Tentera muslimin berarak pulang meninggalkan gelanggang perang Badar. Kemenangan di pihak mereka. Paling gembira adalah Rasulullah SAW sendiri.
Meskipun begitu, ada juga di kalangan kaum muslimain yang berduka di celah-celah kegembiraan yang menerangi Madinah, ibu kota Islam. Beliau ialah Zainab, puteri Rasulullah SAW sendiri yang ketika itu berada di Mekah.
Zainab dilanda kesedihan apabila mengetahui suaminya telah menjadi tawanan perang Badar. Suaminya bernama Abul Ash dan ketika itu beliau belum memeluk Islam lagi. Pun begitu kasih-sayang Zainab terhadap suaminya tetap subur.
Keinginan untuk menebus suaminya terus melonjak. Namun bila mengenangkan yang menawan suaminya ialah Rasulullah SAW sendiri, Zainab menjadi serba-salah. Antara ayah dan suami...
Akhirnya Zainab akur pada tuntutan kasihnya pada sang suami, dia mahu menebus Abul Ash. Kalung pemberian ibunya, Siti Khadijah dijadikan penebus untuk suaminya.
Rasulullah SAW sungguh terkejut menerima kiriman kalung dari Mekah itu. Baginda kenal sungguh dengan kalung pemberian isterinya untuk puteri mereka. Hati baginda diragut kesayuan yang dalam...
Dengan hati yang berat, Rasulullah terpaksa menerima tebusan itu kerana ia dikirim dari Mekah. Tebusan itu akan membolehkan Abul Ash kembali kepada Zainab. Ketika peristiwa itu berlaku, turun ayat Al Quran yang bermaksud:
" Wahai orang Mukmin! Apabila datang kepadamu wanita beriman yang ikut hijrah maka ujilah ( keimanan) mereka. Allah lebih tahu dengan keimanan mereka. Maka jika kamu tahu mereka beriman, tidak boleh lagi mereka kembali kepada ( suami mereka ) yang kafir. Mereka tidak halal lagi bagi mereka."
Mumtahanah: 10
Dengan turunnya ayat itu, bermakna Zainab terpaksa berpisah dengan suaminya. Demi melaksanakan perintah Allah, Rasulullah memberitahu hal tersebut kepada Abul Ash meskipun hatinya terlalu berat untuk berbuat demikian. Abul Ash kembali ke Mekah dengan hati yang hamcur luluh. Pembebasan itu dirasakan sudah tidak memberi erti apa-apa lagi.
Rasulullah menghantar utusan ke Mekah untuk mengambil puterinya. Zainab menerima perintah yang datang dari ayahnya itu meskipun terpaksa melawan perasaan yang maha hebat.
Beberapa waktu selepas itu Zainab telah memberi perlindungan kepada Abul Ash yang masuk ke Mekah secara senyap-senyap. Perbuatan Zainab itu akhirnya dapat dihidu oleh Rasulullah. Baginda mencela perbuatan itu kerana ia boleh menimbulkan fitnah di tengan masyarakat. Namun Baginda faham perasaan puterinya kerana mereka dipisahkan dalam keadaan yang masih berkasih-sayang. Kata nabi:
" Wahai puteriku, muliakanalah tempatnya. Engkau tidak halal lagi baginya dan dia haram daripada mendekatimu."
Abul Ash disuruh pulang ke Mekah. Sebelum pulang dia ditanya, adakah dia mahu beriman tetapi dia menolak. Tiba di Mekah Abul Ash membahagikan semua harta yang dibawanya kepada mereka yang memerlukan.
" Ada sesiapa lagi yang belum memilikinya? tanya Abul Ash setelah semua hartanya dibahagi-bahagikan.
" Kalau tidak, dengarlah baik-baik, hari ini aku mengucapkan bahawa Tiada Tuhan yang patut disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Jangan sesiapa lagi mencariku setelah aku Islam." ucap Abul Ash dengan terang dan lancar. Hatinya kini bulat.
Berangkatlah Abul Ash ke Madinah dengan membawa iman yang kental di dada. Penduduk Madinah menyambut kedatangannya dengan gembira, terutama bagi Zainab dan Rasulullah SAW sendiri. Ikatan suami isteri yang putus kini disambung semula mengikut hukum syariat.
No comments:
Post a Comment