. Tetapi apabila menyedari yang memeluknya adalah Rasullullah, Zuheir begitu gembira dan tersenyum senang.

" Siapa hendak membeli budak ini?" tnya Rasulullah kepada orang ramai yang lalu-lalang di situ.

" Wahai Rasullulah, nanti engkau akan rugi kerana tubuhku yang kecil ini," sahut Zuheir berseloroh.

" Tetapi hargamu mahal di sisi Allah," kata Rasulullah, terhibur dengan pengakuan Zuheir yang melambangkan kejujuran dan kerendahan hatinya

24 Aug 2013

Sehari kenyang, sehari lapar

Rasulullah SAW pernah menyuruh Saidatina Aisyah memejamkan matanya sewaktu sedang berada di padang pasir di depan sebuah bukit yang besar. Setelah Rasulullah menyuruh beliau membuka matanya, kelihatanlah bukit itu bertukar menjadi emas. Tetapi kemudiannya ia bertukar menjadi bukit semula dan Rasulullah mengatakan bahawa kalau dia mahu ia boleh memohon agar bukit-bukit di sekitar kota Madinah menjadi emas tetapi baginda memilih untuk kenyang pada satu hari dan berlapar pada hari esoknya. Begitulah silih berganti, agar Baginda boleh bersyukur ketika kenyang dan sabar ketika lapar.

19 Jul 2013

Apakah maksud Ummiy Rasulullah SAW

Semoga Allah mengampunkan kita di atas salah tanggapan dan salah tafsir terhadap status Baginda SAW sebagai seorang Rasul yang Ummiy. Selama ini kita difahamkan bahwa Ummiy itu bererti orang yang tidak tahu membaca dan menulis, atau dalam istilah lain buta huruf. Jika begitu fahaman kita ertinya kita menganggap Baginda orang yang tidak belajar atau orang yang bodoh. Ensiklopedia barat juga mendefinasikan Nabi Muhammad sebagai seorang yang illiterate. Bagi orang tidak prihatin, hal ini mungkin tidak menjadi apa-apa masalah baginya. Tapi bagi yang prihatin, yang hatinya terbuka dan sensitif akan merasakan seolah-olah ada yang tidak kena dengan maksud Ummiy ini. Mana mungkin seorang Rasul yang kemuliaannya sampai namanya digandingkan dengan nama Tuhan, dikatakan buta huruf.

Sebenarnya yang dimaksudkan Ummiy itu ialah seorang yang belajar secara luar biasa, bukan mengikut kaedah biasa atau belajar secara proses biasa. Tujuan belajar adalah supaya menjadi pandai, dengan mengisi ilmu kepada akal dan roh. Itulah hakikatnya. Jika akal dan roh tidak diisi dengan ilmu maka seseorang itu tidak akan menjadi pandai.

Orang yang hendak menjadi pandai secara biasa kenalah melahirkan sebab lahiriah untuk mencapai matlamatnya. Contohnya melalui menulis, membaca, berguru, belajar di sekolah dan lain-lain.

Oleh kerana Rasulullah itu orang luar biasa, Allah pandaikan Baginda tanpa melalui proses biasa. Demikianlah Maha Besarnya Tuhan, Rasulullah dipandaikan melalui proses luar biasa. Rasulullah belajar tetapi tidak perlu menulis, membaca, berguru, atau belajar di sekolah. Oleh itu sama sekali tidak benar jika dikatakan Rasululah tidak belajar. Sebenarnya maksud Ummiy ialah baginda itu TIDAK PERLU kepada membaca dan menulis.

PERBAHASAN UMMIY

Mari kita bahaskan pula perkataan Ummiy itu. Ummiy didasarkan kepada 'ibu'.

1. Ibu kalau dibahaskan secara lahir ia merupakan punca zuriat kerana ibu melahirkan. 

2. Bagi yang tidak bernyawa ada juga disebut ibu. Contohnya ibu roti. Daripadanyalah roti dihasilkan. Ia disebut ibu juga.

3. Ibu secara batin atau maknawi pula mempunyai erti yang lebih hebat. Ibu dan ayah pada diri kita ialah akal dan roh. Tanpa akal dan roh tiada erti apa-apa. Sebab itulah Allah terus bagi ilmu kepada Rasulullah tanpa menggunakan alat. Itulah sebabnya Rasulullah dikatakan Ummiy iaitu belajar secara terus dari Allah. Allah terus campakkan ilmu pada ibu dirinya iaitu akal dan roh. Oleh itu salah besarlah jika dikatakan Rasulullah tidak belajar.

Rupa-rupanya begitu hebat Allah memproses hamba-hamba yang dikehendakiNya dengan cara dipandaikan tanpa melalui proses belajar secara biasa. Itulah sebenarnya mukjizat Rasulullah yang cukup agung dan hebat. Ummiy itu adalah lambang kebesaran Rasulullah yang sebenarnya. Layaklah Rasulullah itu dikatakan ibu, kerana baginda ibu segala ilmu, ibu segala kebaikan, ibu kepada perjuangan, ibu kasih sayang, ibu perpaduan dan lain-lain lagi kerana dari segala ibu itulah lahir ilmu, kebaikan, perpaduan, kasih sayang, perjuangan dan lain-lain. 

Firman Allah yang bermaksud:
" Dan sesungguhnya Al-Quran ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta alam. Ia dibawa turun oleh Ar Ruhul Amin (Jibril), ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan"
(Asy Syu'ara: 192-194)

Malah yang membenarkan dan melayakkan lagi baginda menjadi ibu berlandaskan gelaran Ummiy tersebut ialah kerana rohnya atau Nur Muhammad adalah ciptaab Tuhan yang pertama. Dari kerana kebesaran dan kemuliaan Nur Muhammad inilah diciptakan langit dan bumi, haiwan, tumbuhan, syurga, neraka dan lain-lain. Begitulah hebat dan mulianya Rasulullah hinggakan baginda dilantik menjadi penghulu manusia dan namanya diangkat sebaris dengan nama Tuhannya.

MUSUH-MUSUH ISLAM MENGELIRUKAN MAKSUD UMMIY.

Musuh-musuh islam terutama Yahudi dan puak orientalis sebenarnya sangat kenal  siapa Rasulullah. Kehebatan dan kemuliaannya ada dalam pengetahuan dan kajian mereka. Lalu mereka cuba mengelirukan pemikiran umat islam dengan mengatakan bahawa" Rasulullah itu Ummiy yakni tidak tahu membaca dan menulis untuk membuktikan bahawa Al-Quran itu bukan bukan dari tulisan Rasulullah"

Nampak macam logik dan rasional hujah tersebut. Tapi sebenarnya mereka menutup maksud Ummiy yang sebenar yang memperlihatkan kehebatan Rasulullah SAW . Akhirnya umat islam dari generasi ke generasi beranggapan Rasulullah itu buta huruf, dan kesan psikologi terhadap pemahaman palsu ini menyebabkan umat islam menjadi mundur. Bukan setakat miskin ilmu, harta, kemajuan dan lain-lain tetapi yang lebih parah dari itu ialah miskin iman.

Usaha untuk memperkecilkan martabat Rasulullah SAW memang telah sekian lama dirancang oleh musuh islam. Mereka sengaja hendak memperlihatkan Rasulullah sebagai tidak bertamadun agar umat islam juga akan mencontohinya. Kebesaran dan kemuliaan Rasulullah cuba ditutup dan disembunyikan.

Untuk memperlihatkan dengan lebih jelas bahawa Ummiy adalah salah satu mukjizat besar Rasulullah mari kita lihat pula kaedah menuntut ilmu melalui proses luar biasa ini. Rasulullah itu digelar Ummiy kerana padanya diberikan ibu segala ilmu. Sepertimana Al-Fatehah dikatakan Ummul Kitab kerana di  dalamnya intipati seluruh Al-Quran. Begitu jugalah dengan Rasulullah di mana wahyu yang diturunkan kepadanya adalah ibu segala ilmu. Oleh kerana apa yang dianugerahkan kepadanya adalah ilmu segala ilmu, ia tidak boleh diterima melalui proses biasa. Ibarat seorang yang ingin mengail ikan yang besar, mestilah menyediakan mata kail yang besar dan kuat, umpan yang baik, tali yang kuat dan teguh sesuai dengan ikan yang hendak dipancing.

Begitu jugalah bagi seseorang yang ingin memperolehi ilmu luar biasa dari Tuhan seperti mana Rasulullah mendapat wahyu. Tidak cukup sekadar melalui proses biasa dengan menggunakan pancaindera. Ilmu wahyu yang Allah anugerahkan pada baginda diajar  terus kepada ibu dirinya iaitu akal dan rohnya. Ilmunya bukan dari sumber membaca dan menulis.

18 Jul 2013

Duta Islam Yang Pertama

Saidina Mus'ab bin Umair ra adalah duta Islam pertama yang dihantar oleh Rasulullah SAW ke Madinah. Dia ditugaskan untuk mengajar Islam kepada penduduk Madinah yang baru menerima ajaran Islam dan memperkenalkan Islam kepada seluruh penduduk Madinah. Islam berkembang dengan cepat malah luar biasa di Madinah. Beliau bekerja siang dan malam untuk Allah dan RasulNya. Usahanya yang sangat gigih itu telah menyebabkan Islam sampai ke seluruh pelusuk Madinah. Tiada rumah di Madinah melainkan Islam telah memasukinya.

Penyebaran Islam secara pesat dan penerimaan luarbiasa penduduk Madinah telah berlaku dalam masa 3 tahun sahaja. Bermula selepas tahun kesepuluh hijrah sehinggalah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah dan tertegaknya sebuah negara Islam. Setiap orang yang telah masuk Islam di Madinah berusaha pula untuk membawa keluarganya masuk Islam. Contohnya seperti yang berlaku dalam keluarga Amru bin Jamuh. Semua anaknya telah masuk Islam tetapi Amru belum mahu menerima Islam. Anak-anaknya mahu menyedarkan ayah mereka dari kebatilan agamanya. Pada suatu malam ketika Amru sedang tidur mereka menyelinap masuk ke biliknya. Mereka telah melumurkan kotoran di berhala Amru. Apabila Amru bangun pagi, dia melihat tuhannya berlumuran dengan kotoran. Dia pun bercakap-cakap dengan tuhannya, " Siapakah yang memperlakukan begini kepada kamu? Kenapa kamu tidak mempertahankan diri kamu?" Selepas itu dia membersihkan dan mewangikan semula berhalanya. Selepas itu diapun menyembahnya. Keesokan malamnya anaknya lakukan lagi terhadap berhala Amru. Pagi esoknya bila didapati berhalanya berlumuran kotoran lagi  dia berkata kapada tuhannya, " Wahai tuhan, kenapa kamu tidak mempertahankan diri kamu?" Selepas itu dia membersihkan, mewangikan dan menyembahnya lagi. Digantungnya sebilah pedang di leher berhalanya sambil berkata, "Kalau ada sesiapa datang mahu mengotorkan kamu, kamu bunuh dia!"

Pada malam ketiga itu, anaknya datang lagi. Mereka telah menyembelih seekor anjing. Pada masa itu anjing belum diharamkan lagi. Mereka menggantung anjing itu di leher berhala bapa mereka. Mereka melumurkan berhala itu dengan darah anjing. Selepas itu berhala dan bangkai anjing itu dicampak ke tempat sampah. Apabila Amru bangun keesokan paginya dia mendapati berhalanya tiada lagi. Dia mencarinya di merata tempat. Akhirnya dia menemuinya di tempat sampah sarap bersama bangkai seekor anjing dan seluruh badannya berlumuran darah anjing. Ketika itu Amru berkata, " Demi Allah, engkau memang tidak layak disembah!" Peristiwa itu menyebabkan dia menyedari  bahawa agama menyembah berhala adalah agama yang karut. Ketika itu barulah dia dapat melihat kebenaran Islam dan beriman kepada Allah dan RasulNya. Demikianlah setiap orang berusaha untuk menyelamatkan keluarga mereka sehingga Islam tersebar ke seluruh Madinah dengan cepat.

15 Jul 2013

Menyinsingnya Fajar Islam

" Wahai manusia! Allah telah memerintahkan kepadamu supaya menyembahNya dan janganlah kamu menyekutukan Dia dengan sesuatu apa pun."

Demikian Nabi Muhammad menyampaikan dakwah Islam kepada penduduk Mekah. Baginda berkeliling mengunjungi rumah mereka berdakwah secara terang-terangan setelah datang perintah dari Allah untuk berbuat demikian. Tindakan baginda telah menggoncangkan kaum-kaum musyrikin sehhingga apabila Rasulullah mendatangi rumah-rumah orang Mekah maka Abu Lahab akan mengiringi baginda dari belakang.

" Wahai manusia! Dia ini menyuruh kamu meninggalkan agama nenek-moyangmu." Demikianlah hasutan Abu Lahab yang menggerakkan orang ramai supaya menghalang Baginda daripada berdakwah. Maka bermulalah pergolakan hebat di Mekah.

Pemuda Quraisy berusaha dengan kekasarannya untuk membantutkan fajar Islam yang telah mula menyinar itu. Segala macam usaha dilakukan seperti fitnah dan tuduhan liar seperti kena sihir, gila dan mengancam menginjak tengkuk Baginda sehinggalah mereka merancang hendak membunuh Baginda.

" Ajaklah mereka kepada La ilaha illallah"

Demikian Jibril menekankan kepada baginda sehingga tidak seorang manusiapun Baginda takuti. Di tengah-tengah kekalutan ancaman Quraisy itu, Nabi Muhammad SAW dapat membawa beberapa orang memeluk Islam. SAidina Abu Bakar adalah di antaranya dan bila beliau melihat hamba-hamba yang disiksa segeralah beliau menebus dan memerdekakannya, seperti Bilal dan Amir bin Fuhairah.

" Assalamualaikum ya Rasulullah " salam-salam yang diucapkan oleh batu, kayu dan tanah kepada Nabi SAW sebagai satu mukjizat. Kemana juga Baginda pergi, maka Baginda akan menemui makhluk (alam benda) ini mengucapkan salam iaitu di saat ramai yang memusuhi Baginda atas usaha Abu Lahab, Abu Jahal dan lain-lainnya.

Pada satu ketika bapa saudara Nabi iaitu Abu Talib melihat baginda dengan Ali bin Abu Talib sedang solat. Beliau merasa hairan kerana perbuatannya berlainan dengan apa yang lazim pada masyarakat Mekah waktu itu.

" Wahai Muhammad, agama apakah yang engkau anuti itu?" 
" Wahai bapa saudaraku, inilah agama yang diturunkan Allah, agama Malaikat dan Rasul-rasulNya, dan agama nenek kita Ibrahim as. Allah telah mengutusku menjadi Rasul membawa kebenaran."
" Wahai bapa saudaraku, engkau adalah orang yang paling berhak menerima nasihatku. Aku mengajak mu kepada petunjuk Allah, paling berhak pula memperkenankan dakwahku dan menolong aku."

Demikianlah harapan baginda kepada bapa saudaranya.

" Wahai Muhammad! Demi Allah, aku tidak sanggup meninggalkan agama nenek-moyangku dan ajaran-ajarannya. Tetapi Demi Allah, selama aku hidup tidak akan sampai kepada Engkau apa yang tidak Engkau ingini." Abu Talib menolak dengan baik.

Dengan sikap dan jawaban bapa saudaranya itu, sudah tentu menjadi penawar jiwa kepada Nabi SAW di tengah-tengah keluarga Baginda yang memusuhinya dengan keras. Apatah lagi Ali bin Abu Talib sebagai anak muda yang dapat pula dorongan dari ayahnya. Kepadanya Abu Talib selalu berpesan supaya sering mendampingi Nabi Muhammad SAW walaupun beliau sendiri tidak terbuka hati mengikutinya.

" Ikutilah dia ( Muhammad ) selalu selama dia mengajak kamu kepada yang baik" Demikian anjuran Abu Talib kepada anaknya Ali.

Fajar Islam sudah menyinsing di kota Mekah dan ini amat mengejutkan Jahiliah yang dalam kegelapan itu. Makin hari sinarnya makin bertambah naik menerangkan kehidupan insani. Dan makin bertambah getirlah dugaan terhadap Baginda dalam memperjuangkan kebenaran itu.....
Baju Muslimah

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign