Asam Garam Kehidupan: Bukan Itu Jalan Bahagia...

Nuffnang

Pages

30 Jan 2014

Bukan Itu Jalan Bahagia...

Kisah begini banyak terjadi dalam masyarakat moden sekarang. Setengahnya hingga membawa dosa besar tanpa sempat bertaubat dan Alhamdulillah juga ada yang cepat menyedari kesilapan dan dosa besar sehingga sempat memperbaiki keadaan dan meneruskan kehidupan dengan mencari redha Allah dan suami. Hayati dan ambil iktibar....


Surat jawaban untuk  belajar ke luar negera itu sungguh mengembirakan hati Mazlan ( bukan nama sebenar ). Bila tamat pengajian nanti pastilah pangkat dan gajinya bertambah. Kemewahan hidup yang diidamkan pasti tercapai. Rumah besar, kereta mewah, itulah ukuran kesenangan dan kemewahan hidup di dunia yang menjadi idaman ramai manusia. Isterinya yang bekerja hanya dengan gaji diploma itu tidak perlu bekerja lagi. Dia berazam untuk membina keluarga bahagia.

Pada tarikh yang dijadualkan Mazlan selamat berlepas ke London. Isterinya Maznah ( bukan nama sebenar ) enggan mengikutinya kerana tidak mahu bercuti tanpa gaji dalam jangka waktu yang lama. Lagipun anak-anaknya masih kecil, bagi mereka biarlah anak-anak mereka membesar di tengah budaya Melayu. Mazlan akan pulang sekali-sekala jika ada cuti semestar panjang. Kini terasalah dia segala penat lelahnya belajar sambil bekerja selama ini berbaloi juga akhirnya. Ini semua atas galakan dan dorongan dari Maznah juga. Kemudian mendapat pinjaman pelajaran atas jaminan isterinya. Kini dia benar-benar rasa terhutang budi dan menghargai isterinya. Dan kini mereka terpaksa berpisah sementara, tetapi Mazlan menaruh sepenuh kepercayaan terhadap Maznah. Dia yakin Maznah setia kepadanya...

Manakala Maznah pula melepaskan pemergian suaminya dengan hati yang rela, tanpa sangsi dan ragu. Dia rela ditinggalkan meskipun bertahun-tahun lamanya. Dia rela menderita ketika ini kerana baginya dia pasti akan mendapat kesenangan dan pembelaan bila suaminya pulang dengan pangkat dan gaji yang lumayan.

Kini..tiga bulan sudah berlalu. Inilah kali pertama Maznah ditinggalkan suaminya dalam jangka masa yang lama. Sebelum ini kalau berpisah pun hanya seminggu dua. Kini dia benar-benar terasa sepi dan dibalut rindu. Hanya telefon atau email yang jadi penghubung antara mereka. Namun dia tidak tergamak pula untuk meluahkan segala isi hatinya kepada Mazlan kerana bimbang fikiran suaminya akan terganggu. Dia hanya memberikan kata-kata peransang untuk menaikkan semangat suaminya.

Namun, bukanlah hidup namanya jika tidak diuji....

Di pejabat Maznah, ada pengambilan  pekerja baru. Namanya Jamil ( bukan nama sebenar ). Dia begitu mengambil berat keadaan diri Maznah. Dia tahu Maznah kesepian dan sedang menanggung rindu. Walaupun dia baru di situ, namun dia sudah kenal lama dengan Maznah. Dulu mereka satu sekolah dan sempat berkawan rapat. Mereka berpisah selepas SPM. Masing-masing membawa haluan meneruskan pengajian. Maznah selepas tamat diploma terus mencari pekerjaan dan akhirnya berkenalan dengan Mazlan yang bekerja di sebuah syarikat swasta. Mazlan mahu meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, namun terbats kerana masalah kewangan. Dia terpaksa mencari pekerjaan untuk membantu pelajaran adik-adiknya. Setelah adik-adiknya berjaya, Mazlan menyambung pengajian di kelas malam atas dorongan dan galakan dari Maznah sendiri. Waktu itu mereka baru sahaja berkahwin dan hidup dalam keadaan serba sederhana, adakalanya kesempitan juga.

Manakala Jamil pula setelah tamat SPM telah berjaya ke ITM ( sekarang UITM ). Setelah tamat pengajian dia bertugas di tempat lain dan baru sahaja ditugaskan di pejabat Maznah bekerja. Jamil tidak menduga temannya yang paling rapat dan sempat dia menaruh harapan dulu, kini menjadi teman sepejabatnya. Malangnya Maznah sudah berumahtangga dan punya cahayamata. Suaminya kini berada di luar negara menyambung pengajian. Hati Jamil gundah-gulana, hatinya kembali menyulam kasih terhadap Maznah. Namun Jamil tahu, mengganggu keharmonian rumah tangga orang adalah dosa besar di sisi Islam. Tapi dia gagal melawan bisikan jahat di hatinya, dia cuba juga merapatkan diri dengan Maznah, konon atas dasar simpati seorang kawan. Padahal dia juga sudah punya keluarga yang memerlukan perhatian...

Selalu dia mempelawa Maznah dan anak-anaknya keluar. Pada mulanya Maznah menolak. Lama-kelamaan kerana kerap sangat Jamil mempelawa dia menerimanya memandangkan Jamil amat bersungguh-sungguh. Maznah membawa anak-anaknya bersama, sekadar makan-makan dan bersiar-siar di pantai, atau Jamil menemani mereka membeli-belah. Lama-kelamaan hubungan mereka semakin erat. Hubungan terlarang antara seorang suami dan isteri orang, hubungan cinta dan perasaan...masing-masing menyedari dosa tapi tak berupaya menepisnya. Kini mereka hanya keluar berdua sahaja, layaknya anak muda bercinta.

Mereka kerap keluar bersama, shopping, panggung wayang, bercuti bersama..dan terlanjur berkali-kali. Maznah lupa tanggungjawabnya sebagai ibu. Urusan anak-anaknya semua terserah kepada orang gajinya. Dia lupa segala-galanya.

Kini tujuh bulan hubungannya dengan Jamil terjalin. Hubungan mereka menjadi buah mulut rakan pejabat, bualan jiran-jiran, namun Maznah tidak mempedulikan mulut-mulut manusia yang baginya tidak berjahit itu. Tidak sedikitpun terselit rasa takut di hatinya kerana dia pasti, suaminya tidak mengetahui perkara itu. Maznah tetap menghubungi suaminya, memberikan kata-kata semangat untuk suaminya terus belajar. Dia sentiasa memujuk suaminya agar jangan bimbangkan dirinya dan anak-anak mereka.

Hingga pada suatu hari...

" Maz, sampai bila kita nak macam ni, I sayangkan you, jom kita kawin, you tinggalkan saja suami you tu, you je setia tunggu dia, entah-entah dia curang dengan you..."

Maznah tersentak..." curang..., siapa yang curang, aku yang curang.." Maznah seakan tersedar dari mimpi. " Aku yang curang, aku, aku..." Dia kenal siapa suaminya, sudah tujuh tahun mereka hidup bersama. Suaminya bukan kaki 'enjoy', bukan kaki perempuan, suaminya seorang yang baik dan setia. Air matanya bergenang, kesal, malu, rasa berdosa menjadi satu. Kalau suaminya tahu, dia cuba membayangkan, mungkin suaminya sedih yang amat sangat, paling parah jika dia diceraikan...bagaimana nasib anak-anaknya yang dua orang itu?

Mungkin juga suaminya menyangka dia menggalakkannya ke luar negara semata-mata untuk menjalin hubungan dengan Jamil. Dia sungguh menyesal dengan sikapnya, merasa berdosa, ( inilah tanda kasih-sayang Allah pada hambaNya ) Ketika itu dia mula teringat, pernah seorang penceramah menceritakan semasa Rasulullah Israk dan Mikraj, Rasulullah telah melihat ke neraka, didapati Baginda  di dalam neraka itu kebanyakannya adalah wanita. Ini adalah disebabkan derhakanya kaum wanita terhadap suami.

Maznah terasa diburu dosa. Terasa dikejar bayang-bayangnya sendiri. Dia cuba menjauhkan diri dari Jamil. namun bukan mudah. Jamil sentiasa memburunya, memujuk, merayu...

Kini segala apa yang berlaku antaranya dengan Jamil benar-benar menghimpit fikirannya. Dan rasa bersalah terhadap isteri Jamil. Teman-teman sepejabat seakan memulaukannya. Dan rasa berdosa yang amat sangat terhadap suaminya. Dia sendiri tidak tahu, entah kenapa apabila Jamil menyebut tentang suaminya, dia terus tersentak. Dulu bukan tidak ada orang yang menasihatinya, tetapi semua tidak diendahkannya..

Teringat dia hadis yang didengarnya dari seorang ustaz, sabda Rasulullah yang bermaksud,  " Siapa saja di antara isteri yang derhaka terhadap suaminya maka dia akan mendapat kutukan dari Allah, para malaikat dan segenap manusia." Ngerinya dia apabila teringat ancaman itu. Dulu dia tidak ambil pusing tentang dosa dan pahala, asalkan dirinya terhibur. Tetapi kini dia mula rasa menyesal, lebih-lebih lagi bila mengenangkan kebaikan suaminya.

Salah seorang rakan sepejabat yang bersimpati menasihatinya supaya menghubungi seorang ustazah untuk meminta pandangan dan nasihat. Nasihat ustazah..
" Sebenarnya kak, sebab itulah Rasulullah ada bersabda, maksudnya wanita itu tidak untuk keluar rumah melainkan atas sebab-sebab yang diluluskan oleh syariat dan juga tidak berhak melalui jalan lalu lalang melainkan tepi-tepinya."  dan sabda Baginda lagi " Wanita itu adalah fitnah. Apabila ia keluar akan menjenguklah syaitan kepadanya," kata ustazah itu lagi.

" Masalah kakak ni, agak berat juga, jadi beginilah, kakak bertaubatlah kepada Allah, dan saya nasihatkan kakak supaya ikut sahaja suami kakak dan kakak akan dapat jauhkan diri dari Jamil daripada kakak terus tinggal di sini menderhaka kepada Allah dan suami. Sebenarnya kak, berkhidmat kepada suami dan keluarga bagi wanita itu lebih utama daripada berkhidmat kepada masyarakat. Apabila kakak mendidik anak-anak, kakak telah berkhidmat kepada masyarakat kerana anak yang kakak didik itu nanti adalah bakal generasi akan datang, lebih-lebih lagi didiklah mereka menjadi anak yang soleh dan solehah."

Menitis air mata Maznah. Selama ini dia tersalah memilih jalan. " Bagaimana pula perbuatan saya terhadap suami saya...." soalnya dengan dada yang memberat.

" Sebenarnya kak, sebagai seorang isteri, segala perbuatan kakak dan dosa kakak mestilah minta ampun dengan suami, jadi eloklah kakak minta ampun dan redhanya..." balas ustazah.

" Tapi kakak bimbang akan berlaku perceraian antara kami, bagaimana dengan nasib anak-anak kami nanti..." Luahnya dengan deraian air mata.

" Perceraian memang ditakuti oleh setiap kaum wanita. Mereka takut jadi janda, kerana itu memalukan. Kalau ada yang meminta perceraian itu adalah kerana nafsu mereka yang tidak sihat. Sedangkan suami-isteri yang bergaduh bertahun-tahun pun masih ada yang sanggup duduk serumah. Kesan dari perceraian itu juga akan ditanggung oleh anak-anak. Sebenarnya setiap dosa manusia akan mendapat hukuman dari Allah, dan dosa kakak dengan suami tidak akan terampun melainkan dengan keampunan suami. Sekarang ini yang penting kakak bertaubatlah kepada Allah, selepas itu minta ampunlah dengan suami kakak. Sebenarnya setiap dosa isteri itu adalah merupakan hijab atau penghalang bagi suami, doa suami tidak akan terkabul dan segala amalannya tidak diterima oleh Allah. Dan isteri yang melakukan dosa pada suami akan dikutuk oleh Allah, para malaikat dan seisi bumi. Tempatnya di akhirat nanti, pastilah di neraka Jahannam."

" Kalau begitu, kakak rela menerima apa sahaja hukuman dari Allah. Biarlah kakak menerima hukuman di dunia asalkan di akhirat nanti, kakak terlepas dari segala hukuman. Tak mengapalah kalau suami nak ceraikan kakak pun..."

Mazlan begitu terkejut membaca surat dari Maznah. Dia benar-benar tidak percaya dengan segala apa yang berlaku. Dia bertekad untuk pulang ke Malaysia dan mengetahui duduk perkara yang sebenarnya. Hancur luluh hatinya, terhapus segala cita-citanya, tiada gunanya lagi segala apa yang diusahakannya, kalau dia tahu begini jadinya, tak mungkin dia mahu pergi jauh meninggalkan keluarganya.

Barulah terasa dalam dirinya kini, pelajaran tinggi, kekayaan dan kemewahan bukanlah jaminan untuk mencapai kebahagiaan. Apalagi kalau isteri sudah berlaku curang. Tiada maknanya gaji yang beribu-ribu..Apa tindakannya kini, apa yang harus dilakukan. Teringat juga dia segala pengorbanan Maznah terhadapnya Terfikir juga dia nasib anak-anaknya. Dan Maznah yang sanggup berterus-terang itu suatu perkara yang luar biasa...

Sampai di rumah, Mazlan melihat Maznah tersedu-sedan. Maznah mengakui segala kesalahan dan keterlanjurannya bersama Jamil. Dia rela dihukum apa sahaja. Terasa kelakian Mazlan tercabar.

" Sekarang kau masih berhubung dengan Jamil?" Soalnya penuh emosi.
" Tidak bang, malah saya telah membuat rayuan agar Jamil dipindahkan k e cawangan lain," jawab Maznah.

" Abang bukan tidak sayangkan kau, bukan abang tak hargai segala pengorbananmu selama ini, bukan abang tak fikirkan nasib anak-anak. Tapi abang rasa terlalu kecewa, rasa tak dihargai, daripada abang terus menanggung kepedihan, lebih baik kita berpisah. Namun segala jasamu tetap abang kenang, abang lepaskan Maz dengan talak satu...." Kata Mazlan dengan sedih dan hati yang hancur. Kakinya melangkah perlahan keluar dari rumah yang penuh kenangan itu..

" Abang, maafkan Maz, maafkan Maz, Maz rela abang lepaskan Maz, tapi maafkanlah Maz, bang.."

" Ya, sebagai seorang Islam abang maafkan Maz dunia dan akhirat,,," Katanya tanpa menoleh lagi...

Begitulah manusia, jika lemah iman memang mudah tergoda oleh nafsu dan syaitan, tapi  bila dia tersedar dan insaf, moga dia bangun dan tidak mudah tergelincir lagi. Mungkin suatu masa dia adalah penghuni syurga....

No comments:

Post a Comment

Baju Muslimah

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign