Asam Garam Kehidupan: Harimau tunduk padanya berkat sabar

Nuffnang

Pages

31 Jul 2013

Harimau tunduk padanya berkat sabar

Telah diriwayatkan pada zaman dahulu kisah dua orang adik-beradik soleh yang tinggal berjauhan antara mereka. Oleh kerana tinggal berjauhan, maka jaranglah mereka dapat bertemu. Kadang-kadang mereka dapat berjumpa setahun sekali sahaja.
Pada suatu hari si adik ke rumah abangnya kerana ingin menziarahi abangnya. Kebetulan masa itu abangnya tiada di rumah. Dia lantas bertanya kepada kakak iparnya ke mana gerangan si abang. Bukan main terperanjat si adik apabila kakak iparnya dengan marah-marah menjawab, " Dia pergi mencari kayu, semoga dia tidak lagi dikembalikan Allah," sambil itu mulutnya terus memaki-maki suaminya dengan kuat. Oleh kerana dia dia ingin sangat bertemu dengan abangnya, maka dia sanggup menunggu sehingga abangnya pulang.
Tidak berapa lama kemudian, pulanglah abangnya bersama seekor harimau yang membawa kayu di atas belakangnya. Setelah abangnya menurunkan kaya tersebut, dia berkata kepada sang harimau, " Pergilah, semoga Allah memberkati kamu,"
Setelah itu barulah dia mempersilakan adiknya masuk ke rumah. Sementara itu, isterinya masih tetap memaki-maki sambil marah-marah, namun si abang tetap membisu. Tidak dijawab walau sepatahpun. Dengan susah-payah dia melayan adiknya yang datang dari jauh itu, menghidangkan makanan dan makan bersama adiknya. Setelah bertanya khabar dan berbual-bual, si adik pun meminta izin untuk pulang. Dalam  pada itu si adik tak henti-henti memikirkan kesabaran abangnya menghadapi isterinya yang banyak kerenah itu.
Pada tahun berikutnya, sekali lagi si adik datang menziarahi abangnya. Tapi si abang tiada di rumah seperti sebelumnya. Tapi kali ini kakak iparnya tidak lagi marah-marah atau memaki hamun suaminya, sebaliknya dia disambut dan dipersilakan menunggu kepulangan abangnya. Sebentar kemudian pulanglah abangnya sambil memikul kayu di atas bahunya sendiri. Kemudian dia mempersilakan adiknya masuk dan makan bersama-samanya. Tetapi kali ini abangnya tidak perlu lagi bersusah-payah melayan adiknya sebaliknya makanan telahpun disediakan oleh isterinya yang baik hati itu. Melihatkan keadaan yang berbeza dari tahun sebelumnya, si adik lantas bertanya:
" Wahai abang, dulu ada seekor harimau yang memikulkan kayu untukmu tetapi sekarang kayu itu engkau pikul sendiri. Dan sewaktu aku sampai tadi isterimu sudah berubah sama sekali. Apakah rahsia di sebalik semuanya?"
Si abang tersenyum  lantas menjawab, " Wahai adikku, isteriku yang cerewet itu telah meninggal dunia, dan kerana aku bersabar dengan kerenahnya itu maka Allah mendatangkan harimau itu untuk membantuku. Kemudian ketika aku diganti Tuhan dengan isteri yang baik budi ini, sudah tidak ada lagi harimau itu dan aku terpaksa memikul kayu sendiri,"

Begitulah rahmat dan kasih sayang serta keadilan Allah pada hambaNya, cuma kita sebagai hamba selalu kurang sabar dan hilang arah bila diuji. Tetapi bagi orang yang ingin mencapai darjat yang tinggi di sisi Allah SWT, walau terpaksa menderita mereka sanggup menghadapi apa jua kesusahan dan ujian yang ditimpakan kepadanya. Moga kita tergolong di kalangan orang sabar.

No comments:

Post a Comment

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign