Daunku telah gugur disambut Izrail. Kuning dan kering. Tertera di atasnya:
Namaku: Zubaidah binti Muda.
Lahir: 14 Disembar 1941.
Ajal: 29 Disembar 2011.
Jam: 1.37 tengahari khamis.
Turut berguguran dedaun lain yang senasib.. Antara dahan Sidratul Muntaha ada yang hanya tinggal ranting. Dedaun kering telah gugur. Yang tinggal hanyalah daun hijau dan emas kemilau bagaikan sutera.
Gemersik bila dedaunnya bersentuhan. Bila daun bersentuhan, empunya daun akan terdengar di cuping telinga bunyi desiran, mengingatkan diri agar berzikir kepada Tuhan.
" Bahawasanya Allah Taala menjadikan pohon di bawah Arasy. Pohon-pohon itu mempunyai daun sejumlah bilangan seluruh makhluk. Jika ajal seorang hamba telah diputuskan, akan tetapi ia umurnya masih ada 40 hari, maka gugurlah daunnya pada tempat Izrail as. Maka dengan hal itu Izrail tahu bahawasanya ia diperintahkan mencabut nyawa orang yang mempunyai daun. Dan setelah itu mereka menyebutnya mayat di langit padahal ia masih hidup di permukaan bumi selama 40 hari."
(Riwayat Ka'bil Akhbar)