Asam Garam Kehidupan: Menyinsingnya Fajar Islam

Nuffnang

Pages

15 Jul 2013

Menyinsingnya Fajar Islam

" Wahai manusia! Allah telah memerintahkan kepadamu supaya menyembahNya dan janganlah kamu menyekutukan Dia dengan sesuatu apa pun."

Demikian Nabi Muhammad menyampaikan dakwah Islam kepada penduduk Mekah. Baginda berkeliling mengunjungi rumah mereka berdakwah secara terang-terangan setelah datang perintah dari Allah untuk berbuat demikian. Tindakan baginda telah menggoncangkan kaum-kaum musyrikin sehhingga apabila Rasulullah mendatangi rumah-rumah orang Mekah maka Abu Lahab akan mengiringi baginda dari belakang.

" Wahai manusia! Dia ini menyuruh kamu meninggalkan agama nenek-moyangmu." Demikianlah hasutan Abu Lahab yang menggerakkan orang ramai supaya menghalang Baginda daripada berdakwah. Maka bermulalah pergolakan hebat di Mekah.

Pemuda Quraisy berusaha dengan kekasarannya untuk membantutkan fajar Islam yang telah mula menyinar itu. Segala macam usaha dilakukan seperti fitnah dan tuduhan liar seperti kena sihir, gila dan mengancam menginjak tengkuk Baginda sehinggalah mereka merancang hendak membunuh Baginda.

" Ajaklah mereka kepada La ilaha illallah"

Demikian Jibril menekankan kepada baginda sehingga tidak seorang manusiapun Baginda takuti. Di tengah-tengah kekalutan ancaman Quraisy itu, Nabi Muhammad SAW dapat membawa beberapa orang memeluk Islam. SAidina Abu Bakar adalah di antaranya dan bila beliau melihat hamba-hamba yang disiksa segeralah beliau menebus dan memerdekakannya, seperti Bilal dan Amir bin Fuhairah.

" Assalamualaikum ya Rasulullah " salam-salam yang diucapkan oleh batu, kayu dan tanah kepada Nabi SAW sebagai satu mukjizat. Kemana juga Baginda pergi, maka Baginda akan menemui makhluk (alam benda) ini mengucapkan salam iaitu di saat ramai yang memusuhi Baginda atas usaha Abu Lahab, Abu Jahal dan lain-lainnya.

Pada satu ketika bapa saudara Nabi iaitu Abu Talib melihat baginda dengan Ali bin Abu Talib sedang solat. Beliau merasa hairan kerana perbuatannya berlainan dengan apa yang lazim pada masyarakat Mekah waktu itu.

" Wahai Muhammad, agama apakah yang engkau anuti itu?" 
" Wahai bapa saudaraku, inilah agama yang diturunkan Allah, agama Malaikat dan Rasul-rasulNya, dan agama nenek kita Ibrahim as. Allah telah mengutusku menjadi Rasul membawa kebenaran."
" Wahai bapa saudaraku, engkau adalah orang yang paling berhak menerima nasihatku. Aku mengajak mu kepada petunjuk Allah, paling berhak pula memperkenankan dakwahku dan menolong aku."

Demikianlah harapan baginda kepada bapa saudaranya.

" Wahai Muhammad! Demi Allah, aku tidak sanggup meninggalkan agama nenek-moyangku dan ajaran-ajarannya. Tetapi Demi Allah, selama aku hidup tidak akan sampai kepada Engkau apa yang tidak Engkau ingini." Abu Talib menolak dengan baik.

Dengan sikap dan jawaban bapa saudaranya itu, sudah tentu menjadi penawar jiwa kepada Nabi SAW di tengah-tengah keluarga Baginda yang memusuhinya dengan keras. Apatah lagi Ali bin Abu Talib sebagai anak muda yang dapat pula dorongan dari ayahnya. Kepadanya Abu Talib selalu berpesan supaya sering mendampingi Nabi Muhammad SAW walaupun beliau sendiri tidak terbuka hati mengikutinya.

" Ikutilah dia ( Muhammad ) selalu selama dia mengajak kamu kepada yang baik" Demikian anjuran Abu Talib kepada anaknya Ali.

Fajar Islam sudah menyinsing di kota Mekah dan ini amat mengejutkan Jahiliah yang dalam kegelapan itu. Makin hari sinarnya makin bertambah naik menerangkan kehidupan insani. Dan makin bertambah getirlah dugaan terhadap Baginda dalam memperjuangkan kebenaran itu.....

No comments:

Post a Comment

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign