Asam Garam Kehidupan: Zunnun Al-Misri..antara kalah dan menang...

Nuffnang

Pages

10 Oct 2013

Zunnun Al-Misri..antara kalah dan menang...

--mari kita hayati antara kalah dan menang pertarungan hatinya--

Zunnun terus gagah memperjuangkan kalimah tauhid di bumi Nubian. Pengetahuan dan pengalamannya yang luas membantu beliau. Zunnun tidak hirau pada cercaan dan penghinaan orang terhadapnya. Zunnun tidak hirau pada ugutan sang pendengki. Pesanan daripada ahlisufi yang ditemuinya dijadikan azimat perjuangannya: Hendaklah engkau sabar dan tabah hati menghadapi semua itu.

Memang sudah menjadi sunnatullah, pejuang kebenaran itu pasti ditentang hebat oleh musuhnya. Zunnun Al-Misri telah difitnah sehingga mengakibatkan pihak pemerintah menjatuhkan hukuman penjara ke atasnya.

Diriwayatkan bahawa sebuah kapal yang membawa sekumpulan alim-ulama telah karam. Seorang anak murid Zunnun bertanya kepadanya. Zunnun berkata," Itulah kapal yang membawa orang-orang fasiq." Rupa-rupanya kumpulan alim ulama itu mahu membuat pengaduan kepada pemerintah mengenai Zunnun.

Ketika Zunnun menjalani hukuman penjara, seorang saudara perempuannya membawakan makanan dan menyerahkannya kepada penjaga penjara supaya disampaikan kepada Zunnun. Zunnun tidak menyentuh makanan itu, " Aku tahu makanan itu halal,tetapi ia sampai kepadaku melalui tangan orang yang zalim."

Diceritakan bahawa Zunnun Al-Misri mempunyai seorang anak perempuan. Pada satu hari, mereka dianugerahkan hidangan makanan dari langit. Begitu juga pada hari-hari seterusnya. Setelah 12 tahun menghadapi keadaan demikian , terdetik di hati Zunnun bahawa pemberian rezeki itu adalah kerana kelebihannya yang tekun beribadah.

Selang beberapa hari selepas diganggu perasan itu, anak perempuannya meninggal dunia. Dan selepas itu, Zunnun tidak lagi beroleh kurniaan rezeki yang selalu diterimanya. Fahamlah Zunnun bahawa kedatangan rezeki dari langit itu adalah kerana berkat anak perempuannya, bukan kerana keteunannya beribadah.

Di penghujung hayatnya Zunnun Al-Misri jatuh sakit. Kata Zunnun kepada seorang murid setianya: " Aku ingin tahu waktu kematianku. Takutku pada Allah telah menyebabkan aku jatuh sakit. Rinduku hendak bertemu denganNya telah membakarku. Dan cintaku kepadaNya telah membunuhku dan menghidupkanku."

Tidak lama berselang, Zunnun Al-Misri pun dijemput pulang ke kampung abadi, membawa sekeping hati yang penuh cinta terhadap Penciptanya.

2 comments:

  1. Masih adakah hamba Allah sekuat Zunnun sekarang ni..

    ReplyDelete
  2. ada, InsyaAllah..cuma tak jumpa lagi :)

    ReplyDelete

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign