Asam Garam Kehidupan: IMAM HAMBAL- Pengasas Mazhab Hambali.

Nuffnang

Pages

27 Oct 2013

IMAM HAMBAL- Pengasas Mazhab Hambali.

Suatu ketika beliau bertemu dengan seorang lelaki yang sedang memberi makan seekor anjing. Ahmad lantas menghampirinya. Niatnya hanya satu- untuk mengutip hadis daripada lelaki tersebut, yang diketahuinya seorang perawi hadis.

Selesai memberi makan anjing itu, si perawi tersebut berkata, " Sebenarnya anjing ini mengekoriku kerana mengharapkan sedikit makanan. Aku merasa aku telah menyempurnakan tanggungjawabku kerana memberi anjing ini makan, sebab sabda Nabi, siapa yang memutuskan harapan orang yang mengharap, Allah akan memutuskan harapannya pada hari Qiamat."

Mendengar itu Ahmad berkata, " Hadis itu sudah cukup bagiku."

Beliau pun pulang ke Baghdad, daerah kelahirannya dengan rasa puas. Bukan saja puas kerana dapat menambah perbendaharaan hadisnya tetapi juga kerana dapat mengutip hadis daripada seorang perawi yang beramal dengan hadis yang diriwayatkannya.

Ini merupakan sekelumit daripada pengalaman Ahmad bin Muhammad bin Hambal, atau lebih dikenali dengan nama Ibnu Hambal atau Imam Hambal, dalam memenuhi cita-citanya untuk menjadi seorang alim sehingga membolehkan beliau mengasaskan satu mazhab. Sebagai seorang yang sangat cintakan ilmu pengetahuan, pengasas mazhab Hambali ini sanggup merantau dari setempat ke setempat untuk menimba ilmu. Beliau ke Madinah, Syam, Yaman, Kufah, Basrah dan Jazirah Arab lainnya.

Dalam perantauannya beliau pernah tidur di pondok buruk dengan hanya beralaskan tanah. Itu tidak menjadi hal baginya kerana yang penting beliau dapat meneruskan cita-citanya untuk menguasai ilmu. Lagipun beliau sudah biasa melalui liku-liku hidup susah.

Dilahirkan pada bulan Rabiul Awal tahun 164H, Imam Hambal kematian ayah sejak beliau kecil. Walaupun beliau merupakan cucu kepada gabenor di Sarkhas, Khurasan, ayahnya pulang ke Rahmatullah tanpa meninggalkan harta kecuali sebuah rumah kecil dan sebidang tanah kecil. Ibunya yang bertanggungjawab mendidik dan membesarkannya. Dan Imam Hambal sendiri terpaksa melakukan bermacam bentuk pekerjaan untuk menyara hidup keluarganya.

Imam Hambal mempunyai minat yang mendalam dalam ilmu Fekah dan Hadis. Itulah bidang penumpuannya. Gurunya yang pertama bernama Abu Yusuf  Yaakub bin Ibrahim. Kemudian beliau berguru pula dengan Husyaim bin Basyir Abu Khasim Al Wasiti. Daripada Husyaim, Imam Hambal memperolehi lebih daripada 3000 hadis.

Imam Hambal sangat kuat berpegang kepada Al Quran dan sunnah. Beliau menjadikan kedua-duanya sebagai rujukan dalam menentukan satu-satu hukum. Beliau juga berpegang kepada ijmak ulama dan qias.

Beliau sangat teliti dalam menerima hadis-hadis yang bersangkutan degan soal halal dan haram. Kata Imam Hambal,  " Apabila kami menerima hadis-hadis Rasulullah mengenai halal dan haram, sunnah dan hukum, kami teliti ia dengan cermat."

Ketegasan beliau dalam hal-hal seumpama ini sangat nyata. Beliau mewajibkan ke atas dirinya apa yang tidak diwajibkan kepada orang lain. Mazhab Hambali mewajibkan membasuh tangan bila bangun daripada tidur. Mazhab ini juga mewajibkan berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwuduk.

Bersambung..nantikan kisah hidup Imam Hambal seterusnya yang penuh dugaan dalam menggapai cita-citanya..

4 comments:

  1. Itulah saya cuba nak beramal apa yang saya tahu. Moga kita diberi kekuatan untuk melakukan kebaikan dan suruhan Nabi Muhammad SAW

    -wina1979-

    ReplyDelete
  2. itulah yang sebaiknya, apa yang kita tahu terus kita amalkan disamping terus menambah ilmu, semoga dalam rahmat dan kasih-sayang selalu.

    ReplyDelete
  3. saya pun suka, modal bercerita utk anak-anak KAFA supaya diorg kenal tokoh-tokoh terkenal Islam.

    ReplyDelete

Baju Muslimah

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign