Sikecil itu diberi nama Farhan. Berkatnya adik Farhan. Itulah yang Nur rasa, tak taulah kebetulan atau apa, lahir saja adik Farhan, hujan yang dah berminggu-minggu tiba-tiba berhenti, air sungai kembali surut, banjir tak jadi melanda.
Dalam pantang Nur lah yang bersusah-payah menjaga Abidah. Memang susah bagi anak yang baru berusia 10 tahun. Tapi siapa lagi yang boleh diharapkan. Kain lampin,baju kotor Nur bawa basuh di sungai. Makan minum adalah sekali- sekala Halim buatkan, atau beli. Nur ingat sangat bila Halisah suruh buang kulit-kulit durian kering yang Abidah simpan, " Ibu tak bagi buang, nak bakar buat diang ibu". Halisah terdiam.
Abidah sangat berharap dengan kelahiran baru itu Halim berubah dan bersikap lebih adil dalam memberikan kasih-sayang. Datang menjenguknya di waktu siang, bukan cuma balik malam untuk tidur macam selalu. Sudah lama Abidah tidak berpeluang membasuh dan mengemasi kain baju Halim, semuanya sudah diangkut ke rumah Halisah. Halim betul-betul cuma balik ke rumah Abidah untuk tidur, selepas subuh tanpa sempat bersarapan Halim sudah balik ke rumah Halisah semula. Belas hati Abidah melihat anak-anaknya yang jarang sangat dapat bertemu Halim. Bertemu jarang apatah lagi nak bermanja..
Begitulah berlarutan selama 4 tahun umur Farhan. Tiada kasih sayang, tiada kemanjaan dari seorang ayah. akhirnya Abidah nekad, nekad untuk mengalah, buat apa lagi mengharap kasih-sayang yang sudah sirna dari hati Halim. Berat hatinya untuk berpisah dengan Farish dan Firash yang sudah mula bersekolah, tapi Abidah tiada pilihan, biarlah dia pulang ke kampung halamannya di Terengganu. Halim pun tidak menghalang. Dia sudah bahagia bersama Halisah dan anak-anaknya yang sudah masuk dua orang, biarlah Abidah pergi, lansung tak memberi bekas di hati Halim.
Nur pula terpaksa dilepaskan kepada Maznah adik Abidah di Johor. Tapi Abidah nekad akan mengambil semula semua anak-anaknya setelah kehidupannya mula stabil. Untuk menampung hidupnya bersama sikecil Farhan Abidah sanggup biarpun terpaksa mengambil upah menggosok baju di rumah orang. Akhirnya dengan kelulusan sekolah agama yang agak memuaskan Abidah direzekikan mengajar Fardhu Ain di surau-surau berhampiran.
Pantasnya masa berlari meninggalkan segala pahit maung kehidupan. Luka di hati Abidah mula terubat, cuma kerinduan pada ketiga-tiga anaknya sangatlah mencengkam jiwanya, tapi dia redha dengan semua ketentuan Ilahi itu. Halim tidak pula menjatuhkan talak, biarlah, biarlah masa menentukan...
No comments:
Post a Comment