Asam Garam Kehidupan: Selawat perdana- pandangan ustaz Ridhuan Tee yang mengelirukan.

Nuffnang

Pages

6 Apr 2014

Selawat perdana- pandangan ustaz Ridhuan Tee yang mengelirukan.

Pak Lang diminta oleh pembaca suaramuhajirin313 untuk memberi komen terhadap tulisan Ustaz Ridhuan Tee Abdullah di dalam Sinar Harian bertarikh 31 Mac 2014. Pak Lang Kesuntukan masa. Jadi Pak lang 'copy-paste' artikel tu dan beri ulasan / komen mana yang perlu. Semua tulisan atau komen Pak Lang, akan digelapkan (bold). 


Selawat Nabi, bukan puja (Kenyataan ini satu kenyataan tidak bertanggung jawab. Perlu datangkan hujjah dan dalil Quran dan Hadis yang mengharamkan puja Nabi saw!! atau adakah hukum memuja Nabi saw itu makruh atau haram?)
Oleh: RIDHUAN TEE ABDULLAH
Tarikh: March 31, 2014


SAYA ucapkan tahniah atas inisiatif menganjurkan Selawat Perdana Putrajaya, Malam Cinta ALLAH dan Cinta Rasul, dengan tema Kesatuan, Perpaduan dan Persaudaraan, yang sedang menjelajah seluruh negara masa kini, yang dijayakan hampir seratus peratus oleh pendakwah seberang. (Hal pendakwah dari seberang ini tidak perlu disebut. Ustaz Ridhuan mesti bersikap profesional. Ada nada yang tidak selesa bila menyebut seratus peratus pendakwah dari seberang. Para pendakwah hanya menyambung tugas Rasulullah saw. Bersyukurlah jika ada yang mahu membantu kita. Walaupun mereka dibayar, itu rezeki mereka. Bukankah kita juga memdapat bayaran bagi 'sumbangan' ceramah yang kita sampaikan?)

Saya tidak pasti sama ada ia telah menjadi ‘fenomena’ ataupun tidak di kalangan anak muda, seperti rancangan Pencetus Ummah, Astro Oasis. Saya juga tidak mahu termasuk dalam golongan ‘membidaahkan’ program yang sebegitu baik ini, dalam mendidik hati-hati manusia.

Sejujurnya, program ini amat baik sebagai ‘hiburan’ alternatif kepada masyarakat. Tetapi, agak stereotaip. Jika tidak diberikan penambahbaikan, sekali itulah sahaja. Ia sukar untuk menarik perhatian buat kali kedua, kerana semuanya sama, termasuk tazkirah yang disampaikan sebelum ini, (Apa-apa pun program yang kita buat - ianya termasuk dalam usaha ikhtiar kita sebagai pendakwah. Jika kita sebagai pendakwah, ikhlas dan jujur dengan Allah swt, potensi untuk apa yang kita sampaikan masuk ke hati para hadirin sangat besar. Malangnya ramai penceramah tidak menjaga hati masing-masing. Susahlah untuk mengubah masyarakat. Jadi yang penting kita cetuskan sebanyak mungkin program mendidik hati ummah, kesannya bergantung bagaimana hati kita sebagai pendakwah terhadap Allah swt dan Rasulullah saw. Program Selawat Perdana ini hanya untuk mencetuskan kesedaran dan kleinsafan. Semoga akan ada ramai yang terkesan dan terdorong membuat perubahan diri)

Beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian adalah;

Pertama, penonjolan kepada Rasulullah terlalu berlebihan sehingga menenggelamkan penonjolan kepada ALLAH SWT. Pada hemat saya, perkara ini patut diperbaiki. Majlis ini sepatutnya membawa kita mengingati ALLAH, kemudian baharulah utusanNya, Rasulullah SAW, seperti mana temanya, Malam Cinta ALLAH dan Cinta Rasul. Dalam kata lain, utamakan ALLAH dalam segala hal. (Diharapkan Ustaz Ridhuan mengutarakan hujjah dan dalil Al-Quran atau Hadis bagi menyokong kata-katanya yang di atas. Ini adalah kenyataan yang mengelirukan. Mohon ustaz perjelaskan dari segi hukum dan pandangan ulamak muktabar. Setahu Pak Lang tidak ada ulamak atau kitab yang membicarakan 'ukuran' cinta dan penonjolan kepada Allah mesti dilebihkan berbanding cintakan dan tonjolkan Rasulullah saw - sebab itu Pak Lang katakan kenyataan Ustaz ini mengelirukan. Beratlah jika Ustaz 'confuse' dalam hal yang asas sebegini. Ayat Al-Quran dengan jelas mengatakan Allah dan para Malaikat berselawat kepada Baginda Nabi saw. Dan Allah memerintah (perintah sunat) agar seluruh orang beriman membanyakkan selawat dan salam ke atas Baginda saw. Cubalah semak dahulu huraian ulamak tafsir tentang ayat ini).

Kita memang diminta dan dituntut berselawat ke atas Rasulullah. Sabda Rasulullah SAW, barang siapa yang berselawat ke atas ku sekali, nescaya ALLAH akan turunkan rahmat ke atasnya 10 kali ganda. Ini tidak termasuk mendapatkan syafaat Baginda di akhirat nanti.

Cuma, persoalannya, Selawat Perdana terlalu ‘over’ menonjolkan Rasulullah SAW. ‘Lagu-lagu’ Cinta Rasul yang disampaikan seperti Qasidah dan sebagainya terlalu berlebihan, sehingga membawa kepada tahap ‘pemujaan’ terhadap Nabi. (Kenyataan Ustaz mengenai 'over', 'terlalu berlebihan', 'pemujaan' mestilah didasari oleh nas Al-Quran dan Hadis. Tanpa merujuk Quran dan Hadis, Ustaz dikira pembawa faham bida'ah (mengikut ukuran Wahabi). Hujjahkan kenyataan Ustaz itu secara ilmiah kerana istilah yang Ustaz gunakan itu sangat mengguris hati mereka yang sangat mengagungkan Rasulullah saw).

Adakah Rasulullah mahukan kita memuja Baginda? Sudah tentu tidak. (Pemujaan yang dimaksudkan Ustaz mungkin berbeda dari yang orang lain fahami. Kami memuja Rasulullah saw sebagai seorang Rasul yang sangat besar jasanya. Dialah yang paling sayang dengan kita lebih dari ibubapa kita menyayangi kita. Dialah yang ketika kaumnya sesat jahiliyyah mendaki bukit (Jabal Nur) yang tinggi bersunyi diri merenung kebesaran Allah, bermunajat kepadaNya. Itulah cintanya seorang bakal Nabi kepada umat manusia.  Tuhan pilih Baginda yang taasubnya para sahabat dengan Baginda saw ialah sanggup mati, sanggup disiksa, sanggup berhijrah, sanggup apa saja untuk Baginda saw yang banyak berjasa. Para sahabat memuji memuja dan membesarkan Rasulullah saw dengan sesungguh hati. Kenapa kita perlu mempertikaikan hal yang sebegini penting? Pak Lang bimbang mengingatkan hujjah Kasim Ahmad mempertikaikan kewajaran Hadis sebagai sumber hukum bahkan dia mengatakan cukup dengan Quran - Hadis tidak perlu katanya. Sikap anti hadis Kasim Ahmad itu di'hampiri' tanpa sedar oleh kata-kata Ustaz mengenai tidak perlu memuja Nabi sampai 'over' dan sebagainya ini. Pak Lang tidak menuduh Ustaz Ridhuan anti-hadis tetapi kecenderungan mempertikaikan program selawatkan Nabi saw dengan katanya"
penonjolan kepada Rasulullah terlalu berlebihan sehingga menenggelamkan penonjolan kepada ALLAH SWT" adalah suatu yang sangat dikesalkan)

Memang tidak dapat dinafikan, kita memang dituntut mencontohi Nabi dalam apa jua keadaan dan cara hidup Baginda, tetapi janganlah terlalu berlebih-lebihan sehinggakan mengidolkan Baginda. (Sekali lagi kita bertanya mana hujjah yang mengharamkan kita mengidolakan Nabi Muhammad saw. Kita tidaklah menyembah Baginda saw. Apa yang mahu dicapai ialah rasa cinta dan rindu dengan rindu yang serindu-rindunya kepada Baginda saw. Bukankah membina rasa cinta kepada Baginda saw. sehingga Baginda saw lebih kita cintai dari segala-galanya adalah suatu tuntutan yang dengannya baru kita diiktiraf beriman?).

Kita perlu ingat, perkara yang utama dalam Islam adalah akidah. Sebab itu Rukun Islam dan Rukun Iman disusun sedemikian rupa. Rukun Iman misalnya, pertama Percaya kepada ALLAH, diikuti dengan mengimani yang lainnya termasuk kepada para Rasul.


Begitu juga dengan Rukun Islam, pertama mengucap dua kalimah syahadah, diikuti kedua adalah solat. Kalimah Syahadah adalah paling utama.  

(Kata-kata sebegini juga mengelirukan. Urutan Rukun Iman dan Rukun Islam (dan Rukun Ehsan) adalah suatu rangkaian asas agama yang perlu dihayati serentak. Tidak ada pemisahan sama sekali. Urutan secara bilangan itu sekadar susunan satu persatu. Ianya tidaklah bermaksud mesti dilakukan secara tertib seperti rukun sembahyang di mana yang dahulu didahulukan, yang kemudian dikemudiankan!! Iman, Islam dan Ehsan tidak boleh diaplikasi secara berasingan atau mengikut urutan nombor. Memang soal akidah itu penting tetapi amalannya di hati. Itulah iman yang dikatakan simpulan keyakinan yang padu yang tidak dicelahi syak, dzan dan waham. Kelihatannya Ustaz Ridhuan cuba merasionalkan hujjahnya bahawa utamakan Allah baru Rasul seperti mana urutan dalam Rukun Iman sedangkan maksud sebenarnya bukanlah sebegitu).

Solat bukan penanda seseorang itu telah beramal dengan Islam, jika akidah tidak betul. Misalnya, soal mentauhidkan ALLAH SWT, Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah.


(Bila Ustaz Ridhuan menyebut Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah, maka jelaslah bahawa Ustaz Ridhuan Tee seorang yang berfaham Wahabi atau Salafi. Inilah faham yang sangat bertentangan dengan faham Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).  Huraian tauhid atau akidah yang membicarakan Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah adalah konsep akidah yang dipelopori oleh Imam Ibnu Taimiyah dikembangkan oleh Muhammad Ibnu Wahhab - pengasas faham Wahabi. Konsep akidah ASWJ adalah berpegang pada mazhab Imam Abu Hassan Asy'ari dan Imam Abu Mansur Maturidi. Perbezaannya jelas dan ketara. Faham tentang Tauhid Uluhiyah dan Tauhid Rububiyah ini ditolak di Malaysia. Huraiannya panjang. Sila rujuk Fatwa Darul Ifta' Misriyah (Darul Fatwa Mesir mengenai hal ini). 
 
Bersolatlah dan berselawatlah beribu kali sekalipun, jika akidah tidak betul, semuanya menjadi sia-sia. Sebab itu, akidah perlu dimantapkan sebelum yang lain. Kenalkan manusia kepada ALLAH SWT, sebelum kenalkan kepada PesuruhNya iaitu Baginda, Rasulullah SAW.

(Sekali lagi hujjah yang Ustaz Ridhuan kemukakan ini tidak relevan dan tidak berpijak di bumi nyata. Bayangkan bagaimana kita hendak menyemak akidah setiap orang sebelum mereka masuk ke stadium untuk berselawat. Realitinya berselawatlah dan belajarlah semua yang berkaitan agama. Kita hanya boleh menyeru dan mengajak orang kepada agama tetapi kita tidak ada upaya untuk memaksa dan memeriksa bagi menentukan status akidah seseorang). 


(Hal-hal berikut yang diperkatakan Ustaz Ridhuan ini menggambarkan apa yang berlaku dan apa yang ada di hatinya. Pak Lang serahkan untuk kita semua menilainya sendiri!) 

Kedua, nawaitu menganjurkan program ini hendaklah betul. Jika benar malam perpaduan atas nama Islam, lakukanlah, tanpa ada agenda politik tersirat dan tersurat.

Saya difahamkan semua pemimpin pembangkang mahu hadir dalam Selawat Perdana. Tetapi PRK Kajang telah menguburkan segala-galanya. Kita lebih sibukkan PRK. Tak apalah, mungkin kita boleh buat kedua kalinya.


Apapun, pengalaman yang dilalui pada malam tersebut, selaku ‘pendakwah-pendakwah Astro Oasis, Pencetus Ummah, Duniaku Dakwahku, begitu pahit sekali.

Jadual kami telah disusun oleh pihak Astro Oasis bermula jam 7 hingga 9 malam. Malangnya semua tidak menjadi. Seolah-olah ada tangan-tangan yang tidak mahu kami menonjol. Program kami hanya bermula selepas jam 8 malam, itu pun dalam keadaan begitu kelam-kabut.

Selepas azan Isyak, pihak kami tidak dibenarkan meneruskan program seperti yang dijadualkan. Kesihan pendakwah yang datang dari jauh tidak dapat memberikan persembahan.

Atas nama Islam, kami menerima jemputan tersebut. Kami lakukan kerana ALLAH. Tidak ada keinginan langsung mahu bersaing dengan stesen TV yang mahu berhijrah. Kami sudah ada ‘trade mark’ sendiri. Tidak perlulah terasa terancam dengan kehadiran kami di situ.

Apapun sekalung tahniah daripada saya kerana telah menjayakan majlis ini. Walaupun targetnya setengah juta tidak kesampaian, dapat lima puluh ribu pun kira jadilah. SINAR HARIAN

http://suaramuhajirin313.blogspot.com/2014/04/selawat-perdana-pandangan-ustaz-ridhuan.html#comment-form

4 comments:

  1. lebih baik mempertikaikan sebelum menghadiri. bersyukur kerana majlis membawa pemimpin2 ke langkah kebaikan.

    ReplyDelete
  2. sebenarnya saya kurang faham ..'lebih baik mempertikaikan sebelum menghadiri', apa ye yg babY-pose maksudkan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. bila kita dapat jemputan, kita tanya apa agrndanya, jika nampak tak bersesuaian, perbetulkan, jika dah hadir baru nak cakap itu ini lebih baik
      untuk masa datang bila majlis ni
      betul-betul nak diadakan lagi.

      Delete

Baju Muslimah

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign